SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, March 24, 2012

BUDI BAHASA CEGAH JENAYAH (MIND YOUR LANGUAGE)

Dapatan ahli perubatan alternatif yang asalnya siswazah hubungan antarabangsa, (Dr) Masaru Emoto,79, tentang keajaiban air telah mendapat sambutan yang berbelah bahagi. Penceramah motivasi dan kerohanian cepat-cepat menyenaraikan hujah-hujah Emoto dalam isi ceramah mereka. Komuniti saintis Barat pula menganggap kajian Emoto sebagai pseudoscience, iaitu sains palsu justeru tidak menepati syarat penyelidikan saintifik yang lazim.
Perbincangan ini bagaimanapun hanya akan tertumpu kepada salah satu lontaran idea Emoto bahawa sesebuah masyarakat yang cenderung menggunakan bahasa yang buruk dan kasar akan mengakibatkan kadar jenayah dalam masyarakat berkenaan turut meningkat (higher rates of violent crime in areas where a lot of negative language is being used: http://www.ascensiongateway.com/quotes/masaru-emoto/index.htm). Bahasa yang buruk dan kasar terbit daripada fikiran yang kacau dan rosak. Orang yang bercakap buruk, hodoh atau kasar membayangkan pertimbangan yang singkat dan semberono.

Ucapan kata-kata yang bersifat negatif juga melambangkan akal budi yang rendah dan tahap ilmu yang cetek. Senang cakap bahawa orang yang bercakap lepas tanpa berfikir menunjukkan mulut lebih laju daripada otak. Orang yang demikian tidak pernah ambil pusing sama ada pihak lain yang mendengar akan berasa geram, hina, marah, tersinggung dan hilang akal.


Punca utama penggunaan bahasa yang buruk, kasar dan negatif ialah akses pendidikan yang terhad. Apabila akses pendidikan terhad, seseorang itu hanya mampu melampiaskan sebarang perkara yang terlintas dalam fikiran, tanpa kawalan. Emosi (perasaan yang mendatang) dan sentimen (perasaan yang kekal) begitu dominan dalam percakapan.


Kanak-kanak yang menggunakan kata-kata yang buruk, kasar dan negatif berkemungkinan sekali datang daripada latar belakang keluarga yang cenderung kepada adu domba, cemuhan, maki hamun, provokasi melampau, sumpah seranah dan seumpamanya. Saban waktu kanak-kanak demikian mendengar orang dewasa dalam lingkungan persekitaran mereka menggunakan bahasa yang buruk, cabul, kasar, kesat, dan negatif. Mereka diasak oleh pengaruh negatif di rumah, sekolah dan media.


Bahasa baku, bahasa mesra dan bahasa sopan hanya dianggap sebagai kegunaan urusan rasmi. Dalam keadaan biasa, orang-orang yang cuba menjadi baik akan dilabel sebagai skema. Akibatnya, bahasa dilayan sesuka hati hingga dikuasai oleh golongan rendah akhlak. 


Penggunaan bahasa yang buruk, kasar dan negatif membawa natijah yang amat dahsyat. Apabila lebih banyak orang berasa dihina, geram, kecewa, kecil hati, marah, dan tersinggung, pergaduhan, pertelingkahan dan sikap bermusuh mudah terjadi. Orang-orang yang gagal mengawal emosi akan mula menggunakan kekerasan fizikal terhadap "penyerang" yang berbahasa buruk, kasar dan negatif.


Disebabkan orang-orang yang berbahasa buruk, kasar dan negatif tidak pernah berfikir panjang, tindakan mereka juga lebih banyak bersifat serta-merta dan tergesa-gesa. Apabila mereka berasa kepentingan sudah terancam, atau jalan fikiran mereka ditolak, mereka mudah dihasut dan dirasuk oleh syaitan untuk bertindak secara melulu. Kekerasan dan keganasan ialah jalan singkat durjana kerana mengikut perasaan yang kacau itu.


Institusi rumah tangga dan sekolah perlu mengambil serius akan hubung kait antara bahasa yang bersifat buruk, kasar dan negatif dengan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat. Anak-anak yang masih mentah ibarat kain putih yang masih belum tercemar. Ibu bapa dan orang-orang yang lebih dewasa hendaklah menjadi teladan yang baik dalam berbahasa.


Sepatutnya bahasa mesra dan kasih sayang menduduki tempat yang teratas dalam proses asuhan dan pendidikan generasi muda. Ibu bapa, guru dan orang-orang dewasa hendaklah mengaktifkan cas-cas positif dalam berbahasa. Insya-Allah, kepekaan terhadap keperluan bahasa yang beradab dan mesra akan menghantar mesej atau perutusan yang betul kepada generasi muda kita untuk mengusir sebarang bentuk dosa...

No comments: