Sejak sekolah dibuka mulai 4 Januari yang lalu, guru dan murid sesi pagi bergegas ke sekolah dalam keadaan masih gelap. Lampu kereta masih menyala walaupun jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kedinginan masih membungkus setiap warga sekolah ketika tiba di tapak perhimpunan sekolah untuk pendaftaran kehadiran harian.
Jemaah solat waktu Subuh di masjid dan surau juga sebahagiannya datang dengan pakaian kerja atau pakaian seragam sekolah. Justeru solat dimulakan sekitar pukul 6.30 pagi, ada jemaah yang terus berdoa ringkas lalu melangkah pergi sejurus selepas salam. Barangkali, mereka melengkapkan bacaan wirid dan doa semasa perjalanan ke tempat kerja atau ke sekolah.
Waktu syuruk atau terbit matahari turut berganjak hingga pukul 7.30 pagi. Murid Islam yang harus menaiki bas seawal 6.00 pagi masih sempat menunaikan kewajipan mereka di surau sekolah sebelum sesi pembelajaran bermula. Tiada sebarang alasan patut diberikan apabila ditanya oleh guru dan ustaz tentang hal solat Subuh.
Selain pagi yang gelap, musim hujan datang serentak. Hujan turun tidak menentu waktu. Jika hujan mencurah-curah pada waktu awal pagi, alamat pergerakan kenderaan dan orang ramai di perjalanan menjadi perlahan.
Demi keselamatan anak, ibu bapa harus keluar kenderaan, berpayung bersama anak hingga ke laluan berbumbung sekolah. Keadaan di hadapan pintu utama sekolah menjadi sesak. Guru dan kakitangan sekolah harus bersabar menunggu giliran untuk dapat masuk ke kawasan sekolah.
Permukaan simen kawasan sekolah menjadi licin dan boleh mengundang risiko bahaya. Percikan air juga boleh mengakibatkan pakaian warga sekolah menjadi lembab dan tidak selesa dipakai. Namun, semua cabaran yang dilalui itu sudah menjadi asam garam dan rempah ratus kepada warga sekolah yang sudah lali dan mangli dengan tekanan.
Keadaan dijangka berubah secara beransur-ansur setelah tamat cuti seminggu pada 18 Mac ini. Ibu bapa dan murid mungkin sedikit cemas melihat hari sudah mula meninggi dan terang-benderang, walhal jam baru menunjukkan pukul 6.50 pagi. Suasana dingin di tapak perhimpunan sekolah bertukar kepada panahan cahaya sang suria yang memancar terik.
Pada waktu itu, giliran murid sesi petang pula pulang dari sekolah dalam keadaan yang sudah senja benar. Waktu Maghrib masuk seawal pukul 7.00 petang di kebanyakan zon di semenanjung. Negara kita mungkin tidak mempunyai pusingan cuaca empat musim seperti negara di hemisfera utara dan selatan, tetapi waktu terbit dan terbenam matahari tetap mempengaruhi rentak kehidupan...
No comments:
Post a Comment