Ulasan rangkap demi rangkap
I
Seorang kanak-kanak
berbaju kurung nampak cantik
berlesung pipit beralis lentik
bermain-main riang, bermain keseorangan
pada wajahnya meriak gembira
pada bibirnya menguntum ceria
berderai ketawa mengocak suasana.
Kanak-kanak perempuan Melayu dapat dikenal pasti menerusi pakaian baju kurung, selain gadis cilik itu memiliki lesung pipit (garis yang terbentuk di pipi apabila tersenyum), serta alis matanya lentik. Pada mulanya si kanak-kanak perempuan Melayu itu bermain sendirian (keseorangan). Sebagai kanak-kanak, hanya gambaran kegembiraan yang menghiasi riak wajahnya, bibirnya yang menguntum senyum penuh ceria, dan dia ketawa berderai-derai (melantunkan ketawanya bersahaja) memecah suasana (menarik perhatian orang lain - kanak-kanak lain dan pemuisi).
II
Seorang kanak-kanak
berpakaian ceongsam bertocang dua
bergincu pipi tampak ceria
tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
menghulur senyum dan ketawa manja
pada wajahnya menyerlah keriangan
mereka bermain alang-kepalang
berkejar-kejaran tanpa halangan.
Kanak-kanak perempuan Cina pula menyarung ceongsam, pakaian tradisi kaumnya. Rambutnya dirias bertocang dua, di samping bergincu pipi. Si gadis cilik Cina kemudian menyertai si gadis cilik Melayu bermain dengan bebas riang tanpa halangan. Mereka sama-sama bertegur sapa, senyum, ketawa manja, berwajah riang dan bermain alang-kepalang (hingga puas).
III
Seorang kanak-kanak
bersari bergelang kaki
bertindik hidung menguntum seri
melihat saja telatah manja
si comel berdua, bermain, dan tertawa
dirinya bagai digamit bermain bersama
mengongsi kemesraan
menterjemah makna kejiranan.
Kanak-kanak perempuan India mengenakan pakaian tradisi sari dan bergelang kaki, selain bertindik hidung bagi menaikkan seri wajah. Pada mulanya dia hanya melihat sahaja kanak-kanak perempuan Melayu dan Cina bermain dan tertawa bersama-sama. Akhirnya, dia tidak dapat menahan diri untuk turut serta berkongsi kemesraan sebagai tanda semangat berjiran.
IV
Ah, kanak-kanak
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa
mereka saling bersalaman
dan berpeluk mesra
tanpa menghiraukan adat dan budaya;
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka
bersatu hati membentuk jati diri
ke arah wawasan lebih bererti!
Begitulah keistimewaan kanak-kanak walaupun berlainan agama dan berlainan bangsa, mereka saling bersalaman dan berpeluk mesra. Adat dan budaya yang berbeza bukanlah penghalang untuk mereka menjadi akrab dan memupuk perpaduan. Tanpa perasaan curiga atau prasangka, mereka bersatu hati membentuk jati diri menuju wawasan yang sebenar.
Elemen komsas dalam sajak
Nilai:
1 Perpaduan kaum
2 Menghargai tradisi
3 Semangat kejiranan
4 Hormat-menghormati / bersangka baik
5 Kemesraan
Persoalan:
1 Perpaduan antara kaum (dalam kalangan kanak-kanak)
2 Pergaulan mesra antara kanak-kanak berlainan kaum / agama
3 Kecintaan terhadap pakaian tradisi kaum
4 Dunia kanak-kanak yang riang gembira tanpa curiga / prasangka
5 Pemupukan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak
6 Permainan sebagai cara memupuk perpaduan
Pengajaran:
1 Kita hendaklah mengutamakan perpaduan
2 Kita hendaklah mencintai pakaian tradisi kaum masing-masing
3 Kita hendaklah menjauhi perasaan curiga / prasangka
4 Kita hendaklah mencontohi persahabatan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berlainan agama / bangsa
5 Kita hendaklah menggalakkan permainan yang memupuk perpaduan kaum
6 comments:
like thiz..its so intersting teacher azhar..and thiz cool..like it..
tq sy buat kerje senang skrg... waho...
terima kasih cikgu atas ulasan tersebut
saya penulis sajak ini, saya mengalu-alukan semua pandangan dan ulasan, terima kasih.
Salam En. Mohd Amran Daud,
semoga terus prolifik dalam berkarya demi kebaikan ummah ...
saya nak tema tema bagi sajak ini.
Post a Comment