Monday, May 14, 2012
GURU SARJANA DAN PH.D MENANTI BERITA BAIK? (HIGHER DEGREE HOLDERS DESERVE HIGHER PAY)
Apabila terdapat arahan untuk kemas kini maklumat guru penyandang ijazah tinggi, iaitu sarjana dan doktor falsafah, maka kumpulan guru berkenaan mula menumbuhkan bunga-bunga harapan. Maklumlah, sebahagian mereka telah mengeluarkan ongkos yang bukan sedikit untuk menyelesaikan pengajian. Dugaan semasa pengajian juga begitu banyak, termasuk persefahaman dan sokongan antara keluarga, terutama suami atau isteri yang mungkin sedikit sepi.
Terdapat juga cerita kononnya, pihak berkuasa telah bersetuju memberi keistimewaan kepada penyandang ijazah tinggi, tetapi mendapat bantahan sebuah kesatuan guru. Alasannya ialah kerana hanya guru yang mendapat tajaan biasiswa hadiah latihan persekutuan (HLP) akan diberi ganjaran. Setiap tahun, kurang 10 peratus pemohon biasiswa HLP yang berjaya, manakala baki yang lain harus menanggung segala perbelanjaan pengajian dengan duit poket sendiri.
Di Lembah Kelang dan Tanjung Malim, serta Johor Bahru, bilangan guru yang memperoleh ijazah tinggi bertambah setiap tahun. Di sana kampus UKM, UM, UPM, UIAM, UPSI dan UTM berdekatan dengan rumah dan sekolah cikgu-cikgu. Begitu juga kemudahan rujukan tesis di perpustakaan EPRD di Putrajaya boleh dikunjungi selepas waktu persekolahan sesi pagi. Maka, tidak hairanlah cikgu sekolah rendah pun ramai yang sedang mengikuti program doktor falsafah secara kerja kursus yang mula ditawarkan oleh beberapa buah universiti awam di Lembah Kelang.
Sasaran sebagai negara maju menjelang tahun 2020 termasuk akses pengajian tinggi pada kadar 40 peratus daripada jumlah penduduk negara kita. Maka, setakat kelulusan ijazah sarjana muda sudah menjadi perkara biasa. Malaysia mungkin sampai ke tahap negara China yang mengeluarkan 5 juta orang siswazah setiap tahun dan India juga dalam bilangan yang lebih kurang sama.
Perlumbaan untuk memperoleh ijazah tinggi bukan lagi cerita pelik. Dahulu penceramah suka memperli kononnya ijazah berjela-jela, tetapi akhlak dan tasawwur mereka masih di takuk lama. Sebenarnya, pengajian ijazah tinggi yang berasaskan kemahiran penyelidikan tahap tinggi akan lebih dekat kepada kebenaran dan mementingkan sokongan data (kuantitatif dan kualitatif) sebagai sandaran.
Sekolah akan beruntung jika banyak cikgu memiliki ijazah tinggi. Kajian tindakan adalah perkara "kacang" bagi mereka. Kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan amalan terbaik dalam aktiviti pembelajaran di bilik darjah.
Perayaan hari guru edisi 2012 bakal berlangsung di Dewan Jubli, Kuala Kangsar 16 Mei ini. Sudah pasti lebih 10,000 orang guru penyandang ijazah tinggi teruja untuk mengetahui sama ada mereka akan diberi perhatian atau harus menunggu lebih lama. Sudah ada bisik-bisik kononnya guru sarjana akan beroleh dua kenaikan gaji atau elaun khas seperti BISP, manakala guru Ph.D menerima tiga kenaikan gaji.
Moga berita baik juga yang akan diumumkan sempena majlis sambutan yang saban tahun tidak pernah lupa dengan sajak Usman Awang itu. Diharap pak menteri tidak marah jika guru penyandang ijazah tinggi memasang impian seperti yang tersebut. Bekas murid mereka yang masuk PTD atau sebagai pensyarah sudah pun melangkau gred perjawatan guru mereka sendiri yang kini sudah meniti penghujung tempoh perkhidmatan keguruan mereka...syahdu syahdu...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
Nampak gayanya kami guru-guru sekolah yang mempunyai ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PHd) akan terus menggunakan ijazah Sarjana Muda sebagai kelulusan tertingginya......
Nampak gayanya kami guru-guru sekolah yang mempunyai ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah akan terus menggunakan ijazah Sarjana Muda sebagai kelulusan tertinggi kami sampai pencen......
Harapan saya ada pihak yang prihatin terhadap isu ini.Bagi saya yang mempunyai ijazah master kajian tindakan adalah " passion" saya. Saya akan terus menghasilkan koleksi kajian tindakan selama masih ingin berada di sekolah.Insentif wajar diberikan kepada guru-guru yang ada ijazah master dan phd agar semangat cintakan ilmu akan terus berkembang.
Apa jadi dengan isu ini ya?...
Nampak macam tak ada imbuhan tambahan pun untuk Guru Sarjana dan PHD...
Dah masuk 2013 dah nie... Any new news?...
belum jadi lagi bang,
masih tarik tali dengan jpa
harap kesatuan guru dan ceupacs boleh main peranan, sebab tiada kesatuan sekerja guru siswazah lanjutan dibenarkan setakat ini...
Ramai Cikgu ijazah lanjutan path hati. Dahlia banyak makluman dikemaskini, dipungut, dihantar, dipungut Dan dikemaskini dll lagi tapi Harapan tetap tinggal Harapan. Adios.
Selagi masih belum bersara, harapan masih ada. Kepakaran yang tidak dibayar dengan wang tidak semestinya mendatangkan kerugian mutlak. Sebagai pihak 'disavantage', guru ijazah tinggi hanya boleh menunggu, sambil memujuk diri sendiri...
Sama-samalah kita berdoa...manatahu ada rezeki tahun 2014 pula.
AKU BARU GRED SARJANA DARI USM(2013) SELEPAS HABIS IJAZAH SARJANA MUDA JUGA DI USM 1999, KINI MOHON USM UNTUK PhD. TERUS BELAJAR WALAU DURIAN RUNTUH TAK RUNTUH-RUNTUH. KALAU DI NEGARA MAJU GOLONGAN GURU BERIJAZAH TINGGI DIIKTIRAF KEPAKARAN MEREKA. TAPI KITA DI MALAYSIA NI CAKAP JE BERDEGAR-DEGAR NAK TUJU NEGARA MAJU DAN WUJUDKAN MYBRAIN15 UNTUK LAHIRKAN PEMEGANG IJAZAH TINGGI MENJELANG 2020, TAPI MASIH GELAP-GULITA. ABIS DUIT JANGAN CERITA...NUN JAUH DARI KELANTAN KE PENANG SETIAP MINGGU JUMPA PENYELIA NAK BENTANG/BAIKI TESIS, NAMUN.....APA MAKNA SEMUA INI. SURUH TINGKATKAN TAHAP AKADEMIK TERTINGGI...SEKARANG PENGIKTIRAFAN TAK KUNJUNG TIBA. PROFESIONAL LA SIKIT, JANGAN JADI PEMIKIRAN DUNIA KETIGA.
Saya juga memohom perkara yang sama bagi pensyarah2 dipoliteknik yang mempunyai sarjana dan Phd. Walau sekarang golongan ini tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya di politeknik pada masa kini, moga dengan skim ini kami mendapat pembelaan yang sewajarnya atas segala susah payah dan pelbagai pengorbanan sepanjang pengajian menambah ilmu pengetahuan diluar politeknik supaya para ilmuan ini dapat menaikkan lagi taraf politeknik sebagai gedung ilmuan yang dapat mendidik anak bangsa yang lebih cemerlang di mata dunia . Harap ada response yang positif dari pihak atasan terhadap para pemagang sarjana dan Phd dipoliteknik. Terima kasih
Jangan harap...retorik je... Yg untung org yg diatas. Dah kenyang tidur tak ingat abak2 buah dibawah
Post a Comment