SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, February 11, 2011

PANTUN EMPAT KERAT (AGAMA) KOMSAS TINGKATAN 2 [THE ETERNAL LIFE]

Pengenalan

Segala genre puisi termasuk pantun sesuai sebagi medium menyampaikan nasihat agama dan iman secara halus dan indah. Ungkapan yang dilafazkan walaupun ringkas, tetapi begitu sarat dengan hikmah (kebijaksanaan) dan makna. Getaran aura pengucapan pantun meresap masuk hingga ke dalam dasar jiwa insan sasaran.

Pantun empat kerat selenggaraan Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd.Rahman Kaeh bertemakan pedoman amal ibadah dan keimanan kepada Tuhan dimuatkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 7 - 8. Terdapat sejumlah enam rangkap pantun yang dipilih. Hampir semua baris ayat mengandungi 8 - 10 suku kata.

Analisis rangkap demi rangkap

          Kemuning daunnya lampai,
                   Tumbuh di pusara paduka tuan,
          Di atas dunia kau tak sampai,
                    Di dalam syurga bernantian.

Maksud rangkap satu secara tersuratnya mungkin sekali tentang janin yang telah cukup sifat, atau bayi yang meninggal dunia dalam kandungan akan menanti ibunya di syurga. Kemungkinan maksud lain ialah seseorang yang kurang amalan baik di dunia akan terpaksa menunggu lama sebelum boleh menjadi penghuni syurga. Apa-apa perkara yang paling penting ialah amalan kehidupan dunia sebagai jambatan ke syurga.

           Halia ini tanam-tanaman,
                     Di barat saja akan tumbuhnya,
           Dunia ini pinjam-pinjaman,
                      Akhirat juga akan sungguhnya.

Kehidupan di dunia hanyalah bersifat fana (sementara). Dunia bagaikan satu persinggahan seketika cuma sebelum kembali kepada Yang Maha Pencipta. Akhirat ialah kehidupan yang kekal abadi. 

            Teritip di tepi kota,
                      Mari dikayuh sampan pengail,
             Imam khatib lagikan berdosa,
                      Bertambah pula kita yang jahil.

Orang yang alim (dalam ilmunya) serta mulia kedudukannya seperti imam (pemimpin ibadah solat) dan khatib (pembaca khutbah Jumaat) lagikan berdosa, apatah lagi orang awam yang serba kekurangan dari segi ilmu pengetahuan (keagamaan). Pendek kata, kita tidak boleh tertipu daya kononnya kitalah insan yang bebas daripada catatan dosa.

             Asam kandis asam gelugur,
                       Ketiga asam si riang-riang,
             Menangis mayat di pintu kubur.
                       Teringat badan tidak sembahyang.

Secara mata kasar, mayat atau jenazah memang tidak boleh melakukan apa-apa melainkan terbujur kaku dan menerima sahaja apa-apa yang diperlakukan ke atas jasadnya. Namun, ruhnya masih ada di sisi untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanyai di alam kubur. Penyesalan ruh akibat meninggalkan solat (sembahyang) diungkapkan lewat "menangis mayat".

              Buat serunai batang padi,
                       Bunyi lagu seri pualam,
              Serban bukan semuanya haji,
                       Haji terletak pada amalan.

Status haji seseorang tidak seyogia dinilai dari segi pakaian, misalnya serban yang dikenakan di atas kepada. Sebaliknya, status haji yang diterima Allah (mabrur) terletak pada amalan yang dilakukan. Dalam kata lain, bukanlah pakaian (serban) mengesahkan pengenalan (identiti) seorang haji, tetapi dari segi amalan.
              
               Tiada boleh menetak jati,
                       Papan di Jawa dibelah-belah,
                Tiada boleh kehendak hati,
                       Kita di bawah perintah Allah.
                       
Neraca keputusan, pertimbangan dan tindakan seseorang tidak boleh sama sekali berasaskan kehendak hati. Sebaliknya, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa kita tertakluk kepada perintah Allah. Kehendak hati tidak boleh dijadikan asas melainkan serasi dengan perintah Allah jua...

3 comments:

JASON said...

HAHAHAHAHAHA

INTERSTING

AWESOME

I FINISHED MY HOMEWORK THX 2 TIS BLOG !!!!!!!!!!!!!!!!!! THX <3

Anonymous said...

hahaha....
not funny yo..
where is that one you call persoalan and tema...omg

Anonymous said...

Terima kasih, cikgu. Saya boleh habiskan projek buat Komsas Pantun Empat Kerat tingkatan Dua ini