SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, January 29, 2011

SAJAK "PERSAHABATAN" KOMSAS TINGKATAN 2 (FRANCE: FRIENDSHIP REMEMBERANCE AND NEVER CAN END)

Pengenalan

Puisi karya Mohd. Amran Daud berjudul seringkas perkataan tunggal "Persahabatan" dimuatkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 20 - 21. Sajak empat rangkap itu turut dipisahkan dengan angka roman I, II, III dan IV. Tema "Persahabatan" ialah perpaduan antara kaum mudah terjalin dalam kalangan kanak-kanak.

Rangkap I menggambarkan kanak-kanak perempuan Melayu, rangkap II kanak-kanak perempuan Cina, dan rangkap III kanak-kanak perempuan India. Pengenalan keturunan setiap kanak-kanak perempuan itu digambarkan menerusi pakaian tradisi kaum yang mereka pakai. Rangkap IV ialah pandangan penyajak tentang dunia kanak-kanak yang tidak menghiraukan segala perbezaan sesama mereka untuk membentuk perpaduan.

Ulasan rangkap demi rangkap


                     I
         
           Seorang kanak-kanak
           berbaju kurung nampak cantik
           berlesung pipit beralis lentik
           bermain-main riang, bermain keseorangan
           pada wajahnya meriak gembira
           pada bibirnya menguntum ceria
           berderai ketawa mengocak suasana.


Kanak-kanak perempuan Melayu dapat dikenal pasti menerusi pakaian baju kurung, selain gadis cilik itu memiliki lesung pipit (garis yang terbentuk di pipi apabila tersenyum), serta alis matanya lentik. Pada mulanya si kanak-kanak perempuan Melayu itu bermain sendirian (keseorangan). Sebagai kanak-kanak, hanya gambaran kegembiraan yang menghiasi riak wajahnya, bibirnya yang menguntum senyum penuh ceria, dan dia ketawa berderai-derai (melantunkan ketawanya bersahaja) memecah suasana (menarik perhatian orang lain - kanak-kanak lain dan pemuisi).


                       II


           Seorang kanak-kanak
           berpakaian ceongsam bertocang dua
           bergincu pipi tampak ceria
           tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
           menghulur senyum dan ketawa manja
           pada wajahnya menyerlah keriangan
           mereka bermain alang-kepalang
           berkejar-kejaran tanpa halangan.


Kanak-kanak perempuan Cina pula menyarung ceongsam, pakaian tradisi kaumnya. Rambutnya dirias bertocang dua, di samping bergincu pipi. Si gadis cilik Cina kemudian menyertai si gadis cilik Melayu bermain dengan bebas riang tanpa halangan. Mereka sama-sama bertegur sapa, senyum, ketawa manja, berwajah riang dan bermain alang-kepalang (hingga puas).


                     III


           Seorang kanak-kanak
           bersari bergelang kaki
           bertindik hidung menguntum seri
           melihat saja telatah manja
           si comel berdua, bermain, dan tertawa
           dirinya bagai digamit bermain bersama
           mengongsi kemesraan
           menterjemah makna kejiranan.


Kanak-kanak perempuan India mengenakan pakaian tradisi sari dan bergelang kaki, selain bertindik hidung bagi menaikkan seri wajah. Pada mulanya dia hanya melihat sahaja kanak-kanak perempuan Melayu dan Cina bermain dan tertawa bersama-sama. Akhirnya, dia tidak dapat menahan diri untuk turut serta berkongsi kemesraan sebagai tanda semangat berjiran.


                          IV


           Ah, kanak-kanak
           biar berlainan agama
           biar berlainan bangsa
           mereka saling bersalaman
           dan berpeluk mesra
           tanpa menghiraukan adat dan budaya;
                 membina keakraban tanpa curiga
                 membentuk perpaduan tanpa prasangka
           bersatu hati membentuk jati diri
           ke arah wawasan lebih bererti!


Begitulah keistimewaan kanak-kanak walaupun berlainan agama dan berlainan bangsa, mereka saling bersalaman dan berpeluk mesra. Adat dan budaya yang berbeza bukanlah penghalang untuk mereka menjadi akrab dan memupuk perpaduan. Tanpa perasaan curiga atau prasangka, mereka bersatu hati membentuk jati diri menuju wawasan yang sebenar.


Elemen komsas dalam sajak


Nilai:


1   Perpaduan kaum


2   Menghargai tradisi

3   Semangat kejiranan

4   Hormat-menghormati / bersangka baik

5   Kemesraan


Persoalan:

1   Perpaduan antara kaum (dalam kalangan kanak-kanak)

2   Pergaulan mesra antara kanak-kanak berlainan kaum / agama

3   Kecintaan terhadap pakaian tradisi kaum

4   Dunia kanak-kanak yang riang gembira tanpa curiga / prasangka

5   Pemupukan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak

6   Permainan sebagai cara memupuk perpaduan

Pengajaran:


1   Kita hendaklah mengutamakan perpaduan

2   Kita hendaklah mencintai pakaian tradisi kaum masing-masing

3   Kita hendaklah menjauhi perasaan curiga / prasangka

4   Kita hendaklah mencontohi persahabatan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berlainan agama / bangsa

5   Kita hendaklah menggalakkan permainan yang memupuk perpaduan kaum
   

6 comments:

Cerryne said...

like thiz..its so intersting teacher azhar..and thiz cool..like it..

Unknown said...

tq sy buat kerje senang skrg... waho...

mohd amran daud said...

terima kasih cikgu atas ulasan tersebut

Mohd Amran Daud said...

saya penulis sajak ini, saya mengalu-alukan semua pandangan dan ulasan, terima kasih.

cikgu azhar said...

Salam En. Mohd Amran Daud,

semoga terus prolifik dalam berkarya demi kebaikan ummah ...

Unknown said...

saya nak tema tema bagi sajak ini.