Tempoh kuliah yang lebih singkat, peperiksaan pada setiap semester dan pembahagian sukatan pelajaran yang lebih jelas bermakna buku teks ekonomi yang sedia ada mengalami proses ubah suai. Bagi pelajar prauniversiti tingkatan 6 yang memilih mata pelajaran Ekonomi, mereka boleh menganggap bahawa diri mereka agak bertuah kerana beberapa tajuk telah dikeluarkan, atau dipindahkan untuk kertas Ekonomi Malaysia. Khusus buat penggal atau semester pertama, hanya kertas Mikroekonomi yang ditawarkan.
Sebagai contoh, bab keseimbangan pengguna telah digugurkan. Pelajar tingkatan 6 Rendah tidak lagi perlu belajar menghitung kombinasi barang yang memaksimumkan kepuasan berdasarkan tingkat pendapatan tertentu. Rasional Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) berbuat demikian justeru didapati bahawa berpandukan respons calon terhadap soalan yang berkaitan dengan tajuk berkenaan tidak memberangsangkan.
Demikian juga dengan tajuk diskriminasi harga monopoli juga diketepikan. Tajuk itu akan hanya ditemui semasa pengajian tahun pertama di peringkat sarjana muda. Pengalaman peribadi penulis blog (PB) di universiti juga mendapati pensyarah juga hanya memberi kuliah sepintas lalu sahaja terhadap tajuk yang dirasakan tidak akan diuji dalam peperiksaan pada penghujung sesuatu semester.
Tuan Haji Ahmad Latfi, Sm.Ekon (UKM), Dip.Ed(UM) dari SMK Simpang
sedang menyampaikan taklimat kepada guru ekonomi negeri Perak
tag line beliau "udah-udah le tu" (macam majalah Gila-gila)
Teori kadar bunga moden John Maynard Keynes tentang perangkap kecairan digugurkan kerana bertindan tentang tajuk peranan wang dalam kertas makroekonomi. Dengan demikian, guru dan pelajar dapat memberi tumpuan terhadap pembentukan teori dan aplikasi ekonomi yang dapat dikaitkan dengan dunia realiti dalam jangka masa pengajian yang terhad. Jika tidak, tabiat membuat soalan ramalan akan berulang.
Beberapa pembetulan juga dibuat terhadap beberapa huraian buku teks yang didapati tidak menepati kehendak pemarkahan STPM. Sebagai contoh, perbandingan antara pasaran persaingan sempurna dengan monopoli pada tingkat keseimbangan. Gambar rajah yang lebih sesuai ialah dengan titik minimum keluk kos purata (
AC) sentuh dengan keluk hasil purata persaingan sempurna dan dipotong oleh keluk hasil purata monopoli.
Dalam kebanyakan buku teks, gambar rajah seperti yang dinyatakan hanya merujuk kepada kes firma-firma persaingan sempurna bergabung menjadi monopoli dalam jangka panjang. Maka, firma persaingan sempurna yang pada asalnya hanya untung normal kini akan menikmati untung lebih normal. Pelajar masih perlu menjelaskan perubahan yang berlaku terhadap tingkat harga dan kuantiti keluaran.
No comments:
Post a Comment