Thursday, May 31, 2012
CERITA DARI UKM II: DI HADAPAN PURI PUJANGGA (THE BENEFIT OF DOUBT)
Setelah selesai urusan serahan kunci bilik hotel, penulis blog (PB) sekeluarga pun bersedia untuk meneruskan perjalanan. Baharu tiba di simpang hadapan Puri Pujangga, kami berpatah balik untuk berjumpa semula petugas kaunter untuk bertanyakan laluan pintas ke Putrajaya. Rupa-rupanya kami telah ditakdirkan untuk menyaksikan satu peristiwa yang biasa berlaku dalam masyarakat, tetapi kali ini membabitkan golongan bijak pandai.
Sebuah kereta sederhana mewah, Peugot, dipandu oleh seorang wanita keturunan Cina separuh abad, berhenti di hadapan foyer Pujangga Puri. Seorang mat saleh, kelihatan seperti profesor tamu, turun dari kereta, diiringi seorang lagi wanita, tidak dapat dipastikan keturunan mana. Seorang lagi wanita, nampak macam profesor juga, sedang membuka pintu kereta untuk keluar.
Tiba-tiba kereta terus bergerak tanpa sempat profesor berkenaan turun dengan sempurna. Akibatnya, profesor berkenaan terjatuh dan lengannya terkena pintu kereta. Si pemandu terus berhenti dan keluar melihat keadaan. Dia terus memeluk kawannya, barangkali sebagai tanda minta maaf.
Profesor yang terjatuh tadi cuba tersenyum bagi melindungi rasa malu dan sakit yang terpaksa ditanggung. Dia cuba meyakinkan rakan-rakannya bahawa dirinya tiada apa-apa walaupun dengan jelas bahawa dia trauma. Selepas meletak kenderaan, pemandu kereta yang juga seperti tampang profesor itu sekali lagi memeluk erat rakannya itu sambil berjalan beriringan bagi menghiburkan dirinya sendiri yang cuai dan bersalah.
Profesor mat saleh 'pura-pura" tidak campur tangan mungkin kerana tidak mahu memanjangkan cerita dan menjaga air mula profesor wanita yang terjatuh tadi. Mereka berempat terus berlalu ke kaunter penyambut tetamu hotel untuk urusan selanjutnya. PB sekeluarga hanya mampu melafazkan istighfar atas peristiwa yang berlaku di hadapan mata, tanpa disangka-sangka, dan berakhir dengan begitu pantas.
Peristiwa yang menimpa profesor wanita itu mengembalikan ingatan PB terhadap peristiwa yang serupa di hadapan Tesco Ipoh (bersebelahan Jaya Jusco) beberapa tahun yang lalu apabila seorang ibu tua jatuh tergolek di atas jalan akibat kecuaian si anak. Ibu tua itu belum selesai turun apabila si anak (lelaki) tergesa-gesa menggerakkan kereta, barangkali untuk berebut tempat meletak kereta yang strategik. Anggota keluarga yang lain menjerit-jerit dan terus menerpa ke arah si ibu tua.
PB berkongsi kedua-dua cerita untuk kita belajar sesuatu. Berfikir dua kali sebelum bertindak atau membuat keputusan tidak boleh dianggap sebagai membazirkan masa. Malah, dengan cara mendapatkan pandangan kedua, kita berkemungkinan sekali dapat melaksanakan sesuatu perkara dengan lebih persis dan tepat.
Namanya sudah kemalangan bahawa kedua-dua pemandu dalam peristiwa yang diceritakan hanya berfikir sekali. Namun, kesilapan yang membawa padah seperti itu tidak seyogia diulangi buat kali kedua. Falsafah tukang kayu mengatakan, ukur dua kali, potong sekali (measure twice, cut once) dan mafhum al-hadith bahawa orang beriman tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali hendaklah menjadi pegangan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment