SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Saturday, February 18, 2012

PERANAN STESEN RADIO MASIH RELEVAN (INTERACTIVE BROADCASTING)

Kemajuan teknologi maya nyata tidak melenyapkan pengaruh media tradisional, sama ada akhbar, buku, majalah, radio dan televisyen. Secara amnya, kegilaan terhadap internet lebih bersifat peluang dan ruang untuk orang awam dan para amatur yang tidak terlatih dalam dunia kewartawanan dan penyiaran menggilap bakat dan kreativiti secara cuba jaya. Walaupun terdapat kemunculan pedagang elektronik, kebanyakan akses internet bersifat peribadi dan suka-suka.

Kepercayaan orang ramai terhadap media baru masih tipis. Kebebasan menulis, mengirim gambar dan memuat naik audio video mengakibatkan ciri eksklusif sesuatu bahan atau karya diragui. Penyamaran lebih mudah berlaku jika dibandingkan dengan media tradisional.

Radio ialah antara media tradisional penyiaran yang paling klasik dan masih mampu bertahan. Kehadiran teknologi internet tidak membunuh kewujudan radio, justeru sebaliknya mengukuhkan jangkauan atau liputan sesebuah radio yang bersifat tempatan ke seluruh dunia. Semua stesen radio yang disambungkan dengan sistem laman sesawang akan dapat diikuti di mana-mana bahagian bumi yang memiliki capaian internet.

Pada era telefon awam berbentuk gagang yang berat itu, kemudahan talian persendirian di rumah terhad kepada golongan berada. Orang ramai sanggup beratur panjang di pondok-pondok telefon hinggakan peluang penjenayah dan budak nakal untuk berbuat sesuatu agak sukar. Pengalaman membuat panggilan telefon dianggap sangat manis ketika itu, kalau di Malaysia sebelum dekad 1980-an.

Dasar penyiaran radio juga bersifat komunikasi sehala. Tiada talian dibuka untuk pendengar ke udara secara langsung. Hanya siaran langsung sukan bola sepak, keputusan pilihan raya dan temu bual eksklusif akan dibuat secara panggilan telefon. Pendek kata, peminat radio ialah pendengar pasif.

Apabila kos memiliki telefon rumah yang makin murah (1980-an) dan kemudian telefon bimbit (penghujung 1990-an), sedikit demi sedikit radio telah melakukan anjakan paradigma dengan konsep komunikasi pelbagai hala. Pendengar boleh ke udara secara langsung walaupun dilewatkan beberapa saat untuk tujuan tapisan dan keselamatan kandungan. Para selebriti dan tokoh yang diundang ke konti juga berpeluang bercakap secara langsung dengan peminat mereka.

Program soal jawab agama dan pelajaran tajwid al-Qur'an juga dibuat secara langsung dan bukan rakaman. Selain bercakap secara langsung di talian, para pendengar juga boleh menghubungi radio menerusi e-mel dan facebook semasa siaran sedang ke udara. Tiada lagi keperluan untuk mengirim poskad atau surat bagi menyampaikan ucapan salam atau untuk permintaan lagu.

Dahulu juga hanya ada satu saluran radio nasional kendalian RTM, itu pun menggunakan gelombang analog. Kini, RTM sendiri mempunyai puluhan stesen radio berdasarkan segmen siaran negeri dan suku kaum, misalnya khusus untuk orang Asli (Asyik.fm). Anggapan umum ialah bahawa stesen-stesen radio milik RTM lebih menjurus kepada propaganda awam menerusi slot hiburan santai dan berita.

Lesen pengendalian radio telah dibuka kepada pihak swasta dan badan berkanun. Antara stesen radio yang berpengaruh ialah Hot.fm (milik Media Prima), Sinar.fm, Era.fm (milik Astro), Suria.fm, Manis.fm yang berebut segmen pendengar muda dan dewasa menerusi hiburan terkini dan retro. Sebahagian selebriti telah diambil bertugas sebagai penyampai radio supaya menjadi magnet kesetiaan stesen dalam kalangan pendengar tegar atau sambilan.

Slot hiburan, iklan, berita dan celoteh juruhebah menguasai sebahagian besar siaran radio arus perdana. Genre nasyid dan program kerohanian diperuntukkan waktu yang sangat terhad. Maka, keperluan itu ditampung oleh radio seperti Ikim.fm yang turut menerima aliran muzik moden yang diklasifikasikan sebagai sihat...

"SABTU LAGI" BAB 11 NOVEL 6:20 (HIDDEN TRAP)

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  133 - 141

Watak utama:  "Saya" (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Sukma / pelajar universiti
Watak penentang / protagonis:  Iskandar (rakan sekuliah Sukma / anggota kanan Kelab WX2)
Watak lain:  Reny  (penari kebudayaan Sarawak / anggota Kelab WX2)
                :  Aim  (budak kecil yang pernah muncul di hadapan pagar rumah Sukma)

Latar tempat:  Kelab WX2 / ruang sepi
                   :  Kedai runcit Ah Leong (Aim sedang mengunyah roti)

Latar masa:  pagi

Ringkasan bab

Sukma berhadapan dengan Iskandar sendirian di Kelab WX2. Sukma memilih pendekatan provokasi bagi memperoleh lebih banyak maklumat. Setiap hujah Iskandar berjaya digugat. Kelab WX2 berselindung di sebalik keadaan laluan ke ruang sepi yang seolah-olah menyokong kegiatan intelektual. Malah, Reny yang muncul kemudian gagal mengubah pendirian Sukma. Sukma berjaya membaca kelicikan Reny yang asyik meminta maaf, tetapi bersekongkol dengan Iskandar.

Perwatakan:  tegas / teguh / tetap pendirian (Sukma)
                  :  peka / prihatin / sensitif / tajam fikiran  (Sukma)
                  :  banyak muslihat / tidak jujur  (Iskandar, Reny)

Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat yang tegas / teguh / tetap pendirian
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / sensitif / tajam fikiran
                          :  masyarakat yang banyak muslihat / tidak jujur

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian
                :  kepekaan / keprihatinan / sensitiviti / ketajaman fikiran
                :  kejujuran / keikhlasan
               
Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam berhujah
               :  kepekaan / keprihatinan / sensitiviti / ketajaman fikiran dalam membaca muslihat / helah seseorang
               :  kejujuran / keikhlasan dalam komunikasi / persahabatan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam berhujah
                :  kita hendaklah peka / prihatin / sensitif / tajam fikiran dalam membaca muslihat / helah seseorang
                :  kita hendaklah jujur / ikhlas dalam komunikasi / persahabatan

kbkk:  kebijaksanaan watak utama apabila berhadapan dengan konflik

Friday, February 17, 2012

NOVEL AZFA HANANI KENA "GODAM" (HEDONISM AND UTILITARIAN CULTURE)

Salbiah Ani, wartawan kanan meja sastera akhbar Berita Harian secara terus terang membidas pemilihan novel "Azfa Hanani" sebagai buku teks novel komponen sastera tingkatan 4 bagi zon utara (Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang). Beliau berpendapat bahawa novel berkenaan menghina bangsa Melayu kerana dengan jelas menitipkan pembohongan menerusi watak utama yang melakukan penyamaran sebagai Tengku Murni. Tulisan Salbiah Ani bertarikh 26.1.2012 (Khamis) pada halaman N10 akhbar arus perdana itu turut menyatakan kesal akan nasib yang menimpa karya bermutu sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain, iaitu novel Interlok yang telah ditarik balik kerana tekanan bersifat perkauman.

Bidasan keras beliau berbunyi sejak sekian lama bersepah teks KOMSAS yang menghina bangsa Melayu tanpa bantahan termasuk teks KOMSAS Tingkatan 4, Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah. Penulis blog (PB) memohon maaf kerana tidak menemukan jawapan balas pengarang novel yang digodam itu. Maknanya, novel komsas yang lain juga tidak terlepas daripada kecenderungan yang sama.

Teguran Salbiah Ani patut disambut dengan jiwa besar dan semangat muhasabah diri. Apabila sesebuah karya diangkat sebagai buku teks komsas, murid akan beranggapan bahawa segala kandungan, unsur komsas dan kbkk yang disajikan benar-benar sejajar dengan pengalaman pembelajaran yang terbaik buat mereka. Namun, pengarang novel remaja yang banyak dipengaruhi oleh gaya penulisan Barat barangkali tidak menyedari tentang kepincangan cerita yang dipaparkan.

Berbeza dengan karya dalam antologi yang merangkumi puisi dan prosa sastera pilihan, kebanyakan novel komsas tidak begitu peka akan akibat pergaulan yang agak bebas antara watak berlainan jantina. Novel seperti "Erti Sebuah Pengorbanan", "6:20" dan "Kembara Amira" memberi gambaran bahawa pergaulan seumpama itu sebagai biasa dan tidak mendatangkan kesan buruk. Lalu, apakah wajar bahawa pergaulan antara bukan mahram itu dianggap membawa mesej yang positif?

Sudah tentu bahawa pendidikan komsas bukan bertujuan menjurus kepada sikap tertutup dan dogmatis. Sebaliknya, pembelajaran komsas ialah suatu upaya supaya generasi muda bangsa dipupuk dengan fikiran dan perasaan yang seimbang tentang dinamika kehidupan yang penuh cabaran, liku, harapan, peluang dan sebagainya. Murid juga akan membina skema minda supaya menghargai citra, jati diri dan nilai-nilai murni yang didukung oleh sebuah masyarakat yang berakal budi dan berhemah tinggi.

Masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Para sarjana dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan komsas boleh duduk bersama dengan kepala dingin bagi mencari jalan supaya generasi muda akan hanya menerima input pemikiran dan tingkah laku yang suci dan terbaik. Dosa yang ditanggung jauh lebih berat berbanding dengan aliran penulisan atau kepengarangan yang dianuti...

Thursday, February 16, 2012

"OLEH-OLEH" BAB 7 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (THE WARNING)

Pengarang novel:  Dato' Abdullah bin Hussain
Muka surat rujukan:  113 - 125

Watak utama:  Hilmi
Watak pembantu:  Hayati (anak DatukJohari / Datin Salmah, tunang Mohsin, pelajar sekolah swasta)
                          :  Mohsin (tunang Hayati / anak saudara Datin Salmah / pegawai bank)
                          :  Datin Salmah / ibu Hayati / isteri Datuk Johari
                          :  Datuk Johari / "ayah saudara" Hilmi / pemilik banglo / pegawai tinggi kerajaan
                          :  Mak Minah (ketua pembantu rumah keluarga Datuk Johari / orang lenggeng, Negeri Sembilan)

Latar tempat:  rumah / banglo Datuk Johari
                   :  rumah Mohsin

Latar masa:  awal pagi (Mohsin menerima panggilan telefon daripada Hayati)
                 :  petang (Mak Minah balik dari kampung di Lenggeng)
                 :  sebelum dekad 1990-an  (belum ada teknolgi telefon bimbit, e-mel)

Ringkasan bab


Mohsin terperanjat dan keci hati kerana Hayati pulang tanpa memberitahunya sedangkan dia ada di rumah sepanjang malam. Dia cuba menahan emosi menerima panggilan telefon daripada Hayati pagi itu. Sebelum ke pejabat, Mohsin singgah di rumah Hayati, tetapi dia disambut oleh mak ciknya, Datin Salmah. Sangkaan Datin Salmah bahawa Hayati di bilik meleset, sebaliknya dia berbual dengan "Bang Mi" (Hilmi). Apabila dipanggil, Hayati mendongkol dan terpacul perkataan "mengganggu" daripada mulutnya, lalu membuatkan Hilmi senang. Hilmi dan Hayati sedang asyik dengan cerita masing-masing. Hayati melangkah longlai, dan dia berhadapan dengan Datin Salmah yang sedang emosi. Datin Salmah mula menaruh syak bahawa anaknya itu telah terkena angkara bomoh oleh Hilmi. 

Hayati bersikap dingin dengan Mohsin. Kemudian, Hayati menyerahkan oleh-oleh berupa tali leher berjenama Christian Dior untuk Mohsin. Tenungan Datin Salmah difahami Hayati, lalu dia meminta Mohsin mengenakan tali leher itu. Mohsin berusaha mengambil hati Hayati, walaupun Datin Salmah jelas bingung. Datuk Johari keluar dan menyapa mereka. Datuk Johari memberitahu dia pulang awal kerana timbalan beliau di kementerian  (Datuk Majid / bapa Fauziah) sakit jantung. Semasa sarapan, Hayati meminta diri menyebabkan Mohsin berasa pelik. Datin Salmah ingin memberitahu perubahan sikap Hayati kepada suaminya, tetapi dia tahu Datuk Johari sukar percaya akan hal karut seperti bomoh. Datin Salmah terkenang betapa dia akur sahaja dengan nasihat arwah ibunya untuk memikat Datuk Johari walaupun dia bukan suka sangat dengan cara kekampungan Datuk Johari.

Datin Salmah langsung ke bilik Hayati. Dia melahirkan rasa kurang senang dengan cara Hayati melayan Mohsin, sebaliknya makin rapat dengan Hilmi. Dia mengungkit tentang darjat dan terus melepaskan amaran walaupun Hayati menyuarakan bantahan. Datin Salmah nekad untuk mengusir Hilmi.

Setelah menerima panggilan telefon Datin Salmah menerusi balai polis Lenggeng, Mak Minah bergegas pulang ke Kuala Lumpur. Hajatnya untuk menuai padi terbantut, tetapi dia gembira kerana sangkaannya tentang berita buruk anaknya, Khalid meleset. Mak Minah disambut oleh Hayati yang dijaganya sejak kecil. Dia menyerahkan dodol kegemaran hayati sebagai oleh-oleh. Hayati pula memberi jam tangan buatan Swiss, langsung dipakaikan di lengan kiri Mak Minah. Orang tua itu gugup dan sangat terharu. Kebaikan Hayati menambat hati Mak Minah kepada rumah itu...


Perwatakan:  ambil berat / peka / prihatin (Hayati)
                  :  penyayang (Hayati, Mak Minah)
                  :  mementingkan darjat / kedudukan / keturunan / pangkat (Datin Salmah, Mohsin)
             
Latar masyarakat:  masyarakat orang berada / kaya / berpangkat
                          :  masyarakat yang ambil berat / peka / prihatin
                          :  masyarakat yang penyayang
                          :  masyarakat yang mementingkan darjat / kedudukan / keturunan / pangkat

Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan, kasih sayang

Persoalan:  kepekaan / keprihatinan terhadap perasaan orang lain]
               :  kasih sayang sesama keluarga (Yati dengan "Bang Mi") / dengan pekerja (Hayati dengan Mak Minah)
               :  perbezaan darjat / kedudukan / keturunan / pangkat

Pengajaran:  kita hendaklah mengambil berat / peka / prihatin terhadap perasaan orang lain
                 :  kita hendaklah menyayangi sesama keluarga / manusia

kbkk:  hubungan watak sampingan dengan watak utama
        :  tindakan watak penentang / protagonis dalam perkembangan konflik watak utama

AUDIT BAHASA: DBP KEMBALI BERTARING (THE MIDAS TOUCH)

Di tangan orang yang tepat, segala yang disentuh menjadi emas. Begitulah kisah mitos raja Greek purba yang turut menarik perhatian ahli falsafah Yunani, Aristotle. Demikian asal usul perkataan midas yang berasal daripada pelbagai versi mitos dan sejarah kerajaan Phrygia sekitar abad 8 sebelum Masihi.

Dewan Bahasa dan pustaka (DBP), pihak berkuasa tertinggi bahasa di negara kita kini telah menemui sentuhan emasnya. Di tangan sarjana bahasa terulung, Profesor Dr. Awang Sariyan, DBP mula berani mengacah kumpulan pemuja bahasa Inggeris tegar dengan bermula daripada sektor awam sendiri. Kumpulan itu boleh ketawa terbahak-bahak, tetapi mereka harus ingat bahawa DBP diperuntukkan bidang kuasa perundangan tertentu di bawah Akta Bahasa Kebangsaan.

Cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" dalam tulisan Jawi

Puak kapitalis dan elit tertentu mungkin memandang sinis usaha DBP dan akan mendendangkan lagu lapuk seperti keperluan menarik pelabur asing dan kepentingan diplomatik. Siapa kata bahasa Inggeris tidak penting? Namun, harus diingat bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap paling atas dan bahasa Inggeris nombor dua, titik. 

DBP mungkin perlu melantik lebih banyak "penguatkuasa" bahasa yang berfungsi mengikut peruntukan akta bahasa. Setelah lebih setengah abad merdeka, kedudukan bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing hingga terdedah kepada risiko akan tenggelam. Bahasa Melayu ialah lambang jati diri rakyat yang mengaku cintakan negara.

Selama ini, barangkali tumpuan DBP terhadap kedudukan bahasa Melayu terjejas kerana isu stok buku yang bertimbun-timbun dan hal pentadbiran. Daripada bersusah payah mengadakan jualan murah, lebih baik stok lama yang masih sarat dengan ilmu pengetahuan itu dihadiahkan kepada perpustakaan awam dan institusi pendidikan. Syor seumpama itu boleh dipanjangkan kepada jemaah menteri untuk kelulusan rasmi.

DBP mesti kembali kepada tujuan asal penubuhannya sebagai agensi pembangunan dan perancangan bahasa Melayu. Tugas penerbitan, percetakan dan pemasaran buku ilmiah boleh diserahkan kepada jawatankuasa khas yang memiliki kepakaran tentang kajian keperluan supaya keberkesanan kos dapat dicapai. Penerbitan majalah berkala seperti Pelita Bahasa, Jurnal Bahasa dan pelbagai "Dewan" yang telah diswastakan diletakkan di bawah kawalan panel khas yang boleh dilantik daripada kumpulan berkepentingan bahasa seperti sarjana bahasa dan munsyi yang dilantik berdasarkan bidang ilmu yang berlainan.

Keutuhan bahasa Melayu dalam sektor awam merintis jalan kepada audit bahasa secara menyeluruh, termasuk sektor bandar dan perniagaan. Biar bahasa Melayu menjadi identiti bandar di negara kita. Imej Hong Kong atau London kalau masih ada tidak boleh menjadi dominan.

Profesor Awang Sariyan memiliki latar belakang sebagai guru bahasa, penyelidik dan sarjana bahasa. Di tangan beliau, DBP bakal bertindak bijak umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan. Pengalaman mempromosi bahasa baku kepada media dan mahkamah sebelum ini boleh dilanjutkan pula kepada pemuja bahasa Inggeris tegar...

Wednesday, February 15, 2012

“SABTU” BAB 10 NOVEL 6:20 (SECRET AND OVERT)

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  116 – 132

Watak utama:  “saya” (pencerita / sudut pandangan orang pertama) / Sukma (pelajar universiti)
Watak sampingan:  nenek misteri (yang membidankan Sukma semasa lahir)
                           :  ibu Sukma / Puan Delila
                           :  Pak Rashid / pemandu keluarga Sukma
                           :  Renny / penari kebudayaan Sarawak (Kumpulan Waris Cinta) / anggota kelab WX2
                           :  Pak Alias / tuan punya warung nasi lemak “istimewa” / bekas pekerja ayah Sukma
                           :   Iskandar / anggota kanan kelab WX2

Latar tempat:  rumah / banglo putih keluarga Sukma
                   :  warung sarapan pagi Pak Alias
                   :  ruang sepi Kelab WX2

Latar masa:  awal pagi (banyak kedai belum dibuka / Kelab WX2 lengang)

Ringkasan bab

Masih imbas kembali dua minggu lepas. Nenek tua muncul kali kedua pada pukul 6.20 pagi. Sukma berjaya memujuk nenek itu supaya tidak lari. Dia enggan masuk kedalam, sebaliknya memberi Sukma buah manggis Apabila didesak, dia sekadar berkata rumah Sukma sebagai panas dan meminta Sukma sebagi penyejuk. Ketika Sukma termenung, nenek itu berlalu. Seperti biasa, ibu Sukma menyergah dan bertanyakan Pak Rashid. Ibu Sukma mahu menemani Datin Eza berjumpa doktor jiwa (psikiatri) sambil menganggap Sukma juga menderita penyakit yang sama. Ibu Sukma mengatakan dia runsing dengan sikap Sukma, lalu memintanya berhati-hati memilih kawan. Ketika ibu Sukma masuk kereta dia melambai tangan kepada Sukma walhal Sukma berbuat demikian untuk Pak Rashid.

Sukma ke Kafe Flora untuk bertemu Teja, tetapi hanya Renny di situ. Dia tidak jadi balik ke Sarawak kerana ada “urusan” lain. Mereka berfalsafah tentang pakaian luaran dan pegangan hidup. Sukma segera meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakannya sendiri yang mentafsir sendiri makna kebebasan membuat pilihan, tetapi celaru. Memandangkan tiada orang, Sukma mempelawa Renny ke warung Pak Alias di seberang jalan. Sukma memberitahu sambal tumis ikan bilis dengan nasi lemak di situ sebagai kelas A.

Tidak semena-mena Renny meminta maaf dan mahu Suma bersikap terbuka, lalu membuatkan Sukma hairan. Sukma bertambah gamam apabila Renny mengatakan dia sudah setahun berkawan rapat dengan Iskandar dan bercerita panjang lebar tentang ruang sepi. Sukma berasa tidak enak dan dia hanya diam. Sukma bangun apabila ternampak kelibat Rafiq. Dia sempat melepaskan “amaran” kepada Renny supaya Jerry tidak dibabitkan sebelum meninggalkan Renny terpinga-pinga. Di dalam teksi, Sukma menyesali diri sendiri kerana tidak menyedari penyakit sosial golongan muda, sebaliknya tenggelam dalam dubnia harmoni rekaan sendiri. Sukma terus masuk ke kelab WX2 sendirian. Ruang sepi nampak seperti galeri intelektual kerana penuh dengan foto (potret) dan lakaran tokoh dan selebriti tersohor. Tidak kelihatan seperti kelab muzik rock metal yang ekstrem, sebaliknya berciri eksklusif,. Sukma tersentak apabila dia disapa seseorang (Iskandar)...

Perwatakan:  tegas / teguh pendirian /asertif (Sukma)
                  :  kuat menyimpan rahsia (nenek misteri)
                  :  ambil berat / peka / prihatin  (ibu Sukma)
                  :  jujur / berterus terang  (Renny)      

Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat penari kebudayaan
                          :  masyarakat yang tegas / teguh pendirian
                          :  masyarakat yang kuat menyimpan rahsia
                          :  masyarakat yang ambil berat / peka / prihatin
                          :  masyarakat yang jujur / berterus terang

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian, kerahsiaan, kepekaan / keprihatinan, kejujuran / terus terang

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam sesuatu isu / perkara
               :  kerahsiaan dalam komunikasi
               :  kepekaan / keprihatinan sesama keluarga
               :  kejujuran / terus terang dalam persahabatan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian dalam sesuatu isu / perkara
                 :  kita hendaklah menjaga rahsia dalam komunikasi
                 :  kita hendaklahmengambil berat / peka / prihatin sesama keluarga
                 :  kita hendaklah jujur / berterus terang dalam persahabatan

Kbkk:  batasan pergaulan remaja
         :  kematangan watak utama

PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU STPM: IDEA SENDIRI ATAU RUJUKAN? (EXPERT VIEW)

Pendahuluan

Pelajar prauniversiti tingkatan 6 disarankan supaya membiasakan diri dengan amalan membuat rujukan terhadap bahan penulisan yang berwibawa. Tujuannya ialah supaya idea dan hujah yang dikemukakan dalam penulisan esei atau karangan bersifat lebih jitu dan tepat. Pergantungan kepada idea sendiri semata-mata menyebabkan isu atau perkara yang ditulis berlegar-legar terhadap pengalaman peribadi dan pendirian sebelah pihak.

Organisasi karangan

Calon STPM kertas Bahasa Melayu 2 dikehendaki menulis sebuah karangan yang dipilih daripada empat tajuk dengan jumlah perkataan antara 650 hingga 700 patah perkataan dalam tempoh cadangan tidak melebihi sejam setengah. Penalti markah akan dikenakan kepada karangan yang ditulis kurang daripada 650 patah perkataan. Maka, kemahiran mengembangkan idea (membesar-besarkan cerita?) dikira sebagai kemahiran yang sangat kritikal.

Pemarkahan karangan tertumpu kepada aspek kerelevanan, pengolahan dan bahasa. Kerelevanan terbahagi kepada pendahuluan, isi karangan dan penutup. Tahap idea dan persembahan calon STPM sudah tentu menyerlahkan kematangan dan kepekaan mereka terhadap tumpuan tugasan yang ditetapkan dalam ayat soalan. 

Secara konservatif, karangan peringkat STPM dibahagikan kepada tujuh perenggan, iaitu perenggan pendahuluan, lima perenggan isi dan perenggan penutup. Maka, secara purata setiap perenggan akan terdiri daripada 100 patah perkataan. Namun, saranan keseimbangan perenggan bukanlah sesuatu yang muktamad.

Pendahuluan ibarat bayangan atau gambaran yang menjadi cinta pertama kepada pembaca (baca: pemeriksa). Sebaik mungkin, calon hendaklah memfrasa semula ayat soalan, memberi gambaran isi yang bakal ditulis, menegaskan pendirian dan kalau boleh memasukkan unsur kecindan seperti peribahasa dan ujaran tokoh tertentu.

Isi karangan mesti menjawab tugasan soalan yang biasanya terdiri daripada dua bahagian. Calon sepatutnya melebihkan bahagian pertama soalan berasaskan nisbah 3 + 2. Calon juga boleh memasukkan satu isi simpanan jika jumlah perkataan masih mengizinkan.

Setiap isi karangan mesti ditegaskan dengan jelas pada ayat pertama perenggan. Setelah itu, calon hendaklah menulis ayat huraian konseptual, iaitu penggunaan takrifan atau konsep yang digunakan dalam penulisan karangan. Calon tidak perlu bersusah payah menyatakan sumber rujukan kerana dalam ujian tutup buku, perbuatan seumpama itu mungkin dianggap dusta!

Alasan, bukti, data dan justifikasi patut mengiringi huraian konseptual supaya calon dilihat sebagai memiliki asas dalam berhujah. Dalam persekitaran bilik atau dewan peperiksaan, sesuatu anggaran sudah memadai. Calon harus pandai berlapik dalam hujah supaya nilai data itu tetap tinggi.

Ayat terakhir dalam perenggan isi harus diikat semula dengan tajuk tugasan. Setelah pembawa membawa pembaca meninjau pelbagai persektif, penegasan semula tajuk tugasan umpama kembali ke pangkal jalan. Jangan sesekali biarkan huraian isi tadi terlepas tanpa kawalan.

Perenggan penutup ialah kemuncak atau klimaks sebuah pembacaan. Maka, perenggan penutup harus dibina dengan kesimpulan umum, pendirian muktamad penulis karangan, saranan dan harapan yang berkaitan dengan isu dalam tugasan soalan. Penutup yang baik mendatangkan kegembiraan dan kepuasan yang tidak terperi kepada pembaca (baca: pemeriksa tidak teragak-agak memberi gred cemerlang).

Idea Sendiri atau Idea Pakar?

Jawapannya mudah, iaitu kedua-dua idea sendiri dan idea pakar diperlukan. Kerangka dasar atau perancangan isi karangan umpama story board sesebuah skrip yang baik. Rangka karangan wajib akur dengan semua bahagian yang dinyatakan adala ayat tugasan soalan.

Bagi memastikan kesejajaran tugasan soalan dengan segala idea yang hendak ditulis, calon harus membuat keputusan sendiri. Dalam konteks latihan dalam kelas atau tugasan bawa balik ke rumah, sesi perbincangan dengan guru boleh dimanfaatkan. Setelah itu, calon perlu merujuk idea atau pendapat pakar sesuatu bidang.

Kebiasaan merujuk idea pakar sangatlah penting sebagai persediaan penulisan tahap tinggi (baca: skor cemerlang). Calon-calon akan dapat menangkap perspektif isu sesuatu bidang, di samping menambah koleksi konsep dan istilah khusus yang boleh digunakan dalam penulisan karangan. Walaupun demikian, istilah atau konsep yang terlalu teknikal boleh diubah kepada kosa kata yang lebih ringan.

Calon STPM seharusnya memiliki koleksi artikel, esei atau karangan pakar yang disalin bulat-bulat (bertulis tangan) dalam satu buku atau fail. Pecahkan bidang isu dan kemudian salin sekurang-kurangnya tiga karangan yang relevan. Lama-kelamaan, pelajar akan memperoleh kemahiran menulis sebuah karangan yang berkesan dan mantap.

Sebagai individu yang bakal meninggalkan usia belasan tahun, pelajar tingkatan 6 mesti meningkatkan autonomi diri (berdikari) dan mengurangkan pergantungan kepada orang lain. Proses menyediakan koleksi idea pakar ini ialah daya usaha sendiri. Maka, pelajar prauniversiti tingkatan 6 mesti proaktif dan tidak hanya menunggu hingga diarahkan berbuat begitu begini...

Sumber Idea Pakar

bersambung...

Tuesday, February 14, 2012

PENGUKUHAN TINGKAH LAKU POSITIF DI SEKOLAH (REVIEWING REWARD AND PUNISHMENT)

Sudah namanya budak, tentulah bising dan selalu buat hal. Kalau semua budak memiliki pertimbangan yang matang, maka mereka akan setara dengan profesional yang terlatih dengan disiplin, etika dan integriti seperti yang dilalui oleh guru. Kekurangan itu menjadi sebab utama atau justifikasi keperluan mewujudkan institusi persekolahan dan perkhidmatan guru yang terlatih.

Dalam ekstrem yang lain pula, terdapat keadaan yang sunyi sepi tanpa suara, atau murid kelu seribu bahasa. Maka, guru pula yang menjadi serba salah kerana diperhatikan sepanjang masa jika asyik bergantung kepada aktiviti lisan semata-mata. Keadaan yang sedemikian mungkin kes terpencil sejak era KBSR dan KBSM, tetapi masih ada.

Pendidikan bermutu untuk semua murid ialah asas kepada proses pendemokrasian pendidikan. Konsep aksesibiliti (kesampaian pembelajaran) dan ekuiti (kesamarataan) menjadi komponen penting pendidikan bermutu. Sepertimana susun lapis masyarakat luas, murid sekolah juga akan terbahagi kepada kelompok rujukan, kumpulan besar biasa dan kelompok devian, atau tingkah laku melencong.

Kelompok rujukan biasanya menjadi kebanggaan sekolah kerana mereka sentiasa menyumbang nama baik dan melonjakkan pencapaian sekolah. Namun, dalam kalangan murid, kelompok rujukan itu dilabel sebagai "mat skema" atau ulat buku. Mereka tidak begitu popular di mata rakan sebaya, malah mungkin juga dicurigai.

Kelompok tingkah laku melencong biasanya mewakili lima peratus populasi murid, tetapi gelagat dan kerenah mereka sudah cukup memeningkan warga sekolah. Mereka sering terbabit dengan kes disiplin dan dirujuk kepada unit kaunseling. Untuk kes yang lebih serius, ada murid yang harus dirujuk kepada pihak polis atau mendapat perintah mahkamah bagi penempatan di sekolah bermasalah juvana.

Pelbagai mekanisme disediakan sebagai pilihan bagi memulihkan tingkah laku murid yang didapati cenderung ke arah jalan yang salah. Tentulah sangat sayang bahawa murid yang sedemikian akan jatuh di bawah pengaruh kumpulan penjenayah dan samseng dewasa yang berkeliaran dalam kalangan masyarakat. Segelintir generasi muda harapan agama, bangsa dan negara kecundang dan tewas sedangkan mereka masih bergelar murid sekolah.

Proses pendidikan sama seperti usaha penyampaian risalah kebenaran yang tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan. Walaupun kita menginginkan sekalian manusia menyahut seruan suci itu, tetapi yang memiliki hak mutlak hanyalah Ilahi. Namun, para pendukung kebenaran tidak boleh berhenti berharap, kerana kemenangan boleh jadi tertangguh.

Sejak lama, teori pendidikan percaya bahawa tingkah laku positif perlu dikukuhkan dengan ganjaran, manakala tingkah laku yang hendak ditolak diisyaratkan dengan hukuman. Ganjaran boleh mengambil bentuk galakan dan pujian, atau pengiktirafan tertentu. Hukuman pula tidak semestinya berbentuk tindakan fizikal, tetapi mungkin dalam bentuk program jati diri yang memberi peluang kepada murid bertingkah laku lencongan meneroka sendiri perkara-perkara tidak baik yang mereka buat...

“MENGHARUNG BADAI” BAB 8 NOVEL MERENANG GELORA TINGKATAN 3 (JEALOUSY AND THE SECRET ADMIRER)

Pengarang novel:  Ruslan bin Ngah
Muka surat rujukan:  112 – 123

Watak utama:  Badri / murid tingkatan 5 / pengawas sekolah
Watak pembantu:  Jamil (sahabat karib Badri / rakan subahat Meng Kong)
                          :  Nadira (rakan sekelas Badri / anak buah Mak Alang)
                          :  Siew Mei  (murid tingkatan 5 / adik Ah Meng / ”peminat” Badri)

Latar tempat:  kawasan sekolah  (Jamil menjerit memanggil nama Badri)
                   :  bilik pengawas  (Jamil membuat pengakuan kepada Badri)
                   :  kantin sekolah  (Badri melayan permintaan Siew Mei untuk berbual)

Latar masa:  waktu sesi persekolahan pagi
                 :  petang  (Badri membatalkan niat ke pusat sumber kerana menurut ajakan Siew Mei)

Ringkasan bab

Tiba-tiba Jamil memekik nama Badri, lalu meminta untuk bercakap berdua sahaja. Jamil tidak dapat menyalahkan Badri apabila rakannya itu seakan menyindirnya yang tidak bertegur sapa sejak dua minggu. Badri terkejut apabila Jamil sendiri mencadangkan mereka bercerita di bilik pengawas. Sambil meminta maaf, Jamil menceritakan pembabitannya dalam urus niaga telefon bimbit curi Meng Kong yang berkesudahan dengan dirinya terperangkap. Meng Kong mengalih kesalahannya kepada Jamil, lalu ayah Meng Kong berjumpa dengan ayah Jamil untuk mengadu hal, tetapi tidak dilaporkan kepada polis dan sekolah. Tiada ganti rugi dituntut. Banyak perkara yang dibimbangkan oleh Jamil hingga dia tidak berani untuk berterus terang. Dia hanya berjaya meyakinkan ibu bapanya sendiri bahawa dia bukan pencuri sebenar.

Badri terus memberi nasihat dan mencadangkan supaya Jamil berjumpa dengan guru disiplin, Cikgu Jailani. Jamil memohon pengertian Badri supaya tidak berbuat demikian kerana dirinya mangsa keadaan apabila Meng Kong hanya menyelamatkan diri sendiri, Shahrul dan Kumar. Jamil menegaskan dia tidak pernah melakukan urus niaga kad prabayar dan telefon bimbit curi Meng Kong di sekolah. Badri berharap Jamil benar-benar insaf. Badri juga mengetepikan desakan Nadira supaya tidak peduli akan kegiatan Meng Kong, Shahrul dan Kumar kerana bimbang terhadap keselamatan Badri. Sebagai pengawas, dia bertegas mahu memberi kesedaran kepada mereka.

Ketika hendak ke pusat sumber, Siew Mei muncul, lantas mengajak Badri berbual di kantin sambil menikmati minuman dan kuih. Badri masih kekok dengan murid perempuan, tetapi perasaan ingin tahu mengatasi segalanya. Rupa-rupanya Siew hendak meluahkan perasaan tentang Nadira, sambil menegur Badri yang dikatakan bergaduh dengan Shahrul kerana Nadira. Walaupun kaget, Badri tidak marah, bahkan kagum dengan kematangan Siew Mei memberi pendapat. Badri mengagak Siew Mei cemburu , tetapi dia akur sahaja dengan ”nasihat” Siew Mei tentang keutamaan belajar. ”Peluru” soalan Badri tentang sebab Siew Mei begitu mengambil berat tentang dirinya menyebabkan rona merah pada wajah Siew Mei, dan Siew Mei tergesa-gesa pergi. Badri hanya mampu menyesal...

Perwatakan:  tegas / teguh pendirian (Badri)
                  :  pemaaf
                  :  berterus terang / jujur (Jamil, Siew Mei)
                  :  ambil berat / peka / prihatin  (Nadira, Siew Mei)
                  :  cemburu  (Siew Mei)

Latar masyarakat:  masyarakat murid sekolah
                          :  masyarakat yang tegas / teguh pendirian
                          :  masyarakat yang mudah memaafkan sahabat
                          :   masyarakat yang berterus terang / jujur
                          :   masyarakat yang ambil berat / peka / prihatin
                          :  masyarakat yang cemburu

Nilai murni:  ketegasan, kemaafan, terus terang / kejujuran, kepekaan / keprihatinan

Persoalan:  ketegasan dalam menyatakan pendirian / pendapat / pandangan
                  :  kemaafan  / jiwa besar dalam persahabatan
                  :  Terus terang / kejujuran dalam persahabatan / menyampaikan maklumat
                  :  Kepekaan / keprihatinan terhadap masalah rakan
                  :  Sikap cemburu dalam persahabatan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas dalam menyatakan pendirian / pandangan / pendapat
                     :  kita hendaklah memaafkan kesalahan rakan / berjiwa besar dalam persahabatan
                     :  kita hendaklah berterus terang / jujur dalam persahabatan / menyampaikan maklumat
                     :  kita hendaklah peka / prihatin terhadap masalah rakan
                     :  kita hendaklah cemburu bertempat / kita janganlah cemburu melulu

Kbkk:  konflik watak utama (Badri) terhadap perhatian dua murid perempuan (Nadira dan Siew Mei)
         :  kejutan  (perubahan sikap Jamil yang sudah dua minggu menjauhkan diri daripada Badri)
         :  setia kawan  (kesediaan Badri membantu Jamil keluar daripada masalah peribadi)
      :  keteguhan pendirian watak sampingan  (adakah Nadira akan terus membantu Badri atau kembali bersubahat dengan Shahrul?)
            :  watak utama terus menghadapi cabaran / dugaan (Badri terus mendapatkan maklumat terbaharu kegiatan murid nakal

Monday, February 13, 2012

SEKOLAH YANG SEJAHTERA (AN EFFECTIVE SCHOOL)

Pengenalan

Perkataan "sejahtera" mungkin biasa didengar dan disebut. Namun, pada suatu petang, kira-kira 20 orang pelajar kursus pengajian dasar peringkat sarjana di Universiti Malaya bagaikan terpempan dengan lontaran pertanyaan konseptual oleh Profesor Dr. Sufean Husin. Kemudian, pelbagai versi takrifan tentang sejahtera dinyatakan tanpa satu kesimpulan yang muktamad.

Sukar sekali untuk menetapkan konsep sejahtera secara tuntas, melainkan menerusi analisis dan perbincangan menjurus kepada ciri-ciri sejahtera terlebih dahulu. Semua manusia inginkan kehidupan yang sejahtera, tetapi kalau ditanya sejahtera yang bagaimana, kebanyakan mereka akan kelu seribu bahasa, sambil mengangkat bahu atau menggeleng kepala tanda tidak pasti. Masalah itu bukan hanya dihadapi oleh orang awam, bahkan turut memeningkan para sarjana dan penggubal dasar negara.

Dalam al-Qur'an (surah Ibrahim, 24: ayat 14) ada disebutkan kalimatan tayyibah kasajaratin tayyibah (kata-kata yang baik umpama pohon yang baik), iaitu dengan akar yang kukuh dan dahan yang rimbun. Pada suatu ketika dahulu, Abim, sebuah pertubuhan belia Islam pernah menggunakan cogan kata atau tag line "mengakar dan merimbun" yang merujuk kepada kaedah penyampaian dakwah yang berkesan. Dalam teks khutbah Jumaat, sering dimasukkan tentang "pada hari yang tiada gunanya harta benda dan anak pinak, melainkan mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera" (yaumala yanfa'u mal'-uw wala banun, illa man atallaha biqalbin salim).

Dalam konteks sekolah, sejahtera mungkin sekali dibahas dengan mendalam dalam penyelidikan keberkesanan sekolah yang bertitik tolak daripada kepimpinan yang berkesan. Sesebuah sekolah yang berkesan dan sejahtera diterajui oleh seorang pemimpin yang peka terhadap keperluan matlamat yang jitu, keselamatan jiwa dan raga warga sekolah, persekitaran pembelajaran yang selesa, sistem penyampaian yang cekap dan kemudahan akses terhadap pendidikan yang bermutu. Sekolah yang berjaya mengaplikasi ciri-ciri sejahtera akan menjadi ingatan, rujukan dan sebutan bukan sahaja dalam kalangan warga sekolah sahaja, malah akan menarik minat pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap dunia pendidikan.

Matlamat Yang Jitu

Pemimpin sesebuah sekolah yang sejahtera memiliki tahap kepedulian yang sangat tinggi terhadap hala tuju atau akhir perjalanan warga sekolah. Mungkin kerana kita terlalu ghairah dengan perkataan bahasa Inggeris, maka istilah visi dan misi telah diterima sebagai perkara yang wajib ada dalam menggubal dasar sekolah. Visi lebih bersifat matlamat umum yang memberi gambaran tentang nilai utama yang menjadi pegangan sekolah, manakala misi lebih bersifat perincian khusus tentang bidang tumpuan yang hendak dicapai.

Secara prinsip, pembinaan matlamat yang jitu diringkaskan dalam akronim bahasa Inggeris, SMART. S ialah specific yang membawa maksud khusus atau tertentu. M ialah measurable, atau boleh diukur. A ialah attainable, iaitu boleh dicapai. R ialah reasonable, iaitu munasabah, masuk akal atau wajar. T pula ialah timely, atau ada penetapan jangka masa.

Visi tidak terikat kepada keperluan SMART, justeru susunan perkataan yang dipilih bakal mengungkapkan citra dan nilai yang didukung oleh sesebuah organisasi. Pernyataan visi lazimnya ditulis dalam satu ayat yang ringkas dan jelas, tetapi sangat bermakna. Misalnya, sekolah A menetapkan visi yang berbunyi, "Menuju Pencapaian Pembelajaran Yang Berkesan dan Cemerlang".

Pernyataan misi boleh dibuat dalam satu ayat atau jika perlu, dalam beberapa ayat yang akur kepada ciri-ciri SMART yang disebut sebelum ini. Misi berupa perincian terhadap visi yang bersifat saling melengkapi. Misalnya, komponen pembelajaran yang dimaksudkan dalam visi dipecahkan kepada kurikulum, kokurikulum, disiplin dan sahsiah, lalu dimasukkan dalam pernyataan misi organisasi.

Sekolah Selamat



Persekitaran pembelajaran yang selesa



Sistem penyampaian yang cekap 



Kemudahan akses terhadap pendidikan yang bermutu

bersambung...