Sudah namanya budak, tentulah bising dan selalu buat hal. Kalau semua budak memiliki pertimbangan yang matang, maka mereka akan setara dengan profesional yang terlatih dengan disiplin, etika dan integriti seperti yang dilalui oleh guru. Kekurangan itu menjadi sebab utama atau justifikasi keperluan mewujudkan institusi persekolahan dan perkhidmatan guru yang terlatih.
Dalam ekstrem yang lain pula, terdapat keadaan yang sunyi sepi tanpa suara, atau murid kelu seribu bahasa. Maka, guru pula yang menjadi serba salah kerana diperhatikan sepanjang masa jika asyik bergantung kepada aktiviti lisan semata-mata. Keadaan yang sedemikian mungkin kes terpencil sejak era KBSR dan KBSM, tetapi masih ada.
Pendidikan bermutu untuk semua murid ialah asas kepada proses pendemokrasian pendidikan. Konsep aksesibiliti (kesampaian pembelajaran) dan ekuiti (kesamarataan) menjadi komponen penting pendidikan bermutu. Sepertimana susun lapis masyarakat luas, murid sekolah juga akan terbahagi kepada kelompok rujukan, kumpulan besar biasa dan kelompok devian, atau tingkah laku melencong.
Kelompok rujukan biasanya menjadi kebanggaan sekolah kerana mereka sentiasa menyumbang nama baik dan melonjakkan pencapaian sekolah. Namun, dalam kalangan murid, kelompok rujukan itu dilabel sebagai "mat skema" atau ulat buku. Mereka tidak begitu popular di mata rakan sebaya, malah mungkin juga dicurigai.
Kelompok tingkah laku melencong biasanya mewakili lima peratus populasi murid, tetapi gelagat dan kerenah mereka sudah cukup memeningkan warga sekolah. Mereka sering terbabit dengan kes disiplin dan dirujuk kepada unit kaunseling. Untuk kes yang lebih serius, ada murid yang harus dirujuk kepada pihak polis atau mendapat perintah mahkamah bagi penempatan di sekolah bermasalah juvana.
Pelbagai mekanisme disediakan sebagai pilihan bagi memulihkan tingkah laku murid yang didapati cenderung ke arah jalan yang salah. Tentulah sangat sayang bahawa murid yang sedemikian akan jatuh di bawah pengaruh kumpulan penjenayah dan samseng dewasa yang berkeliaran dalam kalangan masyarakat. Segelintir generasi muda harapan agama, bangsa dan negara kecundang dan tewas sedangkan mereka masih bergelar murid sekolah.
Proses pendidikan sama seperti usaha penyampaian risalah kebenaran yang tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan. Walaupun kita menginginkan sekalian manusia menyahut seruan suci itu, tetapi yang memiliki hak mutlak hanyalah Ilahi. Namun, para pendukung kebenaran tidak boleh berhenti berharap, kerana kemenangan boleh jadi tertangguh.
Sejak lama, teori pendidikan percaya bahawa tingkah laku positif perlu dikukuhkan dengan ganjaran, manakala tingkah laku yang hendak ditolak diisyaratkan dengan hukuman. Ganjaran boleh mengambil bentuk galakan dan pujian, atau pengiktirafan tertentu. Hukuman pula tidak semestinya berbentuk tindakan fizikal, tetapi mungkin dalam bentuk program jati diri yang memberi peluang kepada murid bertingkah laku lencongan meneroka sendiri perkara-perkara tidak baik yang mereka buat...
No comments:
Post a Comment