Riak juga boleh dilakukan semasa melakukan ibadah puasa. Ada orang yang sanggup menahan lapar dan dahaga, serta menjaga tutur kata. Tubuh dan badan tidak dihiraukan, iaitu seperti tidak terurus semata-mata bagi menunjukkan diri sebagai benar-benar berpuasa, sedangkan niat di hati sekadar mahu dipuji orang.
Supaya disangka ianya wali,
Akan dunia tidak peduli,
Hemahnya itu sangatlah ali,
Tetapi hatinya ke dunia bertali.
Orang yang riak juga berlagak seumpama wali dengan tidak mempedulikan urusan dunia. Hemahnya menggambarkan seorang yang begitu ahli (tentang akhirat), sedangkan hatinya tetap terpaut kepada dunia. Pada zahirnya nampak sebagai wali yang zuhud, tetapi cumalah lakonan semata-mata.
Terkadang riakkan ia berilmu,
Bersurah ketika orang berjamu,
Berkata-kata tidaklah jemu,
Nahu dan sarap habis diramu.
Ada juga yang menunjuk-nunjuk konon dirinya seorang yang berilmu. Dalam majlis jamuan dan keramaian, orang berkenaan bersyarah tanpa berhenti. Selain itu, perbuatan riak dihiasi dengan susunan kata yang bertujuan memancing pujian khalayak.
Terkadang bercakap ilmunya mantik,
Bicara alhayat konon diselidik,
Supaya disangka ianya cerdik,
Sukalah orang memberinya gundik.
Orang yang riak juga bercakap dengan ilmu yang kelihatan hebat. Percakapannya tentang kehidupan kononnya didasarkan kepada kajian yang sah. Semua yang dilakukan itu hanya supaya orang lain memandang si riak sebagai cerdik, dan membuka peluang kepadanya beristeri banyak.
Terkadang riak dengan pakaian,
Berserban lilit ekor berhambayan,
Sejadah di bahu berhampaian,
Tasbih di tangan beruitan.
Ada juga orang yang riak menunjuk-nunjuk pakaian orang alim seperti serban yang dililit melambai-lambai, sejadah sengaja disangkut di bahu dan tasbih sengaja digerakkan di tangan. Si riak mahu orang ramai kagum dengan penampilannya. Dia berniat mahu dipuji-puji.
Pejamkan mata duduk bersila,
Lidah berzikir Allah Taala,
Terkadang jazbah seperti gila,
Kasadnya hendak jadi kepala.
Penyakit riak juga dijelmakan dalam bentuk ahli zikir. Di hadapan orang, si riak akan memejamkan mata sambil duduk bersila. Lidahnya menyebut-nyebut nama Allah Taala. Pelakuan zahir yang seolah-olah bergantung kepada Allah sebenarnya dengan niat supaya dapat siangkat sebagai pemimpin.
Riak demikian menjadi balak,
Amal itu tentu ditolak,
Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
Allah Taala sualak.
Riak membawa bahana dan bala. Segala amalan yang dilakukan akan ditolak. Malah, amalannya si riak menjadi sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah Taala.
Perbincangan
1 Bagaimanakah riak dilakukan menerusi cara seseorang itu berpakaian? [2 markah]
2 Jelaskan dua cara bagi mengelakkan perbuatan riak? [4 markah]
3 Nyatakan dua persoalan daripada syair di atas. [3 markah]
No comments:
Post a Comment