Thursday, February 10, 2011
PANTUN LAPAN KERAT KOMSAS TINGKATAN 5 (PERSONALITY GROOMING IN THE EYE OF A MALAY POET)
Pengenalan
Pantun lapan kerat boleh dianggap sebagai jarang-jarang sekali digunakan sama ada dalam majlis-majlis rasmi, pertandingan dan wacana puisi. Kebanyakan orang awam hanya biasa dengan pantun dua kerat dan pantun empat kerat. Mungkin sekali kesukaran untuk membina empat baris pembayang dan empat baris maksud menjadikan pantun lapan kerat tidak begitu diberi perhatian.
Murid tingkatan 5 didedahkan dengan pantun lapan kerat lewat antologi Dirgahayu Bahasaku. Tergolong sebagai puisi tradisioanal pantun lapan kerat pilihan ialah selenggaraan Dr. Harun Mat Piah. Hanya tiga rangkap dikemukakan, atau 24 baris sajak yang disajikan.
Pantun lapan kerat itu bertemakan memperkasa jati diri dalam menjaga keimanan, tanggungjawab, budaya dan bahasa (lihat pengenalan puisi tradisional, muka surat 3). Jika diteliti, pantun lapan kerat hanya memberi tumpuan kepada persamaan rima akhir bagi setiap pasangan baris pembayang dan maksud setiap satunya. Siapakah yang mampu menyamakan rima awal dan rima tengah?
Perbincangan rangkap demi rangkap
Buat bangsal di tengah hutan,
Tebaslah hutan buat halaman,
Di tepi halaman menanam kubis,
Diselang dengan pokok papaya;
Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman,
Tidak patah digoncang iblis,
Akhirnya tuan menang berjaya.
Sifat sabar dan tidak terburu-buru menandakan keutuhan iman seseorang. Bujukan iblis (syaitan) tidak sama sekali mampu mematahkan keutuhan iman yang dimiliki, mahupun sekadar menggoncang iman itu. Kuuhan iman itulah yang akhirnya membaya kemenangan dan kejayaan kepada seseorang.
Ikan teluk parang-parang,
Anak ketam disangka lelabi,
Berburu musim tengkujuh,
Dapat buruan dibelah-belah;
Bukan makhluk sebarang-barang,
Cucu Adam sepaian nabi,
Turun dari langit ketujuh,
Jadi khalifah kepada Allah.
Manusia bukanlah makhluk sebarangan yang diciptakan oleh Tuhan. Manusia ialah keturunan Nabi Adam, manusia pertama yang turun dari syurga (langit ketujuh). Manusia menyandang amanah selaku khalifah (wakil) Allah di bumi.
Lengkang-lengkung apa dipaku,
Paku jatuh patah dua,
Menjadi riuh orang di darat,
Anak Cik Itam jatuh jalar;
Bumi kandungan nenek moyangku,
Kerana lalai rosak binasa,
Kebudayaan Timur dinodai Barat,
Bahasa ibunda hina terbiar.
Sebagai pewaris tanah air pusaka nenek moyang, seseorang tidak seyogia menjadi lalai (alpa, cuai, leka) hingga membawa rosak binasa. Bukti kelalaian di depan mata pada hari ini ialah kebudayaan Timur telah dinodai (di bawah pengaruh negatif, dicemari, dikelirukan) oleh Barat (yang tidak berlandasakan iman). Bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu telah dibiarkan hina, diinjak, diketepikan, dipinggirkan, direndah-rendahkan dan ditolak ke tepi begitu sahaja tanpa rasa bersalah.
Tugasan
1 Soalan aras petikan (maksud rangkai kata): Berikan maksud sepaian nabi. (2 markah)
1 Soalan aras petikan: Terangkan maksud rangkap kedua dalam pantun (3 markah)
2 Soalan aras kbkk: Nyatakan tiga punca kebudayaan Timur dinodai Barat. (4 markah)
3 Soalan aras komsas: Jelaskan dua persoalan dalam rangkap pertama pantun (4 markah)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment