SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, January 4, 2012

"SYAIR BERBUAT JASA" KOMSAS TINGKATAN 3 (THE EVERLASTING GAIN)

Genre:  Puisi tradisional
Penyelanggara:  (Dr.) Harun bin Mat Piah
Sumber ambilan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 11
Bilangan rangkap:  7

Perbincangan rangkap demi rangkap

          Buatlah jasa wahai teruna,
          Hidupmu biar memberi guna,
          Kamu yang mati jasa tak fana,
          Asalkan buahnya elok sempurna.

Anak muda diseru supaya berbuat jasa supaya hidup lebih berguna. Jasad (tubuh) seseorang mungkin telah tiada (meninggal dunia), tetapi jasanya kekal buat selama-lamanya jika dilakukan dengan ikhlas dan dipanjangkan amalannya oleh orang lain (generasi selepasnya).

          Banyakkan khidmat besar dan seni,
          Serahkan kepada Tuhan Rabbani,
          Jasa yang kekal berfaedah murni,
          Umur yang kedua bagi insani.

Sama ada amalan besar mahupun kecil, semuanya mesti ditambah, lalu diikhlaskan semata-mata kepada Allah untuk menilainya. Jasa yang kekal mendatangkan manfaat yang tidak terhingga. Jasa itu akan terus diingati walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.

          Hidup manusia jangan percuma,
          Buatlah bakti budi utama,
          Selagi baiknya kekal menjelma,
          Si mati hidup selama-lama.

Manusia tidak harus mensia-siakan hidupnya, sebaliknya sentiasa berusaha meninggalkan jasa. Selama mana jasa itu menjadi amalan atau dimanfaatkan oleh orang lain, orang berjasa tadi tetap dianggap masih hidup walaupun pada hakikatnya telah lama meninggal dunia.

          Buatlah baik sedaya upaya,
          Hidup berbakti memberi cahaya,
          Sumbu pelita tidak sia-sia,
          Terbakar dirinya menerangi raya,
  
Kebaikan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain. Ibarat sumbu pelita (minyak tanah) yang diperbuat daripada kain atau tali, walaupun harus terbakar, gelap akan berganti terang.

          Jangan menilik balas dan puji,
          Atau pahalanya dikaji-kaji,
          Rasa demikian tamak dan keji,
          Padalah baiknya tinting dan uji.

Apabila berbuat jasa, seseorang itu tidak patut mengharap ganjaran dan sanjungan. Demikian tidak elok bersikap menghitung pahala semata-mata yang menjurus kepada sifat tamak (haloba) dan hina (tidak baik). Demikian cabaran kepada keikhlasan diri dalam berbuat kebaikan (jasa).

          Pahala dan balas jangan dihitung,
          Ataupun bintang di dada beruntung,
          Asalkan jasamu padat berdentung,
          Cukuplah di situ mulai tergantung.

Jangan terlalu berkira tentang pahala (catatan balasan amal baik) atau mendambakan kalungan pingat atau pangkat kebesaran. Sebaliknya, biarlah jasa yang tidak terhingga manfaatnya sebagai bekalan (nyawa kedua, akhirat).

          Buatlah baik ayuhai rakan,
          Ke dalam laut kamu campakkan,
          Jikalau tidak dikenal ikan,
          Tuhan tahu iakah bukan.    


Sekali lagi penyair menyeru supaya pembaca sentiasa berbuat jasa dan kebaikan. Walaupun usaha yang dilakukan mungkin tidak dihargai atau tidak diberi sambutan, Allah sangat persis dalam membuat penilaian.


Kosa kata / pemilihan kata / diksi
   
fana  =  sementara


sumbu  =  bahagian tali / kain yang menghidupkan api apabila menerima sumber minyak tanah


tinting  =  ketuk / hempas / goncang untuk menapis / uji ketulenan / menimbang baik buruk


berdentung  =  bunyi yang kuat seperti guruh

Kajian komsas

Nilai murni:  kemurahan hati, keikhlasan


Persoalan:  Kemurahan hati dalam menyumbang jasa
              :   Keikhlasan dalam membuat kebaikan / jasa


Pengajaran:   Kita hendaklah bermurah hati dalam menyumbang jasa / kebaikan
                 :   Kita hendaklah ikhlas dalam melakukan kebaikan / jasa


Analisis kbkk


Dalam suatu hadith, jasa yang berkekalan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia ialah ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah (derma yang digunakan untuk manfaat silih generasi), dan anak yang soleh. Orang yang berbuat jasa akan dikenang, didoakan dan dijadikan teladan. 

No comments: