Sunday, October 17, 2010
SI JAGUH DAN SI COROT (THE WINNER AND THE THE LOSER)
Meminjam istilah yang sering digunakan oleh Cikgu Abdul Rahim Abdullah Azizi, seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Perak, iaitu si jaguh dan si corot, mungkin berguna untuk muhasabah diri. Beliau banyak merujuk buku-buku motivasi, dan berjaya menyenaraikan sempadan tingkah laku antara si jaguh dan si corot. Antaranya:
1 Si corot selalu ada alasan, si jaguh selalu ada perancangan;
2 Si corot selalu berkata: masalah itu boleh diatasi tetapi sukar,
si jaguh selalu berkata: masalah itu sukar tetapi boleh diatasi;
3 Si corot mengatakan: itu bukan kerja aku,
si jaguh mengatakan: bolehkah saya bantu?
Pepatah Inggeris ada menyebut, the quitters never win, the winners never quit. Maksudnya sang penarik diri (si corot) tidak pernah menang, sang pemenang (si jaguh) tidak pernah menarik diri. William Shakespeare mengatakan bahawa kejayaan boleh diringkaskan dalam tiga ayat:
1 tahu lebih banyak daripada orang lain (know more than others);
2 bekerja lebih kuat daripada orang lain (work more than others); dan
3 mengharap kurang daripada orang lain (expect less than others)
Manusia yang panjang angan-angan (tanpa berusaha) sebenarnya menempah kemusnahan. Demikian peringatan yang kerap disebut dalam al-Qur'an dan al-Hadith. Walaupun imej Mat Jenin cuba dipositifkan, namun stigma bermalas-malas tidak boleh dikompromikan.
Orang yang tidak berbuat apa-apa mungkin tidak melakukan sebarang kesilapan. Sebaliknya, orang yang berusaha mungkin berhadapan dengan risiko kesilapan. Albert Enstien mengatakan: saya tidak suka mengatakan bahawa saya telah silap 1,000 kali, tetapi saya akan mengatakan bahawa saya telah menemui 1,000 cara yang mungkin menjurus kepada kesilapan.
Peraturan kerja tukang kayu: ukur dua kali, potong sekali (measure twice cut once) menjadi metafora untuk proses perancangan. Jika anda gagal untuk merancang, maka anda sebenarnya merancang untuk gagal (if you fail to plan, you plan to fail). Saidina Ali mengungkapkan: al-batil bi'n-nizam yaghlibu'l-haqqa bi ghairi'n-nizam, yang palsu dengan perancangan dapat mengalahkan yang benar tanpa perancangan.
Legenda tinju dunia, Muhammad Ali mengatakan: when we are right no one remember, but when we are wrong no one forget, apabila kita betul tiada sesiapa yang ingat, tetapi apabila kita silap tiada sesiapa yang lupa. Pepatah Jepun mengatakan: jatuh tujuh kali bangun lapan kali (fall down seven times, get up eight). Hellen Keller mengatakan: satu pintu tertutup, lebih banyak pintu masih terbuka.
Pengalaman pengurusan menunjukkan bahawa menolong orang membawa bahagia, mengharap orang membawa derita. Maknanya, kalau kita selalu berharap orang lain akan menghulurkan pertolongan untuk membereskan sesuatu kerja kita, kesudahannya mungkin sekali kekecewaan. Maka, dalam kerja-kerja yang berstatus penting dan segera, lakukan sendiri!
Kesimpulannya, sikap si jaguh hendaklah dicontohi, manakala sikap si corot dijauhi. Kedua-dua sikap itu sebenarnya bertarung dalam diri kita sendiri. Cermin-cermin diri, sambil berwaspada dengan pengaruh si corot yang berada di sekeliling kita...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment