Sunday, January 30, 2011
FATIMAH BUSU BELA INTERLOK (LEARN FROM THE PAST)
Isu novel Interlok karya sasterwan negara kelapan, Dato' Abdullah Hussain, 91, masih belum berakhir. Versi asal Interlok diterbitkan pada tahun 1971, iaitu 40 tahun yang lalu. Media melaporkan Dato' Abdullah Hussain begitu tertekan dengan bantahan yang ditimbulkan oleh golongan yang enggan menerima hakikat sejarah tentang kepincangan sosial pada masa yang lalu.
Kementerian Pelajaran Malaysia masih dalam proses memuktamadkan semula edisi murid novel Interlok yang digunakan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Selangor dan Negeri Sembilan itu. Sementara itu, pembelajaran novel Interlok ditangguhkan seketika. Pelbagai majlis forum dan wacana dianjurkan supaya semua pihak yang berkepentingan memiliki peluang bagi meluahkan pandangan yang masih terbuku di hati.
Perbincangan secara beradab dan intelektual harus dialu-alukan supaya naskhah hebat seperti Interlok dihormati dan diterima sebagai sebuah karya yang mampu memupuk perpaduan masyarakat berbilang-bilang agama dan kaum di negara kita. Dato' Abdullah Hussain telah melukiskan perjalanan sejarah pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu dari zaman penjajahan Inggeris hinggalah merdeka. Masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada guru-guru Bahasa Melayu bahawa di tangan mereka, pembelajaran novel Interlok akan mematuhi segala objektif komsas, terutama kajian watak dan perwatakan, nilai, latar, persoalan dan pengajaran, selain kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (kbkk).
Perbuatan membakar 100 buah naskhah Interlok oleh sekumpulan pembantah telah mengundang reaksi keras daripada golongan sasterawan sendiri. Peristiwa berkenaan dianggap sebagai keterlaluan dan tidak matang. Mujurlah bantahan yang dilakukan tidak dibalas dengan cara yang serupa oleh penyokong Interlok yang jumlahnya pasti jauh lebih besar.
Fatimah Busu, bekas ahli akademik USM dan penulis sastera yang prolifik mengungkapkan reaksi golongan sasterawan lewat sajak yang tersiar di laman Sanggar Kreatif, Berita Minggu hari ini (30.1.11), halaman 21. Tema puisi nukilan beliau menjurus kepada maruah Melayu yang diinjak oleh pembantah Interlok. Sajak Fatimah Busu turut disokong oleh pemuisi tersohor, Ibrahim Ghaffar yang menelusuri penipuan yang dialami oleh moyang-poyang Melayu ekoran termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.
Dan Interlok pun dibakar
gambar Abdullah Hussain dibakar
tapi yang terbakar kulit di jasad Melayuku.
Dan api pembakaran Interlok pun menyala
api pembakaran gambar Abdullah Hussain pun menyala
tapi yang panas darah Melayu dalam tubuhku.
Dan asap bakaran Interlok pun naik ke udara
asap bakaran gambar Abdullah Hussain pun naik ke udara
tapi yang tercemar udara langit dan bumi Melayuku.
Dan Interlok pun hangus, rentung
gambar Abdullah Hussain pun hangus, rentung
tapi yang hangus, rentung perasaan dan hati Melayuku.
Dan abu Interlok pun dipijak-pijak
abu gambar Abdullah Hussain pun dilanyak-lanyak
tapi yang dipijak, terlanyak maruah Melayuku.
Berlangsung detik sebuah kebiadapan purba
mencakar kaca jendela peradaban bangsa
retak
berpetak-petak
FATIMAH BUSU
Bayan Baru, Pulau Pinang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment