Ayat tajuk di atas belum habis. Ayat lengkapnya ialah orang pantai timur kuat makan di luar. Lebih lengkap lagi kalau berbunyi "orang pantai timur kuat makan di luar bagi menyokong peniagaan berasaskan makanan".
Orang pantai timur merangkumi penduduk Kelantan, Terengganu, Pahang dan bahagian timur Johor seperti Mersing dan Tioman. Kuat makan ialah acap, banyak, kerap, selalu, sering atau sangat suka makan, bukan makan dengan banyak atau lahap. Di luar pula ertinya ialah mengunjungi premis perniagaan makanan, terutama yang menawarkan menu yang membangkitkan selera, serta proses masakan kelihatan bersih.
Orang pantai timur bukan tidak pandai memasak, atau sengaja suka menggantung kuali dan periuk belanga. Suami-suami tidak sampai hati melihat isteri memanjang sibuk di dapur. Maka, apabila ada lebihan pendapatan, seisi keluarga akan berbelanja di luar sekali sekala, bukanlah tiap-tiap hari pun.
Sokongan terhadap peniaga makanan sangat penting bagi memperoleh keberkesanan kos, ekonomi bidangan atau kecekapan. Apabila sesuatu perniagaan mendapat sambutan, jualan dapat dibuat dalam skala yang lebih besar. Maka, kos atau perbelanjaan terhadap modal asas peniaga menjadi turun secara purata. Akhirnya, pengguna juga yang akan dapat menikmati makanan yang sedap lagi berkhasiat dengan harga yang berpatutan.
Pertumbuhan gerai dan warung makanan di sepanjang pesisir dan di tepi jalan makin ketara. Penduduk tempatan dan pengunjung luar (pelancong tempatan dan asing) kini mempunyai banyak pilihan. Terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memasuki premis menjual makanan yang bersih, berkhasiat dan halal. Pengguna tidak perlu segan untuk bertanya harga makanan yang dijual jika senarai harga tidak dipamerkan dengan jelas.
menikmati nasi dagang di warung makanan di pasar basah Dungun, Terengganu
Ulama silam ada memberi petua tentang bab makan di luar ini. Andai kata, sebaik sahaja kaki kita melangkah masuk ke sesuatu premis makanan, hati berasa tidak sedap atau mula was-was, maka jalan paling tepat ialah segera beredar meninggalkan premis tersebut. Hal itu memberi petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena di situ.
Suatu ketika dahulu heboh dikatakan tentang "ilmu" pelaris dan pemakaian susuk dalam kalangan peniaga. Segelintir peniaga yang kurang iman dikatakan sanggup mengupah bomoh dan dukun untuk tujuan ilmu hitam berkenaan. Kononnya demi memandang wajah manis peniaga yang terbabit, pelanggan akan datang berderu-deru, serta tidak putus-putus.
Peniaga makanan seboleh mungkin memiliki pengetahuan yang mencukupi tentang gizi makanan yang dapat membantu pelanggan mereka supaya mengekalkan kehidupan yang sihat. Hakikat bahawa bilangan pesakit kencing manis dan gendut yang makin ketara di negara kita mesti diberi perhatian. Penyedia sajian tidak boleh mengambil ringan tentang kandungan garam, gula dan perasa yang sengaja dilebihkan dalam masakan untuk menimbulkan aroma makanan yang dijual.
Pengguna di negara kita makin berpengetahuan. Mungkin ketika ini mereka masih sanggup menelan "mi bodoh" di gerai tepi longkang justeru kesuntukan masa dan tuntutan perut yang berkeroncong. Namun, dalam jangka panjang mungkin ada rangkaian pengendali makanan skala besar akan menggunakan khidmat pakar pemakanan bagi menawarkan menu makanan yang menepati semua kriteria cita rasa pengguna dan garis panduan kesihatan.
Tidak dapat dipastikan pula sama ada perbuatan khianat dan sabotaj terhadap pesaing perniagaan dengan cara jijik seperti "santau" dan ilmu hitam yang lain masih berlaku. Sepatutnya, peniaga didedahkan dengan bentuk persaingan yang sihat. Peniaga kecil-kecilan juga perlu mempelajari konsep menang-menang dan strategi lautan biru yang menjadi amalan entiti perniagaan berskala mega.
Kawalan terhadap perniagaan makanan dan pengendali hidangan serta masakan perlu lebih tegas dan telus. Amalan negara maju yang tidak berkompromi dari segi kualiti makanan, tahap kesihatan operator makanan dan peraturan masa jualan perlu dicontohi. Semua peniaga dan pekerja jualan makanan hendaklah diwajibkan memperoleh sijil daripada kolej komuniti menerusi modul kursus singkat yang bersepadu.
Barangkali jaminan mutu jualan makanan di negara kita masih jauh daripada piawaian sebuah negara maju. Kini, kita hanya berharap bahawa para peniaga makanan memiliki kesedaran kendiri yang tinggi terhadap etika, integriti, kecekapan, peranan dan tanggungjawab masing-masing. Peniaga yang jujur beroleh rezeki yang dilimpahi barakah, manakala pelanggan pula akan terus memberi sambutan dan sokongan...
No comments:
Post a Comment