SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 19, 2010

"DIRGAHAYU BAHASAKU" ANTOLOGI BAHARU TINGKATAN 5 (THE NEW ANTHOLOGY FOR FORM 5's BM)

"Kerusi" akhirnya mengundur diri bagi memberi laluan kepada pendatang baru antologi komsas tingkatan 5 mulai tahun 2011, berjudul "Dirgahayu Bahasaku". Sepertimana "Harga Remaja" yang jauh lebih tebal daripada "Anak Laut", begitulah juga "Dirgahayu Bahasaku" jauh lebih tebal daripada "Kerusi". Namun, murid tidak harus gusar, justeru bilangan karya yang dimuatkan masih sama, iaitu 25 buah semuanya.
"Dirgahayu Bahasaku" hanya menjadi setebal 350 muka surat kerana tiga naskhah drama pilihan bermula daripada halaman 189 hingga halaman 346, iaitu bersamaan 158 muka surat, tidak termasuk bahagian pengenalan. Bahkan, slot drama terakhir berjudul "Dato' Onn" karya Othman Haji Zainuddin sendirian sudah meliputi sejumlah 63 muka surat. Bahagian glosari yang memenuhi empat muka surat terakhir disediakan bagi membantu murid membuat rujukan pantas bagi istilah-istilah yang asing dan baharu kepada mereka.

Antologi "Dirgahayu Bahasaku" diangkat daripada judul sajak karya Ahmad Sarju yang menghiasi halaman 20 dan 21. Sajak lima rangkap itu ditulis pada bulan September tahun 2000 ketika isu bahasa kembali menjadi hangat akibat provokasi segelintir elitis yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris. Sajak "Dirgahayu Bahasaku" kemudian dimasukkan dalam kumpulan puisi "Manuskrip Luka Bangsa" selenggaraan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Rangkap pertama sajak mengungkapkan kedudukan bahasa Melayu yang dinisbahkan kepada singgahsana, iaitu tempat bersemayam raja-raja. Bahasa dikaitkan dengan hati nurani bangsa sebagai warga yang berbudi, setia dan amanah. Ketinggian bahasa digambarkan seperti berikut:

          Tempatmu di singgahsana
          hati nurani bangsaku
          warga yang berbudi
          setia dan amanah.

Rangkap kedua sajak memberi penegasan terhadap martabat bahasa sebagai maruah bangsa yang mesti dipelihara. Bahasa hendaklah dipastikan tetap kukuh dan ampuh sebagai wahana ilmu (lautan bijaksana) dan sendi perpaduan (salam ikatan mesra dan teguh). Penyajak menurunkan mesej berkenaan menerusi bait puisinya:

          Bahasa itu maruah bangsa
          yang mesti dipelihara martabatnya
          agar tetap kukuh dan ampuh
          melayari lautan bijaksana
          salam ikatan mesra dan teguh.

Rangkap ketiga memberi fokus tentang peranan pejuang bahasa dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai milik bangsa dan negara dalam mengharungi era globalisasi. Semangat cekal dan waja para pejuang bahasa akan memastikan bahawa hak bangsa bagi mempertahankan bahasa Melayu terjamin. Ujar penyajak:

          Cekal dan waja semangat pejuangku
          hak bangsaku memilikimu
          hak bangsaku mendaulatkanmu
          di bumi bertuah ini
          merentas dunia tak bertepi.

Rangkap keempat merakamkan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang pernah megah sebagai bahasa perdagangan serantau (khususnya pada era empayar Melaka, penulis blog). Urusan diplomatik dan pelaut dilaksanakan tanpa masalah menerusi perantaraan bahasa Melayu. Penyajak menitipkan:

          Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
          ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
          gagah pelautku membelah lautan
          ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
          dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.

Rangkap kelima dan terakhir merumuskan fungsi bahasa Melayu di arena antarabangsa bagi menempa kejayaan pada alaf baru. Bahasa Melayu sangat unik kerana lenggoknya yang menusuk kalbu (meresap di jiwa), mengungkapkan perasaan dan fikiran (bahasa minda), menjurus kepada persaudaraan dan sopan santun (mudah akrab dan bertatasusila). Bahasa Melayu dihadiahkan oleh bangsa Melayu untuk nusa Malaysia.

          Dirgahayu bahasaku
          di arena antarabangsa suaramu tumbuh
          menusuk kalbu lagu bahasamu
          bahasamu bahasa minda
          mudah akrab dan bertatasusila
          daripada bangsa yang bernama Melayu
          menempa kejayaan di alaf baru.


Selain deklamasi sajak, pembelajaran komsas bahagian puisi boleh dihangatkan dengan aktiviti perbincangan, sumbang saran, forum dan sketsa. Muzik latar yang harmonis seperti ketukan piano Richard Clayderman, tiupan saksafon Kenny G dan pukulan gendang Kitaro boleh membangkitkan perasaan teruja dalam kalangan murid. Kemudian, murid boleh dibimbing membina item soalan aras petikan, kbkk dan komsas, serta cadangan jawapan yang mantap.

Contoh soalan:

a)   Jelaskan maksud rangkap pertama sajak.     (2 markah)

b)   Apakah bukti-bukti kegemilangan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan pada rangkap ketiga?   (2 markah)

c)    Berikan tiga cadangan bagi menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan.    (4 markah)

d)    Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam sajak tersebut.   (4 markah)

< Catatan: soalan a), b) aras petikan; soalan c) aras kbkk; soalan d) aras komsas. Lazimnya, dalam kertas peperiksaan, hanya satu aras petikan akan ditanya, di samping aras kbkk dan aras komsas. Murid harus mengenal pasti aras soalan, tugasan soalan dan keperluan penulisan jawapan berdasaran peruntukan markah, tanpa sangkaan bahawa jawapan hendaklah ditulis panjang lebar macam karangan! >

No comments: