Sungguh menyedihkan bahawa sebahagian orang Melayu sendiri bermati-matian memuja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka ini mahu wajah Malaysia tunduk kepada acuan Inggeris bukan sahaja dari segi bahasa, bahkan segala-galanya, terutama pemikiran liberal. Bagi mereka bahasa Melayu tidak berharga, kekampungan dan kolot belaka.
Apabila orang Melayu sendiri sudah sanggup menginjak bahasa sendiri, maka apakah lagi yang boleh diharapkan daripada orang lain? Mereka akan bertepuk tangan dan membiarkan segelintir pembelot mengasak bahasa Melayu mereka sendiri rapat ke dinding. Cerita duka seperti itu macam tiada penghujung.
Bukti apakah lagi yang mahu ditunggu? Kadang-kadang kita seolah-olah berada di Hong Kong atau London jika hanya berdasarkan iklan dan papan tanda berbahasa asing tanpa sensitiviti dan tentangan pihak yang berkepentingan. Kecuaian menjaga bahasa akhirnya perlahan-lahan akan merebak pula dalam bidang yang bersangkut paut dengan soal maruah dan kedaulatan bangsa.
Apabila melihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Jangan menjadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Jadilah kita insan bijaksana agar mampu membaca muslihat "musuh" dalam jangka panjang...
1 comment:
Yang jelas, martabat pemimpin negara begitu rendah apabila perkara penting sedemikian hanya memandang sepi dan tidak diperjuangkan dengan sewajarnya. Pemimpin berwibawakah sedemikian?
Post a Comment