Monday, August 20, 2012
PENCAPAIAN MURID: ANTARA RUNGUTAN DAN MENCARI JALAN (LIVING ISSUE IN SCHOOL)
Sudah naik jemu kita mendengar ungkapan bahasa Inggeris bahawa the winners never quit, the quitters never win, iaitu yang menang tidak pernah menarik diri, manakala yang menarik diri tidak pernah menang. Si jaguh datang dengan perancangan, si corot datang dengan alasan. Walaupun jemu, demikianlah hakikat sebuah kehidupan yang penuh dengan cabaran dan perjuangan yang tidak putus-putus silih berganti persekitaran dan masa.
Sekolah mewakili sebuah organisasi memupuk pembelajaran yang sama seperti susun lapis masyarakat sebenar. Terdapat lima peratus golongan cemerlang, 90 peratus golongan biasa-biasa dan lima peratus lagi golongan melencong atau marginal. Label atau tanggapan sosiologi itu mungkin nampak keterlaluan, tetapi lebih baik ada perspektif sebagai pedoman analisis perancangan daripada tiada langsung input imbasan persekitaran.
Murid-murid datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, pencapaian fizikal dan mental yang berbeza, serta memiliki keunikan peribadi yang mungkin tidak digilap secara optimum. Maka, di tangan guru-guru yang telah terlatih dalam pelbagai disiplin pengkhususan akademik dan kelayakan ikhtisas pendidikan, segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri murid-murid dapat dikembangkan ke tahap yang munasabah. Tugas asas kerjaya keguruan ialah menolong murid menjalani pengalaman pembelajaran yang tersusun dan terarah supaya pada akhirnya dapat menjadi insan yang berdikari, memahami peranan masing-masing dalam masyarakat dan mencapai semua keperluan domain pendidikan dari segi kognitif, afektif dan psikomotor.
Berbekalkan ilmu bantu pendidikan seperti psikologi, pedagogi, sosiologi, falsafah, statistik dan asas kurikulum, seseorang guru sebenarnya sudah memiliki kelebihan dari segi ilmu dan amalan bilik darjah yang terbaik. Tinggal lagi guru harus bijaksana menggarap spesifikasi ilmu yang bersifat piawaian tinggi itu ke dalam persekitaran bilik darjah yang sebenar. Pelan luar jangka atau Pelan B mesti sentiasa disediakan apabila pemboleh ubah di luar kawalan menjadi lebih berpengaruh dan dominan.
Kanak-kanak awal remaja sedang menjalani fasa penerokaan kendiri dari segi autonomi dan mula menolak kebergantungan terhadap orang dewasa secara perlahan-lahan. Maksudnya, murid dalam lingkungan usia berkenaan cenderung untuk mempamerkan ciri-ciri pemberontakan sebagai cara bagi menunjukkan bahawa diri mereka bukan anak-anak kecil hingusan yang boleh dipandang rendah. Maka, tidak hairanlah bahawa mereka akan memberi sokongan kepada tingkah laku lencongan seperti berbuat bising, tidur dan membantah cakap guru.
Murid yang patuh akan dilabel sebagai skema dan bakal tersisih daripada majoriti. Budak-budak baik sukar sekali untuk diangkat sebagai peribadi rujukan justeru mereka dicurigai sebagai antisosial. Guru tidak seyogia berasa cemas kerana fenomena seumpama itu hanya bersifat sementara sebelum murid benar-benar mencapai usia kematangan masing-masing.
Pemimpin sekolah yang berpengalaman luas (atas faktor usia atau input ilmu pengetahuan) melayan rungutan tentang kerenah murid sebagai sebab-musabab sampingan dan jatuh dalam kategori perbincangan yang kurang produktif. Maka, langkah yang lebih diutamakan dan aula ialah mencari jalan supaya persekitaran yang sedia ada masih mampu dijuruskan ke arah penambahbaikan pencapaian murid dan keseluruhan sekolah. Guru sentiasa dibawa bermuhasabah bahawa tugas asas mereka ialah memberi pertolongan yang terbaik kepada murid tanpa syarat.
Sebagai ahli ikhtisas, guru terikat kepada ikrar perkhidmatan, etika dan tanggungjawab yang termaktub ketika mereka menerima tawaran perjawatan setelah lulus tapisan keutuhan yang begitu ketat. Pelantikan mereka juga bererti sejumlah calon dan pemohon yang lain harus diketepikan. Kemudian, perkhidmatan keguruan dan sekolah dibiayai menerusi dana awam pembayar cukai, selain menjunjung amanah Ilahi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment