Wednesday, June 20, 2012
PROFIL PENIAGA DAN PENGUNJUNG PASAR MALAM (LEISURE AND STROLLING BUYING)
Bukalah seberapa banyak kedai, gedung beli-belah atau pasar raya, tetapi pasar malam masih dikunjungi ramai. Pasar malam secara tetap dan pasar malam secara mingguan terdapat di seluruh negara, bahkan di kebanyakan negara. Pasar malam beroperasi mulai pukul 3 petang dan lazimnya beransur sepi mulai pukul 9 malam, kecuali beberapa buah gerai buah-buahan atau makanan yang hendak menghabiskan jualan masing-masing.
Lokasi pasar malam biasanya berdekatan dengan kawasan perumahan, atau berhampiran dengan petempatan penduduk di sesebuah pekan. Orang ramai masih suka berkunjung ke pasar malam kerana mereka boleh berjalan-jalan dalam keadaan santai dan tenang. Tiada detektif atau kamera litar tertutup yang mengawasi gerak geri mereka sebagaimana di premis perniagaan biasa.
Suri rumah merupakan pengunjung terawal pasar malam, iaitu sekitar pukul 4 petang untuk berebut ikan segar walaupun harganya boleh tahan mahal. Suri rumah yang memiliki kuasa beli tidak mahu membiarkan seisi rumah makan lauk-pauk yang "luput tarikh" atau terdedah kepada risiko keracunan. Tambahan pula, pada waktu siang, cahaya matahari tidak boleh "menipu" keadaan ikan, sayur dan buah-buahan sebagaimana lampu kalimantang ketika hari gelap.
Pasar malam juga umpama sebagai pusat sehenti niaga yang menjimatkan masa pembeli untuk mendapatkan bahan mentah dapur dan aneka makanan yang memikat selera. Gerai menjual mi goreng, char keow tiau, bihun, lempeng pisang, martabak, nasi goreng, roti hamlet, kebab, air tebu, mochoa kisar dan jagung madu ialah antara tumpuan pengunjung. Ibu bapa yang bekerja turut membeli makanan untuk disimpan dalam peti ais dan dipanaskan dengan ketuhar gelombang sebagai alas perut sebelum anak-anak melangkah ke sekolah.
Pasar malam lebih meriah apabila tiba musim buah-buahan tempatan silih berganti seperti durian, manggis, rambutan, langsat dan mempelam. Suara lantang penjual buah-buahan untuk menarik perhatian pelanggan berlawan dengan penjual akar kayu dan herba yang bercampur-baur antara fakta dan "auta". Pengguna yang bijak pun kadang-kadang tewas juga akhirnya dan terpaksa berpisah dengan wang tunai di dalam poket.
Pemungut derma juga cuba mengambil kesempatan daripada sikap pemurah para pengunjung pasar malam. Sama ada mereka pemungut derma tulen atau diperalat oleh sindiket tertentu susah untuk dibezakan. Maka, kalau ragu-ragu, sedekah senyuman sahajalah, dan jangan sesekali menyakiti hati mereka justeru perkara itu diperingatkan lewat al-Quran dan al-Hadith.
Jualan kain baju di kebanyakan pasar malam dikuasai oleh warga Kemboja. Sebahagian mereka menjadi kaya, iaitu mampu memiliki banglo dan kereta mewah, berbanding dengan pengunjung pasar malam yang berpakaian cantik tetapi masih menghuni rumah sewa atau sekadar mampu membeli rumah teres dan kereta terpakai. Penjual air kelapa laut Afrika pula mendakwa boleh membawa pulang untung kasar hampir RM1,000 setiap malam.
Jika pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat siasatan, mungkin benar dan mungkin tidak bahawa jumlah urus niaga pasar malam boleh mencecah nilai ratusan ribu ringgit. Barangkali ada penjual yang harus mengupah akauntan cukai bertauliah supaya butiran aset, perbelanjaan dan susut nilai peralatan dapat mendiskaun keuntungan bersih mereka. Namun, masih banyak peniaga pasar malam yang memperoleh hasil jualan yang sederhana.
Pasar malam juga sesekali menemukan rakan yang sudah lama tidak bersua muka. Maka, bukan aneh jika kita melihat orang-orang yang saling membuat panggilan tidak dijawab ke talian telefon bimbit rakan yang tidak mampu mengingat nombor sendiri. Kalau terlupa nombor rakan, bolehlah pura-pura meminta kad perniagaan, atau sekadar memanggil gelaran abang, akhi, shiekh, yeop dan sebagainya.
Peniaga pasar malam yang jujur dan beretika sudah pasti tidak pernah lali daripada menunaikan kewajipan solat apabila tiba waktunya. Kalau surau tidak disediakan oleh persatuan peniaga pasar malam, peniaga boleh sahaja membentang tikar atau kotak sebagai alas sejadah dan mengambil wuduk dengan menggunakan botol semburan air yang sangat menjimatkan air. Sepatutnya, persatuan peniaga pasar malam turut mendirikan papar iklan besar tentang peringatan solat dan etika berniaga.
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment