SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, May 7, 2012

MEDIA MESTI JUNJUNG PRINSIP ADIL DAN ILMU (ETHICS AND INTELECTUAL DOMAIN IN JOURNALISM)

Belakangan ini media utama  atau arus perdana sudah kian sukar untuk menjadi contoh teladan dalam proses pembinaan jati diri, modal insan dan akhlak yang mulia. Prinsip asas kewartawanan yang berpegang kepada kebenaran dalam pemberitaan kelihatan tidak begitu dihormati. Sumber yang tidak berwibawa seolah-olah diterima dengan begitu mudah hingga timbul begitu banyak perkara yang bersifat spekulasi.

Walaupun umum mengetahui bahawa media memiliki kecenderungan tertentu, tetapi alangkah baiknya jika percubaan mempengaruhi khalayak ke arah kebaikan dilakukan dengan penuh adab, bijak dan rasa hormat terhadap intelektualisme mereka. Perbezaan pendapat tidak wajar menjadi punca perbalahan dan perpecahan yang parah. Khalayak berhak mendapat maklumat yang menyumbang ke arah kehidupan yang harmonis dan sejahtera.

Media tidak bersifat kebal daripada tindakan undang-undang. Apabila berlaku proses saman-menyaman, media menjadi sibuk mempertahankan diri. Walhal, andainya media tidak memberi tempat kepada sumber yang diragui, nescaya bahang adu domba dan gosip murahan tentu gagal berkembang. 

Media tidak harus sama sekali membenarkan fitnah dan kerosakan tersebar dalam kalangan khalayak dan masyarakat. Berita yang bersifat "perbicaraan dalam media" hanya menjejaskan kepercayaan awam terhadap media. Beban menghadirkan bukti sudah terletak di tangan media sebagai pihak yang menyebarkan berita sensasi, bukan kepada sasaran yang mengalami kerugian teruk dari segi nama baik dan maruah diri.

Peranan media sebagai jentera propaganda tidak dapat dielakkan jika tujuannya untuk kebaikan dan kesejahteraan. Media menjadi medan dan prasarana dakwah yang paling berkesan. Kepakaran wartawan yang terbaik dimanfaatkan supaya penyampaian maklumat tidak dianggap bersifat memaksa.

Media masih boleh kembali ke pangkal jalan dengan menjunjung tinggi prinsip keadilan dan keilmuan. Lembaran hadapan akhbar sebagai contoh harus melakukan anjakan paradigma dengan mempromosi pemikiran yang berpegang kepada ilmu dan iman. Jika media terus bersikap syok sendiri, lambat-laun mereka akan kehilangan khalayak secara besar-besaran...

No comments: