SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, February 18, 2011

IBU BAPA CEMERLANG, IBU BAPA EKSTREM (PARENTING SKILL)

Pendahuluan

Hendak bermula dengan yang mana, cemerlang atau esktrem? Sebenarnya dalam cemerlang ada ciri ekstrem, dan dalam ekstrem ada ciri cemerlang. Maka, bagi tujuan sesuatu wacana atau kajian, kedua-duanya perlu diberikan batasan konseptual supaya dapat dibezakan.

Dalam kebanyakan kamus, cemerlang merujuk kepada pencapaian yang melebihi piawai biasa (a talent or quality which is surpass ordinary standard), manakala ekstrem merujuk kepada kewujudan sesuatu pada tahap tertinggi, melepasi kebiasaan dan jangkaan (existing in a very high degree; going to be great, or exaggregated lengths, exceeding the ordinary, usual or expected, most advanced or thoroughgoing, utmost). Berdasarkan takrifan demikian, cemerlang lebih menjurus kepada pencapaian, sedangkan ekstrem menjurus kepada darjah maksimum. Cemerlang sentiasa dikaitkan dengan sifat positif (bersinar dengan terang, berkilauan, indah sekali, dan sangat baik (Kamus Dewan IV:262), manakala ekstrem dengan konotasi negatif seperti keterlaluan, atau melampau (Ibid, 383).

Ringkasnya, cemerlang ialah pencapaian positif yang diinginkan. Ekstrem pula boleh dinisbahkan kepada peribahasa "membujur lalu melintang patah", atau "biar putih mata, jangan putih tulang". Ekstrem tidak mengambil kira logik atau rasional sesuatu perkara.

Ibu Bapa Ekstrem

Terdapat dua jenis ekstrem, iaitu terlalu mengongkong atau langsung tidak kisah. Kategori ibu bapa yang terlalu mengongkong tidak ubah seperti seorang autoritarian, diktator atau kuku besi. Anak-anak mesti memberikan kepatuhan mutlak tanpa sebarang bantahan.

Ibu bapa ekstrem mahu menetapkan semua perkara untuk anaknya. Mereka ialah tukang pegang alat kawalan jauh, manakala anak-anak ialah boneka atau mainan robotik yang telah diprogramkan. Arah mana, sejauh mana, selaju mana, selama mana, dan setinggi mana akan bergantung kepada mod pilihan yang dipicit.

Semasa masih bayi, memang sang anak sangat tidak berdaya. Kalau hendak membantah atau meminta sesuatu, si anak hanya pandai merengek atau menangis. Si bayi tidak betah melafazkan keinginan atau penolakannya.

Apabila anak sampai usia pandai membezakan (mumaiyiz), mereka sudah makin menyerlahkan cita rasa dan pilihan secara lisan. Malangnya, ibu bapa ekstrem masih bersikap bagaikan sang raja dengan titah yang tidak boleh disanggah. Segala perkara dari sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya diputuskan oleh ibu bapa ekstrem.

Kemudian bersekolah di mana, jurusan apa, buku rujukan yang mana dan sesenarai panjang lagi bab-bab pendidikan ditentukan hanya oleh ibu bapa ekstrem. Kadang-kadang ibu bapa ekstrem mahu anak-anak melunaskan cita-cita mereka yang dahulunya tidak kesampaian. Kecenderungan dan suara anak-anak dipinggirkan sama ada secara lemah lembut atau pun berterus terang.

Selepas tamat mengaji hingga ke menara gading pilihan ibu bapa ekstrem, tibalah ketikanya si anak untuk bertemu jodoh. Sekali lagi, ibu bapa ekstrem akan memiliki kuasa veto. Nama cucu pun mesti mendapat kelulusan mereka.

Rumah jenis apa, kereta jenama apa, set televisyen apa, peti ais besar mana, dan segala-galanya perlu dilaporkan kepada ibu bapa ekstrem. Dalam kebanyakan adat resam dan tradisi, kaum wanita sering menjadi mangsa sebelah keluarga mertua. Namun, telah menjadi rahsia umum juga bahawa berleluasanya penyakit B1N1 (takut bini, suami dayus).

Ibu bapa ekstrem kategori tidak kisah atau lepas tangan pula mengakibatkan bersepah-sepahnya sampah masyarakat. Autonomi penuh diserahkan kepada si anak tanpa syarat. Tiada langsung larangan atau sekatan dikenakan, malah ibu bapa ekstrem berbangga kerana mereka kononnya berfikiran terbuka.

Ibu bapa ekstrem melepaskan anak-anak mereka seumpama perahu tanpa kemudi, kapal tanpa nakhoda dan layang-layang yang terputus talinya. Segala kegiatan anak, kepercayaan anak, dan cara anak berpakaian tidak pernah diambil pusing, bahkan dibiarkan begitu sahaja. Apabila ada orang yang menegur atau sekadar mengingatkan, ibu bapa ekstrem bertindak membela si anak membuta tuli.

Ibu bapa ekstrem bermegah kononnya si anak meniru tingkah laku mereka. Kalau ustaz memberitahu si anak tidak solat, atau ditangkap kerana berkelakuan melencong, ibu bapa hanya mampu berdiam diri, atau menolak sama sekali campur tangan pihak ketiga.

Ibu Bapa Cemerlang 

Cemerlang melambangkan ketinggian ilmu dan kehalusan pertimbangan. Ibu bapa cemerlang tidak terlalu mengongkong, dan dalam masa yang sama tidak pula mengambil sikap lepas tangan. Ibu bapa cemerlang menggunakan input ilmu pengetahuan dalam membimbing mereka membuat keputusan yang tepat dari segi pendekatan tentang anak-anak.

Ibu bapa cemerlang menampilkan ciri kepimpinan yang terbaik dan dihormati oleh anak-anak. Ibu bapa cemerlang memiliki kemahiran mendengar yang tinggi dan sentiasa peka terhadap keinginan dan pilihan anak-anak mereka. Pandangan anak-anak diterima seadanya sebelum berlakunya perbincangan kekeluargaan yang mengiktiraf kebijaksanaan si anak.

Ibu bapa cemerlang juga bertegas terhadap bibit-bibit keburukan yang muncul dalam tingkah laku anak-anak. Ibu bapa cemerlang mengenakan sekatan (sanction) terhadap tanda-tanda yang boleh menjerumuskan anak-anak ke arah kerugian (al-khusran). Ketegasan itu dikendalikan oleh ilmu, bukan di bawah pengaruh emosi.

Penutup

Ibu bapa hendaklah memilih sifat cemerlang dan mengetepikan sifat ekstrem. Cemerlang lebih bersifat jangka panjang, manakala ekstrem hanya keuntungan jangka pendek dan cepat pudar. Ibu bapa cemerlang ialah permulaan kepada masa hadapan generasi muda yang dapat diharapkan...

(petikan dan ulasan mimbar Jumaat, Masjid Solatiah, Ipoh)

No comments: