Penampilan Filipina tidak boleh dipandang enteng memandangkan susuk tubuh fizikal pemain-pemainnya mirip kelibat pemain handalan Sepanyol, bekas penjajah mereka sebelum Amerika Syarikat. Mungkin sekali kejayaan Sepanyol menjulang Piala Dunia edisi waka-waka baru-baru ini melonjakkan keinginan yang membuak-buak dalam kalangan rakyat Filipina terhadap sukan nombor wahid dunia itu. Tidak mustahil juga Filipina melakukan strategi yang sama dengan negara-negara seperti Jepun dan Singapura yang mengambil pemain-pemain handalan asing untuk dijadikan warganegara bagi membarisi pasukan mereka.
Thursday, December 16, 2010
FILIPINA KUASA BARU BOLA SEPAK ASIA? (NO MORE SICK MEN OF ASIA)
Skuad negara kepulauan yang berjiran dengan Sabah itu pernah diaibkan dengan jaringan besar 0-11 di tangan pasukan kebangsaan dalam temasya Sukan Asia Tehran 1978 menerusi gandingan striker legenda Syed Ahmad dan Mokhtar Dahari. Pada era berkenaan, rantau Afrika dan Asia Barat juga tidak memberikan perhatian terhadap sukan bola sepak. Buktinya, ketika itu Malaysia dengan mudah dapat menumpaskan Arab Saudi dan Kuwait dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka yang kini tinggal kenangan.
Malah, negara-negara Asia Selatan yang berkepadatan tinggi penduduknya seperti Bangladesh, India dan Pakistan hingga kini juga belum menunjukkan obsesi terhadap sukan kegilaan benua Eropah dan Amerika Latin itu. Namun, Asia Tenggara menunjukkan keadaan sebaliknya apabila negara-negara yang menunjukkan peningkatan tahap sosioekonomi masing-masing seperti Laos mula mengupah jurulatih asing, khususnya dari Eropah bagi menghadirkan saingan. Kali ini, Filipina yang disebut-sebut sebagai bakal kuasa ekonomi baru Asean telah membunyikan loceng amaran apabila mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki dengan menyingkir pasukan lebih berpengalaman seperti Singapura, selain mampu membenam Vietnam.
Indonesia hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Filipina menerusi jaringan Gonzales
dalam saingan separuh akhir AFF Suzuki di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.
Penampilan Filipina tidak boleh dipandang enteng memandangkan susuk tubuh fizikal pemain-pemainnya mirip kelibat pemain handalan Sepanyol, bekas penjajah mereka sebelum Amerika Syarikat. Mungkin sekali kejayaan Sepanyol menjulang Piala Dunia edisi waka-waka baru-baru ini melonjakkan keinginan yang membuak-buak dalam kalangan rakyat Filipina terhadap sukan nombor wahid dunia itu. Tidak mustahil juga Filipina melakukan strategi yang sama dengan negara-negara seperti Jepun dan Singapura yang mengambil pemain-pemain handalan asing untuk dijadikan warganegara bagi membarisi pasukan mereka.
Selain Filipina, bekas jagoan Asia Tenggara, iaitu Myanmar (dahulu Burma) juga perlu diberi perhatian. Negara yang masih belum keluar daripada kemelut politik junta tentera itu dahulunya sangat liat untuk dijinakkan, kecuali ketika dibelasah oleh Malaysia 1-9 dalam kejohanan sukan Sea era adik-beradik Namat Abdullah dan Shaharuddin Abdullah, serta Salleh Ibrahim dan Shukor Salleh dari Pulau Pinang. Myanmar pernah menjadi ancaman kepada pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan yang kini jual mahal untuk menyertai kejohanan-kejohanan kecil.
Apabila gelora politik Myanmar reda, skuad bola sepak negara berkenaan dijangka bangkit kembali bagi memeriahkan saingan rantau Asia Tenggara. Maka, ditambah dengan penampilan bergaya Filipina, tiada lagi kuasa bola sepak Asia Tenggara yang boleh mendabik dada bagi menjadikan mana-mana pasukan sebagai mangsa belasahan. Tidaklah menghairankan bahawa dalam tempoh yang terdekat, kedudukan sebagai elitis Asia yang sedang dinikmati oleh Australia, Jepun dan Korea Selatan juga boleh tergugat...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment