SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, February 15, 2012

PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU STPM: IDEA SENDIRI ATAU RUJUKAN? (EXPERT VIEW)

Pendahuluan

Pelajar prauniversiti tingkatan 6 disarankan supaya membiasakan diri dengan amalan membuat rujukan terhadap bahan penulisan yang berwibawa. Tujuannya ialah supaya idea dan hujah yang dikemukakan dalam penulisan esei atau karangan bersifat lebih jitu dan tepat. Pergantungan kepada idea sendiri semata-mata menyebabkan isu atau perkara yang ditulis berlegar-legar terhadap pengalaman peribadi dan pendirian sebelah pihak.

Organisasi karangan

Calon STPM kertas Bahasa Melayu 2 dikehendaki menulis sebuah karangan yang dipilih daripada empat tajuk dengan jumlah perkataan antara 650 hingga 700 patah perkataan dalam tempoh cadangan tidak melebihi sejam setengah. Penalti markah akan dikenakan kepada karangan yang ditulis kurang daripada 650 patah perkataan. Maka, kemahiran mengembangkan idea (membesar-besarkan cerita?) dikira sebagai kemahiran yang sangat kritikal.

Pemarkahan karangan tertumpu kepada aspek kerelevanan, pengolahan dan bahasa. Kerelevanan terbahagi kepada pendahuluan, isi karangan dan penutup. Tahap idea dan persembahan calon STPM sudah tentu menyerlahkan kematangan dan kepekaan mereka terhadap tumpuan tugasan yang ditetapkan dalam ayat soalan. 

Secara konservatif, karangan peringkat STPM dibahagikan kepada tujuh perenggan, iaitu perenggan pendahuluan, lima perenggan isi dan perenggan penutup. Maka, secara purata setiap perenggan akan terdiri daripada 100 patah perkataan. Namun, saranan keseimbangan perenggan bukanlah sesuatu yang muktamad.

Pendahuluan ibarat bayangan atau gambaran yang menjadi cinta pertama kepada pembaca (baca: pemeriksa). Sebaik mungkin, calon hendaklah memfrasa semula ayat soalan, memberi gambaran isi yang bakal ditulis, menegaskan pendirian dan kalau boleh memasukkan unsur kecindan seperti peribahasa dan ujaran tokoh tertentu.

Isi karangan mesti menjawab tugasan soalan yang biasanya terdiri daripada dua bahagian. Calon sepatutnya melebihkan bahagian pertama soalan berasaskan nisbah 3 + 2. Calon juga boleh memasukkan satu isi simpanan jika jumlah perkataan masih mengizinkan.

Setiap isi karangan mesti ditegaskan dengan jelas pada ayat pertama perenggan. Setelah itu, calon hendaklah menulis ayat huraian konseptual, iaitu penggunaan takrifan atau konsep yang digunakan dalam penulisan karangan. Calon tidak perlu bersusah payah menyatakan sumber rujukan kerana dalam ujian tutup buku, perbuatan seumpama itu mungkin dianggap dusta!

Alasan, bukti, data dan justifikasi patut mengiringi huraian konseptual supaya calon dilihat sebagai memiliki asas dalam berhujah. Dalam persekitaran bilik atau dewan peperiksaan, sesuatu anggaran sudah memadai. Calon harus pandai berlapik dalam hujah supaya nilai data itu tetap tinggi.

Ayat terakhir dalam perenggan isi harus diikat semula dengan tajuk tugasan. Setelah pembawa membawa pembaca meninjau pelbagai persektif, penegasan semula tajuk tugasan umpama kembali ke pangkal jalan. Jangan sesekali biarkan huraian isi tadi terlepas tanpa kawalan.

Perenggan penutup ialah kemuncak atau klimaks sebuah pembacaan. Maka, perenggan penutup harus dibina dengan kesimpulan umum, pendirian muktamad penulis karangan, saranan dan harapan yang berkaitan dengan isu dalam tugasan soalan. Penutup yang baik mendatangkan kegembiraan dan kepuasan yang tidak terperi kepada pembaca (baca: pemeriksa tidak teragak-agak memberi gred cemerlang).

Idea Sendiri atau Idea Pakar?

Jawapannya mudah, iaitu kedua-dua idea sendiri dan idea pakar diperlukan. Kerangka dasar atau perancangan isi karangan umpama story board sesebuah skrip yang baik. Rangka karangan wajib akur dengan semua bahagian yang dinyatakan adala ayat tugasan soalan.

Bagi memastikan kesejajaran tugasan soalan dengan segala idea yang hendak ditulis, calon harus membuat keputusan sendiri. Dalam konteks latihan dalam kelas atau tugasan bawa balik ke rumah, sesi perbincangan dengan guru boleh dimanfaatkan. Setelah itu, calon perlu merujuk idea atau pendapat pakar sesuatu bidang.

Kebiasaan merujuk idea pakar sangatlah penting sebagai persediaan penulisan tahap tinggi (baca: skor cemerlang). Calon-calon akan dapat menangkap perspektif isu sesuatu bidang, di samping menambah koleksi konsep dan istilah khusus yang boleh digunakan dalam penulisan karangan. Walaupun demikian, istilah atau konsep yang terlalu teknikal boleh diubah kepada kosa kata yang lebih ringan.

Calon STPM seharusnya memiliki koleksi artikel, esei atau karangan pakar yang disalin bulat-bulat (bertulis tangan) dalam satu buku atau fail. Pecahkan bidang isu dan kemudian salin sekurang-kurangnya tiga karangan yang relevan. Lama-kelamaan, pelajar akan memperoleh kemahiran menulis sebuah karangan yang berkesan dan mantap.

Sebagai individu yang bakal meninggalkan usia belasan tahun, pelajar tingkatan 6 mesti meningkatkan autonomi diri (berdikari) dan mengurangkan pergantungan kepada orang lain. Proses menyediakan koleksi idea pakar ini ialah daya usaha sendiri. Maka, pelajar prauniversiti tingkatan 6 mesti proaktif dan tidak hanya menunggu hingga diarahkan berbuat begitu begini...

Sumber Idea Pakar

bersambung...

2 comments:

Unknown said...

cg saya nak karangan tentang ceritakan pengalaman anda semasa di karnival layang-layang.tlg cg.

Anonymous said...

Boleh saya tahu ciri-ciri karangan cemerlang stpm ?