SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, February 28, 2011

KAJIAN BAB 10 KEMBARA AMIRA (THE X THEORY?)

Sinopsis


Setiba di stesen kereta api dari Pulau Pinang, Malique menunggu Roslan, pemandu yang disenanginya. Roslan, bekas pemandu lori balak memilih bekerja di hutan kerana sebagai anak tunggal, dia mahu menjaga emaknya. Malique pula terpaksa mengikut O'Hara atas desakan ibunya, namun hatinya berasa terikat dengan hutan itu, walaupun sukar baginya menerima O'Hara. Sedang Malique memikirkan notebook yang baru dibeli, muncul Roslan dengan berita pergaduhan 3 orang pekerja akibat mabuk,dan judi semasa ketua pekerja Ah Chin yang mengambil kesempatan berburu sepanjang ketiadaan O'Hara. Malique dilarang berkawan dengan mereka, malah itulah sebab O'Hara mahu Malique mengikutnya. Roslan juga menceritakan peristiwa kemalangan Amira, JC, Pak Lias dan Prof. Zaidah. Malique terkejut dengan tujuan Amira hendak berjumpa dengannya hingga membahayakan nyawa sendiri. Sementara itu, di Desa Karpus, Amira cuba mengorek rahsia ramuan ubat yang digunakan Ludin untuk ibunya, tetapi Itai lebih berminat dengan ensiklopedia di dalam notebook. Namun, penjelasan Itai tentang rahsia herba membuatkan Amira mengingat semula bahawa mereka pernah bertanding dalam Pameran Saintis Muda 2002. Itai mendapat tempat kedua dengan projek herba, menewaskan pasukan Amira dan Jacinta. Tiba-tiba Itai mencadangkan pencarian maklumat tentang emas kerana dia tahu lokasinya di hutan itu...

SAJAK "KETENANGAN" KOMSAS TINGKATAN 2 (THE ROOT OF HAPPINESS)

Pengenalan

Sajak karya Nor Rasidah Mohd (antologi Gema Sepi Gadis Genius: muka surat 25) membawa tema kemelut yang dihadapi oleh manusia dalam mencari ketenangan. Perjalanan manusia dalam mencari ketenangan jiwa ialah suatu cabaran dalam kehidupan. Bukan kesenangan, kekayaan dan kemewahan sebagai punca ketenangan, melainkan ilmu dan iman.

          Aku terus berjalan
          tanpa menghiraukan rintangan
          cabaran yang menghalang
          air mataku menitis
          jiwaku meraba
          hatiku terseksa
          mencari ketengan jiwa.

Usaha mencari ketenangan jiwa tidak semudah yang disangkakan, tetapi mesti diteruskan dengan melepasi segala rintangan dan cabaran. Antara lain, seseorang manusia (diwakili "aku") harus menitiskan air mata, mengalami gelodak jiwa dan hati yang terseksa dalam proses mencari ketenangan. 

           Ketenangan
           Kini kutemuimu
           suasana sepi menjadi riang
           suasana gelap menjadi terang.

Setelah ketenangan ditemui, berlaku perubahan besar dalam diri manusia. Suasana sepi yang mencengkam jiwa mereka bertukar menjadi riang bahagia. Suasa gelap yang dirasakan menyelubungi diri mereka selama ini sudah berubah kepada cahaya yang terang-benderang.

          Kini kusedari
          bahawa ketenangan 
          bukan datangnya
          dari kesenangan
          kekayaan dan kemewahan.

Akhirnya "aku" menyedari bahawa ketenangan yang dicari bukanlah disebabkan oleh kesenangan hidup, kekayaan dan kemewahan yang dimiliki. Dalam kata lain, sangkaan bahawa dengan mengejar-ngejar kesenangan, kekayaan dan kemewahan tidak menjamin seseorang dapat mengecapi ketenangan.

          Berilmu dan beriman
          di situ ia datang
          menjadikan jiwaku tenteram
          apabila aku mendekati-Nya.

"Aku" mendapati bahawa punca ketenangan jiwa yang ditemuinya ialah beriman dan berilmu. Apabila "aku" mendekatkan diri dengan Allah, jiwa "aku" menjadi tenteram sekali. Iman dan ilmu ialah anak kunci ketenangan yang dicari-cari.
            

HITUNGAN NILAI TAMBAH DALAM KAEDAH KELUARAN (VALUE ADDED AND THE NATIONAL INCOME ACCOUNTING)

Pengenalan

Nilai (di)tambah ialah peningkatan nilai sesuatu barangan selepas melalui proses pengeluaran tertentu. Dalam kata lain, nilai tambah ialah kenaikan nilai keluaran yang diterima oleh pemilik faktor daripada sumbangan tiap-tiap peringkat pengeluaran. Jumlah nilai tambah akan bersamaan dengan nilai barang akhir atau barang siap, dan penggunaannya akan mengelakkkan masalah kiraan dua kali dalam keluaran negara.

Data hipotetikal

Andaikan dalam keluaran kayu terdiri daripada tiga peringkat pengeluaran, iaitu bahan mentah, barang separuh siap dan barang siap. Bahan mentah ialah kayu balak, barang separuh siap ialah kayu digergaji dan barang akhir ialah perabot. Diandaikan bahawa tiada urusan eksport import atau cukai.
Peringkat
Keluaran
Nilai (RM)
Nilai tambah (RM)
bahan mentah
kayu balak
200
200 – 0 = 200
separuh siap
kayu digergaji
500
500 – 200 = 300
siap / akhir
perabot
1,000
1,000 – 500 = 500
JUMLAH
1,700
1,000

     
Pada peringkat bahan mentah, pengeluaran kayu balak menghasilkan nilai tambah sebanyak RM200, iaitu RM200 - RM0. Setelah diproses menjadi kayu gergaji yang masih bersifat barang perantaraan, nilai keluaran meningkat kepada RM500, iaitu peningkatan nilai tambah sebanyak RM300. Nilai tambah bagi kayu gergaji bersamaan dengan RM500 - RM200. 

Seterusnya apabila kayu gergaji diproses menjadi perabot, keluaran bertukar kepada barang akhir atau barang siap yang sedia untuk dijual kepada pengguna akhir. Andaikan nilai perabot ialah RM1,000. Maka nilai tambah ialah RM1,000 - RM500, iaitu meningkat sebanyak RM500.

Jumlah nilai tambah bagi ketiga-tiga peringkat pengeluaran ialah RM200 + RM300 + RM500, iaitu RM1,000. Jumlah nilai tambah itu sama dengan nilai barang akhir, iaitu harga jualan perabot. Sebaliknya jika semula nilai barang dicampur mengikut peringkat pengeluaran, jumlahnya ialah RM1,700. Terdapat selisih sebanyak RM700.

Penghitungan nilai keluaran negara akan terlebih nilai jika hitungan dibuat berdasarkan nilai akhir setiap peringkat keluaran. Bagi mengelakkan masalah kiraan dua kali, kaedah mencampur nilai tambah bagi setiap peringkat keluaran lebih tepat.

Sunday, February 27, 2011

"HANTU KAK LIMAH" DI ASRAMA SEKOLAH (THE STORY OF SCHOOL HOSTEL)

Ketika penulis blog (PB) bertugas di SM Teknik Ipoh (Persiaran Brash), budak-budak asrama mendakwa kononnya terlihat macam-macam makhluk misteri yang menyeramkan. Kebetulan di belakang blok asrama mereka ialah kawasan jirat Cina yang cukup luas, bersebelahan Padang Polo hingga ke Tambun Inn. Perkara yang sama juga tersebar dalam kalangan budak Izzuddin Shah dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).

Ada individu yang bersungguh-sungguh mengatakan bahawa ketiga-tiga buah sekolah yang disebutkan ialah bekas zon operasi tentera Jepun menyeksa tahanan, dan ada juga yang mengatakan bahawa ketiga-tiga sekolah menjadi laluan jin yang tinggal di kawasan gunung-ganang berhampiran. Agak sukar untuk mengesahkan dakwaan demikian, kecuali daripada mulut orang kasyaf (pandang tembus). Namun, sebagai orang yang beriman, kewujudan jin dan iblis syaitan sebagai bahagian alam ghaib wajib dipercayai.

Sumber dari sebuah asrama puteri yang lain mengatakan seorang penghuni yang turut terkena histeria selepas ternampak seekor makhluk hitam bersaiz besar dan hodoh memandang ke arahnya. Di sebuah blok sekolah lain pula, pada waktu malam macam-macam bunyi yang menegakkan bulu roma akan didengari. PB sendiri pernah berurusan di aras 3 sebuah sekolah pada suatu malam apabila tiba-tiba ternampak suasana yang cukup riuh dan terang-benderang di satu sudut aras bumi, walhal kawasan sekeliling sebenarnya belukar!

Seorang rakan yang tidak begitu mempercayai gangguan makhluk halus akhirnya terpaksa mengangkat bendera putih. Setelah tiga bulan mengalami pelbagai peristiwa aneh dan menakutkan, rakan itu pindah ke rumah sewa yang lain. Walaupun jemaah surau dipanggil membaca Yasin, sebaik mereka balik, gangguan seperti bunyi air, botol susu anak disembunyikan, anak kelu ketakutan dan macam-macam lagi muncul semula.

Gangguan sihir yang dihembus oleh pengamal ilmu hitam yang jahat juga biasa kita dengar. Dalam satu kes di sebuah sekolah di Hilir Perak, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tiba-tiba berhenti sekolah kerana bernikah dengan seorang tua berusia 70-an yang yang layak dipanggil datuk sahaja. Sebagai ikhtiar, kita digalakkan menjadikan 3-Qul (surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas) amalan pendinding daripada hembusan dan simpulan jin atau manusia yang bermaksud jahat.

II


Beralih kepada cerita "Hantu Kak Limah". Sebenarnya PB tidaklah suka menonton filem di skrin televisyen yang sudah pasti mengambil masa yang panjang. Namun, atas ajakan "rakan", PB sempat juga menonton naskhah Hasan Mutalib, "Hantu Kak Limah Balik ke Rumah" menerusi saluran berbayar Astro First.


Filem lakonan Awie Wings, Umi Nazira, Johan Raja Lawak dan Zami itu masuk dalam kategori komedi ringan. Lokasi yang berkisar di kawasan gerai Pak Jabit, bapa Cik Nin (bekas tunangan Husin), rumah Kak Limah, rumah Husin dan balai raya tidak menjemukan kerana olahan kata bual (skrip) yang kelakar. Penonton pasti sukar melupakan dialek (loghat) Kuala Kangsar yang digunakan seperti:

1   Masuk le Kak Limah, nanti dikokak nyamuk tu karang, demam topioka nanti...

2   Ci cerita, ci cerita

3   Nampak benor nipunye


(maaflah kalau tersalah catat)


Elemen masuk akal memang perkiraan terakhir sesebuah filem yang bersifat hiburan per se. Namun, Hasan Mutalib bijak menyelitkan mesej di sebalik kelucuan yang timbul daripada tingkah laku watak penduduk kampung yang menonjolkan kaum lelaki dewasa. Misalnya, kebanyakan bomoh ialah kaki temberang.

Bomoh "Indon" yang kononnya telah menewaskan makhluk salji di Eropah dan menghapuskan mumia dekat piramid kecundang sebaik sahaja terpegang kepala Kak Limah. Kemudian, bomoh Siam yang berjaya memunculkan hantu-hantu belaannya akhirnya dikeronyok oleh Kak Limah yang gagah itu. Mantera yang dibaca juga berbunyi "pelawok, pelawok, pelawok..." (pelawak dalam kalangan masyarakat pantai timur bererti penipu).

Kak Limah yang disangka hantu itu sebenarnya ialah ibu kepada Musalman, pekerja Rosyam Noor (Suhan Movies), yang terlepas daripada Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan. Hantu sebenar ialah Cik Nin (yang hanya dapat dilihat oleh Husin dan bomoh Siam), serta Ayu (dilihat Husin). Tindakan berasaskan sangkaan ternyata meleset.

Pada PB, Hasan Mutalib berjaya membuktikan bahawa sebuah filem yang memenuhi fungsi hiburan santai tidak perlukan adegan sentuh-sentuh (walaupun kononnya suami isteri) atau dipenuhi watak kaya yang bersandar dalam kereta mewah, serta menuturkan bahasa rojak. Hanya cukup dengan orang-orang kampung yang menunggang motosikal kuasa tinggi (Husin), basikal (Usop "lembut"), motor (Abi Hurairah) dan sebuah ambulans. Janganlah pembikin filem membuat pelbagai alasan darurat (pengecualian hukum-hakam) atas alasan ikut kehendak skrip yang dipengaruhi nafsu serakah orang-orang yang ada penyakit dalam kalbunya...

Saturday, February 26, 2011

HIKAYAT OPU DAENG MENAMBUN (THE KING'S FAMILY TREES)

Pengenalan

Bagi memahami hikayat ini, murid perlu membuat carta pohon jurai keturunan kesultanan Melayu. Berdasarkan bahagian pengenalan prosa klasik (antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 31), tujuan hikayat ini dipilih ialah untuk memberi panduan kepada murid betapa pentingnya mengetahui jurai keturunan mereka sendiri. Dari segi sejarah, pengetahuan tentang jurai kesultanan Melayu akan memberi gambaran tentang ketuanan Melayu dan kebesaran kerajaan Melayu pada abad ke-18 dan strategi pengukuhan diplomatik menerusi institusi perkahwinan.

Jurai keturunan Raja Majapahit


Sultan Muhammad Saiffuddin ialah generasi kelapan. Baginda mempunyai 6 orang cucu daripada anaknya, Sultan Muhammad Zainuddin. Cucu sulung, Puteri Kesumba berkahwin dengan Opu Daeng Manambun (ODM), raja Bugis.

ODM pula mempunyai lima orang adik-beradik yang bertebaran menguasai tampuk kerajaan Riau, Sambas, dan Mempawah. ODM sendiri mempunyai 10 orang anak, 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan. Anak lelaki bergelar Gusti, dan yang perempuan bergelar Utin.

Anak kedua Sultan Muhammad Saiffuddin bernama Pangeran Agung ( 7 anak --> lelaki bergelar Pangeran, perempuan bergelar Utin). Anak perempuan (ketiga) bernama Puteri Indera Kusuma.

Adik perempuan Sultan Muhammad Saiffuddin, Ratu Surya Kusuma dikahwinkan dengan Raja Tengah, putera Raja Berunai. 

Friday, February 25, 2011

"PENGORBANAN" BAB 8, AKHIR "ERTI SEBUAH PENGORBANAN" (THE FINAL EPISODE)

Sinopsis


Nama Iman Zulaikha binti Yusri menjadi buat mulut (sebutan) warga sekolah apabila menggondol kejuaraan pidato. Iman dan Yusri juga saling bermaafan. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang diumumkan oleh Cikgu Julia meletakkan Iman di tempat kedua di belakang Adif Danial, serta di hadapan Haris Fadzillah. Dalam pada itu, Zulkarnain membuat kejutan dengan melafazkan perasaannya kepada Pei Wen secara terbuka. Adif yang akan kembali bersekolah di Kuala Lumpur merendah diri dengan mengatakan bahawa nombor bukanlah segala-galanya. Zulkarnain sekali lagi mengusik tentang kesanggupan Iman dan Adif menanggung rindu akibat berjauhan. Tiba-tiba Cikgu Shaharudin, guru disiplin masuk ke kelas 1 Dinamik. Iman dan Linda dipanggil ke hadapan kelas. Cikgu Shaharudin menunjukkan diari ungu Iman yang hilang sambil memandang Linda yang hanya mampu tunduk. Iman sungguh terkejut, manakala Linda dituntut membuat pengakuan merancang perbuatan itu serta-merta atau dihadapkan kepada pengetua. Akhirnya, Iman memilih untuk memaafkan Linda, menyebabkan Linda terharu lalu terus mendakap Iman. Di rumah datuk dan nenek, pada sebelah petangnya diadakan kenduri kesyukuran. Iman mengenakan baju kurung ungu kegemaran ibu dan ayahnya juga. Pei Wen bersama-sama Pak Cik Lim, bapanya, serta ibu tiri hadir dengan khabar akan menimang cahaya mata lagi. Yusri juga rupa-rupanya sering berutus e-mel dengan Ruhaida. Dalam majlis itu, Iman mendapati tingkah laku Mak Cik Sofia tidak ubah seperti ibunya sendiri. Usai majlis, Iman melayan perasaan sedihnya tentang Adif yang bakal berpindah sekolah. Kemudian, Yusri muncul mengkhabarkan rancangan bercuti ke New Zealand. Mereka akan disertai datuk dan nenek menziarahi ibu di New Zealand. Pengakuan Yusri untuk bersatu semula dengan Ruhaida ialah pengorbanan yang sukar dibalas oleh Iman, dan Iman bersyukur justeru doanya telah dimakbulkan Ilahi...

ISLAM BERMULA DAGANG? (SPREADING MESSAGES)

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, Bada'al Islamu ghariban fasaya 'udu bada'a ghariban, faTuba lil-ghuraba' (au kama qala). Mafhumnya: Permulaan Islam itu dagang (asing), berakhir juga dagang, maka berbahagialah orang-orang yang dagang.

Hadith berkenaan dibacakan oleh khatib di mimbar Jumaat di sebuah masjid di Ipoh petang tadi. Hadith berkenaan dikaitkan dengan sejarah risalah tawhid di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah yang begitu asing. Pemimpin-pemimpin Quraisy berasa status quo mereka terancam dengan kedatangan risalah tawhid.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan (mehnah) dan ranjau (tribulasi), Islam terus berkembang hingga ke hari ini. Di samping cabaran luaran (musuh Islam), cabaran dalaman, iaitu sebahagian umat Islam yang diresapi pelbagai aliran fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam. Misalannya, fahaman sekular yang memisahkan urusan dunia dengan cara hidup Islam yang bersifat syumul (menyeluruh).

Bagi pemuja sekular, Islam mahu dibataskan sekadar ibadah asas, iaitu solat, puasa, zakat fitrah dan menunaikan haji. Urusan kehidupan yang selebihnya dianggap tiada kena-mengena. Fahaman sekular yang amat bahaya dan durjana itu telah meresap masuk ke dalam urat nadi masyarakat Islam sehingga risalah tawhid sebenar kembali menjadi dagang sebagaimana asalnya dagang.

Di Malaysia, kesedaran terhadap kewajipan menutup aurat, contohnya wanita menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan, meningkat secara mendadak pada dekad 1980-an. Pada mulanya perempuan memakai tudung dilabel sebagai "dakwah", atau lebih teruk sebagai "hantu kum-kum". Namun, kreativiti yang ditampilkan oleh industri busana Muslimah yang tidak mengehadkan tudung berwarna gelap dan suram semata-mata menjadikan wanita tidak bertudung pula sebagai asing dan janggal dalam kalangan masyarakat Islam.

Dahulu terdapat tokoh politik dan orang-orang jahil mengatakan bahawa pengasingan jantina (gender segregation) di tempat-tempat awam, pasar raya dan pengangkutan sebagai kolot, kuno dan ketinggalan zaman. Kini, setelah perkhidmatan komuter, bas henti-henti dan kaunter pasar raya melaksanakan pengasingan jantina, golongan penentang berkenaan hanya mampu menahan geram. Sudah nyata bahawa syariat Islam selari dengan akal yang sihat, serta memberi jaminan keselamatan yang maksimum kepada golongan yang sangat dimuliakan dalam masyarakat yang mengaku bertamadun tinggi.

Dalam bidang perubatan dan rawatan, kaum wanita juga akan berasa lebih selesa dengan pegawai perubatan kaum sejantina mereka. Kini, makin ramai doktor pakar perbidanan dan sakit puan terdiri daripada wanita. Walaupun para doktor tidak dibenarkan melakukan diskriminasi atas faktor latar belakang, jantina dan emosi, sensitiviti terhadap batasan aurat tetap perlu dijaga, melainkan dalam keadaan darurat.

Pengamal undang-undang sivil berteraskan kanun yang diciplak dari Barat juga sangat fobia akan hukum Islam, sama ada bernama hudud atau takzir tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Sepatutnya hanya penjenayah yang berasa gerun terhadap kemungkinan dikenakan mana-mana bentuk hukuman. Tiada unsur penganiayaan atau kezaliman dalam proses sabitan dan jatuh hukum, melainkan setelah proses keadilan mengambil tempat.

Prinsip orang jahil bahawa "jaga kubur masing-masing" menunjukkan betapa ruh Islam sangat asing kepada mereka. Golongan demikian sebenarnya larut dengan bisikan dan tipu daya syaitan yang bakal mengheret mereka ke neraka, barang dijauhkan oleh Allah, na'uzubillahi minzalik. Hakikatnya, mereka mungkin benar-benar jahil, atau enggan diganggu kerana bergelumang dengan dosa, jenayah, maksiat, dan noda.

Umat Islam akhir zaman akan menghadapi cabaran bertubi-tubi bagi mempertahankan aqidah, syariat dan akhlak sebagaimana amalan masyarakat awal Madinah. Selain agenda musuh yang nyata dan musuh yang tersembunyi, umat Islam juga harus kuat berhadapan dengan kejahilan dan pesona hawa nafsu. Sesungguhnya permulaan Islam asalnya dagang dan akan akhirnya kembali dagang... 

Thursday, February 24, 2011

KRISIS TIMUR TENGAH DAN IMPLIKASINYA (TURBULENT, TURMOIL AND THE NEW DAWN)

Bermula dengan kejatuhan diktator Tunisia dan Mesir, rantau Arab terus bergolak. Kini Algeria, Bahrain, Libya dan Yaman terkena tempias gejolak suara rakyat yang sekian lama dipendamkan. Kolonel Muammar Gadafi yang merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang menerima rawatan di luar negara 41 tahun yang lalu berhadapan dengan revolusi rakyat, lalu menggunakan askar upahan dan pesawat tentera untuk membedil kumpulan penunjuk perasaan. 

Bekas pembantu kanan Gadafi yang kini berada di Peranchis mengatakan bahawa Gadafi hanya menerima kurang daripada lima peratus sokongan popular rakyat. Jika benar, maka harapan sang bapa untuk melihat anaknya menaiki takhta pemerintahan akan pudar. Ancaman untuk memusnahkan telaga-telaga minyak yang menjadi punca kekayaan Libya dijangka tidak mampu menyekat kemaraan awam di negara berkenaan.

Libya, seperti juga negara-negara Arab yang lain memiliki simpanan bahan api petroleum yang amat penting kepada ekonomi dunia. Walaupun teknologi hibrid, nano dan solar dikatakan bakal menggantikan penggunaan petrol untuk menggerakkan jentera, setakat ini pergantungan terhadap petroleum masih belum berkurangan. Setiap kali harga petrol yang dimanipulasikan oleh pasaran hadapan New York (Light Sweet) dan London (Brand North Sea) meningkat, seluruh dunia menjadi panik kerana kemungkinan kadar inflasi  melonjak hingga bakal memiskinkan sebahagian besar negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Simpanan petroleum yang matang (sudah boleh dikeluarkan dari perut bumi) mengambil masa jutaan tahun hasil daripada proses kimia terhadap fosil. Wilayah Kalimantan di Indonesia dijangka mampu memulakan proses cari gali petroleum 20 atau 30 tahun lagi apabila kandungan petroleum di sana mencapai tahap matang untuk digunakan sebagai bahan api. Kemungkinan beberapa kawasan gersang dan sejuk (Siberia dan Kamchatka, Russia) memiliki potensi yang serupa, tertakluk kepada kos, serta teknologi yang diperlukan.

Perebutan tentang sumber strategik telah berlaku sejak zaman awal manusia sama ada di peringkat tempatan (petempatan kampung di tepi sungai, jajahan dan kerajaan kecil) hinggalah melangkaui sempadan geografi. Negara Uncle Sam (Amerika Syarikat) sentiasa cuba meletakkan tangannya di rantau-rantau bergolak dengan agenda penguasaan sumber dan layanan terhadap saudagar senjata yang merupakan bahagian besar pendapatan negara kuasa besar itu. Peranan perisikan CIA dan boneka yang berjaya diangkat sebagai pemimpin di negara-negara tertentu menyebabkan Uncle Sam terus bertahan sebagai polis dunia dan tauke globalisasi.

Kejayaan rakyat melepaskan cengkaman rejim autoritarian atau totalitarian tidak pula bermakna konflik bakal berakhir. Sudah menjadi epilog sesuatu revolusi, kekacauan dan perebutan pengaruh dalam segmen politik yang berbeza akan segera muncul. Dalam konteks timur tengah dan rantau Medditerranean, Uncle Sam yang turut menjaga kepentingan negara haram Yahudi akan berusaha sedaya upaya supaya tampuk pemerintahan yang baharu sekurang-kurangnya tidak menjadi ancaman besar kepada rejim Tel Aviv.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin negara lain yang kemaruk hendak bertahan di singgahsana juga berasa tidak selamat. Pelbagai cara digunakan termasuk penipuan dalam sistem pilihan raya hinggakan demokrasi bertukar menjadi democrazy. Gendang propaganda dan rejim media arus perdana digunakan semahu-mahunya, sama seperti prinsip Michaevelli, iaitu matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarrirul wasilah.

Kebangkitan rakyat di negara-negara Arab harus diambil iktibar dan ingatan. Dalam konteks kajian makroekonomi, fungsi tunggal kerajaan ialah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat, iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, sambil memastikan tercapainya guna tenaga penuh (pengangguran kurang daripada 4%) dan inflasi sifar (idealnya kurang daripada 2%, tidak melebihi 7%). Di Malaysia, kelihatannya fungsi berkenaan masih terlaksana... 

"USAHA DAN CABARAN" BAB 7 ERTI SEBUAH PENGORBANAN (PRECONCIEVED JUDGEMENT)

Sinopsis


Persiapan peperiksaan pertengahan tahun dilakukan secara kumpulan (Iman, Pei Wen, Adif, Zulkarnain). Seterusnya persiapan pidato juga demikian sambil dibantu oleh Cikgu Julia. 10 hari tanpa e-mel ibu meresahkan Iman hingga memberitahu nenek dia sudah tawar hati. Nenek meminta Iman menjauhi prasangka. Tiba-tiba Ruhaida (ibu Iman) membuat panggilan telefon dari New Zealand dengan khabar dia baru keluar hospital akibat kemalangan jalan raya. Iman memeohon maaf lewat e-mel. Keesokannya berlangsung pertandingan pidato. Nota dan teks salinan asal disisip dalam diari ungu, wara kegemaran ayah ibunya. Malangnya, ketika hendak menyerahkan teks pidato untuk semakan Cikgu Julia, diari itu lesap. Seingat Iman, diari itu ditinggalkan di dalam beg semasa dia masuk ke perpustakaan. Usaha Iman dan Pei Wen mengesan diari itu juga tidak berhasil hingga menyebabkan Iman sedikit terkasar bahasa dengan Pei Wen. Akhirnya Iman harus menyediakan nota dan teks yang sama sekali lagi. E-mel ibunya menyuntik semangat. Enam buah sekolah mengambil bahagian, dan Iman ialah peserta kedua terakhir. Datuk, nenek dan kemudiannya Yusri (ayah Iman) hadir memberi sokongan (walaupun Iman merahsiakan hal pertandingan kali ini). Iman mahu memberi tumpuan...

Peristiwa Penting

1:  Nenek berjaya menenangkan Iman yang diselubungi prasangka terhadap ibunya sendiri. Nenek melontarkan hujah yang rasional.

Watak;  Nenek Iman
Perwatakan:  Bijak / tenang
Latar masyarakat:  Masyarakat orang dewasa / masyarakat yang bijak
Nilai:  Kebijaksanaan / ketenangan
Persoalan:  Kebijaksanaan / ketenangan dalam memberi bimbingan / nasihat
Pengajaran:  Kita hendaklah bijak / tenang dalam memberi bimbingan / nasihat

2:  Iman cepat-cepat meminta maaf kepada Pei Wen kerana terkasar bahasa akibat tidak dapat mengawal perasaan apabila diari ungunya tidak ditemui. Pei Wen memahami situasi Iman, dan tidak mahu Iman berputus asa.

Watak:  Pei Wen
Perwatakan:  Setia kawan / pemaaf
Latar masyarakat:  Masyarakat murid sekolah / masyarakat remaja perempuan / masyarakat yang setia kawan / masyarakat yang pemaaf
Nilai:  Saling memaafkan / kesetiakawanan
Persoalan:  Semangat setia kawan dalam sebarang keadaan / Sikap cepat memaafkan kesilapan sahabat
Pengajran;  Kita hendaklah setia kawan / sedia memaafkan sahabat kita yang menghadapi kesukaran
Persoalan:  

Wednesday, February 23, 2011

ANALISIS PELABURAN (INVESTMENT IN MACROECONOMICS STUDY)

Konsep

Berbeza dengan kefahaman orang ramai atau bidang-bidang lain (seperti pengajian perniagaan, pengurusan dan hartanah), pelaburan dalam ekonomi bermaksud perbelanjaan sektor firma terhadap pembentukan barang modal fizikal tetap bertujuan meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan masa depan.

(the amount purchased per unit time of goods which are not consumed, but are to be used for future production - Wikipedia)

Implikasi

Pelaburan dikaitkan dengan firma, bukan individu atau isi rumah. Selain itu, jika pembentukan modal tetap dilakukan oleh sektor kerajaan (menerusi syarikat berkaitan kerajaan, government link company, GLC), maka disebut sebagai pelaburan awam. Walaupun begitu untuk tujuan analisis keseimbangan pendapatan negara ekonomi 2 sektor, iaitu tiada peranan kerajaan, pelaburan hanya merujuk pelaburan firma swasta.

Pelaburan ialah salah satu komponen suntikan (injection, J). Secara ringkas komponen suntikan ialah I + G + X;  I = pelaburan;  G = perbelanjaan kerajaan;  X = eksport

Sebagai komponen suntikan, pelaburan akan membesarkan saiz aliran pusingan pendapatan.

Pelaburan -->  pengeluaran --> peluang kerja --> pendapatan  -->  kuasa beli --> perbelanjaan agregat --> pertumbuhan ekonomi

Komponen Pelaburan


1:  modal fizikal tetap = jentera /peralatan untuk proses pengeluaran;

2:  inventori / stok = bahan mentah, separuh siap, siap untuk disimpan --> keupayaan pengeluaran masa depan

3:  harta tetap = kapasiti pengeluaran masa depan (contoh: kilang, pejabat, rumah)

Susut Nilai


Melalui masa, barang modal / stok akan mengalami kehausan / kerosakan / keusangan.

Maka, pelaburan kasar (Ig) yang belum ditolak susut nilai tidak menggambarkan pertambahan nilai stok modal sebenar.

Pelaburan bersih (In) menggambarkan pertambahan sebenar pelaburan yang dapat meningkatkan pendapatan negara.

                            In  =   Ig  -  Susut Nilai      

I =  pelaburan bersih, nett investment);   Ig  =  pelaburan kasar, gross investment )

Kes 1:  Ig > susut nilai  ==>  In = +ve


Kes 2:  Ig < susut nilai ==>  In = -ve


Fungsi Pelaburan: keluk menunjukkan hubungan Y, I


Pelaburan autonomi:  I  ≠  f (Y);  pelaburan tidak dipengaruhi pendapatan negara, mendar, selari paksi Y


Pelaburan teraruh:  I = f (Y), pelaburan dipengaruhi pendapatan negara; cerun +ve, bermula dari pelaburan autonomi.


Penentu Pelaburan


1: Y, hubungan +ve


2: kadar bunga, (r) ==> hubungan -ve


3: kecekapan modal sut / kadar pulangan I, hubungan +ve


4: teknologi


5: jangkaan (masa depan)


(Lukis semua keluk. Perhatikan bahawa hanya 1 berbeza kedua-dua paksi)


Nota: Bunga tidak diterima dalam sistem ekonmomi Islam

bersambung...

Tuesday, February 22, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 9 (COURAGE AND DETERMINATION TILL THE END)

Sinopsis

Prof. Zaidah merasakan bahawa dengan tangan kirinya yang berbalut, kerja cari gali arkeologi akan menjadi perlahan. Peristiwa kenderaan pacuan empat roda yang gagal dikawal akibat masalah brek menghantuinya. Pak Lias terpaksa menghimpit ke tebing kanan kerana sebelah kirinya gaung yang dalam.Bongkah batu bertaburan dan pokok yang menjulur menghentam tangan kiri Prof. Zaidah. Kereta tersadai di dasar sungai sedalam satu meter. Dalam keadaan kereta bergerak diasak arus, Pak Lias akhirnya berjaya menyelamatkan Prof. Zaidah yang pengsan. Amira memberitahu Pak Lias cuma luka-luka kecil dan berehat di khemahnya. Tiba-tiba air mata Prof. Zaidah bergenangan dan terus memeluk Amira, diserta Jacinta. Prof. Zaidah memohon maaf justeru mendahulukan tugas daripada keselamatan mereka berdua. Cadangan spontan Dr. Zawawi supaya projek ditangguhkan seketika mengejutkan Prof. Zaidah yang baharu kembali bersemangat. Dr. Zawawi menebak bahawa kemalangan yang menimpa Amira, JC dan Prof. Zaidah sebagai berkaitan dan mungkin telah dirancang. Amira juga membantah, sambil merenung tajam Jacinta yang membuka rahsia tujuan mereka ke Air Terjun Angin sebelumnya. Ketika perbincangan sedang hangat masuk Rusdi yang melegakan Prof. Zaidah apabila mengatakan bahawa semua pelajar menganggap kemalangan sebagai lumrah, dan mereka bersedia meneruskan projek. Dr. Zawawi mengalah, tetapi berharap kemalangan itu sebagai peristiwa terakhir yang mengganggu projek. Tidak lama selepas itu, Dr. zawawi kembali ke khemah bersama-sama Ludin yang mahu memeriksa tangan Prof. Zaidah. Setelah itu, Ludin dan Itai keluar mencari buluh, daun dan bungkusan kecil sebagai ramuan ubat...     

"CAPA RENGAT" CERPEN KOMSAS TINGKATAN 2 (THE WILD FLOWER)

Pengenalan


Penulis:  Baharuddin Kahar

Ambilan:  Antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 76 - 83

Teknik penceritaan:  sudut pandangan orang pertama - "aku"

Watak utama:

1)  "Aku" -  budak perempuan berusia 11 tahun

2)  Ibu "aku"

3)  Pak Cik Kinto - bapa saudara "aku"

4)  Su - budak perempuan kampung yang mengajak "aku" bermain rumah katak

5)  budak lelaki 8 tahun - adik tiri Su (anak ibu tiri Su yang bengis)

Sinopsis


"Aku" buat kali pertama menjejakkan kaki ke hampung yang dimomokkan oleh ibu sebagai penderitaan dan kesepian. Namun, anggapan "aku" berubah apabila mengikut Pak Cik Kinto meninjau bukit di belakang rumah pusaka mereka. Pada hari Pak Cik Kinto ke bandar menguruskan pemindahan harta pusaka ibu kepadanya, "aku" mengelilingi kampung, lalu bertemu dengan Su yang mengajaknya bermain di tepi paya dengan beberapa kanak-kanak kampung. "Aku" cepat menyesuaikan diri. "Aku" berasa senang kerana pengalaman dilayan begitu mesra, tidak seperti kawan-kawan di kota yang sombong dan terkongkong. "Aku" tidak jadi marah walaupun berkali-kali rumah katak yang dibinanya dipecahkan oleh Su yang begitu lucu dan mesra. Su kemudiannya menghadiahi "aku" sejambak bunga bernama capa rengat atau melur hutan yang dipetik di hujung paya. Sedang "aku" sibuk membina rumah katak, kali ini dengan acuan kaki Su, tiba-tiba adik tiri Su datang memanggilnya pulang. Malamnya "aku" tidur keletihan di samping capa rengat itu. Keesokan paginya, "aku" dan ibu bersiap-siap pulang ke kota. Mereka menaiki teksi. Perasaan "aku" menjadi hiba, sayu dan sepi yang begitu tajam. "Aku terus diam dan bungkam apabila ibu memberitahu mereka tidak lagi akan balik kampung justeru tanah dan rumah pusaka mereka telah diserahkan kepada Pak Cik Kinto. "Aku" benar-benar kehilangan pengalaman yang begitu indah dan juga Su...

Peristiwa Menarik

1   "Aku" cepat jatuh hati dengan pemandangan di kampung yang begitu segar dan menyenangkan. "Aku" sangat berbeza dengan ibu yang asyik bermenung, kelihatan murung dan tercegat di dalam rumah. "Aku" seronok dengan persekitaran kampung dan kanak-kanaknya yang bermain dengan girang sekali.

      Perwatakan:  menghargai alam sekitar

      Latar masyarakat:  masyarakat kanak-kanak bandar
                                :  masyarakat yang menghargai alam sekitar

      Latar tempat:  sekitar kawasan kampung / padang belukar (yang subur)

      Latar masa:  pagi / ketika matahari mula memancarkan cahaya terik

      Nilai murni:  kasih sayang / mencintai alam sekitar ("aku" asyik / kagum dengan panorama desa)
             
      Persoalan:  Kecintaan terhadap alam sekitar
                     :  Persekitaran kampung / desa yang indah
                     :  Sikap ingin tahu kanak-kanak

     Pengajaran:  kita hendaklah mencintai alam sekitar


2   Kanak-kanak kampung mudah mesra dan bijak memancing perhatian "aku" supaya menyertai mereka bermain di kawasan paya. "Aku" yang mulanya kekok kemudian berasa nikmat pengalaman baharu yang tidak terdapat di kota. Mereka bermain dengan bebas lepas.

     Perwatakan:  mudah mesra / peramah

     Latar masyarakat:  masyarakat kanak-kanak kampung / masyarakat yang mudah mesra / peramah

     Nilai murni:  kemesraan / keramahan

     Persoalan:  kemesraan / keramahan dalam pergaulan / komunikasi

     Pengajaran:  Kita hendaklah mesra / ramah dalam pergaulan / komunikasi


3   Su pandai mengambil hati "aku". Dia sanggup meredah paya untuk mendapatkan bunga capa rengat, lalu dihadiahkan kepada "aku" sebagai tanda persahabatan dan kenangan. Su bergegas pulang apabila dipanggil oleh adik tirinya, walaupun 'projek' kota pasir mereka belum siap.

      Perwatakan:  peka / prihatin / sensitif  (Su tahu cara untuk mengukuhkan jalinan perkenalan dengan "aku")

      Latar masyarakat:  masyarakat yang peka / prihatin / sensitif

      Latar tempat:  kawasan paya

      Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan

      Persoalan:  kepekaan / keprihatinan terhadap kepentingan membina ikatan persahabatan yang kukuh

      Pengajaran:  kita hendaklah peka / prihatin / sensitif terhadap kepentingan persahabatan


4  Ibu "aku" memendekkan tempoh tinggal di kampung kepada sehari sahaja. Ibu hanya mahu menyelesaikan urusan pemindahan milik tanah pusaka di kampung kepada Pak cik Kinto sahaja. Ibu tidak betah duduk berlama-lama di kampung.

      Perwatakan: berterus terang

      Latar masyarakat:  masyarakat yang berterus terang

      Nilai murni:  terus terang

      Persoalan:  terus terang dalam komunikasi / menyatakan pendirian

      Pengajaran:  kita hendaklah berterus terang dalam komunikasi / menyatakan pendirian


Perbincangan kbkk   

1   punca perbezaan cara hidup di bandar dengan di desa:  sistem kejiranan, ancaman jenayah

2   kelebihan tinggal di kampung / bandar:  pergaulan / pengalaman zaman kanak-kanak

3   cara menghargai harta pusaka / warisan:  menyediakan rumah berkumpul keluarga besar  

Monday, February 21, 2011

CIRI PELAJAR DAPAT 'A' EKONOMI STPM (HOW TO EXCEL IN ECONOMICS STUDY)

Setakat ini pelajar Ekonomi SMK St Michael, Ipoh (SMI) tidak menghampakan penulis blog selaku guru mata pelajaran, dan sebagai ketua panitia selama beberapa tahun, menjalankan tugas guru kanan dan setiausaha bidang. Tidak pernah ada satu tahun pun tercicir pelajar yang mendapat gred A. Tahun 2010 yang lalu, kelas UA3  merekodkan 4 orang pelajar dengan gred A dan seorang gred A-. 

Kejayaan 92.86 peratus calon STPM daripada UA3 mencatat gred lulus penuh dan sebahagian menggambarkan bahawa proses pembelajaran telah berlaku. Di samping mentelaah teori, pelajar telah menerima pendedahan yang mencukupi tentang kemahiran generik belajar Ekonomi dan perancangan jawapan yang betul dalam konteks peperiksaan. Penekanan terhadap alat analisis, kaedah induktif dan deduktif telah memungkinkan pelajar beroleh pertolongan yang mencukupi.

Secara amnya, berbanding dengan mata pelajaran lain yang lebih jelas pertaliannya dengan pengalaman persekitaran seharian pelajar, Ekonomi lebih bersifat sedikit abstrak dan bermain-main dengan andaian, konsep, prinsip dan teori. Walaupun terdapat soalan atau tugasan yang pada zahirnya berbunyi aplikasi, tetapi hakikatnya asas jawapan dan penulisan yang diharapkan masih tentang andaian, konsep, prinsip dan teori. Pendek kata, tiada ruang bagi calon mengarang idea-idea sendiri, atau yang bersifat umum.

Terdapat empat bahagian soalan dalam kedua-dua kertas Mikro dan Makro. Bahagian A mengandungi 30 soalan aneka pilihan yang diikuti dengan 4 pilihan jawapan. Calon yang telah cekap mengenal pasti pengganggu jawapan (kuat, sederhana, lemah) akan mendapati bahagian ini tidak sesusah mana.

Bahagian B (esei pendek) mengehendaki calon menjawab 5 daripada 8 pilihan soalan yang dikemukakan. Setiap soalan membawa 6 markah. Maka, maksimum 3 hingga 4 isi dengan huraian ringkas diperlukan.

Bahagian C (esei panjang) menghendaki calon memilih 2 daripada 4 soalan yang diuji. Setiap soalan membawa 10 markah. Jumlah isi yang diharapkan mungkin masih sama, tetapi huraian dan penerangan keluk (gambar rajah) lebih terperinci.

Bahagian D (kuantitatif) paling diminati oleh calon. Sebabnya, calon hanya perlu mengenal pasti rumus yang berkaitan, menunjukkan jalan hitungan dengan lengkap, menulis inferens (ayat jawapan) tanpa meninggalkan apa-apa unit ukuran dan simbol yang relevan dengan tugasan. Selain itu, bagi sesetengah soalan, calon perlu melakar gambar rajah dengan melabel segala paksi, lokus, dan keluk.

Calon yang bijak juga boleh menggunakan bahagian A sebagai rujukan silang justeru terdapat item soalan yang turut mengandungi konsep, teori dan gambar rajah yang mungkin membantu jawapan bahagian B, C dan D. Barangkali penggubal soalan telah mengambil kira hal demikian, lalu memastikan tiada pertindanan teori yang diuji dalam setiap bahagian. Namun, calon masih boleh memanfaatkan cara menulis ayat laras ekonomi, cara melukis dan melabel gambar rajah dan bidang tajuk yang biasanya disusun secara tertib mengikut turutan nombor soalan.

Perkara yang tidak kurang pentingnya ialah dari segi perancangan masa menjawab soalan. Secara nisbah, setiap satu markah bersamaan 1.8 minit, atau 100 markah bersamaan 180 minit (3 jam). Walaupun begitu, calon tidak perlulah terlalu rigid tentang nisbah itu.

Aras kesukaran soalan tidak sama. Jika calon rajin membuat penelitian item soalan STPM 3 tahun belakangan, perhatikan bahawa terdapat soalan yang boleh dijawab dalam masa yang sangat singkat, mungkin sepuluh saat sahaja, iaitu item soalan bahagian A (aneka pilihan). Sebenarnya, calon berupaya menyiapkan semua 30 soalan objektif dalam tempoh kurang daripada 40 minit dengan peratus kemungkinan jawapan betul yang tinggi (zon gred A). Begitulah juga dengan item soalan dalam bahagian B, C dan D.

Semua saranan di atas hanya akan bererti andainya calon telah membuat persediaan yang sepadan. Maksudnya, calon hendaklah menumpukan perhatian terhadap aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah (kuliah), menyiapkan tugasan tepat pada masanya, atau lebih awal, dan membuat latih tubi kendiri. Pertimbangkan juga kata-kata bestari bahawa kaedah terbaik untuk belajar ialah dengan mengajar orang lain.

Bukti keberkesanannya telah ditunjukkan oleh calon STPM di SMI yang telah mendapat gred A dalam mata pelajaran Ekonomi. Tidak semestinya mereka bermula dengan terus cemerlang, tetapi mereka ialah kumpulan palajar yang sentiasa ingin bergerak ke arah kecemerlangan. Mereka tahu masa untuk bertungkus-lumus dan masa untuk istirahat, kerana terlalu banyak rehat akan berkarat (too rest is to rust)...

Sunday, February 20, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 8 (THE BRAVE AND BRILLIANT ITAI)

Sinopsis


Ludin mahu adiknya Tau melupakan peristiwa Ipah (isterinya) meninggalkan hutan dengan membawa sama anak mereka, Sabi tetapi meninggalkan Itai. Tau tetap dengan pendirian kekerasannya dan memencil diri di kawasan hutan, bukan di perkampungan. Itai dijaga oleh Ludin, tetapi berguru dengan ayah kandungnya Tau (belum diketahuinya). Ludin mahu Itai menggantikan tempatnya sebagai ketua kampung. Perguruan Itai tentang ilmu keturunan mereka telah tamat. Tau sangat senang bercerita tentang Itai. Sementara itu, Amira berasa lega justeru Jacinta sudah mula pulih dengan cuba bangun. Demi Jacinta menyifatkan peristiwa yang menimpanya sebagai cabaran, Amira ketawa mengusik. Apabila Jacinta kononnya enggan menghirup sup, Amira menggunakan nama Dr. Zawawi hingga Jacinta merampas semula mangkuk sup. Tiba-tiba Itai bersendirian, muncul bersekali buah-buahan hutan, lalu diperkenalkan kepada Jacinta. Kepetahan Itai dan cara bercakapnya menunjukkan dia murid pintar. Apabila Amira membangkitkan kemungkinan penemuan emas di kawasan hutan itu, Itai berasa kaget kerana baginya itu rahsia hutan. Dengan bantuan ensiklopedia di dalam komputer ribanya, Amira dapat memberi alasan yang kuat tentang kajian arkeologi ibunya yang bakal menyelamatkan hutan dan juga budaya kaum Itai. Tiba-tiba Rusdi muncul dengan berita Prof. Zaidah kemalangan...

Saturday, February 19, 2011

BAB 6 ERTI SEBUAH PENGORBANAN: KENAPAKAH IBU? (EMPATHY AND REPHRASING)

Sinopsis

Dalam kesibukan persediaan pertengahan tahun dan pertandingan pidato, Iman tidak menerima e-mel ibunya. Iman juga dengan tegas menolak kata dua Linda supaya menarik diri daripada pidato menyebabkan Linda menolaknya jatuh dari tangga di sekolah. Mohana membantu Iman, sedangkan Adif juga ada di situ. Iman mahu mendiamkan perkara itu daripada nenek dan guru disiplin. Adik bongsu Ruhaida, Pak Su Razlan baru balik dari New Zealand. Dia terlepas cakap dengan Iman bahawa dia berjumpa kak ngahnya (ibu Iman, Ruhaida) mesra dengan "Albert" di sana menyebabkan Iman terasa. Datuk dan nenek sependapat bahawa keptusan tentang jodoh biarlah dibuat oleh Yusri dan Ruhaida sendiri. Iman pula seakan-akan merajuk dengan sikap ibu bapanya, sebaliknya mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan pidato. Iman balik lewat sedikit kerana menemui Cikgu Julia. Usai makan, barulah perbualan dimulai. Cikgu Julia memberikan pandangan yang matang tentang ayah ibu Iman, serta mahu Iman menghormati segala keputusan mereka. Iman akur bahawa dia tidak boleh berburuk sangka, sebaliknya menjadi anak solehah. Di rumah, Iman dikunjungi Zulkarnain dan Adif. Adif mahu meminta maaf, sambil memberitahu bahawa ibunya (Sofia) sedia berkorban untuk kebahagiaan dirinya. Berita itu melegakan Iman...

Perbincangan Peristiwa penting

1  Iman bertegas menolak permintaan Linda supaya dia memberi laluan kepada Linda sebagai wakil sekolah untuk pertandingan pidato. Iman tidak gentar dengan gertakan Linda walaupun akhirnya dia ditolak jatuh dari tangga.

Watak:  Iman Zulaikha
Perwatakan:  Tegas / berani / berterus terang
Latar masyarakat:  Masyarakat yang tegas / berani / berterus terang; masyarakat murid sekolah / remaja
Nilai:  Ketegasan / keberanian / terus terang
Persoalan:  Ketegasan / keberanian / terus terang dalam membuat keputusan
Pengajaran:  Kita hendaklah tegas / berani / terus terang dalam membuat keputusan

2   Pak Su Razlan ditegur oleh nenek (ibunya) kerana bercakap tentang kak ngahnya Ruhaida (ibu Iman) tanpa menyiasat dahulu. Perasaan Iman terguris.

Watak:  Pak Su Razlan
Perwatakan:  Bercakap lepas
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bercakap lepas / masyarakat pelajar universiti
Nilai:  Ketelitian
Persoalan:  Ketelitian dalam bercakap
Pengajaran;  Kita hendaklah teliti ketika bercakap / kita janganlah bercakap lepas


3 Iman berjaya meyakinkan Pei Wen bahawa remaja juga perlu mendapatkan pandangan orang lebih dewasa. Iman memilih Cikgu Julia yang sudah dianggap bagaikan kakaknya sendiri.


Watak:  Iman
Perwatakan:  Bersikap terbuka
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bersikap terbuka
Nilai:  Keterbukaan fikiran
Persoalan:  Keterbukaan fikiran dalam menyelesaikan masalah
Pengajaran:  Kita hendaklah berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah  


4  Cikgu Julia bersedia melayani Iman dan mendengar segala cerita. Cikgu Julia juga berjaya merasionalkan semula Iman yang tidak tenteram kerana hajatnya menyatukan ayah ibunya yang telah bercerai tampak pudar.


Watak:  Cikgu Julia
Perwatakan:  Penyayang / prihatin / bijak
Latar masyarakat:  Masyarakat yang penyayang / prihatin / bijak
Nilai:  Kasih sayang / keprihatinan / kebijaksanaan
Persoalan:  Kasih sayang / keprihatinan / kebijaksanaan guru dalam membimbing emosi murid
Pengajaran:  Kita hendaklah prihatin / bijak dalam membantu orang lain


5 Adif Danial datang memohon maaf atas sikapnya yang dingin terhadap Iman. Selain itu, Adif juga menghadirkan rasa gembira kepada Iman kerana rancangan perkahwinan ibunya, Sofia dengan ibu Iman, Ruhaida dibatalkan.


Watak:  Adif Danial
Perwatakan:  Merendah diri
Latar masyarakat:  Masyarakat yang merendah diri
Nilai:  Kerendahan hati
Persoalan:  Kerendahan hati / kesediaan untuk memohon maaf
Pengajaran:  Kita hendaklah bersedia / berasa rendah hati untuk memohon maaf

Friday, February 18, 2011

IBU BAPA CEMERLANG, IBU BAPA EKSTREM (PARENTING SKILL)

Pendahuluan

Hendak bermula dengan yang mana, cemerlang atau esktrem? Sebenarnya dalam cemerlang ada ciri ekstrem, dan dalam ekstrem ada ciri cemerlang. Maka, bagi tujuan sesuatu wacana atau kajian, kedua-duanya perlu diberikan batasan konseptual supaya dapat dibezakan.

Dalam kebanyakan kamus, cemerlang merujuk kepada pencapaian yang melebihi piawai biasa (a talent or quality which is surpass ordinary standard), manakala ekstrem merujuk kepada kewujudan sesuatu pada tahap tertinggi, melepasi kebiasaan dan jangkaan (existing in a very high degree; going to be great, or exaggregated lengths, exceeding the ordinary, usual or expected, most advanced or thoroughgoing, utmost). Berdasarkan takrifan demikian, cemerlang lebih menjurus kepada pencapaian, sedangkan ekstrem menjurus kepada darjah maksimum. Cemerlang sentiasa dikaitkan dengan sifat positif (bersinar dengan terang, berkilauan, indah sekali, dan sangat baik (Kamus Dewan IV:262), manakala ekstrem dengan konotasi negatif seperti keterlaluan, atau melampau (Ibid, 383).

Ringkasnya, cemerlang ialah pencapaian positif yang diinginkan. Ekstrem pula boleh dinisbahkan kepada peribahasa "membujur lalu melintang patah", atau "biar putih mata, jangan putih tulang". Ekstrem tidak mengambil kira logik atau rasional sesuatu perkara.

Ibu Bapa Ekstrem

Terdapat dua jenis ekstrem, iaitu terlalu mengongkong atau langsung tidak kisah. Kategori ibu bapa yang terlalu mengongkong tidak ubah seperti seorang autoritarian, diktator atau kuku besi. Anak-anak mesti memberikan kepatuhan mutlak tanpa sebarang bantahan.

Ibu bapa ekstrem mahu menetapkan semua perkara untuk anaknya. Mereka ialah tukang pegang alat kawalan jauh, manakala anak-anak ialah boneka atau mainan robotik yang telah diprogramkan. Arah mana, sejauh mana, selaju mana, selama mana, dan setinggi mana akan bergantung kepada mod pilihan yang dipicit.

Semasa masih bayi, memang sang anak sangat tidak berdaya. Kalau hendak membantah atau meminta sesuatu, si anak hanya pandai merengek atau menangis. Si bayi tidak betah melafazkan keinginan atau penolakannya.

Apabila anak sampai usia pandai membezakan (mumaiyiz), mereka sudah makin menyerlahkan cita rasa dan pilihan secara lisan. Malangnya, ibu bapa ekstrem masih bersikap bagaikan sang raja dengan titah yang tidak boleh disanggah. Segala perkara dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya diputuskan oleh ibu bapa ekstrem.

Kemudian bersekolah di mana, jurusan apa, buku rujukan yang mana dan sesenarai panjang lagi bab-bab pendidikan ditentukan hanya oleh ibu bapa ekstrem. Kadang-kadang ibu bapa ekstrem mahu anak-anak melunaskan cita-cita mereka yang dahulunya tidak kesampaian. Kecenderungan dan suara anak-anak dipinggirkan sama ada secara lemah lembut atau pun berterus terang.

Selepas tamat mengaji hingga ke menara gading pilihan ibu bapa ekstrem, tibalah ketikanya si anak untuk bertemu jodoh. Sekali lagi, ibu bapa ekstrem akan memiliki kuasa veto. Nama cucu pun mesti mendapat kelulusan mereka.

Rumah jenis apa, kereta jenama apa, set televisyen apa, peti ais besar mana, dan segala-galanya perlu dilaporkan kepada ibu bapa ekstrem. Dalam kebanyakan adat resam dan tradisi, kaum wanita sering menjadi mangsa sebelah keluarga mertua. Namun, telah menjadi rahsia umum juga bahawa berleluasanya penyakit B1N1 (takut bini, suami dayus).

Ibu bapa ekstrem kategori tidak kisah atau lepas tangan pula mengakibatkan bersepah-sepahnya sampah masyarakat. Autonomi penuh diserahkan kepada si anak tanpa syarat. Tiada langsung larangan atau sekatan dikenakan, malah ibu bapa ekstrem berbangga kerana mereka kononnya berfikiran terbuka.

Ibu bapa ekstrem melepaskan anak-anak mereka seumpama perahu tanpa kemudi, kapal tanpa nakhoda dan layang-layang yang terputus talinya. Segala kegiatan anak, kepercayaan anak, dan cara anak berpakaian tidak pernah diambil pusing, bahkan dibiarkan begitu sahaja. Apabila ada orang yang menegur atau sekadar mengingatkan, ibu bapa ekstrem bertindak membela si anak membuta tuli.

Ibu bapa ekstrem bermegah kononnya si anak meniru tingkah laku mereka. Kalau ustaz memberitahu si anak tidak solat, atau ditangkap kerana berkelakuan melencong, ibu bapa hanya mampu berdiam diri, atau menolak sama sekali campur tangan pihak ketiga.

Ibu Bapa Cemerlang 

Cemerlang melambangkan ketinggian ilmu dan kehalusan pertimbangan. Ibu bapa cemerlang tidak terlalu mengongkong, dan dalam masa yang sama tidak pula mengambil sikap lepas tangan. Ibu bapa cemerlang menggunakan input ilmu pengetahuan dalam membimbing mereka membuat keputusan yang tepat dari segi pendekatan tentang anak-anak.

Ibu bapa cemerlang menampilkan ciri kepimpinan yang terbaik dan dihormati oleh anak-anak. Ibu bapa cemerlang memiliki kemahiran mendengar yang tinggi dan sentiasa peka terhadap keinginan dan pilihan anak-anak mereka. Pandangan anak-anak diterima seadanya sebelum berlakunya perbincangan kekeluargaan yang mengiktiraf kebijaksanaan si anak.

Ibu bapa cemerlang juga bertegas terhadap bibit-bibit keburukan yang muncul dalam tingkah laku anak-anak. Ibu bapa cemerlang mengenakan sekatan (sanction) terhadap tanda-tanda yang boleh menjerumuskan anak-anak ke arah kerugian (al-khusran). Ketegasan itu dikendalikan oleh ilmu, bukan di bawah pengaruh emosi.

Penutup

Ibu bapa hendaklah memilih sifat cemerlang dan mengetepikan sifat ekstrem. Cemerlang lebih bersifat jangka panjang, manakala ekstrem hanya keuntungan jangka pendek dan cepat pudar. Ibu bapa cemerlang ialah permulaan kepada masa hadapan generasi muda yang dapat diharapkan...

(petikan dan ulasan mimbar Jumaat, Masjid Solatiah, Ipoh)

Thursday, February 17, 2011

CARA BELAJAR PERAKAUNAN PENDAPATAN NEGARA (HOW TO STUDY NATIONAL INCOME)

Pengenalan

Sebilangan pelajar kursus makroekonomi didapati keliru dengan pelbagai istilah dan konsep yang digunakan. Apatah lagi kemudiannya semua istilah dan konsep itu kemudiannya dinyatakan dalam bentuk simbol atau singkatan ejaan, misalnya KDNKhp, KNKhp, KNBkf, YB, YL, BL, CTL, SUB, IHo, IH1, Y1, Yo, dan banyak lagi. Seterusnya, pelajar mesti membezakan kaedah penghitungan berdasarkan pendapatan, keluaran dan perbelanjaan, walaupun pada akhirnya jawapannya akan sama.

Secara mudah, harga pasaran (hp) ialah harga yang dibayar oleh pengguna akhir di pasaran, iaitu termasuk cukai tak langsung (CTL) yang dikenakan, tetapi ditolak subsidi (SUB) yang dibayar oleh kerajaan. Kos faktor (kf) atau harga faktor (hf) ialah harga barang yang belum dipasarkan, iaitu harga di kilang. Maknanya, tolak CTL (kerana dibayar di pasaran), tetapi dicampur SUB (bantuan kewangan yang diberi oleh kerajaan untuk menurunkan kos pengeluaran).


 

"KAWANKU, ADIF" BAB 5 NOVEL ERTI SEBUAH PENGORBANAN (BETWEEN A ROCK AND A HARD PLACE)

Sinopsis


Hari Isnin itu kelibat Adif tidak kelihatan menyebabkan Iman mengelamun. Dia dihukum berdiri di luar kelas oleh guru Matematik, Cikgu David. Tiba waktu rehat, Iman hanya duduk di bawah pondok berhampiran kelas, dan kemudian Zulkarnain datang menyapa. Iman menceritakan perihal ayahnya, tetapi Zulkarnanin berpendapat bahawa jodoh ialah urusan orang dewasa. Apabila diberitahu kaitannya dengan Adif, Zulkarnain mencadangkan mereka ke rumah Adif. Setiba di rumah, Iman meluahkan rasa kecewa kepada datuk dan nenek. Iman mendapat keizinan untuk ke Taman Segar, Seremban, lokasi rumah Adif. Lelaki sebaya datuk menyambut mereka di banglo dua tingkat itu. Adif mengatakan bahawa perasaannya kusut dan dia tidak mahu diganggu, lalu berlari ke tingkat atas. Datuk Adif menjelaskan perubahan sikap cucunya, dan jelas bahawa si datuk juga tidak setuju dengan keputusan Sofia, menantunya untuk berkahwin dengan Yusri. Ketika Iman dan Pei Wen ke kedai buku, mereka ternampak Adif sedang berbual-bual mesra dengan Linda. Iman cemburu. Sambil menikmati ais kacang, Pei Wen memberitahu ibu tirinya sudah berubah setelah bekas suaminya yang sering datang memeras ugut ditangkap polis. Pei Wen menyesal kerana berburuk sangka.

Perbincangan Peristiwa Menarik

Wednesday, February 16, 2011

MASALAH MAKROEKONOMI DI MALAYSIA (THE BASIC MACROECONOMICS PROBLEM)

Tugasan:  Jelaskan masalah makroekonomi yang dihadapi di Malaysia.       (10 markah)

Analisis tugasan:

Pengetahuan teori yang diuji ialah berkenaan masalah makroekonomi. Pelajar tidak perlu khuatir tentang "Malaysia" justeru sebenarnya semua negara di dunia menghadapi masalah makroekonomi yang serupa, cuma barangkali berbeza dari segi skala dan tahapnya. Semua negara akan cuba mencapai matlamat dasar makroekonomi, iaitu pertumbuhan tanpa inflasi dan tanpa pengangguran. Maksudnya, segala dasar makro yang dilaksanakan harus dapat menyerap tekanan perbelanjaan agregat (AE) akibat pendapatan negara yang tinggi ketika ekonomi melambung, atau kekurangan AE semasa ekonomi meleset yang membawa kepada pengangguran, serta pengaruh globalisasi.

Cadangan Jawapan:

Masalah makroekonomi yang dihadapi oleh sesebuah negara akan menjejaskan pencapaian matlamat pertumbuhan tanpa inflasi dan tanpa pengangguran. Malaysia sepertimana negara-negara lain tidak terlepas daripada masalah pertumbuhan yang tidak menentu, inflasi, kejatuhan nilai mata wang, pengangguran dan imbangan bayaran yang negatif.

Pertumbuhan ekonomi yang merosot disebabkan jumlah pendapatan negara yang menurun kerana sebagai negara sedang membangun, sebahagian besar pendapatan negara disumbangkan oleh sektor eksport. Kemelesetan ekonomi dunia dan masalah ekonomi di negara pengimport terbesar negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun menyebabkan permintaan eksport Malaysia mengalami kejatuhan. Saiz pasaran dalam negara masih kecil dengan tidak sampai 30 juta orang penduduk tidak dapat menampung kekurangan permintaan eksport berkenaan.

Masalah inflasi ialah kenaikan tingkat harga umum yang berterusan dan tidak terbatas. Inflasi menyebabkan kuasa beli pengguna menjadi rendah. Nilai mata wang RM akan merosot. Jurang pendapatan makin melebar kerana golongan yang berpendapatan tetap akan menjadi lebih miskin secara relatif.

Apabila kuasa beli pengguna jatuh, perbelanjaan agregat juga jatuh, dan akhirnya permintaan agregat turut jatuh sama. Kekurangan permintaan agregat mendorong lebih banyak firma ditutup. Krisis guna tenaga akan berlaku, manakala tenaga buruh produktif mungkin tidak berpeluang memperoleh pekerjaan. Pengangguran yang berleluasa itu ialah masalah makroekonomi yang sering dihadapi.

Selain itu, kejatuhan nilai mata wang bukan sahaja disebabkan masalah inflasi, bahkan oleh aktiviti spekulasi mata wang. Serangan mata wang di Asia pada tahun 1997 telah menyebabkan Malaysia menghadapi masalah ekonomi yang serius hingga pertumbuhan ekonomi jatuh mendadak. Pasaran modal berhadapan dengan krisis keyakinan.

Akhirnya, inflasi yang berlaku di dalam negara mengakibatkan harga eksport secara relatif menjadi lebih tinggi berbanding dengan harga import. Ceteris paribus, permintaan eksport akan jatuh, manakala permintaan import akan meningkat. Imbangan perdagangan dan imbangan pembayaran akan mengalami defisit, atau negatif.

Tuesday, February 15, 2011

TEKS TAKLIMAT LATIHAN KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN (EVACUATION DRILL FOR SAFE SCHOOL)


Terima kasih saudara pengacara majlis
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera
Yang Berusaha Tuan pengetua, penolong-penolong kanan, guru kanan, guru dan Michaelian sekalian.

Saya, Cikgu ____________________, mewakili Jawatankuasa Keselamatan Sekolah memohon perhatian semua warga SMI, baik guru ataupun murid supaya dapat mengikuti taklimat ringkas tentang latihan kawad pengungsian bangunan dan demonstrasi memadam kebakaran yang bakal dilaksanakan pada minggu hadapan.

Mengikut prosedur biasa Jabatan Bomba dan Penyelamat, sesebuah premis jabatan kerajaan mestilah mempunyai pelan keselamatan kebakaran dan mengadakan latihan mengikut pelan berkenaan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Akta Bomba memperuntukkan kuasa kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan bahawa peraturan ini dipatuhi tanpa gagal. Maksudnya proses undang-undang boleh digunakan terhadap jabatan kerajaan yang cuai. Premis sekolah tidak terkecuali.

2   Konsep Latihan

Sebenarnya banyak tahap latihan yang perlu dilalui oleh  warga sekolah. Ini termasuk ujian masa dan simulasi kebakaran. Namun demikian latihan kali ini akan memberi fokus terhadap ujian masa dalam konteks pengungsian bangunan. Pihak sekolah mengharapkan kerjasama sepenuhnya dari seluruh warga sekolah sama ada pihak pengurusan, guru, kakitangan dan pelajar. Kejayaan kita memenuhi kehendak latihan akan menggambarkan bahawa SMK St Michael, Ipoh benar-benar merupakan sekolah selamat dan warganya mempunyai tahap kepekaan dan persediaan yang tinggi dalam menghadapi kemungkinan risiko kebakaran.

3   Maksud Pengungsian Bangunan

Dalam bahasa yang mudah, pengungsian bangunan bererti bahawa para penghuni sesebuah bangunan keluar daripada bangunan berkenaan secara tenang dan teratur mengikut pelan laluan menuju tempat berkumpul dengan hanya membawa dokumen terpenting sahaja. Ringkasnya, sehelai sepinggang. Mengikut piawai latihan kebakaran, masa maksimum yang diambil untuk berkumpul di tempat yang ditetapkan ialah tujuh  minit sahaja.

4   Modus Operandi Latihan Keselamatan Kebakaran SMK St Michael, Ipoh 2011

Pihak sekolah telah memutuskan bahawa latihan akan diadakan secara mengejut, iaitu bermula pada hari Isnin, 21.2.2011. Apabila deringan loceng secara berterusan dibunyikan pada waktu pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung, semua aktiviti bilik darjah, makmal, bengkel dan seumpamanya hendaklah dihentikan. Guru yang sedang mengajar hendaklah mengarahkan pelajar beratur mengikut pelan laluan yang ditetapkan menuju tempat berkumpul. Hanya dokumen pengenalan diri yang perlu dibawa bersama-sama. Pelajar diingatkan supaya tidak bersenda gurau, bertolak-tolak atau berebut-rebut ketika bergerak, terutamanya apabila hendak menuruni tangga. Pelajar juga tidak dibenarkan menggunakan sebarang jalan pintas atau dengan sengaja menghilangkan diri dalam latihan ini. Tindakan disiplin boleh dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan.

Untuk latihan kali ini pihak sekolah menggunakan padang sebagai tempat berkumpul. Pelajar dikehendaki bergerak menuju depan astaka. Pelajar yang berada di tingkat atas bangunan hendaklah bergerak dan menuruni tangga yang mengarah ke tempat berkumpul sahaja. Semua guru juga perlu bergerak mengikut laluan pelan blok ketika itu. Patuhi pelan laluan yang telah disediakan di setiap kelas.

Guru yang sedang mengajar tadi hendaklah mengawal pergerakan murid dan akan menyemak kehadiran pelajar di tempat berkumpul, serta melaporkannya kepada pegawai panggilan baris yang seterusnya bertanggungjawab kepada pegawai insiden. Pegawai insiden ialah Tuan Pengetua, dan dibantu oleh Penolong Kanan HEM. Pegawai panggilan Baris (Guru PKBM) akan menerima laporan lisan kehadiran setiap kelas, kemudian melaporkan jumlah kesemuanya kepada pegawai insiden.

Setelah selesai, pelajar yang berkumpul dikehendaki mendengar ulasan dan penilaian latihan oleh tuan pengetua. Jika beliau tidak berpuas hati, latihan pengungsian bangunan berkenaan boleh diulangi serta-merta. Saya percaya warga SMI boleh melakukannya sekali sahaja, insya-Allah.


                         SMK ST MICHAEL, IPOH: CARTA ALIRAN LATIHAN


LOCENG KECEMASAN DIBUNYIKAN


P & P  DIHENTIKAN SERTA-MERTA


GURU DALAM KELAS ARAH PELAJAR BERATUR


BERGERAK MENGKUT LALUAN KE TEMPAT BERKUMPUL


 TEMPOH PERGERAKAN DICATAT OLEH PEGAWAI LATIHAN


SERAHAN BUKU DAFTAR PELAJAR DAN SEMAKAN OLEH GURU


PROSES MELAPOR KEPADA PEGAWAI INSIDEN


PENILAIAN LATIHAN OLEH TUAN PENGETUA