SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, July 7, 2011

CHE JUSOH ISMAIL PENGETUA KAYA PENGALAMAN (METAPHOR AND TAGLINE OF SCHOOL LEADERSHIP)

      
Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail

Kuala Lumpur, Khamis: 7.7.11 / 5 Syaaban 1432

Selain kelayakan akademik dan pendedahan pelbagai modul kepimpinan sekolah menerusi bengkel, kursus, mesyuarat, persidangan, seminar, dan simposium, pengalaman ialah faktor kritikal yang menyumbang terhadap kepimpinan pengetua yang berkesan. Pengalaman yang dimaksudkan ialah pengalaman peribadi dan perkongsian pengalaman daripada pelbagai sumber yang tidak tertulis dalam mana-mana jurnal penyelidikan atau rencana popular. Begitu banyak kisah bersifat terpencil yang dilalui oleh seseorang pengetua yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Dalam satu majlis yang dinamai "Semarak Kasih Kalungan Budi", seorang pengetua yang memiliki pengalaman keguruan yang mantap, iaitu Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail telah diraikan oleh peserta persidangan bahasa di sebuah hotel di ibu negara. Beliau telah menyumbang bakti kepada dunia pendidikan sepanjang lebih tiga dekad lamanya. Penulis blog (PB) yang mengenali beliau sejak tahun 2003 sempat merakamkan beberapa maklumat latar belakang pengalaman Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail.

Berasal dari Machang, Kelantan, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail menerima pendidikan awal di SK Pangkalan Ngering di daerah kelahiran beliau. Seterusnya Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail menyambung pengajian menengah di SMK Hamzah, Machang sebelum meneruskan pengajian tingkatan 6 di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu. Berbekalkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan (HSC) yang cemerlang, beliau diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Setelah memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (B.A.Ed. Hons) pengkhususan Kususateraan Melayu pada tahun 1980, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ditempatkan di SMK Dato' Abdul Kadir, Seberang Perai. Permohonan beliau untuk pulang ke Kelantan diluluskan enam tahun kemudian, iaitu di Sekolah Menengah Sains Machang. Beliau kekal berkhidmat di situ selama 15 tahun, dengan tempoh 8 tahun terakhir diamanahkan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan (Pentadbiran) di SMK Melor Kota Bharu, tetapi hanya untuk tempoh tiga bulan. Bintang beliau begitu cerah apabila dilantik pula sebagai pengetua di SMK Putra mulai tahun 2000. Lima tahun selepas itu beliau bertukar ke SMK Tanjung Mas.

Pada awal Januari tahun ini, Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ditugaskan pula sebagai pengetua gred DG 52 di SMK Kangkung hingga ke hari ini. Walaupun tempoh perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam kini menghampiri penghujungnya, beliau tidak rela dibayangi dengan detik-detik persaraan dalam melaksanakan tugas kepimpinan di sekolah. Tiada istilah "hantuk dinding" atau burn out sebagai alasan untuk bekerja ala kadar.

Pengalaman beliau mengasuh generasi muda dan sebagai mentor kepada seluruh warga sekolah juga dibawa ke rumah. Anak sulung Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail ialah lulusan bioteknologi, sudah berumah tangga dan berkhidmat dengan syarikat swasta di Kuala Lumpur. Anak kedua beliau sedang menyiapkan disertasi Ph.D dalam bidang sains sukan di bawah program tenaga akademik USM di New Zealand.

Anak ketiga Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail bertugas sebagai guru di SK Seksyen 17, Shah Alam. Anak keempat beliau sedang mengikuti pengajian perubatan di Royal College of Medicine, Dublin. Anak kelima akan menduduki peperiksaan SPM, manakala anak keenam ialah anak istimewa.

Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail yang menunaikan rukun Islam kelima pada tahun 1996 sempat menitipkan beberapa mutiara kata sebagai pegangan kepada pelbagai peringkat warga sekolah. Antara lain:

kepada murid:  Kejar(lah) kecemerlangan, justeru persaingan makin hebat

kepada guru:  Jaga keberkesanan penyampaian pengajaran dan pembelajaran

kepada pentadbir sekolah:   sentiasalah usahakan penambahbaikan dalam segala bidang, tidak boleh berpuas hati dengan keadaan yang sama

kepada ibu bapa:  berilah pendidikan yang seimbang kepada anak-anak, iaitu pendidikan duniawi dan ukhrawi

Dalam mengejar apa-apa pun, pegangan agama hendaklah menjadi asas dan benteng. Selain itu, seseorang itu kena mengkaji dahulu kebenaran sesuatu perkara, iaitu tidak seyogia bergantung kepada persepsi spontan. Tuan Haji Che Jusoh bin Ismail bakal bersara pada bulan Mei tahun 2012 melainkan jika pembentangan belanjawan dalam sidang parlimen penghujung September ini memperaku usia persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 60 tahun...

No comments: