Saturday, January 7, 2012
PARADOKS LARANGAN (REVERSE PSYCHOLOGY)
Pada zaman dahulu, orang tua-tua suka menggunakan bahasa terbalik bagi menyatakan sesuatu larangan atau tegahan. Misalnya, kalau si bapa mahu menghentikan si anak yang sedang memanjat pokok kerana pada perkiraannya ada unsur bahaya, si bapa akan berkata, "panjatlah lagi, panjat!" Si anak biasanya terus faham maksud kata-kata si bapa, lalu turun dengan segera.
Zaman sudah berubah. Penggunaan bahasa terbalik (maksud tersirat bertentangan dengan maksud tersurat) hanya tinggal dalam naskhah lama. Bahasa terbalik dalam kajian ilmu sastera dan komsas yang disebut inversi ialah susunan rangkai kata, klausa dan ayat yang mungkin melanggar hukum tatabahasa, tetapi dibenarkan dalam genre penulisan kreatif.
Sekarang kita rujuk gambar di atas. Terdapat sebuah papan tanda notis yang sudah seperti dirosakkan. Sama ada kerosakan yang berlaku angkara laku musnah (vandalisme) atau kesan bahang yang ekstrem, tidak dapat pula dipastikan.
Namun, paparan notis yang besar itu masih boleh dibaca tanpa masalah. Pihak Jabatan Perparitan dan Saliran Kinta mengingatkan orang ramai bahawa persekitaran bersih milik kita bersama. Seterusnya, JPS menyatakan larangan membuang sampah ke dalam kawasan sungai.
Terdapat kesalahan tatabahasa dalam ucapan terima kasih. Sepatutnya "atas keprihatinan anda", bukan "di atas keprihatinan anda. Kesalahan itu bagaimanapun dianggap ringan dan tidak memesongkan maksud larangan. Namun, pada masa hadapan, sekurang-kurangnya sebelum sebarang papan notis dipacak, eloklah rujuk kepada mereka yang arif dalam bab-bab bahasa seperti itu.
Ironinya, mengapa arahan sebesar itu tindak diambil peduli. Jika pembaca rajin menyusuri sepanjang sungai berkenaan, bukan sahaja sisa plastik dicampakkan ke dalam aliran air, bahkan bekas makanan, bekas tin minuman, botol, kayu dan pelbagai jenis sampah yang mengeluarkan bau busuk. Profesor Emeritus Datuk Shahnon Ahmad pernah menulis cerpen tentang pencemaran sungai yang berjudul "Ibu dan Ceper" yang dipelajari oleh semua murid menengah atas.
Contoh lain ialah longgokan sampah macam busut betul-betul pada pancang notis larangan buang sampah dengan amaran denda RM500. Kekurangan ruang meletak kenderaan menyebabkan banyak pemandu buat-buat tidak nampak garisan putih atau kuning di tepi jalan, atau papan tanda larangan parkir. Sesetengah ruang letak kenderaan dipenuhi dengan van penjaja atau kereta perniagaan jualan but.
Nampaknya, sasaran untuk mengecapi status negara maju menjelang tahun 2020 masih samar. Jika pendapatan per kapita dan kuasa beli rakyat sahaja yang tinggi, sedangkan sikap terhadap kebersihan dan peraturan masih di takuk lama, maka kita belum layak untuk bergelar negara maju. Kita belum berbincang tentang ilmu dan keutuhan masyarakat madani...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment