SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, August 17, 2012

IJAZAH BELI, IJAZAH PALSU (ACADEMIC FRAUD)

Gelaran doktor (Dr.) pada pangkal nama seseorang hanya layak digunakan oleh penyandang ijazah perubatan, sama ada sarjana muda perubatan dan pembedahan (MBBS), doktor perubatan (MD), sarjana muda pembedahan pergigian (BDS) dan pemilik ijazah doktor falsafah, Ph.D atau yang setaraf (Ed.D, DBA) yang telah bertungkus-lumus dalam pengajian masing-masing. Malangnya, para penipu dan tokoh yang gila glamor cuba menumpang sekaki dengan menyamar sebagai seseorang yang layak menggunakan gelaran doktor. Ada yang membeli ijazah palsu, mengikuti pengajian dalam bidang akademik yang bertaraf 'lawak jenaka' atau mengupah penjenayah akademik menulis tesis untuk mereka di sesetengah universiti yang mendakwa sebagai universiti terbuka di luar negara, terutama di Asia Selatan yang entah terletak di gua atau kandang lembu.

Dahulu ada seorang penyanyi tempatan dikecam kerana berani meletakkan gelaran Dr. di pangkal namanya. Kemudian, dia bertindak mengubah ejaan itu kepada dR untuk meneruskan kekeliruan yang diciptanya sendiri. Baru-baru ini pula, seorang penyanyi muda yang baru mencecah usia 30-an menarik balik gelaran Dr. sebagai tiket menjadi 'pakar motivasi' setelah menerima kecaman bertalu-talu.

Terkini, seorang ahli politik terpaksa mengaku bahawa dia hanya mengikuti pengajian di sebuah taman perumahan di Kuala Lumpur untuk ijazah Ph.D dari sebuah universiti di Amerika Syarikat yang tidak melepasi akreditasi tempatan. Selain itu, pengamal rawatan alternatif homeopati yang hanya mengikuti program diploma secara sambilan juga tergamak menggunakan gelaran doktor (H.Dr). Lebih teruk daripada itu, beberapa orang ahli perniagaan yang menjual 'air liur' dengan lebih berani menambah gelaran profesor doktor pada pangkal namanya untuk siaran iklan di akhbar-akhbar 'nyamuk'.

Penyakit gila pangkat, gila gelaran dan gila glamor ini ialah manifestasi kepincangan masyarakat yang gemar akan jalan pintas untuk mengumpul kemewahan hidup. Perasaan malu telah tercabut sepenuhnya dalam diri mereka sehingga sanggup membuat kelakar akademik dengan menggunakan gelaran Dr. yang sangat tidak layak bagi mereka. Bayangkan ahli politik yang hanya lulus setakat SPM pangkat tiga tiba-tiba bergelar Dr!

Berlainan pula halnya dengan anugerah ijazah kehormat doktor falsafah yang juga membawa gelaran Dr. Walaupun mereka menerima ijazah kehormat itu semasa majlis konvokesyen rasmi, tetapi penggunaan gelaran itu hanya terhad kepada upacara rasmi tertentu dan dieja dalam kurungan seperti Tan Sri (Dr.) P. Ramlee bagi membezakan status ijazah kehormat dengan ijazah yang diperoleh menerusi program akademik yang khusus. Maknanya, gelaran Dr. bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya demi menjaga kemuliaan ijazah tertinggi (peringkat habis darjah) itu.

Tiada jalan keluar lain bagi mencegah jenayah akademik sedemikian melainkan dengan tindakan yang sangat tegas dari segi undang-undang. Perlu ada proses pendaftaran kepada lembaga atau suruhanjaya khas sebelum seseorang itu layak menggunakan gelaran Dr. di pangkal nama masing-masing setelah pihak panel lembaga berpuas hati dengan bukti pencapaian akademik si pemohon. Mereka yang mengada-ngada atau melakukan penyamaran hendaklah menjalani soal siasat di hadapan panel profesor yang diiktiraf sebagai terkemuka sebelum dihadapkan ke mahkamah untuk proses pendakwaan...

No comments: