Friday, May 31, 2013

PENGALAMAN SEBAGAI PENUMPANG BAS EKSPRES (COMFORTABLE COACH FOR LONG DISTANCE JOURNEY)

Sistem pengangkutan awam di Malaysia telah mengalami perubahan positif berikutan kepekaan pengguna yang semakin meningkat walaupun dasar pengangkutan awam kebangsaan yang lengkap belum dimuktamadkan (klik di sini). Setakat ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) telah memperkenalkan dasar yang bersifat khusus untuk bas ekspres, teksi dan lain-lain (klik di sini, di sini, di sini dan di sini). Selama ini, sistem pengangkutan awam negara bergantung kepada akta pengangkutan sedia ada (1987, pindaan terkini 2012, klik di sini) sehinggalah penubuhan Spad beroleh perkenan diraja pada 1 Jun 2010 (klik di sini).

Sistem pengangkutan yang canggih memang diperlukan memandangkan negara ini telah menjadi tumpuan pelancong asing yang beralih angin dari Amerika Syarikat dan Eropah yang mengetatkan peraturan visa perjalanan masing-masing. Ancaman terhadap keselamatan pelancong di negara-negara jiran juga telah mendorong pelancong asing memilih Malaysia yang masih berjaya mengekalkan ketenteraman  di tempat tumpuan pelancong. Ketibaan pelancong asing dalam jumlah yang berlipat kali ganda (25 - 30 juta orang setahun) perlu disokong oleh sistem pengangkutan, penginapan dan perkhidmatan yang bertaraf dunia.

Rakyat tempatan juga telah memiliki kuasa beli yang tinggi untuk membayar kos keselesaan dalam urusan perjalanan. Sebilangan besar pengguna perkhidmatan pengangkutan awam bersedia membeli tiket bas atau kereta api yang lebih mahal, asal sahaja mereka menikmati jaminan keselamatan dan keselesaan. Maka, pengendali perkhidmatan awam juga sanggup membuat pelaburan bagi memenuhi jangkaan penumpang yang semakin tinggi. 
Bas ekspres yang didapati sudah uzur tidak lagi dibenarkan berada di atas jalan raya. Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang diswastakan turut dipantau dengan ketat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segala tatacara keselamatan dan keselesaan kenderaan awam dipatuhi sepenuhnya. Pemeriksaan diwajibkan mengikut jadual setiap tahun, tanpa gagal.

Jika dahulu bas ekspres boleh memuatkan hingga 44 orang penumpang bagi satu perjalanan, kini bilangan kerusi penumpang dihadkan kepada 30 unit sahaja. Setiap baris hanya terhad kepada tiga unit kerusi yang selesa dan boleh laras. Pengendali kaunter tiket boleh mencatat jantina penumpang supaya kaum wanita boleh memilih kedudukan yang mereka sukai.

Ruang kokpit pemandu bas ekspres juga semakin canggih dengan paparan elektronik digital berkomputer. Teknologi power steering, serta pedal brek dan clucth yang lebih lembut memudahkan pengendalian kenderaan besar. Tiada lagi bunyi bising akibat pertukaran gear atau ngauman enjin yang ketara.

Perjalanan pada waktu malam agak gelap, dan penumpang yang mahu turun di pertengahan perjalanan, maksudnya bukan di hentian terakhir, kini boleh membawa sendiri gajet sistem perayauan yang boleh didapati dalam aplikasi telefon bimbit dan kamera pintar (Samsung Galaxy). Peranti tersebut bukan sahaja membantu dari segi tempat yang dituju, malah memberi maklumat tentang kelajuan bas dan gambaran kawasan yang dilalui. Keperluan untuk menjenguk papan tanda laluan di luar cermin bas yang kelam sudah tidak penting lagi.

Kini, mutu perkhidmatan pengangkutan awam boleh dilonjakkan lagi jika syarat kelayakan pemandu diperketat dan kebajikan mereka dijaga dengan baik. Apabila pemandu kenderaan pengangkutan awam lebih diyakini, para penumpang dapat tidur dengan aman dan nyaman. Perjalanan dengan pengangkutan awam sentiasa menjadi pengalaman yang menarik...

Thursday, May 30, 2013

ROTI HAMLET DAN ROTI JOHN PASAR MALAM DUNGUN (HOT MENU OF THE EAST COAST)

Pasar malam utama di bandar Dungun bermula seawal pukul tiga petang dan berakhir lebih kurang pukul sepuluh malam pada setiap hari Khamis, melainkan bertembung dengan sambutan hari raya. Sistem siar raya masjid berdekatan juga disambungkan ke tapak pasar malam supaya azan yang berkumandang turut didengari peniaga dan pengunjung untuk segera bersolat. Pasar malam Dungun memang istimewa kerana jualan makanan yang asli tempatan.

Keropok lekor yang dijual memang berbeza dengan keropok lekor di sepanjang jalan raya seluruh negeri. Bubur kacang pula tidak dicampur dengan sagu sepertimana di pantai barat. Putu asap kuning dan putu halba juga memiliki tekstur dan rasa yang unik.
Makanan jenama Barat juga mendapat sambutan hangat. Penulis blog (PB) paling suka membeli roti hamlet yang dipanaskan dengan rencah ayam atau daging, serta bersalut telur. Sungguh enak apabila dimakan ketika masih panas!

Sebenarnya ada dua tiga buah gerai menjual roti hamlet, tetapi gerai yang terpapar dalam gambar di atas paling berjaya mencuri tumpuan pembeli. Walaupun hanya sebuah gerai yang sederhana dan ala kadar, cara layanan dan mengambil pesanan pembeli diurus secara sistematik. Pembeli sanggup beratur dan menunggu dalam tempoh yang lama demi memperoleh roti hamlet yang sedap dan unik.

Biasanya seorang pembeli memesan tidak kurang kurang daripada tiga biji roti hamlet sekali gus. Mereka membawa pesanan daripada anggota keluarga atau kawan yang tidak dapat ke pasar malam. Nilai kepuasan (utiliti) roti hamlet terletak pada unit yang pertama kerana kalau diteruskan, mungkin mengalami proses hukum utiliti sut berkurangan.

Setakat ini PB belum berjumpa roti hamlet di pasar malam di Ipoh atau Kuala Lumpur. Alangkah baiknya kalau peniaga roti hamlet di pantai timur dapat mendaftar resepi tersendiri mereka sebagai paten yang sah. Kemudian, mereka boleh mengembangkan rangkaian perniagaan mereka secara francais di seluruh negara.

Pelbagai resepi roti hamlet disarankan oleh chef terkenal, contohnya klik di sini. Namun, roti yang digunakan memang berbeza. PB juga melihat bahawa roti John yang dijual oleh peniaga di atas juga tidak sama dengan roti John yang biasa dilihat di tempat lain.

Ambil contoh ayam goreng segera KFC, McD, Marrybrown, Nandos, Kenny Rogers, Deli dan lain-lain. Setiap satu jenama menjadi berbeza dan tersendiri kerana asas penyediaan, resepi, persembahan dan strategi promosi direka bentuk sebegitu rupa. Sebelum orang lain memintas usaha mengembangkan jenama roti hamlet pantai timur, ada eloknya peniaga sedia ada diberi bimbingan oleh pihak perbadanan usahawan bumiputera (PUNB) supaya muncul sebagai rangkaian francais yang berjaya...

Wednesday, May 29, 2013

DISIPLIN ORANG RAMAI: LARANG ATAU PUJUK? (FALSE ADVOCACY CONVINCING OUTCOME)

Penggunaan bahasa terbalik, iaitu maksud yang berlawanan dengan ujaran, menjadi pilihan untuk menyatakan larangan terhadap kanak-kanak tentang perbuatan tertentu. Misalnya, si ibu yang rimas dengan anaknya yang asyik menghadap skrin komputer hingga larut malam akan mengatakan: ha, eloklah tu, teruskan hingga subuh syafie nanti. Pada zaman dahulu ketika kegiatan budak-budak lebih kepada memanjat pokok, si ibu berkata: panjat lagi sampai ke pucuk, tak payah turun-turun!

Teknik psikologi bagi menyatakan larangan atau tegahan seterusnya ialah dengan cara memujuk, iaitu menerusi ungkapan yang bernada positif. Harapannya sama, iaitu larangan yang dimaksudkan akan dipatuhi. Hakikatnya, sudah menjadi resam dunia terdapat insan budiman dan terdapat juga insan yang tidak faham bahasa.
Papan tanda di atas menyatakan: anda dihargai kerana tidak meletak kenderaan anda di kawasan ini. Namun, di situlah pilihan tuan punya motosikal buat muka selamba meletakkan kenderaan masing-masing. Barangkali mereka tidak kisah jika tidak dihargai dan menyusahkan orang lain, asal sahaja urusan mereka mudah belaka.

Ungkapan 'ada aku kisah' yang menjadi mainan bibir pengacara glamor, pelakon dan wartawan hiburan mewakili tingkah laku agresif (mementingkan hak diri sendiri semata-mata) dalam kalangan masyarakat. Akibatnya, bekas sisa makanan bertaburan di kawasan awam, longgokan sampah betul-betul di bawah papan notis amaran denda RM500 jika melonggokkan sampah di situ. Perbuatan salah laku musnah juga semakin berleluasa, termasuk di sekolah. 

Teknik larangan secara berterus terang atau bahasa pujukan bertujuan untuk menyampaikan sesuatu mesej secara berkesan. Larangan menjurus kepada isbat sosial yang diiringi oleh tindakan susulan berbentuk hukuman dan celaan. Pujukan ialah langkah permulaan untuk tujuan membangkitkan kesedaran tentang tingkah laku yang hendak diinstitusikan.

Pujukan ialah proses pengukuhan kerana meninggalkan sesuatu tingkah laku. Mereka yang mampu menahan diri daripada melencong diberikan ganjaran, pujian dan khabar gembira. Paling minimum, kesanggupan dan kesudian berbuat sesuatu yang diharapkan bakal dibalas dengan ucapan terima kasih, penghargaan dan penghormatan.

Pujukan yang berkesan umpama iklan yang berjaya menarik perhatian pasaran. Pengguna dipengaruhi supaya berasa janggal, pelik dan ketinggalan jika tidak menggunakan sesuatu keluaran yang diiklankan itu. Sebaliknya, pengguna berasa selamat dan tenteram jiwanya kerana akur kepada arus semasa.

Larangan bernada ancaman, tekanan dan ugutan. Sebarang pelanggaran terhadap tingkah laku yang disebut akan berhadapan dengan celaan dan hukuman. Contoh pernyataan: penceroboh akan didakwa; denda RM500 jika membuang sampah di sini.

...

...

Tuesday, May 28, 2013

MOTIVASI BELAJAR: BERSANGKA BAIK KEPADA DIRI SENDIRI (SELF ACTUALIZATION IN LEARNING PROCESS)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera

Pelajar yang dikasihi sekalian

Barang yang hebat perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Pencari mutiara sanggup menyelam ke dasar lautan yang dalam, atau membayar upah yang tinggi kepada pakar, atau membuat pelaburan yang tinggi dalam teknologi yang berkaitan. Maka, demikian juga pencapaian yang tinggi ialah balasan kepada usaha yang bijaksana dan bersungguh-sungguh.

Pembelajaran ialah suatu proses yang menuntut tumpuan, ketekunan dan kesabaran. Gaya atau kaedah pembelajaran yang tepat bakal memudahkan ketibaan ilmu pengetahuan dan maklumat terpilih yang dikehendaki. Memang diakui bahawa cabaran dalam proses pembelajaran bukanlah sesuatu yang bersifat mudah atau percuma.

Calon doktor perubatan dan doktor pergigian sebagai contoh harus memperuntukkan sejumlah jam sehari untuk menguasai teori, aplikasi, tatacara dan pelan kecemasan rawatan klinikal. Tidak semua calon doktor berjaya menamatkan pengajian mengikut jadual, bahkan ada yang terpaksa menambah dua hingga tiga tahun lagi sebelum ditauliahkan sebagai doktor. Tiada sebarang tolak ansur terhadap kesilapan dalam bidang perubatan dan pergigian.

Pelajar yang dimuliakan,

Pembelajaran di sekolah juga tidak sunyi daripada cabaran dalaman diri pelajar sendiri dan juga cabaran persekitaran. Bisikan negatif datang bertalu-talu pada ketika pelajar berhadapan dengan kesukaran dalam pembelajaran. Hanya semangat yang kental dan minda yang kuat bakal dapat bertahan.

Islam menghendaki umat sentiasa memupuk sikap berbaik sangka (husnul zon) terhadap diri sendiri dan juga orang lain, walaupun dalam masa yang sama harus sentiasa waspada. Ahli falsafah klasik seperti Emmanuel Kent, Rene Descartes dan Khalil Gibran juga memberi saranan yang sama, iaitu seseorang itu bertindak mengikut apa-apa yang dia fikirkan. Konsep jati diri yang seumpamanya juga telah dijelaskan menerusi susunan keperluan Abraham Maslow (klik di sini).

Sudah tentu bahawa keupayaan pelajar tidak setara antara satu dengan yang lain. Namun, bakat terpendam akan dapat dapat dikesan oleh seorang guru yang peka dan prihatin. Sebab itulah Imam al-Ghazali amat menekankan adab belajar supaya pada akhirnya bakat sebenar yang ada pada diri seseorang murid akan dapat dikesan dan seterusnya digilap menerusi bimbingan pembelajaran oleh seorang guru yang mursyid.

Pelajar yang dihormati,

Setiap kali berhadapan dengan perkara rumit dalam pembelajaran, janganlah sesekali hendaknya pelajar terus berasa lemah, buntu, menyerah kalah, putus asa atau tenggelam punca. Berjiwa besarlah wahai pelajar. Setiap simpulan pasti ada cara membukanya dan setiap racun pasti akan ada penawar yang mujarab.

Ambil langkah bertenang, lalu mula menulis senarai cara dan pihak yang mungkin dapat menghulurkan pertolongan bagi membolehkan pelajar melepasi detik cemas dan kritikal dalam proses pembelajaran itu. Yakinlah bahawa jika kita pernah melakukan kebaikan walaupun kecil, Allah akan memudahkan jalan keluar buat kita. Pelajar mungkin sudah biasa membaca ayat seribu dinar (at-Talaq: 2-3, sebahagian) yang bermaksud: "...barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan tunjukkan jalan keluar baginya, dan mencukupkan rezeki baginya; dan barang sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya..."

Andai kata setelah melakukan segala usaha, kerumitan itu masih belum tercabut jua, maka pada ketika itu pelajar harus akur bahawa perkara yang dipelajari itu mungkin tidak cocok dengan keupayaan pelajar. Dalam kata lain, terdapat hikmah yang tersembunyi, iaitu bahawa pelajar mungkin belum bertemu dengan bidang pembelajaran yang tepat. Rezeki pelajar mungkin dalam bidang pengkhususan pembelajaran yang lain.

Pelajar yang hebat,

Ahli-ahli ekonomi pendidikan mendapati bahawa mutu modal insan bergantung kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap. Pada akhirnya proses pembelajaran bertujuan membentuk sikap yang betul untuk menjalani kehidupan sebagai insan yang berguna, berdikari dan ikhlas. Tiada istilah keciciran dan penyingkiran dalam proses penjanaan modal insan justeru setiap individu memiliki potensi dan fakulti yang boleh dikembangkan ke tahap optimum selagi dia memiliki sikap yang dikehendaki.

Jika golongan kurang upaya dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran disediakan dengan pelbagai program pendidikan khas, maka apakah masalahnya kepada pelajar normal seperti kalian? Teori kecerdasan pelbagai Horward Gardener (klik di sini) misalnya telah membuka jalan kepada inovasi dalam bidang pembelajaran supaya semua kanak-kanak memiliki peluang belajar berdasarkan kecenderungan dan keupayaan masing-masing. Berilah kesempatan kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan yang diidamkan.

Kesimpulannya, pelajar hendaklah sentiasa memupuk sikap bersangka baik kepada diri sendiri agar proses pembelajaran berjalan dengan lancar. Terimalah diri pelajar seadanya dan tanpa sebarang syarat. Yakinlah bahawa terdapat banyak pihak yang sanggup menolong pelajar melepasi kesukaran dalam pembelajaran asal sahaja pelajar memiliki sikap yang tepat terhadap proses pembelajaran.

Wallahu a'lam. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alakikum warahmatullahi wabarakatuh...

Monday, May 27, 2013

TERMINAL AMAN JAYA MIRIP KLIA (SOPHISTICATED BUS STATION)

Hentian bas ekspres bandar raya Ipoh bermula di Medan Kidd di celah-celah bangunan perniagaan yang sesak dan tidak teratur. Kemudian, hentian berpindah pula ke kompleks Silveritage di Medan Gopeng yang lebih sistematik. Kini, hentian kekal bas ekspres bertempat di Terminal Amanjaya, bersebelahan pasar raya besar Mydin di Meru Raya, pusat pentadbiran dan perdagangan Ipoh yang baharu.
Nama 'Amanjaya' ialah tanda nama kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kader, mantan pensyarah UIAM dan mantan exco Abim kebangsaan. Pengalaman ketika menuntut di Amerika Syarikat mungkin memberi ilham kepada beliau untuk menyediakan kemudahan hentian bas ekspres yang begitu canggih. Pengguna perkhidmatan bas ekspres di Ipoh sudah pasti berasa teruja dengan reka bentuk hentian persis sebuah lapangan terbang atau bandara dalam bahasa Indonesia.
Paparan maklumat grafik yang disediakan tidak kalah dengan sistem lapangan terbang. Pengumuman oleh petugas hentian tentang bas yang berlepas dan bas yang tiba dibuat mengikut piawaian skrip yang jelas. Begitu juga dengan kaunter penerangan am hentian dan kaunter jualan tiket bas ekspres yang tersusun.

Balai berlepas dengan balai ketibaan diasingkan bagi mengelakkan kesesakan. Balai berlepas ditempatkan di tingkat bawah mengikut nombor platform. Pengguna boleh menunggu di ruang yang selesa dan berhawa dingin sambil menonton siaran televisyen dan paparan maklumat digital.
Balai ketibaan pula bertempat di aras satu (tingkat atas) yang dihubungkan dengan tangga biasa, tangga bergerak (eskalator) dan lif. Bas akan berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk gelongsor automatik. Cuaca buruk atau hujan tidak menjejaskan pengguna kerana laluan masuk semuanya beratap.

Penumpang yang berlenggang kangkung boleh memilih tangga biasa. Penumpang yang membawa bagasi atau penumpang kelainan upaya boleh memilih sama ada tangga bergerak atau lif. Reka bentuk hentian yang mesra pengguna ini wajar menerima pujian.
Sebahagian pengguna perkhidmatan bas ekspres berurusan di bandar lain walaupun memiliki kenderaan sendiri. Mereka mahu berehat dalam bas ekspres yang selesa dan tidak perlu memandu atau membayar tol. Kemudahan untuk meletak kenderaan berbayar terdapat di aras bawah bumi, meskipun untuk bulan pertama ini diberikan secara percuma.
Kemudahan hotel persinggahan dengan kadar yang munasabah juga disediakan. Misalnya, pengguna boleh menyewa bilik penginapan untuk tempoh minimum selama satu jam dengan kadar bayaran antara RM10 hingga RM20. Kegiatan peribadi yang santai boleh dilakukan tanpa bergantung kepada kemudahan percuma yang terpaksa dikongsi dengan pengguna yang lain.

Bab makan minum juga tidak menimbulkan masalah justeru terdapat pelbagai pilihan. Terdapat medan selera dengan menu tempatan, Siam dan Barat, di samping restoran mamak di aras bawah. Kiosk yang menjual kudapan, minuman ringan dan ais krim juga ditempatkan di kedua-dua aras hentian.
Hanya satu kekurangan yang memerlukan perhatian dalam reka bentuk hentian bas ekspres Amanjaya, iaitu saiz keluasan surau yang sempit dan kurang terurus. Lebih baik jika surau ditempatkan di satu kawasan khas seperti konsep R & R, Hospital Raja Permaisuri Bainun atau Suria KLCC. Pengguna mungkin harus menyeberang ke surau Mydin di seberang jalan yang lebih selesa dan makmur dengan jemaah yang ramai...

Sunday, May 26, 2013

JEJAK LEGENDA SEKOLAH BERKESAN (INSPIRED BY THE FAMOUS)

Ciri keberkesanan sekolah yang paling utama ialah pencapaian kecemerlangan pelajar (klik di sini). Kecemerlangan yang dimaksudkan merujuk kepada pencapaian pelajar yang lalu (bekas pelajar), pelajar semasa dan unjuran pencapaian pelajar masa hadapan. Pencapaian itu boleh diukur menerusi kedudukan dan sumbangan bekas pelajar terhadap masyarakat dan negara, serta kejayaan yang dicatat oleh pelajar semasa dalam pelbagai bidang pembelajaran, termasuk kurikukulum, kokurikulum, koakademik, kepimpinan, sahsiah dan inovasi.

Sekolah ternama dan premier (usia penubuhan melebihi 50 tahun) memiliki kelebihan dari segi pencapaian bekas pelajar masing-masing. Dalam istilah pengajian keberkesanan sekolah, bekas pelajar berpencapaian tinggi itu disebut sebagai legenda. Mereka dijadikan contoh oleh pihak sekolah bagi melonjakkan motivasi pembelajaran pelajar semasa.

Sekolah yang masih baharu tetap memiliki legenda walaupun mungkin bekas pelajar cemerlang mereka belum cukup menyerlah dan terkenal dalam kalangan masyarakat. Perkara yang lebih penting ialah peranan legenda sekolah dalam membangkitkan minat pembelajaran yang luar biasa bagi mencatat kejayaan yang berterusan bagi mengharumkan nama sekolah. Tidak kisahlah jika legenda itu hanya menyumbang di peringkat pertengahan atau sederhana.
Paparan sepanduk di atas terpampang di laluan pintu utama Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) bersebelahan dengan Taman Cempaka. Tiga orang bekas pelajar sekolah berprestasi tinggi (SBT) berkenaan telah dilantik sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan. Jawatan yang disandang pula membabitkan kementerian yang sangat penting terhadap kemajuan dan pembangunan negara.

Dengan jumlah keanggotaan bekas pelajar (Staroba) baharu mencecah 5,000 orang, kejayaan tiga orang legenda Star itu sudah cukup untuk memberi bukti bahawa Star ialah sebuah sekolah yang berkesan. Sebenarnya lebih banyak Starian telah mencatat pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai bidang ikhtisas, korporat dan inovasi. 

...

...

...

...

...

Saturday, May 25, 2013

MUTU R & R PANTAI TIMUR MASIH KETINGGALAN (THE ATTITUDE SPEAKS)

Lebuh Raya Pantai (LPT) yang menyambung Temerloh hingga ke Kota Bharu, Kelantan setakat ini terhenti di plaza tol Jabor, Terengganu. Setelah itu, masuk balik ke negeri Pahang, iaitu Cherating sebelum bertemu semula dengan negeri Terengganu di pekan Chukai, Kemaman. Perjalanan lebuh raya yang lancar dan selesa berganti dengan jalan negeri yang sesak dengan lori muatan berat dan kereta yang dipandu secara santai oleh penduduk tempatan yang tiada kepentingan untuk kesegeraan.

Sebelum masuk balik ke jalan negeri, elok juga memujuk hati dengan menikmati hidangan ikan patin di Temerloh. Orang kata, ikan patin buah yang lebih sedap terdapat di medan selera Esplanade di pekan Temerloh. Maknanya, keluar sekejap dari lebuh raya ke susur keluar pekan Temerloh dan dapat menikmati ikan patin bunga yang lebih asli, murah dan sedap (RM8 sepotong berbanding dengan harga di R & R  RM12)!

Jika Tapah menjadi kawasan  R & R tumpuan rangkaian projek lebuh raya utara selatan (Plus), Temerloh pula menjadi tumpuan di LPT. Tempat letak kenderaan boleh dikatakan sentiasa penuh. Gerai makanan juga banyak, serta menu yang ditawarkan juga pelbagai.

Masalah yang berlaku pada waktu puncak ialah tahap kebersihan yang tidak terjaga. Sisa makanan lambat diurus oleh petugas LPT. Alasan yang diberi oleh petugas (masih budak) ialah kereta sorong mereka sudah penuh, walhal cara menyusun bekas sisa makanan yang tidak betul.

Seorang pengunjung yang enggan dikenali berkata mutu perkhidmatan di kawasan R & R di LPT jauh ketinggalan berbanding dengan Plus. Dia mendakwa bahawa hal itu berkaitan dengan mentaliti orang pantai timur yang belum begitu peka terhadap kebersihan persekitaran. Dia berani berkata demikian kerana dirinya juga orang pantai timur yang sudah banyak menerima pendedahan hingga ke luar negara.
Barangkali kerana tidak larat hendak menunggu, pelanggan terpaksa meletakkan bekas sisa makanan di atas lantai. Tindakan itu tidak menyelesaikan masalah justeru lalat pula datang bertandang. Pemandangan sebegitu sangat buruk jika dilihat oleh pelancong antarabangsa.

Pihak pengurusan LPT hendaklah mengambil perhatian terhadap perkhidmatan kebersihan yang mungkin sekali diserahkan kepada kontraktor yang dilantik secara khusus. Petugas hendaklah disyaratkan menjalani kursus pendek, misalnya di kolej komuniti sebelum diluluskan untuk bekerja di kawasan R & R. Seorang penyelia dalam kalangan kakitangan MTD sendiri hendaklah sentiasa ditugaskan untuk memantau tahap kebersihan, di samping menegur petugas yang didapati cuai dan culas.

Kawasan R & R mesti ditadbir dan diurus secara profesional. Kontraktor perkhidmatan kebersihan yang gagal menepati piawaian mutu kerja patut dicela, didenda atau ditamatkan terus berdasarkan terma perjanjian yang ditandatangani. Tiada tolak ansur tentang mutu kebersihan bagi sebuah negara yang hendak mencapai status negara maju berpendapatan tinggi acuan sendiri menjelang tahun 2020 yang tinggal tujuh tahun sahaja lagi...

Friday, May 24, 2013

PENGGUNAAN DI MASA DALAM PENULISAN, UCAPAN (SOCIOLECTS REFLECT THE LEVEL OF ACHIEVEMENT)

Berdasarkan tatabahasa Za'aba, kata sendi 'di' yang dieja secara terpisah merujuk kepada tempat atau jarak. Penggunaan 'di' yang dieja secara bercantum pula merujuk kepada kata kerja (konsep 'diterangkan' dalam hukum D-M). Kata sendi 'di' tidak boleh digandingkan dengan rujukan tentang masa, contohnya di masa, di saat, di jam, di hari, di minggu, di bulan, di tahun, di dekad, di abad, di alaf, di era, di kala, di zaman di waktu dan sebagainya (klik di sini).

Walaupun demikian, masih terdapat pengguna bahasa yang dipengaruhi oleh aliran sosiolinguistik  (pengenalan sosiolinguistik di sini) beranggapan bahawa penggunaan 'di' untuk masa tidak membawa sebarang kesalahan. Mereka mendakwa bahawa perkara itu sudah diterima umum sejak sekian lama. 

Aliran sosiolinguistik lebih dekat kepada manipulasi kata-kata dalam penulisan kreatif seperti cerpen, novel, skrip drama, lirik lagu, puisi dan lain-lain. Karya kreatif memang mengizinkan pelanggaran hukum tatabahasa bagi membezakannya dengan laras bahasa baku dan urusan rasmi. Namun, hal itu nampaknya sedikit sebanyak mengelirukan orang awam dan murid sekolah.
Paparan kain rentang di atas dirakamkan di kawasan rawat dan rehat (R & R) Temerloh . Secara sepintas lalu, paparan berkenaan lebih bersifat cogan kata atau tag line yang digunakan dalam sektor korporat dan pengiklanan yang mementingkan ciri ringkas, tetapi tepat dan padat dari segi hebahan awam. Orang ramai tiada masa untuk membaca maklumat yang berjela-jela.

Mungkin pihak yang diupah menyediakan cogan kata di atas tidak begitu peka tentang kepentingan nahu dan tatabahasa yang betul. Maka, muncullah perkataan 'di masa' yang sepatutnya ditulis sebagai 'pada masa'. Sebenarnya, pihak MTD tidak perlu merujuk kepada pakar runding bahasa, cukup sekadar bertanya budak sekolah kebangsaan tentang kesalahan penggunaan 'di masa' dalam cogan kata mereka. 

Kesalahan umum tatabahasa bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam, korporat, budak sekolah dan media, bahkan membabitkan pemimpin negara dan cendekiawan. Penulis teks ucapan mungkin terlepas pandang atau sememangnya jahil tentang hal itu, atau bersikap sambil lewa. Keadaan mungkin berbeza ketika sidang akhbar atau wawancara secara langsung kerana si penutur hanya bergantung kepada pencapaian tatabahasa atau kebiasaan semata-mata.

Sudah tiba waktunya pihak berkuasa bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil daya usaha yang lebih mantap bagi membetulkan kesalahan asas bahasa yang berlaku. Penegasan tentang kepentingan laras bahasa baku dalam urusan rasmi perlu diuar-uarkan menerusi kempen yang lebih berkesan. Pihak yang didapati melakukan pelanggaran tatabahasa dialam urusan rasmi mesti dikenakan celaan, siasatan dan seterusnya tindakan tertentu berdasarkan akta bahasa kebangsaan. 

Penulis-penulis teks ucapan pemimpin negara pula perlu menjalani kursus khas asas tatabahasa atau pemukiman bahasa kendalian DBP. Satu slot khas pendek semasa mesyuarat mingguan jemaah menteri kabinet persekutuan dan mesyuarat exco negeri diberikan kepada DBP untuk memantapkan penggunaan bahasa baku dalam acara rasmi. Penggunaan bahasa yang persis bakal meningkatkan kewibawaan dan martabat seseorang pemimpin dalam kalangan rakyat jelata.

Kesedaran tentang penggunaan laras bahasa baku dalam urusan rasmi dan pendidikan telah disemai dalam kalangan murid sekolah. Generasi muda senang dilentur, tetapi dalam masa yang sama mudah pula dipengaruhi oleh media dan persekitaran. Maka, peranan pihak media, serta organisasi rasmi awam dan swasta wajib digembleng supaya kesalahan tatabahasa umum yang mencolok mata seperti paparan kain rentang MTD di Temerloh itu tidak berleluasa.

Bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa ialah pancaran akal budi insan. Bahasa Melayu pernah dihormati sebagai bahasa serantau (lingua franca) semasa era emas kegemilangan empayar Melaka dari segi pemerintahan, penyebaran dakwah dan perdagangan antarabangsa. Bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan kelihatan lemah angkara kesalahan tatabahasa yang tidak sepatutnya berlaku...

Tuesday, May 21, 2013

SALAH SANGKA YANG LUCU (JUDGEMENT AND COMPASSION)

Ketika hendak membayar harga roti canai telur banjir dan kopi tarik di kaunter, Pak Din Martabak memberitahu bahawa sepasang suami isteri telah 'membelanja' penulis blog (PB). Pak Din pun tidak kenal akan pasangan berkenaan. PB mengucapkan terima kasih banyak-banyak walaupun terselit sedikit rasa pelik.

Beberapa tahun dahulu peristiwa yang sama juga biasa berlaku di gerai Pak Din Martabak, iaitu sarapan PB sering dibayar oleh si pemurah 'misteri'. Bukanlah setiap pagi PB makan roti canai mengenangkan kandungan kalorinya yang tinggi. Maka, paling kerap pun dua minggu sekali.

Seorang 'pak cik' pertengahan  umur bertanya sama ada PB bekerja atau tidak. Maka, dengan ikhlas PB menjawab tidak. Dia tidak pula bertanya lebih lanjut, walhal ketika itu PB dalam tempoh cuti belajar dengan biasiswa bergaji penuh (hadiah latihan persekutuan) di Universiti Malaya.

Pak Din memberitahu tukang bayar sarapan PB itu sebenarnya pemilik sebuah agensi pelancongan bumiputera yang terkemuka di negeri Perak, serta bekas guru. Maknanya, dua-dua pihak sudah salah sangka gamaknya. PB menyangka pak cik itu pesara biasa, manakala dia pula menyangka PB sebagai penganggur terhormat!

Barangkali cara penampilan dan pakaian ringkas masing-masing menyebabkan berlakunya salah sangka. PB mengenakan baju-T biasa dan seluar trek, manakala 'pak cik' tadi dengan kemeja yang agak lusuh dan seluar biasa, serta selipar. Mungkin juga muka PB memang macam penganggur terhormat ketika itu.

...

...

...

...

...

Monday, May 20, 2013

UCAPAN PELANCARAN KEMPEN SAYANGI SEKOLAH (THE SENSE OF OWNERSHIP)

Terima kasih saudara pengacara majlis.

Assalamu alaikum warahamatullahi wabarakatuh.
Selamat sejahtera.

Penolong-penolong kanan, guru dan pelajar yang dikasihi sekalian.

Marilah kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga justeru pada pagi yang indah ini kita masih diberi kesempatan untuk berhimpun bersama-sama dalam satu majlis yang sangat penting, iaitu pelancaran kempen sayangi sekolah. Sesungguhnya kita patut berasa bertuah kerana berada dalam sebuah kawasan sekolah yang lengkap dengan segala kemudahan yang canggih dan selesa. Pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selesa, manakala guru dan kakitangan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Tidak perlu untuk kita pergi jauh sampai ke benua Afrika atau Amerika Latin untuk membuat perbandingan betapa sekolah-sekolah di Malaysia jauh lebih ke hadapan dari segi fizikal dan kemudahan pembelajaran. Cubalah kita tinjau beberapa buah sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih serba kekurangan seperti ketiadaan bekalan elektrik dan bekalan air bersih. Kita belum lagi bercakap isu tentang jurang digital, iaitu kemudahan pembelajaran secara atas talian menerusi penembusan teknologi jalur lebar.

Walaupun kita masih perlu berbelanja secara berhemah seperti penjimatan tenaga elektrik, tetapi segala kemungkinan bahaya yang diakibatkan oleh perubahan cuaca yang ekstrem telah dapat dielakkan. Pelajar, guru dan kakitangan di sekolah berlindung di bawah kompleks sekolah yang menepati piawaian keselamatan tertinggi, di samping peluang pembelajaran yang terbuka luas tanpa gangguan pencerobohan anasir jahat yang berkeliaran di luar sana. Segala langkah yang perlu telah dilaksanakan supaya pada akhirnya proses pembelajaran berjalan dengan lancar demi menuju kemuncak kecemerlangan pendidikan.

Hadirin yang dihormati,

Sebelum ini kita telah melaksanakan program sekolah penyayang dan program guru penyayang. Mesej yang cuba disampaikan cukup jelas, iaitu pihak sekolah dan guru amat menghargai pelajar sebagai anak didik yang  sentiasa diberi perhatian, atau dalam bahasa pengurusan sebagai pelanggan yang perlu menerima layanan terbaik. Saya yakin bahawa pelajar sendiri dapat merasakan betapa kesungguhan pihak sekolah dan guru telah berusaha merancang reka bentuk dan aktiviti pembelajaran yang paling bermutu.

Pelbagai mesyuarat yang dilaksanakan bagi menambah baik segala kemudahan pembelajaran, di samping program peningkatan profesionalisme guru-guru. Kini, terpulang kepada pelajar untuk menghargai dan menikmati segala kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di sekolah ini. Buktikan bahawa pelajar sekalian bersedia menjaga dan mempertahankan nikmat yang dikecapi selama ini dengan menjaga sahsiah diri, sentiasa mengejar kecemerlangan dan menahan tangan daripada menyebabkan kemudahan yang disediakan mengalami masalah kerosakan dan keusangan secara tidak munasabah.

Saya telah membuat hitungan konservatif tentang perbelanjaan purata bagi menanggung seorang pelajar sekolah, iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Maka, tidak hairanlah sekolah antarabangsa mengenakan caj yuran lebih kurang amaun berkenaan kepada setiap pelajar mereka bagi membiayai kemudahan fizikal dan perkhidmatan sekolah. Namun, pelajar sekolah ini menikmati segala kemudahan tanpa perlu membayar yuran persekolahan, kecuali bayaran untuk majalah sekolah yang hanya berjumlah RM12 sekali sahaja setahun.

Yuran peperiksaan awam juga dikecualikan, malah pelajar diberikan bantuan awal tahun persekolahan sebanyak RM100 secara tunai. Perbelanjaan untuk kegiatan kokurikulum juga datang daripada dana yang disalurkan oleh berkuasa pendidikan. Sumber kewangan berkenaan pula berpunca daripada kutipan cukai yang disumbangkan oleh sekalian rakyat jelata sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Biar saya tegaskan di sini bahawa setiap kali pelajar berbelanja, sedikit sebanyak pelajar telah membayar cukai tidak langsung dalam setiap pembelian barang dan perkhidmatan. Maka, segala harta benda awam, termasuk sekolah merupakan hasil sumbangan pembayar cukai termasuk ibu bapa dan diri kalian sendiri. Tidak mungkin para pelajar tidak berasa sayang dengan harta milik bersama ini dan sanggup membiarkan tangan-tangan nakal melakukan perbuatan laku musnah atau vandalisme.

Pelajar yang disayangi,

Kempen sayangi sekolah yang dilancarkan pada pagi ini sangat bertepatan dengan harapan untuk memastikan bahawa proses membina modal insan minda kelas pertama bagi menuju status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai sepenuhnya. Kita tidak mahu lagi dilabel sebagai negara berkemudahan kelas pertama, tetapi minda rakyat kelas ketiga. Kemudahan awam segaja dirosakkan, manakala sampah sarap tidak terurus dengan baik.

Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Sebagai generasi muda yang masih boleh dilentur, para pelajar sentiasa diterapkan dengan nilai-nilai murni supaya bertingkah laku secara budiman dan mulia. Marilah kita bersama-sama menyayangi sekolah kita dengan sepenuh jiwa dan raga, tanpa berbelah bahagi.

Memang banyak projek dan kegiatan yang akan mengisi kempen sayangi sekolah seperti pameran, pertandingan pidato, penulisan dan keceriaan. Sudah tentu bahawa perasaan sayang terhadap sekolah bukanlah bermusim, bahkan untuk sepanjang masa. Maka, besarlah harapan saya bahawa pelancaran kempen sayangi sekolah pada pagi ini bakal mencapai matlamat berkenaan.

Sekian sahaja ucapan saya. dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sya melancarkan kempen sayangi sekolah.

Wabillahitaufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Sunday, May 19, 2013

PTD MASUK SEKOLAH: APAKAH KELEBIHANNYA? (TEACHERS EFFICIENCY TO RUN THE SCHOOL)

Skim pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) menduduki hierarki tertinggi dalam perkhidmatan awam. Calon PTD juga disaring dengan ketat dari segi kelayakan akademik, kemahiran insaniah, keutuhan peribadi, kelasakan fizikal dan kecekapan dalam proses membuat keputusan. Mereka ditempatkan dalam perjawatan strategik kerajaan, termasuk mengisi kedudukan sebagai ketua setiausaha negara, ketua pengarah jabatan perkhidmatan awam dan ketua setiausaha kementerian. 

Calon PTD yang terpilih harus menjalani latihan praperkhidmatan selama kira-kira setahun di bawan Institut Tadbiran Negara (Intan). Selain bidang kepimpinan, pentadbiran, pengurusan, kewangan dan teknikal, calon PTD juga perlu melepasi ujian ketahanan fizikal ala polis dan tentera. Pendek kata, PTD telah melalui proses pentauliahan yang sukar sebelum layak dilantik ke jawatan tetap dan berpencen.

Gred perjawatan PTD bermula dengan aksara M, berbanding dengan DG untuk guru, UD untuk pegawai perubatan (doktor) dan N untuk kumpulan sokongan (pelaksana). PTD yang berpencapaian cemerlang berpeluang mendaki kemuncak kerjaya dalam usia muda berbanding dengan perkhidmatan ikhtisas yang lain seperti doktor dan guru. Sementara itu, ura-ura ahli ikhtisas diberi kesempatan berpindah kepada skim PTD sebagaimana saranan transformasi kerajaan masih belum berlaku. 

PTD atau pada awal kemerdekaan dikenali sebagai MCS (Malayan Civil Servants) diperuntukkan sebahagian besarnya kepada calon siswazah bumiputera. Kontrak sosial tentang perkara berkenaan tercapai semasa proses perundingan kemerdekaan negara. Setakat ini, semua pihak masih akur, serta tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Isu PTD menjadi hangat sedikit apabila muncul cadangan untuk menempatkan mereka di jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah dan sekolah. Secara amnya, kesatuan guru masih sangsi sama ada langkah berkenaan akan menyekat peluang kenaikan pangkat golongan guru yang sudah sedia terhad. Halangan yang masih ada untuk PTD ialah dari segi kelayakan ikhtisas pendidikan untuk menyandang jawatan sebagai penolong kanan(pentadbiran dan kewangan), 

Sebenarnya terdapat beberapa pilihan yang lebih baik untuk menempatkan PTD di sekolah. Misalnya, jawatan ketua pembantu tadbir dinaikkan taraf sebagai pegawai tadbir yang boleh diisi oleh PTD. Bidang tugas pegawai tadbir sekolah itu, misalnya pada gred M48 boleh mengambil alih sebahagian tugas penolong kanan yang boleh memberi tumpuan khusus terhadap bidang ikhtisas keguruan dan pembelajaran. 

Pilihan lain ialah melantik guru tertentu sebagai PTD dengan menjalani latihan yang tertentu. Dengan demikian, PTD yang dilantik sudah mempunyai latar belakang dan pengalaman yang lebih baik daripada PTD umum yang tidak arif tentang dunia pendidikan secara ikhtisas. Barangkali kesatuan guru tidak akan membantah cadangan yang berciri menang-menang ini.

Bilangan guru yang merupakan pegawai perkhidmatan pendidikan kini mencecah angka hampir setengah juta orang semuanya. Sebahagian besar guru kini memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda, manakala sebahagian guru yang lain juga memiliki ijazah lanjutan sarjana dan doktor falsafah. Calon guru juga dipilih dalam kalangan pelajar yang mencatat kejayaan cemerlang sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Tidak syak lagi bahawa jawatan pentadbiran sekolah harus dipertimbangkan khusus untuk kaum guru supaya bakat kepimpinan yang dimiliki tidak sekadar berakhir di bilik darjah. Guru juga mampu menyumbang terhadap urusan skala besar sebagaimana yang dibuktikan oleh sekian ramai guru yang beralih ke dunia akademia, korporat dan politik. Guru yang sedang mengajar di bilik darjah (guru pengajaran dan pembelajaran, PdP) umpama permata yang belum digilap sepenuhnya untuk membuktikan keupayaan masing-masing dalam persekitaran tugas yang berbeza.

Guru PdP bukan sahaja dipintas oleh rakan mereka yang lebih muda di pejabat tertentu, bahkan berkemungkinan besar menjalani  rutin kerja yang sama sepanjang kerjaya. Pengenalan sistem laluan pantas dalam kerjaya mungkin menjadi penawar, tetapi adakah guru PdP akan hanya berterusan di takuk lama sambil berpuas hati dengan keadaan yang seadanya? Kini, terserah kepada kepimpinan pihak berkuasa pendidikan untuk menjenguk kebajikan guru PdP yang begitu pasrah dan taat...

Saturday, May 18, 2013

MOTIVASI BELAJAR: SIAP TUGASAN UNTUK SIAPA? (PERCEPTION DISTORTION TO PLEASE OTHERS)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saudara saudari yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah dunia dan kehidupan bahawa sesuatu yang berharga hanya dapat dimiliki menerusi usaha yang tertentu, iaitu gabungan antara cara terbaik dengan kesungguhan tertinggi. Pepatah Melayu mengungkapkan bahawa 'yang buat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang' yang membawa maksud bahawa tiada perkara yang diperoleh secara mudah dengan hanya berpeluk tubuh. Kebijaksanaan silam juga terserlah dalam peribahasa "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

Setiap manusia wajib berusaha untuk keluar daripada tawanan hawa nafsu dan kejahilan dengan cara cinta akan ilmu, tekun menuntut ilmu dan sentiasa sanggup berhadapan dengan cabaran dalam proses menuntut ilmu. Sesungguhnya, ilmu itu teramat berharga, serta hanya mampu dimiliki oleh jauhari yang mengenal manikam. Kemajuan peradaban manusia dan tamadun yang kita nikmati pada hari ini berpunca daripada proses pemindahan kebijaksanaan ilmu kepada bentuk amalan dan gunaan.

Pelajar yang dimuliakan,

Proses menuntut ilmu di institusi pendidikan sama ada di sekolah mahupun di kampus menempuh cabaran yang sama, iaitu pengorbanan,stategi dan tumpuan yang tidak berbelah bahagi. Bagi memperoleh keselesaan dalam jangka masa panjang, banyak perkara yang perlu dikorbankan dalam jangka pendek. Pelajar harus sanggup menjauhkan diri daripada aktiviti yang membuang masa dan tidak menyumbang terhadap proses pembelajaran. 

Terdapat pelajar cemerlang mendakwa bahawa mereka juga seperti remaja lain yang tergila-gilakan gajet mudah alih terkini, melayan siaran realiti televisyen dan facebook. Marilah saya tegaskan di sini bahawa di dunia memang terdapat hal-hal yang luar biasa dan pengecualian. Segelintir insan memang bertuah justeru memiliki kelebihan yang tidak dinikmati oleh kebanyakan insan yang lain.

Marilah kita lupakan sementara kisah Aladin dengan lampu ajaibnya dan segala kisah khayalan dalam karya epik silam. Berpijaklah di bumi nyata sementara masih menggantungkan cita-cita di bintang nan tinggi. Apabila memandang bintang di langit, usah pula lupa rumput di bumi.

Pelajar yang dihormati,

Jika para sarjana membina tubuh ilmu menerusi penyelidikan dan wacana ilmiah, pelajar sekolah dan universiti pula memperoleh ilmu menerusi proses pembelajaran yang teratur. Pelajar perlu menjalani aktiviti bilik darjah dan kuliah, serta menyiapkan segala tugasan yang diarahkan oleh guru dan pensyarah. Kaedah tugasan bertujuan supaya kecekapan dan pencapaian pelajar dapat diukur atau ditaksir untuk reka bentuk aktiviti pembelajaran seterusnya. 

Maka, pelajar hendaklah akur akan segala keperluan tugasan, sama ada dari segi kandungan mahupun tempoh akhir yang ditetapkan. Memang banyak alasan boleh dicari jika enggan menyiapkan sesuatu tugasan, sebagaimana banyaknya jalan yang boleh ditemui untuk menghasilkan tugasan yang bermutu tinggi. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Hakikatnya ialah proses pembelajaran dengan tugasan ibarat saudara kembar yang sukar sekali dipisahkan. Jadi, lupakan sahaja angan-angan untuk bersenang-lenang dalam proses pembelajaran atau pengajian di sekolah dan universiti. Terimalah kenyataan bahawa untuk muncul sebagai pelajar yang cemerlang dan hebat, siapkan segala tugasan tanpa sebarang syarat.

Pelajar yang dirahmati sekalian,

Keluhan tidak menyelesaikan apa-apa masalah selagi jalan penyelesaian yang terbaik tidak dicari. Jumlah tugasan yang ditetapkan oleh guru dan pensyarah telah mengambil kira keperluan pengajian dan tempoh masa pengajian. Maka, pelajar perlu pandai membawa diri dan berikhtiar agar segala tugasan yang banyak itu dapat disiapkan tanpa bertangguh.

Ingatlah bahawa niat  kita belajar ialah agar kita menjadi orang berilmu yang mengenali Yang Maha Pencipta, lalu beroleh redha-Nya. Pelajar menyiapkan tugasan bukan sekadar mahu mengambil hati guru atau pensyarah, sebaliknya demi kebaikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan umat dalam jangka panjang. Penyempurnaan tugasan yang terbaik ialah hadiah kepada semua pihak yang percaya dan berharap bahawa pelajar ialah amanah yang begitu berharga.

Tugasan terbaik bakal menghasilkan gred yang terbaik, manakala tugasan yang sambil lewa hanya menyusahkan diri pelajar dalam proses pembelajaran selanjutnya. Guru dan pensyarah sebagai penolong sudah pasti bersedia menghulurkan bantuan andai kata pelajar menunjukkan kesungguhan dan tumpuan. Sisi keikhlasan seseorang akan terpancar dengan sendirinya menerusi tingkah laku sebagai orang budiman.

Sekian sahaja buat kali ini. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman ini akan membawa manfaat juga kepada kalian. Wabillahi taufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Friday, May 17, 2013

"SEBAB SAYA TIDAK MENYERTAI JEMAAH TABLIGH" (LEARNING FROM OUR PROPHET)

Luahan secara berterus terang seperti tajuk perbincangan ini mungkin mengundang salah faham yang meruncing. Maka, biarlah penjelasan kenalan penulis blog (PB) berkenaan disimpan sebagai pandangan peribadi yang tidak perlu didedahkan sepenuhnya. Hanya bahagian hujah yang bersifat umum, serta tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak bakal dibincangkan dengan kepala dingin.

Jemaah tabligh lebih bersifat ikatan tidak formal suatu gerakan dakwah massa yang diasaskan oleh Maulana  Ilyas bin Mohd. Ismail di selatan Delhi, India, tetapi telah menjadi fenomena sejagat (klik di sini). Anggota jemaah tabligh dapat dikenali menerusi cara penampilan diri, pakaian dan telor percakapan mereka. Bagi anggota jemaah yang sudah senior, mereka mengenakan serban dan jubah, serta dengan imej janggut yang agak panjang. 

Anggota jemaah tabligh bukan calang-calang orang dari segi kelulusan akademik dan kerjaya. Sebahagian anggota jemaah tabligh ialah ahli ikhtisas seperti doktor pakar perubatan, profesor, usahawan berjaya, jurutera dan peguam. Sejajar dengan kisah hidup pengasas jemaah yang banyak berbakti kepada golongan susah, anggota jemaah tabligh membiasakan diri dengan penampilan dan cara hidup yang sederhana supaya mesej dakwah dapat disampaikan dengan berkesan kepada sasaran. 

Jemaah tabligh menarik anggota baharu menerusi proses gasy dan tasykil. Sebagai contoh, usai solat jemaah di surau, anggota tabligh yang ditugaskan akan bangun, lalu membaca petikan kitab fadilat amal yang dikarang oleh Maulana Ilyas. Kemudian, mereka akan menggesa jemaah solat mengangkat tangan sebagai tanda azam untuk keluar berdakwah bersama mereka dalam tempoh minimum tiga hari. Nama mereka yang menyatakan azam itu akan dicatat dalam sebuah buku kecil.

Para rekrut baharu jemaah tabligh tadi akan mengikut ketua kumpulan kecil melakukan ziarah di kawasan kejiranan tertentu bagi mengajak penduduk setempat hadir ke surau atau masjid dengan bersandarkan dalil hadith dan sirah. Rekrut baharu kemudian digalakkan pula keluar berdakwah dan meninggalkan keselesaan hidup selama 40 hari. Kemuncak iltizam terhadap jemaah ditingkatkan dengan keluar berdakwah sehingga tiga bulan lamanya di luar negara.

Anggota jemaah tabligh dilatih supaya sanggup bergerak hingga ke kawasan pedalaman dan hujung dunia seperti petempatan orang Asli di Borneo, dan benua Amerika Latin. Jika Mother Theresa sanggup makan lumpur bersama golongan miskin tegar demi penyebaran Kristian di India, jemaah tabligh juga tidak kurang hebatnya. Perkataan 'amal' sudah basah bagi lidah mereka, malah pandangan sinis sesetengah anggota masyarakat hanya menguatkan lagi usaha dakwah mereka.

Jemaah tabligh juga mengadakan perhimpunan tahunan sedunia yang dipanggil sebagai ijtimak. Perhimpunan jemaah tabigh pernah disifatkan sebagai perhimpunan terbesar umat Islam selepas perhimpunan jemaah haji di padang Arafah. Ijtimak jemaah tabligh pernah diadakan di Malaysia, Thailand dan negara-negara bukan Islam dengan mendapat kerjasama pihak berkuasa setempat.

Pergerakan jemaah tabligh di Malaysia mencatat pencapaian yang lebih tinggi apabila memiliki masjid khusus sebagai markas induk kegiatan mereka yang dibina beberapa tahun yang lalu di Kuala Lumpur. Walaupun dari segi prinsipnya jemaah tabligh tidak mahu terbabit secara langsung dengan persaingan kuasa pemerintahan, namun pemimpin parti politik yang tertentu dilihat sentiasa cuba untuk mendekati pemimpin jemaah tabligh. Sama ada pergerakan jemaah tabligh meninggalkan impak yang kuat terhadap dunia politik atau sebaliknya, biarlah kajian yang autentik sahaja yang memberi jawapan.

Pergerakan jemaah tabligh menampung hasrat sebahagian umat Islam yang berasa selesa dengan kaedah dakwah yang dijalankan. Memang ada kritikan keras yang ditujukan terhadap jemaah tabligh, termasuk dakwaan bahawa pada awalnya pergerakan itu mendapat dukungan penjajah Inggeris di India, justeru tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadap imperialisme. Malah terdapat banyak forum secara maya yang membahaskan natijah kehadiran jemaah tabligh dalam konteks kelangsungan dakwah era generasi Y kini (contohnya klik di sini).

Untuk berlaku adil, sumbangan pergerakan jemaah tabligh di seluruh dunia harus dilihat dari sudut yang menguntungkan (al-falah) terhadap perkembangan dakwah dalam jangka panjang. Pihak yang tidak bersetuju dengan kaedah dakwah jemaah tabligh mempunyai banyak pilihan untuk menyertai jemaah lain yang menggunakan pelbagai kaedah dakwah yang mempunyai sandaran dalil al-Quran dan al-Sunnah. Sifat tabligh (menyampaikan) bukan milik tunggal pergerakan jemaah tabligh, bahkan menjadi tanggungjawab setiap orang Islam yang mukallaf...

Thursday, May 16, 2013

APA ADA PADA SIJIL? (THE VALUE OF RECOGNITION)

Tidak semua cara berfikir yang mudah (simplistik) itu baik, benar dan berguna untuk kehidupan. Sebagai contoh, orang awam biasa mungkin beranggapan bahawa "apalah yang ada pada nama" dan "usah menilai buku berdasarkan kulitnya". Namun, bagi ahli perniagaan bertaraf antarabangsa, proses penjenamaan yang memiliki aura dan daya tarikan yang bersifat eksklusif ialah strategi kritikal yang menentukan jatuh bangun syarikat dalam persekitaran yang sukar diramalkan.

Dunia pendidikan juga mengalami perkara yang lebih kurang sama. Orang-orang yang tidak tahu menghargai ketinggian ilmu dan susah payah proses pembelajaran dengan mudahnya mengatakan bahawa ijazah yang berjela-jela tidak mendatangkan makna kalau ..." Hujah dangkal seperti itu terkeluar kerana korelasi yang sipi antara pengangguran siswazah dengan kehendak (nafsu) industri dan pasaran. 

Mujur juga bahawa cara berfikir secara mudah itu hanyalah bersifat perca atau pinggiran dalam konteks arus perdana sepanjang zaman. Pembaharuan dan penambahbaikan dalam penjenamaan terus menjadi penting dalam dunai perniagaan. Demikian juga dengan permintaan terhadap akses pendidikan yang diberi penarafan berdasarkan gred sijil, diploma dan ijazah bukan sahaja tidak berkurangan, bahkan melonjak lebih tinggi.
Sijil yang tulen ibarat iklan yang tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit. Sijil ialah suatu bentuk pengiktirafan yang mempunyai nilai yang tertentu. Sijil ialah suatu bukti berdokumen bahawa seseorang itu telah mencapai sesuatu tahap dalam bidang yang diceburi.

Pagi tadi, dalam majlis jamuan khas hari guru, tiga orang guru ekonomi termasuk penulis blog (PB) dianugerahkan sijil atas pencapaian cemerlang calon STPM kohort terakhir sistem terminal tahun lalu. Sijil berkenaan ditandatangani oleh pengerusi PIBG sekolah. Tiga panitia terbaik STPM 2012 ialah Panitia Sejarah, Panitia Biologi dan Panitia Ekonomi. Pihak PIBG juga bermurah hati menyediakan hadiah iringan berupa wang tunai untuk dikongsi oleh anggota panitia yang berkenaan.

Mata pelajaran Ekonomi telah menyumbang gred A tertinggi bagi jurusan kemanusiaan, iaitu mengatasi mata pelajaran lain termasuk Pengajian Am. Hanya kerana gred hujung yang juga tinggi, kedudukan mata pelajaran Ekonomi berjaya dipintas. Sepertimana laporan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), masalah utama calon ekonomi ialah bahagian penulisan esei.

PB juga pernah beroleh sijil yang sama ketika bertugas di SM Teknik Ipoh beberapa tahun yang lalu selaku ketua panitia sejarah yang mencatat kelulusan 100 peratus buat julung-julung kalinya di sana. Sudah tentu bahawa kejayaan itu bukan untuk membangga diri atau riyak, sebaliknya rasa syukur kerana hasil usaha berpasukan sekalian anggota panitia mendapat pengiktirafan. Sijil yang diterima bukan diukur dengan nilai wang ringgit, tetapi sebagai penanda aras pencapaian ikhtisas kepimpinan dan kepintaran kumpulan.

Mungkin kerjaya keguruan belum begitu biasa menayang sijil sebagaimana ahli ikhtisas yang lain, contohnya doktor pakar, perunding imej dan jurutera. Tidak semestinya tayang sijil bermaksud untuk berlagak dan angkuh. Hakikatnya, sijil tanda pengiktirafan mendorong seseorang itu untuk meningkatkan keupayaan ikhtisas dalam bidang masing-masing, di samping sebagai bonus untuk meyakinkan pelanggan (di sekolah: pihak yang berkepentingan, terutama murid dan ibu bapa) bahawa mereka menerima perkhidmatan yang terbaik...

Wednesday, May 15, 2013

JEMAAH MENTERI PERSEKUTUAN MULAI 15 MEI 2013 (POST-GE 13 CABINET LINE-UP)

Setelah mendapat perkenan DYMM Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri mengumumkan senarai anggota jemaah menteri seperti di bawah:

Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

Timbalan Perdana Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri:
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Abdul Wahid Omar (akan dilantik sebagai senator)
Datuk Seri Idris Jala (Senator)
Tan Sri Joseph Kurup
Datuk Seri Shahidan Kassim
Nancy Shukry
Datuk Joseph Entulu Belaun
Datuk Paul Low Seng Kuan (Senator)

Timbalan Menteri: Datuk Razali Ibrahim
Timbalan Menteri: P.Waythamoorthy (akan dilantik sebagai senator)

Kementerian Kewangan
Menteri I : Datuk Seri Najib Tun Razak
Menteri II: Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Maslan

Kementerian Pelajaran
Menteri I: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri II Datuk Seri Idris Jusoh
Timbalan Menteri I: Datuk Mary Yap
Timbalan Menteri II: P.Kamalanathan

Kementerian Dalam Negeri
Menteri: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Menteri: Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Menteri: Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Timbalan Menteri: Datuk Jailani Johari

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Hamim Samuri

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Menteri: Datuk Seri G. Palanivel
Timbalan Menteri: Datuk James Dawos Mamit

Kementerian Pengangkutan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (pangku)
Timbalan Menteri: Datuk Aziz Kaprawi

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
Menteri: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Timbalan Menteri: Datuk Joseph Salang
          
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Menteri: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Menteri: Datuk Tajuddin Abdul Rahman

Kementerian Pertahanan
Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Abdul Rahim Bakri

Kementerian Kerja Raya
Menteri: Datuk Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Kementerian Kesihatan
Menteri: Datuk Seri Dr S.Subramaniam
Timbalan Menteri:Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya

Kementerian Belia dan Sukan
Menteri: Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Timbalan Menteri: Datuk M Saravanan
  
Kementerian Sumber Manusia
Menteri: Datuk Richard Riot
Timbalan Menteri: Datuk Ismail Abdul Muttalib

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Menteri:  Datuk Hasan Malek
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (akan dilantik senator)


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Menteri: Datuk Rohani Abdul Karim
Timbalan Menteri: Datuk Azizah Mohd Dun
  
Kementerian Luar Negeri
Menteri: Datuk Seri Anifah Aman
Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainuddin

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menteri: Datuk Abdul Rahman Dahalan
Timbalan Menteri: Datuk Halimah Sadique

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri: Datuk Seri Douglas Uggah Embas
Timbalan Menteri: Datuk Noriah Kasnon

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Menteri: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan Menteri: Datuk Alexander Nanta Linggi

Kementerian Wilayah Persekutuan:
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Timbalan Menteri: Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan air
Menteri: Datuk Seri Maximus Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi:
Menteri: Datuk Dr Ewon Ebin
Timbalan Menteri Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah

Sumber: Bernama, sebagaimana yang dipetik di sini.

Tuesday, May 14, 2013

MENGAPA BELAJAR EKONOMI? (MODIFICATION OF PHENOMENON COMPLEXITY)

Tidak perlu marah kepada pengasas disiplin ekonomi dua tiga abad yang lalu kerana mencipta pelbagai konsep, prinsip, teori dan hukum ekonomi untuk dipelajari bermula di sekolah, khususnya program prauniversiti tingkatan enam. Sebahagian besar pemikir ekonomi konvensional seperti Adam Smith (The Wealth of Nation), David Ricardo, John Maynard Keynes, Irving Fisher dan Milton Friedman datang daripada Barat dan mempunyai kaitan dengan kaum Yahudi. Walaupun kajian ekonomi terbahagi kepada pendekatan positif (is) dan normatif (ought), tetapi asas pembelajaran dimulakan dengan ekonomi positif yang bersifat bebas nilai (value free judgement).

Walaupun demikian, tidaklah sampai semua sekali pendekatan ekonomi benar-benar bebas nilai dan sekular semata-mata. Keburukan ekonomi pasaran (kapitalis) misalnya diimbangi oleh campur tangan kerajaan yang bertujuan untuk memaksimumkan kebajikan masyarakat. Malah, mutakhir ini, muncul semakin banyak tokoh ekonomi Islam seperti Kurshid Ahmad, Monzer Kahf, Muhammad Yunus dan lain-lain yang berjaya menonjolkan prinsip muamalat sebagai teras kegiatan ekonomi yang adil dan berkebajikan.

Ekonomi ialah cabang kajian sosial tentang cara pelaku ekonomi memperuntukkan sumber yang terhad bagi memenuhi kehendak yang tidak terhad dengan cara yang paling cekap. Ahli ekonomi klasik memberikan takrif yang lebih mudah, iaitu ekonomi sebagai sains kekayaan, sains kekurangan dan sains kebajikan. Kekurangan yang dimaksudkan ialah sumber atau faktor pengeluaran yang terhad, manakala kebajikan merujuk kepada matlamat dasar ekonomi makro, iaitu pertumbuhan yang mapan tanpa inflasi dan pengangguran, serta imbangan pembayaran yang positif.

Kelebihan belajar ekonomi, sepertimana disiplin ilmu yang lain, ialah kebolehan mengungkapkan sesuatu peristiwa atau fenomena yang rencam dalam pernyataan konsep dan prinsip yang ringkas. Orang yang belajar ekonomi akan mengambil masa yang pendek sahaja untuk menjelaskan sesuatu isu berbanding dengan orang yang tidak belajar ekonomi yang terpaksa berfikir secara amatur dan ad-hoc. Dalam perkataan lain, orang ekonomi dapat membuat analisis dan perkaitan antara peristiwa dengan lebih cepat dan tepat!

...

...

...

...

...

...

Monday, May 13, 2013

PENJAGAAN KESIHATAN MASYARAKAT MALAYSIA (MEDICAL CONCERN FOR HEALTHY LIFE)

Malaysia diunjurkan bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila nisbah warga emas kepada jumlah penduduk mencatat peningkatan yang ketara, iaitu sebanyak 15 peratus. Di taman rekreasi awam, kelihatan kumpulan warga emas melakukan pelbagai aktiviti mengeluarkan peluh seperti senam robik dan taichi. Golongan berkenaan masih mementingkan penampilan yang kemas dan pakaian kasual yang melambangkan semangat untuk terus menjalani gaya hidup yang sihat. 

Penyelidikan tentang warga emas dikenali sebagai gerontologi (sila klik di sini). Sementara itu, dasar khusus untuk warga emas juga telah digubal, serta diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (klik di sini). Sejajar dengan takrifan Pertubuhan Bangsa Bersatu, warga emas dikategorikan kepada kumpulan yang sudah mencecah usia 60 tahun dan ke atas.
pemandangan di sebuah klinik awam

Pertumbuhan jumlah penduduk sesebuah negara dipengaruhi oleh kadar kelahiran dan kadar kematian yang sangat berkait rapat dengan tahap kesihatan yang dinikmati. Dengan kemudahan perkhidmatan perubatan dan penyelidikan teknologi rawatan terkini, jangka hayat manusia didapati semakin panjang. Misalnya, kaum lelaki secara puratanya hidup hingga mencecah usia 72 tahun, manakala kaum wanita hingga 75 tahun (data terkini: sila klik di sini).

Jangka hayat penduduk sesebuah negara didapati berbeza dengan negara lain, bergantung kepada kemudahan pencegahan awal dan rawatan susulan terhadap penyakit generik yang sepatutnya sudah dapat dilawan. Peruntukan belanjawan untuk sektor perkhidmatan kesihatan pula bergantung kepada kesedaran dan keutamaan pemimpin yang menggubal dasar. Selain itu, tahap pendidikan yang rendah sering mengakibatkan penolakan terhadaap perkhidmatan kesihatan moden.

Di Malaysia, kepekaan terhadap penjagaan kesihatan sudah jauh meningkat apabila kemudahan hospital dan klinik awam mencatat permintaan yang sangat tinggi. Hospital pakar dan klinik persendirian juga mendapat sambutan yang memberangsangkan, khususnya daripada golongan berpendapatan tinggi dan sederhana. Skim kad insurans dan takaful kesihatan sebagaimana amalan di negara-negara maju juga semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kesesakan orang ramai dan kenderaan di hospital cuba dikurangkan dengan pembinaan lebih banyak klinik pinggir nadar dan desa. Baru-baru ini, klinik 1 Malaysia juga diwujudkan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai di bawah program transformasi kerajaan dan strategi lautan biru kebangsaan.

...

...

...

...

Sunday, May 12, 2013

NASIB KUCING JALANAN (LOVE THE ANIMAL)

Pada dekad 1970-an dahulu filem The Beautiful People pernah mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Genre filem dokumentari tentang kehidupan binatang liar di Namibia, sebuah negara yang bersaiz besar dengan kepadatan penduduk yang sangat rendah digarap secara komedi ringan. Cabaran kehidupan di kawasan gurun yang kontang bagaikan syurga kepada binatang yang menghuni bahagian selatan benua Afrika itu (untuk bacaan selanjutnya, klik di sini).

DI Malaysia, kepekaan masyarakat terhadap kehidupan binatang nampaknya belum begitu hebat. Buktinya, begitu banyak binatang terbiar yang berkeliaran di jalanan menyelongkar sisa-sisa makanan bagi meneruskan kehidupan. Kawasan hutan juga diteroka dengan tidak mengambil berat tentang nasib penghuni rimba yang sudah membentuk habitat semula jadi sekian lama.
Sudah menjadi pemandangan biasa di pasar bahawa kucing berkeliaran tanpa tuan, malah kadangkala dijangkiti kurap. Begitu juga dengan anjing liar di kawasan perumahan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Haiwan liar yang tidak dijaga itu juga terdedah kepada pelbagai jenis virus akibat gigitan nyamuk sehingga menjadi perumah atau vektor pembawa penyakit berbahaya kepada manusia.

Jika kutu rayau dan peminta sedekah boleh ditangkap dan menjalani proses pemulihan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, bagaimanakah pula dengan haiwan rayau itu? Setakat ini operasi pelupusan haiwan liar berpenyakit terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sambil dibantu oleh Jabatan Haiwan dan Veterinar. Namun, bantahan masih diterima daripada pencinta alam sekitar dan hidupan liar.

Setiap jenis haiwan mempunyai fungsi yang tersendiri dalam konteks rantaian makanan dan kawalan semula jadi terhadap haiwan perosak yang lain. Kucing boleh berfungsi sebagai pembunuh tikus berbahaya selain burung helang dan ular. Namun, kucing yang berpenyakit tidak akan mampu mengejar tikus yang lebih montok dan lari lebih laju sebagaimana watak animasi Tom and Jerry!

Kumpulan pencinta alam sekitar dan haiwan terbiar tidak sewajarnya hanya membuat bising, tetapi tidak mengambil sebarang langkah konkrit dalam menangani isu haiwan terbiar. Dengan dana kewangan yang kecil, mereka boleh menonjolkan peranan sebagai model masyarakat prihatin terhadap haiwan terbiar. Apabila berjaya, peranan seterusnya boleh diambil alih oleh agensi khusus pihak berkuasa.

Ibu bapa patut mendidik anak-anak mereka supaya prihatin terhadap haiwan terbiar walaupun pada hakikatnya mereka sendiri pun tidak mampu berbuat apa-apa. Anak-anak diberi kesedaran supaya tidak hanya sibuk dengan haiwan maya (cyber pet), sebaliknya mengambil peduli tentang haiwan sebenar. Kisah lelaki yang masuk syurga kerana sanggup turun ke telaga bagi memberi anjing minum, dan kisah wanita yang masuk neraka kerana mendera kucing (perbandingan sahaja, tiada prasangka jantina) patut didedahkan.

Haiwan terbiar juga mempunyai hak untuk hidup sihat dan disayangi. Namun, pencinta haiwan tidak perlu bersikap keterlaluan hingga cuba menghalang proses pelupusan haiwan berpenyakit yang disahkan tidak lagi dapat diselamatkan. Pendek kata, nasib binatang jalanan, terutama kucing dan anjing perlu mendapat perhatian orang ramai dan juga pihak berkuasa...

Saturday, May 11, 2013

Friday, May 10, 2013

BUKU TEKS LAHAD DATU MASUK 'MUZIUM' (AUDITING CURRICULUM MATERIAL)

Ipoh, Jumaat: 10 Mei, 2013 // 29 Jamadil Akhir 1434

...

...

...

...

...

...

...

...

Wednesday, May 8, 2013

SOALAN HANGAT MAKROEKONOMI STPM (SPECIMEN PAPER FOR FINAL PREPARATION)


SMK ST MICHAEL, IPOH, UA2 MAKROEKONOMI: TUGASAN SOALAN SPESIMEN STPM (09052013)

1  (a)  Berikan maksud fungsi penggunaan dan fungsi tabungan.     [2 markah]

    (b)  Dengan bantuan gambar rajah, jelaskan hubungan antara pendapatan negara, penggunaan
           dan tabungan.   [8]

2  (a)  Dengan bantuan gambar rajah, terangkan proses mencapai keseimbangan ekonomi dua sektor
           mengikut pendekatan AE-Y dan suntikan-bocoran.    [10]

3   Dengan bantuan gambar rajah, huraikan proses penggandaan ekonomi tiga sektor.     [10]

4   (a)  Berikan maksud lompang deflasi.   [2]
    
     (b)  Dengan bantuan gambar rajah, jelaskan bagaimanakah dasar fiskal dapat mengatasi
            lompang deflasi.    [8]


5   (a)  Apakah maksud lompang inflasi?   [2]

     (b)  Terangkan alat dasar fiskal bagi mengatasi lompang inflasi dengan
            menggunakan gambar rajah.   [8]

6   Huraikan faktor yang mempengaruhi peralihan keluk permintaan agregat.           [10]

7   Dengan bantuan contoh berangka, jelaskan proses penciptaan kredit.                   [10]

8   Jelaskan tujuan permintaan wang mengikut teori keutamaan Kecairan Keynes.     [10]




Perhatian:  Penulisan jawapan hendaklah sejajar dengan peruntukan markah dan anggaran masa
                    menjawab selama 15 minit bagi setiap soalan.


© azhar bin mohd rodzi, sm.ekon (ukm), dip.ed (uiam), m.ed (distinction) (Malaya)

Sunday, May 5, 2013

EPILOG PRU 13 (MALAYSIAN VOICE)

Pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) sudah pun menjadi sejarah. Sesungguhnya banyak perkara yang perlu dipelajari oleh ahli-ahli politik terhadap arah aliran pengundian yang berlaku. Sebagai kelompok yang sudah biasa dengan tahap tekanan tertinggi, ahli-ahli politik harus menjangkakan segala kemungkinan, termasuk yang paling buruk.

Peratus keluar mengundi yang terbesar dalam sejarah politik negara (84.84 peratus) membuktikan bahawa rakyat memiliki kesedaran  terhadap hak politik masing-masing. Kini, rakyat telah memberi amanah dan kepercayaan kepada ahli-ahli politik untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, terutama dalam proses penggubalan dasar dan undang-undang yang selaras dengan peranan kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Mandat yang diberikan pada PRU 13 kali ini akan sentiasa diperhatikan dan dinilai secara berterusan.

Seperti biasa, proses politik yang berteraskan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan di Malaysia tidak terhenti dalam musim pilihan raya semata-mata. Ruang untuk bersuara sentiasa dialu-alukan selama mana masih bersifat membina dan tidak menjejaskan kepentingan awam. Seperti biasa parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya akan melakukan proses bedah siasat terhadap pencapaian masing-masing sebagai persediaan PRU seterusnya.

...

...

...

...

...

...

...

Saturday, May 4, 2013

PILIHAN RAYA UNTUK MELANTIK KERAJAAN (THE CRITERIA OF VOTING)

Petang tadi, penulis blog (PB) menziarahi seorang kenalan yang ditimpa musibah dan menerima rawatan di Hospital Batu Gajah. Nampaknya hasrat kenalan dan isterinya untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) tidak kesampaian. PB mendoakan semoga kenalan itu cepat sembuh.

Dalam perjalanan pulang ke Ipoh, PB singgah sebentar di sebuah gerai buah-buahan. Sempat juga si penjual memberitahu bahawa dia belum membuat keputusan calon manakah yang bakal dipangkah pagi esok. Sama ada dia bercakap benar atau sekadar memancing provokasi, entahlah.

Hakikatnya pilihan raya ialah satu proses memilih dan melantik kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Parti politik yang memiliki majoriti, sama ada majoriti mudah atau majoriti dua per tiga, bakal membentuk kerajaan setelah memperoleh perkenan ketua negara (DYMM Yang Dipertuan Agong) dan ketua negeri (sultan atau yang dipertua). Sebilangan wakil rakyat (Adun dan ahli parlimen) akan dipilih sebagai anggota majlis mesyuarat negeri (exco) dan menteri.

Zaman sudah berubah dan kaedah mempengaruhi pengundi juga turut mengalami perubahan. Kira-kira 40 peratus pengundi generasi Y lebih terdedah kepada maklumat di hujung jari dan bijak membezakan retorik berkepentingan dengan kata-kata yang berpaksikan ilmu. Politik sudah mengalami anjakan paradigma daripada permainan persepsi kepada kekuatan maklumat. 

Capaian jalur lebar menerusi peranti mudah alih membolehkan para pengundi memperoleh maklumat masa sebenar daripada pelbagai sumber. Sebagai pengundi berpendidikan, kelompok berkenaan mampu membezakan antara maklumat autentik dengan spekulasi. Pada umumnya, mereka lebih tertarik dengan dasar dan manifesto parti politik yang bertanding.

Calon anak tempatan mungkin mempunyai kelebihan, tetapi bukan jaminan untuk beroleh kemenangan selesa. Hubungan kekeluargaan dengan calon juga bukan sebagai 'simpanan tetap' untuk membuat keputusan pengundian. Malah, contoh seperti Shahrir Samad (Tan Sri) dengan Khalid Samad, serta Sahlan Ismail (Datuk) dengan Saifudin Nasution Ismail ialah adik-beradik, tetapi bertanding di bawah parti yang saling bersaing.

Kebanyakan pengundi juga tidak begitu mengambil pusing tentang batang tubuh calon yang bertanding. Tumpuan mereka lebih terarah terhadap parti yang diwakili kerana pada akhirnya proses yang lebih penting ialah pelantikan anggota pentadbiran dan penggubal dasar tertinggi negara. Kepimpinan negara yang memiliki  keutuhan, bebas rasuah dan disenangi rakyat mendapat tempat yang istimewa dalam mempengaruhi keputusan pengundi.

Politik pembangunan masih laku justeru pengundi masih beranggapan bahawa wakil rakyat harus berkhidmat untuk menjaga hal ehwal kebajikan mereka. Hakikatnya wakil rakyat ialah anggota dewan undangan negeri dan parlimen yang mengambil bahagian dalam membahas dan meluluskan segala rang undang-undang, perbekalan dan enakmen. Sejumlah 222 orang ahli parlimen dan lebih 500 orang Adun memikul tanggungjawab lebih luas daripada isu longkang tersumbat atau jalan rosak yang boleh diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Adun dan ahli parlimen sepatutnya memberi tumpuan terhadap penyelidikan tentang sesuatu isu perbahasan persidangan dewan atau sesuatu rang undang-undang. Wakil rakyat bukanlah seorang pegawai kebajikan atau pemimpin tempatan semata-mata, tetapi mereka ialah pemimpin peringkat negeri dan kebangsaan. Namun, peranan sebenar wakil rakyat di negara sedang membangun masih begitu kerana mentaliti sejumlah besar pengundi yang kekal di takuk lama. 

Kematangan politik demokrasi sukar dicapai dalam sekelip mata, terutama negara-negara yang baharu mengecapi kemerdekaan dalam tempoh 50 tahun. Profil demografi dan sejarah pembentukan masyarakat juga memberi kesan kritikal ke atas mekanisme politik yang menjunjung tinggi sikap terbuka dan tolak ansur. Rakyat sebagai tuan sebenar kerajaan yang ditubuhkan hendaklah dihormati dan ditawarkan kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi hendaknya...