Kekuatan sesuatu bahasa asing banyak bergantung kepada pengaruh politik, ekonomi dan teknologi. Bahasa Inggeris,bahasa Sepanyol dan bahasa Peranchis tersebar menerusi penjajahan. Mereka berjaya menanamkan rasa rendah diri rakyat tempatan terhadap bahasa ibunda sendiri.
Bahasa Inggeris juga menjadi gah kerana pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia bukan sahaja dari segi ketenteraan, bahkan dari segi ilmu, teknologi dan ekonomi. Dari segi muzik juga, penyanyi yang berjaya mencipta nama di Amerika Syarikat akan sekali gus muncul sebagai penyanyi antarabangsa. Fenomena K-Pop (muzik rancak Korea Selatan) menembusi pasaran antarabangsa apabila menggunakan lirik bahasa Inggeris.
Antara hujah mewajarkan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) ialah untuk akses kemajuan teknologi terkini dan urusan diplomatik. Institut Terjemahan dikatakan terlalu lambat hingga apabila sesuatu karya terjemahan siap dicetak, teknologi yang dibincangkan itu sudah menjadi lapuk dan usang. Jurnal terkemuka (refereed journal) dalam kebanyakan bidang juga diterbitkan dalam bahasa Inggeris seperti Phi Delta Kappan untuk disiplin pendidikan.
Semua organisasi sukan dunia juga mengutamakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang beribu pejabat di Zurich, Switzerland tetap menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi mereka walaupun Switzerland lebih cenderung kepada bahasa Jerman. Begitu juga dengan pengendalian acara sukan Olimpik yang didominasi oleh bahasa Inggeris.
Sebagai anggota Komanwel (negara bekas jajahan Inggeris), sebahagian besar urusan diplomatik negara dibuat menerusi perantaraan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan antara negara rakan dagang terbesar Malaysia, iaitu Amerika Syarikat, Singapura, Britain dan India yang mengutamakan dokumen dan komunikasi dalam bahasa Inggeris. Jika urusan harus dibuat menerusi khidmat penterjemah, seperti dalam kes pembelian kapal selam di Peranchis, barangkali kos pembelian dan rundingan akan meningkat.
Mesej dakwah juga akan dapat disebarkan dengan lebih luas menerusi perantaraan bahasa Inggeris. Sebahagian ulama terkemuka dunia Arab harus berkelana dan memberi kuliah di Oxford, Cambridge, Berkeley dan Temple kerana mereka tidak disenangi di negara sendiri. Sekali lagi kepakaran mereka hanya dapat disampaikan menerusi penguasaan bahasa Inggeris yang fasih dan lancar.
Kesimpulannya, keperluan belajar bahasa asing ialah suatu hakikat dalam era globalisasi tanpa dihadkan kepada bahasa Inggeris semata-mata. Benua Amerika Latin mengagungkan bahasa Sepanyol (kecuali Brazil berbahasa Portugis), manakala sebahagian benua Afrika mewarisi bahasa Peranchis dan Itali. Teknologi kejuruteraan termaju automatif seperti BMW, Mercedes dan Volkswegen pula dikendalikan oleh tenaga-tenaga profesional reka bentuk dan teknikaliti yang bertutur dan berurusan dalam bahasa Jerman.
No comments:
Post a Comment