Watak dan Perwatakan Keluarga Cing Huat
1 Lee Kim Lock (KL)
Bapa kepada Cing Huat. Tidak berkebolehan menulis dan membaca. Mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman di tanah besar China (daerah Cangcow) setelah tanaman padi musnah akibat serangan belalang. KL menaiki tongkang menuju "rantau selatan" untuk mencuba nasib. Di "Sin Cia Pu" (Singapura), KL bermula sebagai penarik lanca (lihat bahagian tengah kulit hadapan novel), tukang angkat najis dan kemudiannya kuli pelabuhan. Setelah 30 bulan, KL diajak berhijrah ke Melaka sebagai kuli lombong bijih timah. KL tidak mudah mempercayai orang lain setelah ditipu oleh perempuan gemuk Cina yang enggan membayar tambang lanca, dan penipuan hutang oleh broker yang membawanya ke rantau selatan.
2 Cing Huat (CH)
Mengikut bapanya meninggalkan Cina ketika berusia tujuh tahun setengah. Mabuk laut, melainkan ketika pelayaran menuju Muar. Bekerja sebagai pelayan di kedai kopi Gim Thong. Rajin menolong orang, contohnya mengangkat air untuk perempuan Hakka di atas kapal (muka surat 122). CH juga buta huruf, tetapi menaruh impian yang besar.
3 "Paman" Kok Leng (PKL)
("Paman" ialah panggilan untuk pak cik dalam masyarakat Jawa). PKL broker yang memperoleh untung besar dengan mengutip tambang berlipat kali ganda daripada penduduk Tung San (tanah besar China) yang sanggup mengikutnya ke rantau selatan. Mengenakan hutang pokok dan bunga kepada sekalian orang yang ditolongi.
4 Kim Sui (KS)
Anak saudara Paman Kok Leng. Kaki judi yang licik. Walaupun menuduh pamannya "tukang tipu", KS sendiri mengambil bayaran apabila menolong Kim Lock mendapatkan Ah Seng, ganti tempatnya sebagai kuli pelabuhan. KS digambarkan sebagai cergas dan sigap dalam sesuatu urusan.
5 Syaitan putih
Gelaran yang diberi kepada pegawai dan masyarakat kulit putih yang sedang berkuasa di Tanah Melayu.
1 Penduduk kampung di Cangcow fobia terhadap sebarang petanda mala petaka alam. Demi melihat awan hitam berarak, mereka keluar menerpa petak sawah masing-masing, walaupun padi masih belum boleh dipotong. Apabila hujan tidak turun, masing-masing tertawa akan kebodohan diri sendiri.
2 Kim Lock terus mendesak Paman Kok Leng untuk membawa Cing Huat sekali ke rantau selatan. Dia tidak mahu berpisah dengan anaknya itu. Kim Lock sanggup membayar tambangnya walaupun duitnya tidaklah sebanyak mana.
3 Kejadian hujan lebat memaksa puak Hakka dan Hokkien melupakan sebentar permusuhan mereka di tanah besar China untuk menyiapkan perlindungan di dek kapal. Permusuhan hanya berlaku di dalam hati kerana soal duit tidak ada musuh.
4 Ketika Kim Lock berasa seperti kuda menarik kereta apabila kekok memegang lanca sewa, tauke lanca memberitahunya bahawa dia mesti berlari untuk mencari duit, bukannya berjalan. Maka, Kim Lock melupakan niatnya untuk menjadi peminta sedekah.
5 Kim Lock mencium upah pertamanya sebagai penarik lanca daripada dua orang penumpang syaitan putih. Duit 20 sen perak itu dijaganya dengan baik.
6 Kim Lock ditipu oleh perempuan Cina gemuk yang menggunakan taktik maki hamun untuk menaiki lanca tanpa membayar tambang. Kim Lock cuba meminta duit tambang, tetapi tidak dihiraukan.
7 Kim Lock menolak saranan Paman Kok Leng untuk menjual Cing Huat kepada tauke kedai kopi Gim Thong, walaupun ketika itu mabuk akibat minum samsu. Hutangnya dianggap langsai jika dia sanggup berbuat demikian.
8 Kim Lock enggan memberitahu jumlah duit yang dimilikinya walaupun didesak oleh Kim Sui untuk menentukan jumlah tambang ke Ma-la-ca (Melaka). Kim Lock juga makin berhati-hati untuk mempercayai sesiapa jua, termasuk kepada anaknya sendiri, Cing Huat.
Latihan Akses Kendiri
Berdasarkan nota di atas, murid digalakkan menyenaraikan segala elemen komsas seperti watak dan perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran bagi setiap satu peristiwa. Sila rujuk nota-nota terdahulu tentang cara menulis elemen komsas bagi peristiwa. Huraian kepada elemen kbkk juga boleh menggunakan contoh peristiwa yang sama.
Selamat belajar...
1 comment:
Terima kasih cikgu! sangat berguna!
Post a Comment