Antara saluran radio yang mendapat perhatian warga veteran ialah Sinar.fm, Klasik Nasional dan Lite.fm. Astro juga menyediakan saluran khas untuk lagu-lagu 1940-an ke bawah menerusi stesen Gold. Maknanya, orang tua berusia 90-an masih boleh mengimbau siulan zaman mereka masih remaja.
Sinar.fm pernah menduduki carta teratas pendengar paling ramai untuk tempoh waktu yang lama sebelum dipintas semula oleh Era.fm. Bilangan pendengar setia Sinar.fm dianggarkan berjumlah 4.2 juta orang. Klasik Nasional juga berjaya mengumpul peminat melebihi 1.5 juta orang.
Apakah muzik retro berfungsi sebagai terapi minda atau sebenarnya lagi satu bentuk helah bela diri? Biarlah penyelidik psikologi warga lanjut usia melaksanakan kajian yang menyeluruh tentang isu berkenaan. Barangkali nilai-nilai baharu telah meresapi golongan lama yang biasanya lebih konservatif.
Di Malaysia, perjalanan seni seseorang penyanyi akan segera suam-suam kuku apabila menginjak usia 30-an, atau sebaik sahaja berumah tangga. Penyanyi tempatan hanya aktif merakam album atau memenuhi undangan pertunjukan pentas ketika masih "bergetah". Namun, godaan retro nampaknya mengajak golongan veteran kembali melayan lagu-lagu kegemaran silam mereka, dan penyanyi yang sudah mencecah usia lebih separuh abad meraih perhatian semula.
Buktinya, slot siaran Aku, Dia dan Lagu (Adila) kelolaan Klasik Nasional saban petang mendapat sambutan hangat orang-orang lama, termasuk yang sudah berstatus datuk nenek dan bergelar haji. Cerita-cerita cinta lama tanpa sms, facebook dan tweeter diolah dengan begitu cantik walaupun barangkali terdapat tokok tambah sebagaimana karya-karya klasik tentang kesaktian pahlawan dahulu kala. Kisah ala-ala Kuch Kuch Hota Hai berkenaan diselang-seli dengan lagu-lagu retro pujaan silam.
Perak.fm juga menyajikan slot retro usai ceramah agama yang meraih bilangan khalayak yang tertinggi. Status sebagai stesen penyiaran setempat tidak menghalang Perak.fm diikuti di seluruh dunia menerusi laman sesawang mereka. Stesen Suria.fm yang meraih hampir 3 juta pendengar juga menampilkan tag line muzik 90-an dan terkini.
Sebuah syarikat pasta gigi (ubat gigi) yang mempromosi penjagaan gigi palsu pula sanggup menaja program persembahan suara emas. Maksudnya, golongan veteran diberikan pentas untuk melantunkan vokal dan menari mengikut keupayaan masing-masing. Nasihat doktor harus dipatuhi supaya tidak terlalu memaksa diri untuk melalak (irama keras) atau terkinja-kinja seperti orang muda.
Orang-orang lama juga perlu sentiasa diberi nasihat (ad-dinu nasihah, au kama qala). Sesuai dengan usia yang merangkak senja, mereka tidak boleh terlalu leka dan menghabiskan sisa usia dengan pekerjaan yang sia-sia. Jemputan ke alam baqa tidak didahului dengan amaran yang nyata...
No comments:
Post a Comment