SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, January 11, 2011

PANTUN ENAM KERAT KOMSAS TINGKATAN 5 (MIRACLE OF LOVE)

Pengenalan Kajian Pantun Komsas

Jika semasa tingkatan 4, murid didedahkan dengan pantun empat kerat, kali ini untuk tingkatan 5 mereka diperkenalkan dengan pantun enam kerat dan pantun lapat kerat. Bahagian pembayang masih mematuhi prinsip unsur alam atau kerenah manusia. Rima akhir antara pasangan pembayang dengan maksud hendaklah sama setiap satunya, tetapi sukar untuk menyamakan rima awal dan tengah.

Prinsip jumlah 10 ke 12 suku kata bagi setiap baris juga nampaknya sukar sedikit. Perhatikan bahawa baris 4, 5, 7, 8, 10, 1 dan 16 hanya mengandungi sembilan suku kata. Baris-baris pantun yang lain mengandungi 10 suku kata, kecuali baris terakhir yang terdiri daripada 11 suku kata.

Analisis di atas hanyalah bertujuan supaya murid lebih peka tentang bentuk pantun yang dikarang. Murid yang pernah mengambil bahagian dalam pertandingan pantun tentu telah maklum tentangnya. Sebagai genre pembelajaran komsas, murid lebih menumpukan perhatian kepada mesej pantun, sama ada menerusi elemen komsas, terutama nilai, persoalan dan pengajaran tanpa melupakan tema dan latar.

Murid juga diharapkan dapat membuka perbincangan dari sudut kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (kbkk). Kreatif bererti menjana idea yang asli, manakala kritis ialah menilai kemunasabahan (masuk akal) sesuatu idea. Biasanya, murid dikehendaki memberikan pendapat tentang punca (faktor, sebab), kebaikan (faedah, kelebihan, manfaat, keistimewaan) , akibat  (implikasi, kesan, natijah) dan cara (kaedah, langkah, tindakan).

Perbincangan Pantun Enam Kerat

Dalam bahagian pengenalan puisi tradisional (Dirgahayu Bahasaku, 3) ada dinyatakan bahawa Pantun Enam Kerat selenggaraan Md. Ali Bachik membawa nilai-nilai kekuatan, ketahanan dan ketabahan hati ketika berdepan dengan kekecewaan dalam bercinta. Nilai-nilai yang dinyatakan itu sangat penting, khususnya kepada murid remaja yang masih belum menempuh pengalaman hidup yang mencukupi andainya menghadapi situasi yang serupa. Hakikatnya, tidak semua yang dihajati dan diingini akan kesampaian.

          Putik kelapa menjadi muda,
                    Kelapa muda jadi kemirau,
                              Sudah kemirau menjadi kotai;
          Hati luka pura tiada,
                    Rasa pedih buat tak hirau,
                              Ibarat kaca jatuh ke lantai.


Pembayang rangkap satu ialah unsur alam. Maksud yang hendak disampaikan ialah walaupun hati sudah terluka, tetapi pura-pura atau berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Perasaan sedih dan duka cita (pedih) seakan-akan tidak dipedulikan, walhal remuk redam yang dialami ialah cinta yang tidak kesampaian dan sudah berderai dan musnah semuanya.

          Ambil galah jolok kedondong,
                     Galah pendek buluh sumpitan,
                              Buluh bersisip tali jerami;
          Bukan salah ibu mengandung,
                      Sudah takdir sudah suratan,
                              Sudah nasib jadi begini.


Rangkap kedua ialah tentang penyataan pasrah kepada ketentuan dan takdir yang disuratkan. Tiada sesiapa yang harus disalahkan. Nasib sedemikian tidak perlu disesali lagi.


          Sarat bermuat ikan cencaru,
                    Gelama tidak berumpan lagi,
                             Kail tersangkut di tepi batang;
          Sudah dapat orang yang baru,
                     Yang lama tidak berkenan lagi,
                             Ibarat melukut di tepi gantang.


Pujaan hati sudah berubah hati kepada cinta baharunya, iaitu mendapat pengganti. Apabila ditinggalkan, si dia sudah tidak sudi (berkenan) dengan kekasih atau cinta lamanya. Jika masih mengharap, harapannya sangat tipis dan tidak akan dipandang lagi.


Latihan

a)    Apakah cara-cara menghadapi kekecewaan?    [2 markah]

b)    Dalam rangkap akhir pantun dinyatakan bahawa apabila sudah mendapat pengganti baharu, yang lama tidak lagi disukai.

        Pada pendapat anda, mengapakah seseorang manusia bersikap sedemikian?    [3 markah]

c)     Berikan tiga persoalan yang terdapat dalam pantun tersebut.    [4 markah]


Analisis Soalan dan Perancangan Jawapan

a)    Aras soalan:  petikan
       Tugasan soalan:  cara-cara (menghadapi kekecewaan)
       Ambilan isi:  dalam petikan (daripada pantun)
       Jumlah isi jawapan:  2

Jawapan:  Cara-caranya ialah menyembunyikan perasaan kecewa itu (hati luka pura tiada) dan perasaan sedih jangan dilayan (rasa pedih buat tak hirau).


b)    Aras soalan:   kbkk
       Tugasan soalan:   sebab manusia melupakan yang lama setelah mendapat pengganti.
       Ambilan isi:   luar petikan
       Fokus:  yang lama (bukan pengganti baharu)
       Jumlah isi jawapan: minimum 2

Jawapan:   Pada pendapat saya, manusia bersikap demikian kerana kenangan seseorang itu mudah pudar, sudah berasa bosan, keindahan lalu sudah lenyap dan ikatan terhadap yang lama memudaratkan diri.


c)    Aras soalan:  komsas
       Tugasan soalan:  persoalan
       Fokus: pernyataan sahaja, tiada huraian
       Jumalah isi jawapan;  minimum 3

Jawapan: Persoalan pantun ialah rasa kecewa yang mampu disembunyikan, penerimaan ketentuan takdir dan perubahan perasaan manusia seiring dengan perjalanan waktu.              

2 comments:

Melizsa Vincent :) said...

This is really helpful (:

Muhd Ashraff said...

Tolong sambung pantu nihh

Apa diharap padi diladang
Entah masak entah tidak
Entah habis dimakan pipit....