Kata bijak pandai: gantungkan cita-cita kamu setinggi bintang, tetapi janganlah sesekali rumput di bumi. Dari segi falsafah keusahawanan pula: kepala di langit, kaki di bumi (seperti yang pernah diungkap oleh Tan Sri Azman Hashim, pemilik Ambank). Memang manusia tidak mampu menongkah langit, tetapi mampu melakukan upaya bagi menuju kesempurnaan sebagai insan kamil.
Belajar tinggi pun buat apa, akhirnya akan menganggur juga. Ujaran seumpama itu ibarat racun pembunuh yang sangat kejam, amatur dan hanya layak keluar daripada mulut puak yang tidak sekolah. Ya, memang berlaku pengangguran, tetapi mengapa tidak dilihat pula kepada mereka yang berjaya dalam usia yang cukup muda?
Kerja melayan "muka buku" (facebook), twitter, weblog, you tube, siaran televisyen dan majalah bertaraf picisan memang seronok tanpa menyedari masa terbuang sia-sia apabila melebihi peruntukan waktu yang dianggap masih sihat dan wajar. Mungkin ada kalangan yang berhujah bahawa belajar sambil melayan pelbagai gajet komunikasi lebih berkesan, namun perkara berkenaan mungkin hanya sebuah pengecualian. Maka, bagi pelajar normal, mereka harus bersedia berpisah dengan hiburan dan ketagihan gajet jika mahu momentum pembelajaran menuju tahap optimum.
Kalau sudah terkena penyakit sentimental atau "jiwang", pelajar akan dikawal sepenuhnya oleh emosi, bukan lagi dibimbing oleh kebijaksanaan atau kecerdasan emosi. Matlamat pembelajaran yang sepatutnya untuk manfaat diri sendiri mula dialihkan untuk memuaskan hati orang lain seperti, kawan, guru dan ibu bapa semata-mata. Kemudian, dengan sesuka hati pelajar "jiwang" akan melabel guru atau pensyarah mengikut penarafan tepi jalan seperti menarik, membosankan dan entah apa-apa lagi.
Pelajar harus menyedari bahawa suka atau tidak suka, mereka perlu mencatat pencapaian tertinggi dalam semua mata pelajaran yang diambil. Jika main pilih-pilih, nescaya nilai markat purata nilai gred kumulatif (PNGK) bakal terjejas. Nanti sewaktu memohon masuk ke universiti idaman, baharulah sedar betapa langit tinggi rendah!
Memandangkan proses pembelajaran aras tinggi sarat dengan konsep, model dan prinsip, maka cara membaca buku teks dan tugasan sudah jauh berbeza dengan peringkat menengah atas semasa tingkatan 5. Pembacaan tanpa menulis semula pemboleh ubah yang terbabit dalam bentuk simbol atau singkatan ejaan akan menyebabkan pelajar tingkatan 6 tidak ubah seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengajuk percakapan yang didengar. Dengan itu, pelajar perlu melazimkan diri dengan ujian kendiri menerusi semakan rakaman, ujian lisan di hadapan rakan, serta membuat peruntukan masa yang tertentu untuk menjelaskan segala konsep, prinsip dan teori.
Cara pembelajaran yang paling baik ialah dengan mengajar orang lain, atau disebut sebagai pengajaran sebaya. Kawalan kendiri yang perlu dilakukan ialah memberi tumpuan terhadap objektif ujian secara tekal, serta tidak mudah menyeleweng atas apa-apa sebab yang remeh-temeh. Setelah segala usaha dilakukan, catat kemajuan dalam sebuah buku log atau jurnal pembelajaran sebelum pasrah akan pertolongan Allah.
Jalan singkat untuk menuju puncak jaya ialah dengan memerhati gaya penyampaian guru, terutama ketika penjelasan konsep, model, persamaan kuantitatif, gambar rajah dan komponen tugasan soalan. Ada guru yang memberitahu kemahiran generik pembelajaran sesuatu mata pelajaran secara berterus terang, tetapi sebahagian guru berbuat demikian secara tidak langsung. Pelajar yang pintar akan sentiasa dapat mengesan hikmah dan kebijaksanaan yang digunakan oleh guru sebelum digunakan semula dalam proses pembelajaran kendiri dan berkumpulan.
Wallahu a'lam...
No comments:
Post a Comment