Panduan penyediaan teks ucapan
1 Dapatkan senarai protokol: tetamu, jemputan dan profil hadirin
2 Muktamadkan isi ucapan dengan penyampai ucapan
3 Susun draf teks ucapan dengan persetujuan penyampai ucapan
4 Buat semakan bahasa
5 Serahkan draf teks ucapan yang lengkap kepada penyampai ucapan dua hari sebelum majlis
6 Dapatkan maklum balas untuk penambahbaikan
7 Serah semula teks ucapan yang telah siap disemak dan dibaiki
Contoh susunan isi
1 Menghadap majlis: ucapan salam, lafaz syukur dan sebut tetamu dan hadirin merujuk senarai protokol
2 Mengalu-alukan kehadiran tetamu dan mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah
3 Konsep majlis anugerah kecemerlangan akademik sebagai acara wajib sekolah
4 Takrif kecemerlangan kurikulum dan ukuran pencapaian
5 Pencapaian peperiksaan awam bagi sekolah
6 Transformasi pendidikan: pentaksiran berasaskan sekolah, kemahiran insaniah, sistem modular
7 Perancangan dan pelaksanaan program kecemerlangan kurikulum
8 Peranan murid, guru dan ibu bapa dalam proses menuju kecemerlangan kurikulum
9 Keperluan kecemerlangan kurikulum dalam konteks perubahan persekitaran pendidikan
10 Ucapan tahniah kepada penerima anugerah: kecemerlangan mesti diteruskan sepanjang hayat
11 Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis: tetamu, hadirin, jawatankuasa
12 Penutup ucapan:
Contoh teks ucapan yang lengkap
SMK ...
HARI UCAPAN
DAN PENYAMPAIAN HADIAH
DRAF UCAPAN TUAN PENGETUA
Terima kasih saudari pengacara majlis
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat pagi, salam sejahtera
Yang Dihormati ...
Yang Dimuliakan Yang Dipertua dan barisan
kepimpinan PIBG
Penolong-penolong Kanan,
Guru Kanan, Guru,
Yang dira’ikan para penerima hadiah
Ibu bapa
Hadirin dan hadirat
Saya rasa bertuah dan
bersyukur kerana pada petang ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi
pengiktirafan kepada para pelajar yang mencapai tahap pencapaian yang cemerlang
khusus dalam bidang kurikulum sepanjang tahun ... Sesungguhnya majlis hari
ucapan dan penyampaian hadiah ini merupakan kesinambungan tradisi sekolah sejak
sekian lama dan memiliki signifikan yang tersendiri kepada seluruh warga SMK ...
Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan puan. Saya percaya
bahawa sokongan seumpama ini akan meningkatkan
lagi semangat warga sekolah untuk terus mencatat kejayaan yang membanggakan.
Tuan puan dan penerima hadiah yang dira’ikan
Dalam konteks pendidikan, fungsi utama
sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran. Dengan perubahan persekitaran
pendidikan yang penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramalkan dan sentiasa
terdedah kepada penambahbaikan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses
pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan
menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan. Sejajar dengan Misi Nasional
dan perakuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025, salah satu teras utamanya
ialah menjana modal insan minda kelas pertama. Maka, SMK ... tidak boleh
terkecuali daripada menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan
bertaraf dunia supaya pada akhirnya pelajar yang menerima pendidikan di sekolah
ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara. Sebagai
pengetua, saya akan sentiasa memastikan bahawa hala tuju sekolah ini jelas dan
bahawa segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada
sentiasa akur dengan keperluan yang disebutkan.
Hadirin dan hadirat
Kemunculan sekolah sebagai pesaing dan juga
rakan kecemerlangan pendidikan menuntut kita melipatgandakan usaha untuk terus
relevan dan dihormati. Cerita-cerita kejayaan dari generasi demi generasi
menjadikan sekolah ini terus menjadi pilihan ibu bapa. Buktinya, enrolmen murid yang terkini ialah sebanyak ________ orang pelajar. Begitu juga dengan norma
perjawatan guru yang mencukupi. Terdapat seramai ______ orang guru yang
terlatih dalam pelbagai bidang opsyen. Guru-guru juga diberi pendedahan yang
berterusan untuk melaksanakan perubahan dan pendekatan baru dalam sistem
penyampaian pengajaran dan pembelajaran untuk menggembleng bakat dan potensi
pelajar secara optimum. Saya memberi jaminan bahawa guru sekolah ini sentiasa
komited terhadap usaha membantu dan membimbing pelajar ke arah kesejahteraan
hidup masa kini dan masa akan datang. Semua pelajar di sekolah ini berhak
mendapat peluang pembelajaran yang terbaik dan kami akan mencari jalan supaya
perkara ini tercapai sepenuhnya.
Def kehormat, ibu bapa, guru dan pelajar sekalian
Dari segi kemudahan dan prasarana fizikal, sekolah
ini telah mencapai penarafan lima bintang. Sebagai contoh, kemudahan kantin yang
berimej medan selera moden, bilik darjah yang selesa untuk proses pembelajaran dan
sistem sanitari yang menepati piawaian kesihatan. Pihak sekolah juga ingin
merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak
PIBG dan Persatuan Bekas Pelajar yang banyak membantu sekolah bagi meningkatkan
kecemerlangan pembelajaran dan segala kegiatan sekolah yang lain. Begitu juga
saya menghargai sokongan material dan moral para ibu bapa, masyarakat dan
media. Pada hakikatnya apa-apa jua projek naik taraf kemudahan fizikal sekolah
akan dipulangkan kepada para pelajar supaya dapat menikmati peluang
pembelajaran yang terbaik. Justeru saya merayu tuan puan tidak akan berasa jemu
untuk menghulurkan sokongan seumpama itu tanpa berbelah bahagi secara
berterusan dan konsisten.
Tuan-tuan dan puan-puan
Pada tahun ini, SMK St Michael memilih slogan
Kecemerlangan Yang Sentiasa Diperbaharui,
iaitu warga sekolah prihatin terhadap pencapaian tertinggi dalam konteks
kepesatan perubahan persekitaran pendidikan. Insan bijak pandai, insan yang
gigih dan insan yang berdaya usaha sebagai hasil sistem pendidikan kita hanya
akan bermakna apabila dapat menyumbang terhadap kecemerlangan yang berterusan.
Dengan cara menguar-uarkan slogan ini, pihak sekolah mengharapkan bahawa dalam
jangka masa panjang, generasi pelajar yang menjalani pengajian di sini akan
sentiasa berada di barisan hadapan untuk membaharui pencapaian kecemerlangan
tanpa terikat kepada status quo secara taksub. Untuk tempoh yang terdekat ini,
pihak sekolah giat merangkakan program yang menggambarkan keazaman memindahkan
slogan itu dalam bentuk pelaksanaan program, tingkah laku dan kebiasaan. Saya sentiasa
optimis bahawa warga sekolah dapat berganding bahu dalam memastikan apa-apa jua
kemajuan yang dikecapi hendaklah berteraskan konsep kecemerlangan yang holistik
dan seimbang. Kesedaran tentang pencapaian kecemerlangan hendaknya bersemi
dalam sanubari warga sekolah buat selama-lamanya. Doakan semoga impian besar
ini menjadi kenyataan.
Saudari pengacara, tetamu, guru dan murid yang diraikan
Seperti yang saya sebut pada awal ucapan
saya bahawa pengiktirafan yang diberi kepada pelajar berpencapaian cemerlang
tidak dibataskan kepada bidang kurikulum semata-mata. Domain kognitif atau minds-on memang masih unggul. Namun
kebolehan psikomotor atau hands-on,
ciri afektif seperti kepimpinan dan sahsiah mesti berjalan seiringan. Kini,
definisi kepandaian atau kepintaran telah diberi dimensi yang baru. Akses
kepada maklumat dan kemahiran tidak lagi bergantung kepada individu yang
dianggap genius, tetapi lebih kepada kekuatan pasukan dan data dalam talian.
Aspek kecerdasan emosi (EQ), serta
kecerdasan spiritual dan sosial (SQ)
akan menjadi lebih dominan. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa
ketaksuban atau fokus yang berlebihan terhadap pencapaian peperiksaan akan
segera berakhir. Kini sistem pentaksiran berasaskan sekolah telah diperluaskan.
Pada masa depan, sebagai contoh, pusat tuisyen tidak lagi dapat menyaingi
peranan sekolah dalam menyediakan pakej pendidikan yang lengkap. Di SMK ...,
kami telah bersedia ke arah itu.
Kepada penerima hadiah, sekalung tahniah
untuk anda. Teruskan kecemerlangan anda. Nilai kebendaan hadiah dan sijil
bukanlah menjadi ukuran. Yang penting, kalian telah diberi pengiktirafan yang
begitu bermakna dalam hidup kalian. Di samping mencongak kejayaan, usah lupakan
rakan-rakan yang tidak menerima hadiah seperti kalian. Bantu mereka, beri
dorongan dan inspirasi. Kelak kalian akan dikenang sebagai insan yang budiman
dan berperibadi mulia. Bagi pihak sekolah, saya mendoakan agar kalian akan
terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri sendiri, keluarga, sekolah,
masyarakat, bangsa dan negara.
Kepada ahli jawatankuasa majlis hari ucapan
dan penyampaian hadiah SMK ... kali ini, terima kasih daun keladi. Kepada
tetamu dan hadirin, sokongan tuan puan akan dikenang sampai bila-bila.
Ikan
sembilang, sepat dan kelah
Guna bubu biasa di hujung
Pencapaian cemerlang dapat hadiah
Petanda ilmu sentiasa dijunjung
Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufiq
wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabaraktuh.
14 comments:
terima kasih di atas perkongsian ini. mohon dihalalkan untuk saya manfaatkan sebagai panduan menulis teks ucapan seumpamanya
tq for yr sharing cg azhar
Izinkan saya meminjam teks tuan.
mohon jadikan panduan
tk
terima kasih. mohon izinkan saya meminjam teks untuk dijadikan panduan
Terlalu panjang
Mohon syer
mohon share ye cikgu..semoga Allah melipatgandakan pahala cikgu
Mohon share ya. Tq
Mohon rujukan yer
Mohon jadikan rujukan ye cikgu..semoga Allah murahkan rezeki cikgu..tq
Mohon saya gunakan sebagai rujukan ye tuan. terima kasih atas perkongsian ilmu.
terimakasih atas perkongsian...sgt membantu..izinkan utk menyalin .
terima kasih atas kesudian cikgu kongsikan ilmu.. moga dipermudah dan diperluas rezeki cikgu..
Post a Comment