Masalah penyelidikan mesti ditentukan, atau ditetapkan supaya kepentingan, rasional dan signifikan melaksanakan sesuatu penyelidikan menjadi ketara. Masalah mungkin terlalu besar dan luas. Dengan itu penyelidik perlu membuat saringan, serta tapisan bagi mengecilkan skop masalah penyelidikan untuk disejajarkan kepada jenis data yang hendak dikutip, serta kaedah analisis data yang bakal dibuat.
Penapisan masalah penyelidikan memungkinkan penyelidik membuat klasifikasi pemboleh ubah secara khusus dan objektif. Gambaran masalah yang menggunakan perkataan-perkataan besar seperti "keberkesanan", prestasi", dan "proses pembelajaran" hendaklah diketepikan. Hal ini disebabkan penyelidik bakal berhadapan dengan kekangan kewangan, lojistik dan sumber dalam proses mentadbirkan sesuatu penyelidikan.
Sebagai contoh, "keberkesanan" merujuk kepada usaha membandingkan sesuatu proses dengan hasil yang tercapai. Penyelidik boleh mengecilkan skop masalah kepada dua pemboleh ubah sahaja, iaitu proses yang sedang berlaku dan hasil yang diinginkan sahaja. Katakan prosesnya ialah tempoh persekolahan hingga waktu petang; hasilnya ialah pelajar mengantuk dan lesu dari segi emosi, jasmani, dan mental.
Sebagai penyelidik muda tingkatan enam, masalah yang sudah dikecilkan itu pun masih sukar dari segi perolehan data. Maka, lebih baik tumpukan kutipan data terhadap persepsi, iaitu perkara yang difikirkan oleh sampel penyelidikan yang mewakili populasi. Jika tidak, penyelidik akan dianggap terlalu ideal, selain nilai praktikaliti (kepentingan, signifikan) penyelidikan yang rendah.
Sesungguhnya masalah penyelidikan merupakan huraian atau justifikasi kepada pemilihan tajuk penyelidikan. Sebab itulah bagi sesetengah penyelidik, pemilihan tajuk yang muktamad hanya dilakukan setelah masalah penyelidikan ditentukan terlebih dahulu. Masalah penyelidikan boleh sahaja dianggap sepenti anak kunci, atau pembuka jalan kepada keseluruhan penyelidikan.
Senarai Semak Menetapkan Masalah Penyelidikan
1 Penyelidik memiliki pengetahuan / akses maklumat tentang masalah yang dikenal pasti
2 Penyelidik memiliki sumber (tenaga, masa, perbelanjaan) yang mencukupi
3 Penyelidik mengenal pasti responden (30 - 50 sampel untuk kaedah tinjauan)
4 Masalah yang dipilih bersifat jelas / mudah mendapat data
5 Masalah yang dipilih adalah penting, paling tidak mengubah cara penyelidik menanggapi sesuatu fenomena
6 Memberi gambaran awal tentang jenis data dan kaedah analisis data
7 Menyatakan secara khusus tentang pemboleh ubah dan populasi yang diselidiki
Panduan Menulis Pendahuluan
Ibarat baru berkenalan dengan seseorang, penyelidik menerangkan secara ringkas tentang latar belakang penyelidikan yang dilaksanakan. Penjelasan yang mendalam dan terperinci tidak perlu dimuatkan dalam bab pendahuluan ini. Pembaca tidak perlu dibosankan dengan petikan sumber dan teori terlalu mendadak.
i. Keadaan yang sepatutnya ada / berlaku
ii. Keadaan yang sebenarnya berlaku
iii. Harapan penyelidik terhadap hasil penyelidikan
Seterusnya penyelidik menulis huraian umum tentang masalah penyelidikan yang ditetapkan dengan menyatakan kepentingan untuk melaksanakan penyelidikan: siapa / organisasi mana yang bakal beroleh manfaat daripada penyelidikan anda? Pastikan hanya terdapat dua pemboleh ubah yang hendak diselidiki, iaitu satu pemboleh ubah bebas, dan satu pemboleh ubah bersandar. Pemboleh ubah bebas akan anda ukur menerusi kutipan data, manakala pemboleh ubah bersandar hendaklah dikawal, iaitu dimalarkan.
Pemboleh ubah bersandar ialah perkara yang hendak dijelaskan. Misalnya, potensi kepimpinan pelajar prauniversiti ialah pemboleh ubah bersandar. Maka, terdapat banyak sekali pemboleh ubah bebas yang mempengaruhinya, sebagai contoh: kem motivasi, penglibatan kokurikulum, pengaruh tokoh. Jika anda memilih kokurikulum, kecilkan lagi kepada misalnya aktiviti kawad kaki.
Untuk semakan, pemboleh ubah yang ditetapkan hendaklah:
a) boleh diukur / dibuktikan menerusi pengumpulan data;
b) tidak mengandungi unsur emosi, atau menyalahi mana-mana etika
c) mempunyai kepentingan untuk penyelidikan
Sebaik-baiknya kedua-dua pemboleh ubah ditakrifkan dalam konteks penyelidikan, iaitu definisi yang bersifat operasional. Secara mudah, penyelidik menjelaskan maksud pemboleh ubah berdasarkan keperluan penyelidikan. Tidak semestinya maksud istilah daripada kamus digunakan untuk tujuan ini.
Apabila mencatatkan kepentingan penyelidikan kepada mana-mana individu / organisasi, nyatakan dalam bentuk mengatasi kekurangan yang masih ada. Kepada penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6, kepentingan penyelidikan ialah kepada:
1 populasi yang anda selidiki: pelajar tingkatan 6
2 organisasi anda: pentadbiran sekolah / pengurusan tingkatan 6 / kementerian pelajaran
3 masyarakat umum: warga sekolah / ibu bapa / PIBG / OMA / penaja, dan lain-lain
Tuliskan dalam bentuk senaraian ayat bagi setiap kepentingan yang anda tetapkan.
Hasil penyelidikan yang baik hendaklah disebarluaskan. Maka, persembahan laporan penyelidikan hendaklah ditulis dalam bahasa yang tepat, jelas dan difahami oleh pembaca biasa, terutama dalam bab pendahuluan ini. Penyelidik hendaklah menggunakan ayat penyata yang berbentuk ayat aktif.
Kecenderungan menggunakan kata-kata yang kabur, atau yang terlalu teknikal hendaklah dihindari. Setelah penyelidik selesai menulis bab 1, semakan boleh diserahkan kepada rakan penyelidik yang lain (peer review) bagi mendapatkan pandangan kedua. Huraian tentang persembahan laporan penyelidikan akan dibuat dalam satu perbincangan yang khusus...
Rujukan
Abdul Rashid Moten (1998). A Guide to Research Proposal and Report Writing. Gombak: International Islamic University Malaysia.
Fraenkel, Jack R. dan Wallen Norman E. (1993). How To Design and Evaluate Research. New York: McGraw Hill Inc.
Khalid Johari (2003). Penyelidikan Dalam Pendidikan: Konsep dan Prosedur. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson.
Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Sabitha Marican (2009). Penyelidikan Sains Sosial: Pendekatan Pragmatik. Kuala Lumpur: Edusystem Sdn. Bhd.
bersambung...
1 comment:
Slm cikgu,
Artikel ini banyak membantu saya dalam memulakan penulisan tesis. Keep up good writing.terima kasih.
Post a Comment