Kalau dahulu penulis blog (PB) menyaksikan aksi bola sepak jalanan budak Pasar Payang, maka kali ini giliran orang muda dan orang dewasa pula. Menjelang waktu Asar, suasana pasar mulai lengang. Kesempatan itu diambil oleh beberapa orang peniaga bagi memperagakan bakat masing-masing dalam permainan tradisional sepak raga bulatan.
Pepatah Cina mengatakan seribu langkah bermula dengan satu langkah. Tetapi sepak raga bulatan harus dimulakan dengan beberapa orang. Aksi menimang bola raga yang dimulakan oleh tiga orang jejaka di atas dengan cepat menarik perhatian peniaga lain untuk turut serta.
Kumpulan pemain kemudiannya tambah bersemangat apabila penonton sekeliling memberi galakan dan sokongan. Kanak-kanak juga berhenti sejenak memerhatikan permainan yang meriah itu. Mungkin mereka mendapat ilham untuk melakukan aksi yang serupa dengan kawan sebaya nanti.
Keadaan lebih gamat apabila tiba-tiba muncul seorang pak cik siap dengan kain dan "lebai" untuk persediaan solat Asar sejurus selepas itu gamaknya. Awas pak cik, jaga betul-betul kain jangan sampai terlucut! Barangkali pak cik berkenaan hendak mencuri perhatian generasi muda supaya sama-sama menyemarakkan semula minat terhadap permainan tradisional ala-ala jalanan yang dipertontonkan...
No comments:
Post a Comment