Tuesday, June 5, 2012
TERENGGANU NEGERI PELANCONGAN (EAST COST ATTRACTION)
Selain Langkawi, Kelantan dan Terengganu menjadi tumpuan pelancong tempatan, khususnya apabila tiba musim cuti sekolah. Segala hotel, motel, resort, chalet dan inap desa habis ditempah awal-awal lagi. Pemilik gerai makanan, fabrik, kraf tangan dan penjaja boleh tersenyum lebar seumpama kerja seminggu untuk pendapatan tiga bulan.
Negeri Kelantan Darul Naim yang terkenal dengan jolokan "Serambi Makkah" juga dikenali dengan budu dan istilah gedebe. Pantai Cahaya Bulan (PCB, dahulu Pantai Cinta Berahi) masih menggamit kunjungan pelancong yang suka menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Pangkalan Kubur dan Rantau Panjang juga menjadi tumpuan peminat-peminat barang bebas cukai.
Persaingan merebut pengaruh politik parti juga menarik perhatian orang luar untuk melihat sendiri hebatnya orang Kelantan bergocoh. Namun, hakikatnya orang-orang Kelantan sangat berbudi bahasa dan bercakap dengan nada yang agak berlagu. Mereka juga tidak memandang serong orang luar, tidak sebagaimana klik anak Kelantan di kampus-kampus universiti tempatan.
Negeri Terengganu Darul Iman juga memiliki daya tarikan yang tersendiri dan unik. Nasi dagang, keropok lekor dan batik canting ialah antara perkara yang terlintas dalam kalangan pelancong tempatan yang berkunjung ke negeri ulek mayang itu. Mereka dapat menikmati menu yang lazat di tepi pantai yang sangat indah dan mendamaikan jiwa.
Pelancong yang masuk melalui arah Kuala Lumpur boleh memilih laluan selesa Lebuh Raya Pantai Timur. Dalam perjalanan, mereka boleh berhenti rehat di Temerloh untuk menikmati ikan patin buah (RM12 sepotong) dan kuah lemak telur angsa (RM2). Sebelum melepasi pintu gerbang sempadan negeri di Kemaman lagi, pemandangan gerai keropok lekor di kiri dan kanan jalan sudah bermula. Kalau berhajat hendak merasa keropok lekor, ata dan otak-otak Terengganu yang lebih asli, teruslah ke Kuala Kemaman, sama ada membelok ke arah kanan melalui stesen minyak Esso atau Masjid Jamek Geliga.
Lebuh raya pantai timur setakat ini berakhir di plaza tol Jabor, iaitu kira-kira setengah jam perjalanan ke pekan Chukai di Kemaman. Pada waktu puncak, pemandu kenderaan boleh menggunakan laluan alternatif menuju Ibok yang menjadi tuan rumah Zoo Kemaman (mirip konsep Zoo Taiping) dan dataran kelip-kelip Yak Yah. Perjalanan seterusnya melintasi pantai kemasik yang begitu mengasyikkan.
Kepada peminat lemang, mereka boleh singgah di Kijal untuk membeli lemang semurah RM10 untuk 3 batang buluh lemang. Seterusnya, di Paka, pelancong akan terpegun dengan kompleks penjanaan tenaga elektrik persendirian (IPP) dan terminal gas Petronas. Menghala ke Kampung Nyior, terdapat banyak gerai akok nisan yang sedap sekali.
Dungun ialah bandar ilmu. Di sana, terdapat kampus UiTM, Politeknik Sultan Mizan dan beberapa buah kolej swasta terkenal. Pasar malam Dungun yang bermula seawal pukul 3 petang beroperasi pada hari Isnin (Taman Cempaka) dan pada hari Khamis (bersebelahan Pejabat Pos) di Sura Gate, atau pekan baharu Dungun.
Jarak antara Dungun dengan Kuala terengganu ialah 84 kilometer atau satu jam perjalanan berkenderaan. Pelancong boleh singgah di Kuala Abang, Rantau Abang (penyu menangis), Mercang, Marang dan Kuala Ibai. Semua tempat yang disebutkan itu menawarkan pengalaman pelancongan yang sukar dilupakan. Jika di bandaraya Kuala Terengganu, Pasar Payang pasti menjadi tumpuan.
Pelancong yang mahu melihat kehidupan masyarakat desa boleh menghala ke Jabi, Permaisuri, Sekayu dan Ajil dan Besut. Di sana, penghujung atau utara Terengganu sudah selesai. Kalau mahu mara lagi, masuk pula ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Hanya satu perkara yang perlu mendapat perhatian pihak berkuasa Terengganu jika hendak memperkasa lagi industri pelancongan di sana. Pertama, jalan raya yang sempit dan berbahaya mesti dinaik taraf dengan segera. Kedua, tempat meletak kenderaan perlu mengalamai transformasi supaya pelancong tidak turut sama membawa pengalaman menerima notis saman sebagai oleh-oleh pihak berkuasa tempatan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment