SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, October 3, 2010

BIDUK LALU KIAMBANG BERTAUT (RIVER FRONT TOURISM)

Kalau disebut sahaja sungai, terbayanglah kita akan pencemaran yang tidak kunjung sudah dibincangkan. Sungai Juru dan Sungai Kelang ialah antara sungai yang memerlukan kos rawatan air yang begitu tinggi mencecah puluhan bilion ringgit. Pastilah banyak kontraktor yang memasang angan-angan untuk merebut tender yang mengembungkan poket mereka jika berjaya dalam proses bidaan.
Negara maju telah lama menjadikan sungai sebagai salah satu daya tarikan pelancongan. Sungai Thame di London dan Sungai Rhine di Jerman begitu mengasyikkan pelancong yang berkesempatan menelusurinya. Konsep yang sama telah mula cuba diterapkan di negara kita.
Dari segi sejarah, kawasan berhampiran sungai akan berkembang menjadi zon petempatan, pusat pertumbuhan ekonomi dan nadi pentadbiran kerajaan. Sungai berfungsi membekalkan segara keperluan sumber air, sama ada untuk keperluan isi rumah, aktiviti pertanian dan pengangkutan. Malah,  kaum bangsawan atau pembesar yang menguasai kerajaan akan mengenakan cukai laluan sungai, sama seperti kutipan tol lebuh raya masa kini.
Sungai juga menjadi punca rezeki nelayan kecil-kecilan. Sumber protein yang penting terdapat di sungai. Kata mereka, jika terdapat buaya di sungai, maknanya udang galah (yang harganya boleh  mencapai RM50 sekilogram) membiak dengan banyaknya di kawasan itu!
Hingga kini, sungai masih menjadi sumber bekalan air bersih setelah melalui proses rawatan di loji-loji berteknologi tinggi. Paras sungai juga menjadi penyukat amaran banjir, contohnya di tangga Krai (Bradley) di Kuala Krai dan Sungai Kinta di Tanjung Rambutan. Penyelidikan tentang kelikatan air sungai (ukuran pH) juga mungkin membongkar lebih banyak misteri tentang sungai yang masih belum ditemukan.
Konsep pelancongan sungai seperti di Kuala Kangsar, Kuching dan Melaka membuka peluang-peluang ekonomi yang baharu. Pembinaan rumah chalet, resort dan kemudahan penyusuran sungai bakal menambah senarai projek yang boleh dimajukan oleh usahawan pelancongan. Jika kena gaya promosinya, pelancong domestik dan asing yang teringin merasai pengalaman kehidupan di tepi sungai pasti sanggup memperuntukkan sejumlah perbelanjaan asalkan aspek keselamatan dan keselesaan mereka diberikan perhatian yang secukupnya.
Peribahasa yang menjadi tajuk catatan artikel ini memiliki nilai kebijaksanaan dan signifikan masyarakat Melayu zaman dahulu. Biduk lalu kiambang bertaut membawa maksud bahawa lebih baik jangan dicampuri perselisihan atau pertingkahan orang yang bersanak saudara, justeru mereka akhirnya akan berbaik-baik semula. Dalam kata lain, campur tangan pihak ketiga dalam pertikaian dalaman sesebuah keluarga tidak dialu-alukan.

Peribahasa lain yang menggunakan biduk (sejenis perahu untuk kegunaan menangkap ikan, atau untuk pengangkutan), termasuklah:

1   biduk kalau tidak berkemudi, bagaimana ia akan laju
     (sesuatu pekerjaan yang dikerjakan tanpa kepandaian payah berhasil;
      lebih kurang maksim working smart rather than working hard);

2   biduk pecah nakhoda mati, anak buah cerai-berai
     (perihal suatu perusahaan yang muflis, ketuanya meninggal, pekerjanya kucar-kacir);

3   biduk satu nakhoda dua
     (orang yang menduakan suami; satu pekerjaan dua ketua)

4   lain biduk lain digalang
     (lain disoal, lain dijawab / lain yang berbuat salah, lain yang tertuduh)

5   pacak mencerca biduk orang, biduk sendiri tak terkayuh
     (kesalahan orang lain tampak, kesalahan sendiri tidak tampak)

6   seperti biduk dikayuh hilir
     (mengerjakan pekerjaan yang digemari)

7   terkatung-katung macam biduk patah kemudi
     (peri sengsara di rantau orang dan tiada yang menolong)

8   tertumbuk biduk dikelokkan, tertumbuk kata difikiri
     (kalau sesuatu pekerjaan terbantut, hendaklah dicari jalan lain)

9   tertumpang di biduk tiris
     (terikat (tersekutui) pada pekerjaan yang merugikan)

10   tiada biduk karam sebelah
       (apabila seseorang mendapat kesusahan, kaum keluarganya menderita juga)

11   biduk upih pengayuh bilah
       (tidak berdaya untuk melakukan sesuatu pekerjaan)

Kiambang pula ialah sejenis tumbuhan yang terapung-apung di air. Nama saintifiknya pistia stratiotes.  Kiasan "ibarat kiambang" membawa erti tidak teguh, tidak tetap.

Peribahasa "bagai (seperti) kiambang dilempar" merujuk bersurai seketika kemudian berkumpul semula. Institusi keluarga yang dinisbahkan sebagai kiambang itu sebenarnya gambaran realiti keluarga yang mudah dilanda krisis. Maka, kepimpinan sesebuah keluarga hendaklah sentiasa didasari dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang sah...

 (sila rujuk Kamus Dewan, atau koleksi peribahasa)

No comments: