Thursday, June 14, 2012
MEMBAZIR AMALAN SYAITAN (UNWISE SPENDING)
Memang janggal apabila orang yang terbabit dengan kelakuan buruk membidas orang lain yang memberi teguran ikhlas. Namun, perkara janggal itulah yang sering terjadi pada sepanjang sejarah kemanusiaan. Misalnya, pembaziran semata-mata menurut kemahuan nafsu serakah yang penuh dengan sifat keji, atau mazmummah.
Pembaziran ialah perbuatan menggunakan sesuatu (wang, masa, tenaga dan sebagainya) dengan berlebih-lebihan sehingga terbuang dan boros (Kamus Dewan edisi IV, 2005:142). Pembaziran termasuk dalam kategori zalim, iaitu meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Orang yang suka membazir juga terperangkap dengan hasutan emosi, serta berhujah tanpa merujuk ilmu yang sah.
Pembaziran berlaku kerana orang yang melakukannya beranggapan bahawa orang lain tidak berhak untuk campur tangan atau mengambil tahu keputusan peribadi orang lain. Mereka juga memberi alasan bahawa perbelanjaan mewah yang dilakukan sebagai terapi, memanjakan diri dan hadiah kepada diri sendiri setelah berhempas pulas mengumpul kekayaan. Orang lain yang memberi nasihat atau teguran mungkin berasa iri, selain dilabel sebagai kaki sibuk.
Pembaziran boleh terjadi di rumah, di tempat belajar, di tempat kerja dalam dalam majlis keramaian. Bil yang tinggi tidak menjadi masalah kerana si pembazir sanggup membayarnya. Di majlis makan-makan, si pembazir mengambil aneka makanan untuk disumbat dalam tembolok kecil mereka seolah-olah esoknya sudah kehabisan makanan.
Pembaziran wang pembayar cukai juga berlaku akibat jenayah rasuah, menipu dan manipulasi tender. Kos sesuatu projek melambung berlipat ganda kerana rompakan licik oleh pihak-pihak yang beranggapan bahawa masyarakat adalah jahil dan mudah digula-gulakan. Dengan berselindung di sebalik pangkat dan kuasa, golongan jahat itu tidak berasa segan silu untuk menuntut kadar keuntungan yang melampau daripada projek-projek awam.
Pembaziran sentiasa bertentangan dengan prinsip kecekapan. Dalam kajian ekonomi, pembaziran keupayaan (lebihan kapasiti) berlaku kerana firma tidak beroperasi pada loji optimum dan keluaran optimum. Masih terdapat pengangguran faktor, iaitu keluaran seimbang lebih rendah daripada keluaran optimum.
Pembaziran sumber masa juga sangat berleluasa. Kerja-kerja pejabat sering tertangguh dan lewat kerana pegawai dan kakitangan lain sibuk melayan gosip, suka mengumpat dan panjang angan-angan. Daya pengeluaran merosot, mutu penyampaian jatuh dan bayaran gaji yang diterima sebenarnya sangat tidak setimpal.
Kesedaran tentang keburukan pembaziran mesti dipupuk sejak kecil dalam institusi keluarga dan di sekolah. Kanak-kanak sentiasa diasuh supaya sentiasa mengutamakan amalan berhemat dan membenci pembaziran. Golongan dewasa jangan hanya pandai bercakap tanpa menunjukkan contoh yang tulen.
Kesimpulannya, pembaziran ialah perbuatan buruk yang mesti dijauhi sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat, organisasi, dan negara. Golongan yang suka membazir wajib diberi teguran, peringatan, pemulihan dan hukuman mengikut kesesuaian. Generasi muda masih boleh diselamatkan daripada perangai membazir kerana kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment