Friday, February 3, 2012
DILEMA SISWAZAH KEJURURAWATAN (OVER ENROLMENT AND EXCESSIVE SUPPLY IN HEALTH SECTOR)
Donald J. Blake, profesor ekonomi buruh di UKM suatu ketika dahulu pernah mengatakan bahawa kebanyakan perancangan buruh di negara sedang membangun adalah cacat. Maksudnya, dasar guna tenaga yang digunakan tidak kena dan tidak tepat. Hitungan senario dan unjuran yang sipi menyebabkan berlakunya pengangguran besar-besaran yang selanjutnya menjadi masalah sosial di negara terbabit.
Pengalaman negara China dan India dengan isu siswazah mengemis pekerjaan ke sana sini patut dipelajari. Saban tahun dianggarkan lima juta anak muda negara China tamat pengajian universiti dan memasuki pasaran buruh. Hanya segelintir siswazah yang bernasib baik atas pelbagai sebab memperoleh rezeki pekerjaan.
Di negara kita juga, masalah pengangguran siswazah ialah isu yang perlu ditangani saban tahun memandangkan bilangan universiti awam sahaja sudah mencecah 20 buah, manakala universiti dan kolej swasta mencatat jumlah lebih 30 kali ganda daripada itu. Andai kata, secara konservatif 100,000 siswazah universiti awam tamat pengajian setiap tahun, ke manakah hala tuju mereka di pasaran pekerjaan?
Dahulu siswazah pendidikan begitu terjamin dari segi penempatan, tetapi kini tidak lagi demikian. Kini, bilangan guru di sekolah kerajaan sudah mencecah angka setengah juta orang dan jumlah kekosongan sudah terhad. Semangat yang berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa mungkin pudar apabila terpaksa menganggur dalam tempoh yang lama.
Kerjaya dalam bidang kesihatan dan perubatan juga beransur-ansur mengalami nasib yang serupa. Buat permulaan, siswazah kejururawatan menghadapi kesukaran memperoleh pekerjaan dalam bidang mereka. Ilmu dan kemahiran yang ditauliahkan tidak dapat menjadi amalan kerjaya.
Sumber menyatakan bahawa sejumlah 12,000 orang pelatih jururawat tamat pengajian setiap tahun, sedangkan keperluan pasaran hanya di sekitar 1,500 orang dalam tempoh yang sama. Siswazah kejururawatan dari universiti awam juga turut tidak dapat ditempatkan di hospital kerajaan. Mereka harus mengambil daya usaha untuk bersaing dengan rakan-rakan siswazah universiti dan kolej swasta.
Peluang pekerjaan sebagai jururawat di timur tengah (negara-negara Arab) juga tidak semudah yang disangka. Mereka mengutamakan jururawat berpengalaman berbanding dengan jururawat yang baru hendak mula bekerja. Sebahagian ibu bapa juga keberatan melepaskan anak dara mereka mengambil risiko keselamatan apabila berkhidmat di rantau orang.
Maka, di samping usaha pihak berkuasa mencari jalan menyelesaikan isu pengangguran jururawat bertauliah, para siswazah kejururawatan harus menubuhkan sebuah majlis atau jaringan maya mereka sendiri untuk menjana idea supaya ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mereka peroleh dapat disalurkan kepada bidang inovasi dan keluaran impak tinggi yang berkaitan dengan rawatan. Siswazah kejururawatan tidak boleh bergerak secara bersendirian. Mereka boleh bergabung dalam sebuah organisasi atau pasukan yang mampu menawarkan pelbagai perkhidmatan rundingan dan kepakaran...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment