SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 20, 2010

PENGARUH PERSONALITI GURU TERHADAP PENCAPAIAN MURID (THE INSPIRING TEACHER AND LEARNING OUTREACH)

Damak baru dipindahkan ke kelas 4 Sains 1 sebagai mematuhi dasar 60:40 nisbah enrolmen pelajar jurusan sains berbanding sastera. Guru pertama yang masuk ialah Pak Jusuf, guru import dari Indonesia yang mengajar Matematik Tambahan. Buku teks yang digunakan disusun oleh Tan Wang Seng, seorang profesor matematik di Universiti Sains Malaysia.

Pak Jusuf agak pendek orangnya, dan bertubuh sederhana gempal. Wajahnya serius sahaja sambil  melontarkan pandangan ke seluruh kelas. Murid hanya diam membatu dan senyap ketupas menunggu butir percakapan yang akan dilafazkan.

Agaknya begitulah gaya set induksi Pak Jusuf, iaitu dialog dalaman tanpa suara. "Hantar buku latihan sekarang!" Ketua kelas dengan segera membuat tindakan mengutip buku dari meja ke meja. 

"Siapa-siapa yang tidak hantar, silakan mara ke hadapan." Spontan empat orang murid termasuk Damak melangkah longlai sambil menyembunyikan perasaan cemas dan berkecamuk, lalu terus merapati papan hitam. Mereka kini bagaikan pesalah yang menunggu perintah hukuman sang hakim.

"Kamu namanya siapa?" "Damak, cikgu, errr.. pak". "Apa-apaan kamu, apa justifikasi kamu?"

Damak yang tidak memahami lenggok sebutan pekat Indonesia Pak Jusuf terus menjawab, "basikal saya rosak, pak". "Apa? spedarnya berantak?". Perkataan "spedar" yang seakan-akan berbunyi spendar (celana kecil, seluar dalam) segera menggamatkan kelas. Damak merah padam menahan emosi yang menggelegak.

Sejak itu, Pak Jusuf dibencinya. Suara Pak Jusuf, pakaian Pak Jusuf, cara bergerak Pak Jusuf dibenci sekali gus bagaikan satu pakej. Malah, Damak juga benci dengan semua yang berkaitan Pak Jusuf, termasuk mata pelajaran Matematik Tambahan walaupun dia sedar bahawa kalau hendak jadi jurutera yang jadi impiannya dia tidak boleh begitu...

Anekdot di atas ialah kisah benar yang disaksikan sendiri oleh penulis blog ketika belajar di sebuah sekolah. Damak akhirnya mendapat gred gagal (F9) dalam Matematik Tambahan walaupun mendapat C3 dalam Matematik Moden. Damak layak juga memasuki tingkatan enam rendah sains, namun terpaksa bertukar ke aliran sastera kerana asas Matematik Tambahan yang tidak mencukupi justeru semua mata pelajaran sains tingkatan 6 diintegrasikan dengan aplikasi matematik tambahan.

Apabila Damak memasuki universiti, dia tidak dapat lari juga daripada aplikasi matematik tambahan dalam kursus ekonomi dari tahun pertama hingga akhir. Anehnya, Damak bukan sahaja tidak menghadapi masalah dalam aplikasi matematik tambahan seperti algebra, janjang geometri, kalkulus, kebarangkalian, matriks, trigonometri, dan statistik, bahkan mendapat gred A. Damak lulus ijazah pertama dengan cemerlang.

Refleksi aktiviti pembelajaran murid


Matematik Tambahan ialah mata pelajaran baharu yang diperkenalkan kepada murid tingkatan empat. Kandungan dan pendekatannya lebih bersifat abstrak. Murid yang lambat menangkap penggunaan simbol seperti x, y, alpha, beta , dy/dx, dan istilah khusus akan terpinga-pinga jika tidak mendapat bimbingan dan dorongan yang secukupnya. Peranan guru ialah membawa dunia yang abstrak itu ke alam konkrit, iaitu pengalaman sebenar murid di dunia nyata.

Semua pemboleh ubah yang diperkenalkan hendaklah jelas dan murid diberi peluang menguasainya menerusi pedoman kemahiran generik pembelajaran matamatik tambahan. Murid yang lebih cekap boleh diberi peranan membimbing rakan yang menghadapi kesukaran. Tugasan susulan (penilaian formatif) sebaik-baiknya direka bentuk berdasarkan tahap pencapaian murid yang berbeza-beza.

Dalam kes Damak di atas, pengalaman buruk semasa pertama kali mengenali guru Matematik Tambahannya menyebabkan dia tercicir tanpa dipulihkan oleh guru yang berkenaan. Sudah jelas bahawa Damak seorang murid yang sentimental, iaitu terbawa-bawa oleh emosi. Maka, Pak Jusuf harus menggunakan segala ilmu pedagogi dan psikologi semasa menjalani latihan perguruan bagi membantu murid seperti Damak.

Pemerhatian Aktiviti Pembelajaran


Andaikan Pak Jusuf diarahkan menjalankan kajian tindakan terhadap sekumpulan murid seperti Damak supaya intervensi dapat dilaksanakan bagi meningkatkan pencapaian mereka. Setelah mengenal pasti isu keprihatinan pembelajaran murid sentimental, dia harus mencari dapatan penyelidikan atau saranan pakar bagi mengungkapkan masalah kajian dengan lebih jitu. Pengetahuan tentang gaya pembelajaran murid sentimental bakal membantu Pak Jusuf merancang program intervensi.

Murid sentimental mudah hanyut dan menarik diri. Pak Jusuf harus memerhatikan perkembangan minat dan penglibatan murid sentimental. Jika murid sentimental didapati mula hendak tenggelam punca, Pak Jusuf mesti cepat-cepat meyelamatkan mereka.

Pencapaian murid ialah bayangan kebolehan guru. Jika Pak Jusuf hanya masuk kelas untuk menghabiskan sukatan pelajaran, memuji murid pintar dan mengherdik murid yang ketinggalan, hakikatnya Pak Jusuf ialah guru yang gagal, tidak kompeten dan tidak layak bergelar seorang pendidik yang budiman. Pak Jusuf patut menjalani latihan semula untuk menghidupkan permit keguruannya!

Tindakan / Perancangan


Langkah intervensi mungkin memerlukan pendapat kedua. Maksudnya, cadangan secara individu mungkin bersifat "syok sendiri" jika tidak dirujuk kepada rakan yang sama bidang atau dapatan penyelidikan yang autentik. Setelah disenarai pendek dan disaring, Pak Jusuf boleh memilih satu langkah intervensi terhadap kumpulan murid sentimental (kumpulan rawatan) dan murid pintar sebagai kumpulan kawalan.

Data, sama ada kuantitatif atau kualitatif, boleh dicatat dalam jurnal atau buku log kajian. Tempoh masa tertentu, misalnya sebulan, hendaklah ditetapkan. Pada akhir tempoh berkenaan, kedua-dua kumpulan kawalan dan rawatan akan diberi penarafan menerusi instrumen pengukuran yang bersesuaian.

Jika intervensi pertama itu masih kurang berjaya, langkah intervensi yang lain boleh diulang uji dalam pusingan seterusnya. Pak Jusuf tidak boleh berputus asa dalam melayani murid sentimental. Cabaran mengubah tingkah laku dan meningkatkan minat mereka dalam proses pembelajaran mata pelajaran seabstrak Matematik Tambahan ialah tugas asasi yang menjadi ikrar keguruan Pak Jusuf...

Perbincangan


Segala butiran kajian tindakan yang bermula daripada refleksi, pemerhatian, dan perancangan didokumentasikan dalam sebuah laporan. Data-data mentah dianalisis, serta dimurnikan. Dapatan dikaitkan semula dengan isu keprihatinan yang dipilih sebagai masalah kajian.

Kesimpulan yang berkaitan dengan intervensi dan pengetahuan tentang bidang keprihatinan dibincangkan secara khusus berdasarkan implikasi dapatan kajian. Saranan penambahbaikan juga dicatatkan untuk kajian lanjutan. Pendek kata, kajian tindakan tidak berakhir dengan sekali pusingan sahaja...

No comments: