Ikhwanul Muslimin ialah sebuah gerakan dakwah atau pada masa dahulu disebut harakah Islamiyyah diasaskan oleh Hassan al-Banna yang sangat diingati lewat naskhah al-Ma'thurat, iaitu himpunan doa baginda Junjungan Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Seorang lagi tokoh Ikhwan ialah Syed Qutb yang menghasilkan Ma'alim fi't-Tariq (Petunjuk Jalan, Milestone) dan Fi Zilalil Quran (Di Bawah Naungan al-Quran). Kedua-dua mereka, serta pemimpin kanan lain dihukum mati oleh diktator Mesir ketika itu (1960-an - 1980-an).
Ikhwan ialah pelopor sistem usrah dan tamrin yang mempengaruhi gerakan dakwah di seantero dunia. Pengisian usrah dijelaskan dengan terperinci oleh Profesor Datuk Dr. Sidek Baba dalam tesis doktor falsafah beliau di Universiti Illnois, Amerika Syarikat. Sebagai contoh, sepotong ayat Quran dibaca, kemudian akan dirujuk kepada kitab tafsir yang muktabar, dan akhir sekali perbincangan dilakukan untuk memindahkan anjuran ayat berkenaan dalam bentuk aktiviti dan program yang menepati misi dakwah.
Ikhwan sangat mementingkan asas ilmu, bukan emosi atau sentimen melulu yang menjurus kepada perasaan taksub yang tidak terkawal. Karya-karya Dr. Abdul Karim Zaidan (Uslub ud-Da'wah, Kaedah Dakwah), Dr. Abdul Kader Audah, Dr. Ramadan al-Buti (Fiqh Sirah), Dr. Umar Tilmasani (Adab'ul Ikhtilaf'il-Islam, Perbezaan Pendapat dalam Islam, terjemahan), Dr. Yusuf Qaradawi (Konsep Ibadah dalam Islam), al-Maududi dan banyak lagi ialah rujukan hala tuju Ikhwan dalam menghadapi cabaran persekitaran dan zaman. Ikhwan tidak menggunakan pendekatan takfir wa'l-hijrah (reductionism) atau cara maki hamun justeru berpendapat bahawa usaha dakwah seperti gerakan air yang tidak dapat disekat selagi ada laluan walau sekecil mata jarum sekalipun.
Pengalaman liku-liku dakwah yang dilalui menjadikan Ikhwan lebih berhati-hati dalam percaturan politik Mesir dan dijangka tidak akan bersifat tergesa-gesa dalam melakukan sebarang perubahan. Ejen perisikan CIA, Mosad dan sekutu Barat yang lain tidak akan berhenti mencari jalan untuk menggugat kekuatan Ikhwan. Ujian dan fitnah setelah mencapai kemenangan nampaknya lebih perit dan tidak menentu...
No comments:
Post a Comment