Monday, December 20, 2010
SESUDAH MERDEKA SPM, STPM MAHU BUAT APA? (ONCE EXAM OVER)
Biasanya sebaik sahaja sesuatu peperiksaan besar tamat, calon-calonnya akan meneriakkan perkataan "merdeka" setidak-tidaknya di dalam hati sahaja. Segala-galanya telah dicuba dalam penulisan jawapan kertas yang diduduki. Urusan keputusan biarlah dahulu.
Calon PMR tahun ini bakal mengetahui nasib masing-masing pada 23 Disember, iaitu dua hari sahaja lagi. Calon STPM perlu menunggu hingga pertengahan Februari, manakala calon SPM kemungkinan besar pada awal Mac. Calon PMR akan meneruskan persekolahan atas dasar kenaikan automatik ke tingkatan 4.
Calon SPM dan calon STPM yang telah selesai kertas terakhir mereka mempunyai masa cuti yang panjang sebelum disambar oleh institut pengajian tinggi pilihan masing-masing. Dengan pengecualian kepada sebahagian kecil yang akan serta-merta memasuki kolej (universiti) swasta, kebanyakan remaja yang kini mencapai usia 18 dan 20 tahun itu mula mencongak aktiviti yang boleh mendatangkan pulangan kewangan menjelang bulan Jun nanti apabila tawaran pengajian tinggi mulai diterima. Terdapat juga mereka yang hendak terus bekerja justeru kurang yakin akan pencapaian dalam peperiksaan yang baru diduduki.
Kepada remaja berkenaan yang tidak dipanggil menjalani program khidmat negara, mereka memiliki masa lima bulan untuk bercuti panjang. Bagi segelintir remaja, inilah masa yang sesuai untuk membalas dendam terhadap perkara-perkara yang tidak dapat dilakukan semasa bertungkus-lumus belajar di sekolah. Contohnya, menonton Astro, melayan facebook, menyertai sukan ekstrem, atau semata-mata tidur sepanjang hari.
Bab-bab balas dendam itu hanya akan bersifat sementara. Berapa lama remaja sanggup bersengkang mata di hadapan skrin televisyen atau komputer, dan berapa lama remaja sanggup membuta? Barangkali, dalam tempoh tidak sampai seminggu, mereka akan menderita kebosanan yang amat sangat.
Tambahan pula aktiviti-aktiviti balas dendam yang muncul dalam kotak fikiran mereka itu sama sekali tidak produktif dan tiada sebarang pendapatan. Kebiasaan sibuk mentelaah buku-buku menyebabkan mereka tidak betah duduk diam macam lagak sang penganggur yang lara. Namun, apa yang boleh dilakukan?
Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru mungkin tiada masalah. Remaja yang menunggu keputusan SPM dan STPM sangat dialu-alukan bekerja sementara di restoran makanan segera, kaunter pasar raya atau di kedai fotokopi. Jika keluarga memiliki perniagaan sendiri, bolehlah turun membantu walaupun mungkin sebagai pilihan terakhir sahaja.
Remaja yang hendak berjinak-jinak dengan dunia jualan boleh melamar kerja menjaja kad prabayar atau perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar. Komisen yang diterima memanglah tidak seberapa, tetapi jika berjaya mendapatkan jumlah jualan yang baik, kembung jugalah poket remaja. Kalau sebaliknya, sekurang-kurangnya remaja akan sedar betapa getirnya hendak memperoleh wang ringgit bagi menyara diri sendiri, apatah lagi untuk menanggung perbelanjaan sebuah keluarga...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment