SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, February 9, 2012

'SYAIR LI-ATTAR GHIB" KOMSAS TINGKATAN 3 (ETERNAL LIFE)

Genre sastera:  puisi tradisional
Bilangan rangkap:  8
Penyair asal:  Raja Ali Haji
Penyelenggara:  Abu Hassan Sham
Sumber ambilan:  Antologi Harga sebuah Lukisan, muka surat 13 - 14

Pengenalan

Merujuk antologi (muka surat 4), syair berkenaan mengisahkan kesedihan Daing Celak setelah kedua-dua abangnya, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia. Penyair cuba menyelitkan mesej tentang ajal yang pasti akan menjemput manusia tanpa mengira darjat dan usia kerana demikian ketetapan Ilahi. Murid tidak perlu risau dengan sesetengah perkataan bahasa Arab, kerana tugasan soalan tidak akan menguji tentang makna atau terjemahan sesuatu perkataan.

Li-Attar Ghib mungkin bermaksud haruman atau wangian yang hilang, kerana versi asal tulisan jawi tidak dipaparkan. Versi lain ialah kata dasar "ra-ghi-ba" yang membawa maksud kecenderungan. Namun, apabila disekalikan dengan "li" sudah membawa maksud "memujuk hati (yang lara)" sejajar dengan cerita Daing Celak itu.

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Walau sayangnya akan saudara,
          Sebab bersama-sama mengembara,
          Tiada pernah muafakatnya cedera,
          Segala pekerjaan segala perkara.

Kasih sayang tiga beradik, iaitu Daing Celak, Daing Parani dan Daing Merewah sentiasa utuh. Mereka sentiasa mengembara bersama. Mereka sentiasa berpakat dalam setiap urusan tanpa gagal.

          Dengan kehendak Tuhan yang mulia,
          Dua orang saudara meninggalkan dunia,
          Hendak disusahkan tiada berdaya,
          Kerana perbuatan Tuhan yang tersedia.

Takdir menentukan bahawa dua abang, iaitu Daing Parani dan Daing Merewah meninggal dunia, lalu tinggallah Daing Celak seorang diri. Daing Celak hanya mampu pasrah (berserah, reda) justeru demikian ketentuan Ilahi.

          Melainkan hamba berbanyak sabar,
          Akan perintah Wahid al-Khahar,
          Ialah Tuhan bersifat Jabbar,
          Akan hambanya kecil dan besar.

Sebagai hamba Allah, manusia perlu bersabar kerana itulah perintah Tuhan Yang Maha Esa Lagi Perkasa, serta bersifat menguasai segala makhluk ciptaan-Nya.

           Kita pun kelak demikian itu,
           Meninggalkan dunia juga yang tentu,
           Tidak memilih raja dan ratu,
           Semuanya itu pergi ke situ.

Semua manusia akan mengalami nasib yang serupa, iaitu akan mati. Tidak kira kedudukan, setiap manusia akan menuju kematian belaka.

          Hendaklah kita tunduk terngadah,
          Lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah,
          Adil dan insaf jua berfaedah,
          Menaikkan kita pangkat saadah.

Kita hendaklah sentiasa insaf dan mengambil ingatan terhadap kesudahan hidup generasi datuk nenek yang meninggalkan dunia yang sementara (pinjaman) ini supaya kita mengecapi kebahagiaan, iaitu suatu tahap kemuliaan dan kesejahteraan yang kita idamkan.

          Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
          Kesenangan hidupnya dikira-kira,
          Istimewa pula sanak saudara,
          Jangan sekali diberi cedera.

Para pemimpin hendaklah memastikan bahawa rakyat jelata menikmati kehidupan yang selesa. Keluarga terdekat juga hendaklah dijaga dan dibela supaya mereka tidak hidup sengsara.

          Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
          Kerana ilmu mulia anbia,
          Tuntut ilmu jangan sia-sia,
          Yang lain itu tinggal di dunia.

Manusia hendaklah memuliakan ilmu yang hak kerana ilmu yang mengangkat kedudukan para nabi (anbia). Ilmu hendaklah dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu (yang bermanfaat) menjadi bekalan akhirat sedangkan (kekayaan) yang lain akan ditinggalkan.


          Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
          Serta pandang amat-amatkan,
          Kematian datuk nenek teladankan,
          Kita sepertinya akan didatangkan.

Penyair menggesa khalayak (pembaca) supaya berfikir dalam-dalam, membuat pemerhatian dan pengamatan tentang kesudahan datuk nenek yang sudah tiada lagi. Semua manusia (kita) akan mengalami kesudahan yang sama.

Tema:  Hakikat tentang kematian

Nilai murni:  kasih sayang
                :  permuafakatan
                :  kesabaran / ketabahan
                :  keinsafan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan
             
Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga
               :  permuafakatan / kerjasama dalam pekerjaan / usaha / urusan / tugas
               :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
               :  keinsafan tentang kesudahan hidup di dunia
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap amanah kepimpinan
               :  kecekalan / kegigihan / kerajinan / kesungguhan dalam pembelajaran / menuntut ilmu

Pengajaran:  kita hendaklah mengasihi / menyayangi keluarga
                 :  kita hendaklah bermuafakat / bekerjasama dalam sesuatu pekerjaan / usaha / urusan / tugas
                 :  kesabaran / ketabahan dalam menghadapi musibah / cabaran hidup / dugaan berat / ujian
                 :  kita hendaklah insaf tentang kesudahan hidup di dunia / kematian
                 :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap amanah kepimpinan
                 :  kita hendaklah cekal / gigih / rajin / bersungguhsungguh dalam pembelajaran / menuntut ilmu

kbkk:  kebaikan mengingati mati
        :  kepentingan mempelajari kesudahan generasi terdahulu
        :  kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan
        :  keperluan muhasabah diri / introspektif / penilaian kendiri
        :  tanggungjawab ketua / pemimpin terhadap pengikut / penyokong/ rakyat / subordinat / orang bawahan

1 comment:

Mr. nObOdy said...

cikgu, boleh tak paparkan unsur gaya bahasa arab yang digunakan dalam syair ini...