SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, January 6, 2012

UCAPAN GURU BERTUGAS MINGGU PERTAMA 2012 (THE FIRST STEP TO WISDOM)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih pengacara majlis perhimpunan

Yang Berusaha Puan Loh Wei Seng, pengetua SMK St.Michael, Ipoh
Penolong-penolong kanan, guru, pemimpin pelajar dan Michaelian sekalian

Bersyukur ke Hadrat Ilahi bahawa dengan Inayah dan Kurnia-Nya kita dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki untuk berhimpun di sini buat kesekian kalinya. Saya, Cikgu Azhar, bersama Cikgu Azura ialah guru bertugas bagi minggu pertama sesi persekolahan tahun 2012, iaitu antara hari Rabu, 4 Januari hingga Jumaat, 6 Januari, bersamaan 10 hingga 12 Safar 1433 Hijriyyah. Sedar tidak sedar minggu pertama 2012 telah berlalu dalam lipatan sejarah.

Alhamdulillah, segala urusan telah berjalan dengan lancar. Sekalung tahniah buat semua pelajar SMK St. Michael, Ipoh kerana telah berjaya memenuhi harapan puan pengetua, guru, rakan, ibu bapa, masyarakat, negara dan umat supaya memulakan langkah dengan tepat agar kita dapat menuju puncak jaya. Imej, nama baik dan reputasi SMI yang bakal mencecah ulang tahun penubuhan ke-100 menjadi taruhan.

Sejak hari pertama, proses pembelajaran di bilik darjah telah berjalan mengikut jadual. Hal-hal pengurusan kelas, pengedaran skim pinjaman buku teks dan makluman tentang hal ehwal murid dan kokurikulum telah dapat disampaikan dengan jayanya. Berdasarkan pengamatan mata kasar, jelas bahawa aktiviti minggu pertama di SMI begitu padat dan semua sekali warga SMI kelihatan sibuk dengan pelbagai urusan yang sangat penting.

Kesibukan dengan urusan pembelajaran menyebabkan pelajar tidak mempunyai masa untuk terbabit dengan tingkah laku melencong dan kes pelanggaran disiplin yang serius. Kehadiran pelajar juga sangat baik kerana berjaya tiba di sekolah ketika pagi masih gelap. Kes lewat memasuki kawasan pagar sekolah sebelum 7.25 pagi juga didapati sangat minimum dan boleh diatasi pada minggu-minggu seterusnya.

Dari segi kebersihan dan keceriaan, untuk piawaian atau standard minggu pertama masih berada pada penarafan A-. Andai kata sikap menjaga kebersihan dapat dijadikan amalan sepanjang tahun 2012, saya yakin bahawa sasaran untuk meletakkan SMI sebagai sekolah harian terbaik di daerah Kinta Utara bakal menjadi kenyataan. Persekitaran bilik darjah yang bersih dan ceria menyumbang terhadap proses pembelajaran yang aktif dan bertenaga.

Guru dan pelajar yang dimuliakan,

Pada pendapat guru bertugas, segala aktiviti dan program yang berlangsung sepanjang minggu pertama yang lalu telah membantu pelajar menjalani proses penyesuaian diri dengan cepat. Murid tingkatan 3 yang sebelum ini belajar di sebelah petang nampak begitu bersemangat untuk menghadiahkan pencapaian PMR yang lebih hebat pada tahun 2012. Demikian juga murid tingkatan 4 yang telah menjalani minggu suai kenal dan penempatan kelas berdasarkan pakej mata pelajaran.

Hanya satu teguran atau komplen ditujukan kepada segelintir murid tingkatan 4. Apabila berada dalam majlis skala besar seperti sesi taklimat, tolong tunjukkan adab dan disiplin yang tinggi. Walaupun sebagai remaja, kalian mungkin tidak betah duduk berlama-lama dalam majlis, sebaliknya mempunyai sekian banyak tenaga untuk bercakap dan bergerak, tolong hormati majlis.

Kemahiran mendengar ialah satu cabang interpersonal atau soft skill. Bukanlah bijaksana namanya kalau hanya banyak bercakap, tetapi bijaksana seseorang itu kerana banyak mendengar. Lakukan perubahan dan tinggalkan kebiasaan yang melambatkan pencapaian.

Akhir kata, atas kapasiti sebagai guru bertugas minggu pertama, saya, Cikgu Azhar dan Cikgu Azura mengucapkan syabas kepada semua Michaelian yang telah menjadikan minggu pertama 2012 sebagai permulaan dan hadiah yang terbaik ke arah ulang tahun ke-100 SMI. 

Terima kasih. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: