Wednesday, June 13, 2012
SOKONG PALESTIN BUKAN DENGAN EMOSI (ARAB SPRING AND THE TEL AVIV CRIME)
Kejatuhan empayar Othmaniah Turki pada tahun 1924 memulakan episod duka umat Islam seantero dunia. Pengaruh hedonisme dan sekularisme menembusi benteng minda umat dalam segenap bidang aktiviti kehidupan. Rejim boneka ditegakkan dan pasukan tentera menjalani indoktrinasi sebagai penjaga faham sekular.
Puak pelampau yahudi aliran keras zionis yang berselerakan di serata dunia pun mengatur rancangan jahat dan licik mereka untuk merampas wilayah-wilayah Arab yang berjaya dipecah belahkan oleh bekas penjajah Barat sebagai negara bangsa. Bermula dengan kemasukan beberapa keluarga yahudi, puak zionis kemudian membeli tanah milik penduduk Palestin dengan harga yang tinggi. Walaupun pada ketika itu (1935), mufti Palestin sudah mengingatkan rakyat Pelestin supaya tidak mudah gelap mata dan terpedaya, nasihat itu umpama mencurah air ke daun keladi.
Kemasukan yahudi secara besar-besaran disokong oleh penjajah Inggeris yang turut menakluk Jurusalem dan membuat pengisytiharan Belfour pada tahun 1917. Selanjutnya, peristiwa Naqbah 1948 dan Perang 6 hari pada tahun 1967 telah mengecilkan wilayah Palestin kepada 22 peratus daripada saiz asal yang terpisah antara Tebing Barat dengan Genting Gaza. Rejim zionis Tel Aviv terus mengganas dengan mengusir rakyat Palestin dan menguasai Baitul Maqdis yang menempatkan Masji al-Aqsa, iaitu masjid suci ketiga umat Islam selepas al-Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.
Puak pelampau Yahudi yang dilindungi pasukan keselamatan zionis secara berterusan menceroboh Aqsa dan kini menggali terowong bawah tanah dengan alasan kononnya menjejak semula "tapak suci Solomon" di bawah kedudukan Aqsa. Hakikatnya, mereka hendak meruntuhkan struktur asas Aqsa, selain mahu menguasai sepenuhnya "dinding ratapan".
Palestin tidak memperoleh bantuan sewajarnya daripada jiran-jiran Arab yang hanya sibuk bertelagah sesama sendiri dan para pemimpin yang hidup mewah. Malah, beberapa buah rejim boneka Arab sanggup menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv dan menutup laluan masuk ke Palestin. Rakyat Palestin juga terperangkap dalam sebuah penjara besar apabila Tel Aviv membina tembok di sepanjang sempadan atas alasan mengekang kebangkitan atau intifadah yang mengancam nyawa orang awam yahudi.
Jarum Barat terus berbisa apabila berjaya memecahkan pejuang Palestin kepada pergerakan Fatah (Tebing Barat) dan Hamas (Gaza). Apabila Hamas memenangi pilihan raya, kumpulan Fatah dengan bantuan Barat dan rejim boneka Arab merampas kuasa dan mengawal pemerintahan Tebing Barat. Namun, kejatuhan rejim boneka Arab di beberapa buah negara telah membuka jalan kepada persefahaman kedua-dua kumpulan Fatah dan Hamas.
Bekas Imam Besar al-Aqsa merangkap bekas mufti Palestin dalam ceramah khas anjuran Aman Palestin di Dewan Bandaran Ipoh malam tadi (13/6/12) memaklumkan bahawa Fatah dan Hamas akan membentuk kerajaan campuran pada 20 Jun ini. Pemerintahan baharu Mesir, Tunisia, Libya, dan negara jiran Palestin memberi tekanan kepada rejim haram Tel Aviv dan sekutu Barat mereka bahawa "keselamatan" Tel Aviv bakal terancam.
Tel Aviv dan sekutu Barat mereka pasti tidak duduk berpeluk tubuh sahaja. Agensi risikan Mossad, CIA dan lain-lain akan meresap masuk menerusi kepentingan strategik negara-negara Arab yang berjaya menggulingkan rejim boneka dan diktator terdahulu. Hanya perpaduan umat dan pergantungan total mereka kepada Ilahi bakal memberikan kekuatan untuk berhadapan dengan tipu helah musuh yang muncul dalam pelbagai bentuk...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment