Saturday, January 21, 2012
APABILA SAFEE SALI MASUK OPERA VAN JAVA (SPORTAINMENT?)
...
Selebriti gusti terkenal, Hulk Hogan dan The Rock sudah kerap muncul sebagai pelakon kelas A di Hollywood. Sebahagian ahli sukan lain lebih selesa memilih untuk menjadi model dan duta jenama produk tertentu dengan bayaran lumayan. Pengaruh ahli sukan mempunyai nilai yang sangat tinggi dari segi pemasaran dan strategi jualan.
Pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali yang menyertai kelab Pelita Jaya di Indonesia juga telah diundang dalam salah satu program televisyen popular di seberang, iaitu Opera Van Java (OVJ). Malah, Parto yang biasanya menjadi dalang telah sanggup "turun taraf" sebagai pelakon bagi memberi laluan kepada Safee. Walaupun pada awalnya Safee agak kaku dengan lebih banyak membaca lembaran skrip, tetapi sokongan penonton dan pelakon telah memberi keyakinan kepada beliau setelah memasuki pertengahan program dua jam itu.
Pelakon tetap OVJ seperti Andre (Kiamat Sudah Dekat) dan Azis Gagap tidak kisah dikenakan oleh Safee apabila ditolak jatuh. Namun, Sule yang agak "baran" tidak mahu berkompromi walaupun dia biasa mengenakan orang lain. Dia "enggan" jatuh sepertimana Andre dan Azis, tetapi mengenakan Safee dengan menolak Parto terlebih dahulu.
OVJ yang disiarkan menerusi pakej Indopek Astro juga mendapat sambutan hangat di Malaysia. Maka, strategi mengundang Safee Sali dianggap sebagai satu strategi pemasaran yang berpandangan jauh. Penerimaan penonton Indonesia terhadap Safee juga melambangkan semangat persaudaraan serumpun dan setia kawan walaupun sesekali timbul isu panas yang menguji hubungan anatara dua buah negara berjiran itu.
OVJ menggunakan konsep jenaka spontan, serta digabungkan dengan iringan muzik gamelan moden sementara set pentas diubah suai dan pelakon dapat menukar persalinan pakaian untuk babak seterusnya. OVJ tidak membawa mesej yang berat, tetapi sekadar hiburan ringan dan santai. Lawak ala Charlie Chaplin, atau Tom and Jerry, iaitu yang berunsur slapstick masih ketara.
Kecenderungan masyarakat Nusantara terhadap hiburan sedemikian memang sudah berakar umbi sejak dahulu. Justeru, para ulama Wali Songo (wali 9) di tanah Jawa begitu menyedari bahawa mereka perlu mendekati masyarakat Jawa menerusi muzik gamelan untuk menyebarkan Islam. Hingga ke hari ini pengaruh tradisi Buddha dan Hindu masih kelihatan dalam budaya masyarakat Islam di Jawa, di samping gejala hedonisme yang cuba menjadi dominan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment