SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, July 31, 2012

PENGAWASAN PEPERIKSAAN DI SEKOLAH (MORE THAN JUST SUPERVISING STUDENTS)

Semua bentuk peperiksaan bertulis, sama ada di peringkat sekolah, kolej, universiti, jabatan kerajaan dan sebagainya memerlukan pengawasan sekumpulan petugas yang dilantik secara rasmi. Pengawasan peperiksaan bukan sekadar untuk menjaga calon supaya menjawab soalan peperiksaan dengan tertib, tidak menyeleweng atau mengganggu, bahkan memastikan persekitaran yang selesa seperti pencahayaan dan pengudaraan yang mencukupi. Pengawas peperiksaan juga perlu menjalani taklimat bagi menguruskan segala dokumen peperiksaan yang berkenaan, serta sentiasa peka terhadap tingkah laku calon, termasuk kemungkinan berlakunya perkara kecemasan.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Monday, July 30, 2012

PENGARUH GURU TUISYEN DI BANDAR (MANNER AND RESPECT IN THE SCHOOL)

Bukan mudah untuk berhadapan dengan murid bandar yang memiliki akses kepada pusat tuisyen swasta yang hanya menyogok modul pembelajaran berorientasi peperiksaan semata-mata. Penemuan karikatur yang menghina para sahabat Nabi yang dilakar oleh "Mr Foo" di Johor baru-baru ini membuktikan bahawa pusat tuisyen seumpama itu tidak berminat langsung terhadap dunia pendidikan sebenar. Provokasi yang dilakukan itu tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas dari segi undang-undang.

Masalah yang tidak kurang parahnya ialah apabila guru tuisyen mula "menghasut" murid sekolah supaya memandang rendah keupayaan guru sekolah. Sebagai contoh, guru tuisyen tanpa tauliah telah berani menanda semula skrip jawapan peperiksaan sekolah kononnya mereka lebih pakar. Sudah tentu ada niat yang kurang baik untuk menonjolkan diri tanpa memikirkan natijah negatif yang bakal berlaku.

Terdapat pusat tuisyen yang cuba bersaing dengan sekolah, iaitu bertindak mendahului pelaksanaan sukatan pelajaran, terutama bagi mata pelajaran sains. Guru tuisyen memilih jalan singkat terus kepada taktik mendapat jawapan tanpa perlu aktiviti amali di makmal fizik, kimia dan biologi. Maka, di sekolah budak-budak sains tadi langsung tidak memberi perhatian terhadap aktiviti amali dan teori.

Murid juga secara terbuka membawa nota tuisyen ke sekolah dan membuat latihan yang dibekalkan. Jika ditegur, murid yang taksub kepada pusat tuisyen mereka sekadar mencebik, merungut dan bercakap dalam bahasa ibunda masing-masing. Penerapan nilai murni merentas kurikulum tinggal sebagai impian yang tidak kesampaian.

Stamina murid telah dikerah di pusat tuisyen hingga mereka hadir ke sekolah dalam keadaan lesu dan tiada tumpuan. Ibu bapa yang berbelanja besar untuk tuisyen juga tidak begitu mengambil peduli tentang tingkah laku anak mereka di sekolah. Metafora sekolah sebagai pusat jagaan bukan olok-olok lagi.

Kini, apabila pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) bermula, pusat tuisyen tidak mati akal untuk terus merebut perhatian ibu bapa dan murid bandar. Mereka segera mengintai kesempatan untuk menyediakan perkhidmatan bantuan kepada murid sekolah untuk menyiapkan kerja kursus dan folio. Ibu bapa yang sibuk memang berharap pusat tuisyen akan terus berfungsi sebagai satu lagi tempat penjagaan anak-anak mereka yang mungkin tidak bergerak daripada skrin komputer dan peranti komunikasi mudah alih yang lain jika berada di rumah...

Sunday, July 29, 2012

JANJI-JANJI ISLAM (IN MEMORY OF ROGER GARAUDY)

Ketika hampir meniti usia 70 tahun, iaitu pada tahun 1982, bekas tokoh parti komunis kelahiran Marsaille, Peranchis, Roger Garaudy menemui jalan iman, iaitu kembali kepada fitrah sebagai orang Islam. Ibu bapa Garaudy ialah pasangan Katolik dan athies, tetapi ketika berusia 14 tahun, Garaudy menyertai gereja Protestan sebelum kembali semula menjadi Katolik (rujuk Wikipedia). Sebagai seorang pemikir ulung Peranchis, Garaudy telah menulis 50 buah buku yang berkisar tentang falsafah politik dan kepalsuan fahaman zionis pelampau Yahudi (rujuk tulisan Dr. Shakir Noori http://gulfnews.com/opinions/columnists/garaudy-death-of-a-philosopher-1.1039998).

Antara naskhah terawal Roger Garaudy setelah memeluk Islam ialah 'Janji-janji Islam' yang telah diterjemah dalam pelbagai bahasa. Kelantangan beliau mendedahkan kejahatan zionis telah mengakibatkan beliau dijatuhi hukuman denda 300,000 franc setelah disaman oleh Le Monde, akhbar berpengaruh Peranchis yang dikuasai oleh masyarakat Yahudi yang hanya membentuk dua peratus penduduk negara bekas penjajah itu. Karya beliau juga disekat daripada diterbitkan di sebuah negara yang mendakwa kononnya mengamalkan kebebasan dan demokrasi itu.
sumber ambilan: Wikipedia

Roger Garaudy sejak awal lagi mendapat sanjungan umat Islam seluruh dunia justeru pemikiran beliau yang begitu berani dan tajam itu. Pengalaman benar Garaudy dalam kehidupan sebagai penganut Katolik dan Protestan, serta aktivis parti komunis telah memberi beliau perspektif yang jitu sebaik sahaja berhijrah menganut Islam. Allah telah mengurniakan beliau usia yang panjang sehinggalah meninggal dunia pada pada 13 Jun yang lalu di Paris.

Garaudy sememangnya memiliki pendirian yang tegas sebelum menganut Islam lagi. Contohnya, beliau dengan berani mengkritik tindakan Kesatuan Soviet melanggar Czechoslovakia pada tahun 1968. Akibatnya, Garaudy dipecat daripada parti komunis walaupun merupakan anggota kanan parti yang pernah dilantik sebagai senator di parlimen.

Roger Garaudy juga secara terbuka mengutuk keganasan rejim haram Tel Aviv terhadap penduduk Palestin. Garaudy juga bertegas bahawa peristiwa 911 yang menyaksikan bangunan World Trade Center (WTC) di kota New York ranap dan kemudian bergelar Ground Zero sebagai suatu konspirasi bagi menimbulkan kebencian terhadap masyarakat Islam di seluruh dunia. Pendirian Garaudy jelas tidak selari dengan kerajaan di negara beliau sendiri.

...

...

...

Saturday, July 28, 2012

DRAMA "MAAFKAN AKU" ADAPTASI FILEM "MIHRAB CINTA" (THE UNIVERSAL STORY)

Jalan cerita sangat mirip, tetapi dengan persekitaran Malaysia.
Firdaus mengikuti pengajian di madrasah terkenal, tetapi akibat fitnah Zahrul, Firdaus disingkirkan lalu benar-benar menjadi penyeluk saku (pencopet). Kebetulan ketika hendak memulangkan dompet Marya, Firdaus bertemu dengan Haji Habshi yang mencari guru Qur'an untuk cucunya. Firdaus didorong menjadi imam dan penceramah hingga muncul di kaca televisyen.

Watak utama:  Firdaus Hazadi, Marya Quraisya
Firdaus berambut biasa-biasa sahaja, berbanding dengan Hadi (Dude Herlino) berambut gondrong ketika mula masuk ke pesantren di Kediri. Watak Marya jelas sekali sama dengan watak Silvi (Asmirandah), tetapi hanya tinggal di kawasan perumahan biasa, bukan villa mewah. Marya juga tidak memandu Mercedes dan tidak terbabit dengan kemalangan maut sebagaimana Silvi. Marya juga tiada saingan berebut cinta dengan Firdaus, berbanding dengan Hadi yang dicintai secara diam-diam oleh adik pemilik pesantren yang pernah diselamatkan dalam peristiwa mencemaskan di gerabak kereta api.

Pendukung watak utama:  Syazwan Zulkifli, Nora Darnish
Penghayatan pelakon sederhana sahaja jika dibandingkan dengan Dude Herlino, Meyra Sefira dan Asmirandah. Kepetahan berpidato Firdaus bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Hadi. Nada dalam slot motivasi televisyen juga mendatar sahaja. 


Watak pembantu: Dato' Rahim Razali (bapa Firdaus), Hisham Ahmad Tajudin (datuk Husnatul Amira, murid Qur'an Firdaus)
Kedua-dua orang pelakon veteran itu kelihatan lebih berjaya menjiwai watak masing-masing. Namun, Rosnah Johari (watak ibu Firdaus) hanya kategori sederhana.

Peleraian berbeza: Mihrab berakhir dengan subtragedi, manakala Maafkan Aku berakhir dengan gembira.
Silvi yang baharu bertunang dengan Hadi pendek usia (Mihrab), tetapi Marya akhirnya (dijangka oleh penonton) bernikah dengan Firdaus. Selain itu, kemurungan yang dialami oleh watak utama dalam Mihrab tidak berlaku kepada Firdaus. 

Naskhah asal Habibur Rahman yang digarap semula untuk versi Malaysia dan tersiar dalam slot Cerekarama TV3 ialah suatu percubaan berani menonjolkan genre drama berunsur keIslaman yang selama ini banyak berfokus kepada watak-watak misteri seperti kemunculan ulama yang telah meninggal dunia (lakonan Allahyarham M. Rajoli), peristiwa aneh dalam slot drama bersiri 'Tanah Kubur' (Nasir Bilal Khan) dan balasan anak derhaka. Stesen televisyen lain yang kerap menyiarkan drama berunsur Islam ialah TV9, Astro Prima (105), al-Hijrah (114) dan Astro Oasis (106). Malangnya, sebahagian drama yang memaparkan tema Islamik dicemari dengan adegan campur gaul pasangan pelakon bukan mahram.

Seperti lazim, drama berunsur Islam masih tidak keluar daripada kepompong streotaip, iaitu dera sosial dan sedih pilu. Gambaran kepincangan masyarakat dipaparkan secara keterlaluan seolah-olah peribadi rujukan dalam kalangan masyarakat Islam tidak ketara. Apa salahnya watak pekerja cemerlang atau usahawan berjaya mengambil alih watak negatif penganut ajaran sesat atau pelampau politik parti?

Kecenderungan adaptasi karya asing sudah lama berlaku dalam industri kreatif. Penerbit filem Bolywood misalnya bukan sahaja menciplak jalan cerita filem serata dunia, bahkan mengubah suai susunan muzik untuk lagu-lagu yang menghiasi filem mereka. Salah sebuah lagu filem Mann misalnya memplagiat gubahan Iwan yang kini telah berhijrah sebagai aktivis jemaah tabligh.

Cerita-cerita dongeng Indonesia untuk tontonan kanak-kanak pula diangkat daripada naskhah asal sastera rakyat pelbagai negara. Dengan bantuan teknologi janaan komputer, babak kesaktian dan mistik dapat ditunjukkan dengan lebih real. Kemahiran kru jurukamera dan pascaproduksi filem membolehkan pergerakan fizikal watak yang kaku dapat dibetulkan.

Kesimpulannya, drama Maafkan Aku mungkin merupakan duluan kepada proses adaptasi cereka asing untuk versi tempatan. Namun, barang diingat bahawa keizinan tuan punya naskhah kreatif yang asal wajib diperoleh secara sah dengan bayaran honorarium sekali. Kegiatan adaptasi, ciplak dan plagiat (naqal) yang dilakukan ialah kesalahan jenayah yang serius di bawah peruntukan undang-undang hak cipta...

Friday, July 27, 2012

SEKOLAH DALAM PUSAT SUMBER (THE GARDEN OF AUTHENTIC KNOWLEDGE)

Pusat sumber sekolah (PSS) dahulunya dikenali sebagai perpustakaan atau khutub khanah yang menjadi tempat himpunan bahan bacaan dan rujukan media yang lain untuk manfaat warga sekolah, terutama murid. PSS dibezakan dengan perpustakaan kerana dikhususkan di sekolah, berbanding dengan istilah perpustakaan yang digunakan oleh institut pengajian tinggi, atau pihak berkuasa awam. Penjenamaan semula PSS bertujuan untuk mengembangkan konsep masyarakat berpengetahuan yang menjadi teras penjanaan modal insan minda kelas pertama ke arah negara maju berpendapatan tinggi acuan sendiri. 


Masyarakat yang berpengetahuan akan sentiasa menjadikan buku sebagai kubu, atau ringkasnya 'kubuku buku' (baca: kubu aku ialah buku). Amalan membaca ialah proses mental yang menakjubkan, lebih-lebih lagi jika dapat dijelaskan semula dalam konteks dunia sekeliling pembaca. Kumpulan teras masyarakat negara maju memang ulat buku, di samping sangat rajin berkarya, hinggakan judul seperti How To Draw A Straight Line (http://www.gutenberg.org/files/25155/25155-pdf.pdfkarya pensyarah Trinity College, Universiti Cambridge, AB Kempe pada tahun 1877 pun terbit sebagai naskhah yang tebal.

Bijak pandai mengatakan bahawa teman sebenar manusia ialah akal, manakala musuh sebenar manusia ialah kejahilan. Akal ialah fakulti kognitif dalam diri insan yang dipacu oleh kekuatan ilmu pengetahuan, manakala kejahilan menjadi tawanan emosi dan hawa nafsu serakah. Dalam menghadapi cabaran kehidupan, ilmu pengetahuan akan menjadi kubu dan perisai yang ampuh bagi memastikan bahawa emosi dan hawa nafsu dapat ditundukkan ke arah kebaikan semata-mata.

PSS tidak lagi bergerak secara bersendirian atau terpencil, sebaliknya dirangkaikan di bawah entiti di peringkat zon (gugusan), daerah, negeri dan kebangsaan. Di peringkat zon dan daerah, PSS secara automatik menjadi anggota Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang dikawal oleh mesyuarat semua pengetua dan guru besar setiap sekolah berkenaan. Di peringkat negeri, semua PKG bernaung di bawah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), manakala di peringkat kebangsaan ialah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) sahaja.

Walaupun punca kewangan PSS memang terhad, namun jika pengetua atau guru besar memiliki kreativiti, PSS tidak bakal tersekat begitu sahaja. Kegiatan PSS tidak hanya buat menambah bilangan buku dan media lain, tetapi menganjurkan pameran dan pertandingan yang bersesuaian dengan minat murid sekolah. Carta pencapaian projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) sentiasa dipaparkan bagi mencetuskan daya saing pembacaan buku dalam kalangan murid.

PSS juga sentiasa mempromosikan perkhidmatan yang disediakan menerusi laman sesawang yang dikelolakan oleh guru media yang hanya diperuntukkan waktu mengajar antara 8 - 12 waktu. Setakat ini semua PSS dikehendaki mengelolakan laman sesawang dengan menggunakan domain PKG dan BTPN. Guru media boleh mendapatkan kerjasama pentadbiran sekolah bagi menyediakan masukan yang boleh diakses oleh seluruh warga sekolah.

Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. PSS ialah salah satu komponen utama yang menyumbang terhadap proses memupuk pembelajaran sebagaimana yang diharapkan. Namun,cabaran untuk melaksanakan konsep sekolah dalam pusat sumber memang berliku-liku rentetan faktor penerimaan yang berbeza dalam kalangan pelbagai pihak yang berkepentingan di sekolah kerana tak kenal maka tak cinta...

Thursday, July 26, 2012

CABARAN BERPUASA DALAM CUACA PANAS (THE TOUGH EXPERIENCE)

Ramadan itu sendiri sudah bermakna panas. Maka, apabila bulan puasa harus dilalui dalam bahang cuaca panas, perkara itu bukan pelik lagi. Kalau di negara empat musim, cabaran musim sejuk mungkin lebih getir jika kebetulan jatuh dalam bulan puasa yang mulia.

Susah atau senang, puasa ialah kewajipan fardu dan rukun Islam yang mesti ditunaikan. Setiap orang Islam yang memenuhi semua syarat akan menjalani ibadah khusus itu secara suci hati sambil mengutip segala hikmah dan pengajaran untuk aplikasi kehidupan. Bulan puasa bermula dengan rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya bebas daripada api neraka.

Darjat taqwa yang menjadi tujuan puasa diperoleh menerusi amal soleh pada bulan Ramadan. Natijah darjat taqwa bakal berterusan dalam kehidupan seseorang yang cemerlang menjalani latihan sekolah Ramadan al-Mubarak. Maka, metafora seperti madrasah dan universiti yang merujuk kepada Ramadan bukanlah perkara yang luar biasa.

...

...

...

...

...

HUBUNGAN GEOMETRIK ANTARA KELUK DALAM TEORI PENGELUARAN (THE CONCEPT OF TOTAL, AVERAGE AND MARGINAL)

Pengenalan teori pengeluaran

Pengeluaran:  proses ubahan bentuk daripada input kepada output

Jangka masa singkat:  hanya terdapat input tetap

Jangka masa pendek:  terdapat input tetap dan input berubah

Jangka masa panjang:  hanya terdapat input berubah

Loji

Firma

Industri

Jumlah keluaran

Keluaran purata

Keluaran sut

Jumlah kos

Kos berubah

Kos berubah purata

Kos tetap

Kos tetap purata

Kos purata

Kos sut

Jumlah hasil

Hasil purata

Hasil sut

Keseimbangan firma

Untung lebih normal

Untung normal / balik modal

Untung kurang normal / rugi

Kecekapan pengeluaran

Kecekapan peruntukan

Keluaran seimbang

Keluaran optimum

Pembaziran / lebihan kapasiti

Ekonomi bidangan / mengikut skala

Ekonomi bidangan dalaman

Ekonomi bidangan luaran

Tak ekonomi bidangan dalaman

Tak ekonomi bidangan luaran

Wednesday, July 25, 2012

BONUS SETENGAH BULAN GAJI UNTUK SAMBUT RAYA (FESTIVE SEASON AND EXTRA SPENDING)

Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan gabungan kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam (Ceupacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji, atau minimum RM500 yang bakal dikreditkan ke dalam akaun gaji pada 5 Ogos ini. Nampak gayanya, penganjuran konsep rumah terbuka sempena hari raya Aidil Fitri mungkin lebih meriah kerana masing-masing sudah ada peruntukan tambahan. Pengusaha perkhidmatan sajian makanan dan peniaga turut tersenyum lebar justeru sebahagian besar wang bonus berkenaan akan terperangkap dalam kantung mereka juga sudahnya!

Anak-anak kecil yang sudah terbiasa dengan pemberian duit raya juga sudah memasang angan-angan untuk 'mengutip' sejumlah wang besar daripada tuan rumah yang dikunjungi. Alasan untuk tidak balik kampung juga susah hendak diterima walaupun segala rangkaian jalan raya dan lebuh raya bakal mengalami kesesakan yang luar biasa. Pakaian serba baharu, hiasan rumah serba baharu dan barangkali kenderaan baharu juga masuk dalam permainan minda seisi keluarga, walaupun hakikatnya tidak semua keinginan itu boleh tertunai dalam tempoh sesingkat sekarang.

Dari segi ekonomi, pemberian bonus pada akhirnya akan mengembangkan dan merancakkan kegiatan ekonomi, serta mewujudkan kesan pengganda yang boleh memacu pertumbuhan secara mapan. Namun, jika perbelanjaan dilakukan secara tidak berhemat, tekanan perbelanjaan agregat boleh mencetuskan inflasi. Maka, kakitangan awam mesti bersikap bijaksana supaya kesan akhir pemberian bonus akan sentiasa bermanfaat kepada seisi keluarga, jalinan kejiranan dan persahabatan, serta untuk ekonomi negara secara keseluruhannya. 

Kakitangan awam negeri di Selangor pula menerima tambahan RM200 seorang selain bonus setengah bulan sepertimana kakitangan awam persekutuan. Dari segi implikasi kewangan, bonus untuk 1.27 juta orang kakitangan awam persekutuan serta 500,000 orang pesara membabitkan perbelanjaan RM2.2 bilion, manakala di Selangor membabitkan RM20 juta. Jika tidak berlaku paradoks penjimatan, sebahagian besar bonus kakitangan awam akan mengalir ke dalam pasaran dan boleh dianggarkan sebanyak 80 peratus jika kecenderungan mengguna sut (MPC) ialah 0.8.

Permintaan untuk keluaran sektor pembuatan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dijangka mengalami pertambahan sempena musim perayaan. Sebenarnya, sektor swasta beroleh pendapatan tambahan secara tidak langsung apabila saiz  perbelanjaan agregat meningkat. Usahawan PKS boleh membuat promosi keluaran mereka secara lebih agresif kepada kakitangan awam yang menerima bonus atas dasar menang-menang.

Punca kewangan bagi membayar bonus kakitangan awam ialah tanggungjawab perbendaharaan. Hasil negara dipungut menerusi cukai langsung dan cukai tidak langsung serta hasil-hasil lain seperti pelaburan awam dan pelbagai bentuk caj dan penalti. Dasar belanjawan kurangan (perbelanjaan melebihi hasil), kecuali antara tahun 1992 - 97, dibiayai menerusi pelbagai instrumen hutang dalam negara dan luar negara, serta dikawal supaya tidak mencecah 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Secara prinsipnya, sebahagian besar punca pembiayaan awam sama ada untuk tujuan pengurusan atau pembangunan, datang daripada sumber pembayar cukai, termasuk isi rumah dan firma swasta. Dalam sebuah sistem ekonomi campuran seperti di Malaysia, pusingan aliran pendapatan membabitkan interaksi antara semua pelaku ekonomi. Dalam kata lain, sektor awam dan sektor swasta saling bergantung antara satu dengan lain, sambil dilicinkan oleh peranan institusi kewangan yang dikawal menerusi akta bank dan institusi kewangan (Bafia).

Kecekapan dalam sistem penyampaian sektor awam akan memberi sinergi kepada kegiatan ekonomi, terutama sektor swasta yang menyumbang terhadap penyerapan guna tenaga dan pendapatan negara. Bonus setengah bulan gaji tidak menjadikan kakitangan awam sebagai orang kaya, tetapi apabila digabungkan semua sekali, impak yang dijanakan dalam kegiatan ekonomi sangat besar. Demikian juga dengan pemberian one off sebagai bayaran pindahan (tanpa sumbangan produktif) seperti zakat fitrah dan sedekah yang akhirnya akan merancakkan kegiatan ekonomi menerusi kuasa beli masyarakat yang lebih tinggi... 

Tuesday, July 24, 2012

PENGALAMAN MENGANJURKAN SEMINAR (ORGANIZING MAIN EVENT)

Sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Mahasiswa Darul Ridzuan (Permadari), UKM, penulis blog (PB) diamanahkan dua projek besar, iaitu Seminar Pembangunan Negeri Perak (SPNP) dan Muzakarah Sekolah Agama negeri Perak. Tugas paling awal ialah menyediakan kertas kerja projek untuk dimajukan kepada Unit Hal Ehwal Pelajar, UKM (HEP) dan seterusnya kepada kerajaan negeri Perak. Sementara menunggu kelulusan projek, mesyuarat jawatankuasa kali pertama diadakan khusus bagi memperinci strategi penganjuran seminar dan pelan B sebagai pilihan luar jangka.

SPNP belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana persatuan mahasiswa sama ada di UKM, UM, USM, UPM dan UTM sebelum itu. Maka, pelaksanaan projek besar julung-julung kalinya itu perlu dirancang secara paling cekap dan cermat. Segala objektif, tema, bidang pengisian acara, pembentang kertas kerja, peserta, perbelanjaan dan pendapatan, serta aspek lojistik diberikan perhatian utama.

Pengarah seminar telah bersiap sedia dengan carta Gantt, iaitu jadual kerja yang lengkap dengan tindakan dan tarikh akhir yang perlu dipatuhi oleh jawatankuasa berkaitan, tanpa gagal. Sebuah bilik urus setia seminar yang lengkap dengan peralatan komunikasi dan mesin taip (komputer belum digunakan secara meluas lagi ketika itu) dipohon daripada HEP. Bagi memastikan segala arahan dapat disampaikan, sistem papan putih dan memo disusun sedemikian rupa dan sentiasa dikemas kini dengan catatan makluman dan tindakan, serta masalah yang belum dapat diselesaikan.

Setiausaha diarahkan supaya menyediakan minit mesyuarat serta-merta dan terus diedarkan kepada semua jawatankuasa dalam tempoh dua hari untuk memastikan tindakan segera. Seminar cuma mengambil masa dua hari, tetapi proses perancangan dan persediaan memakan masa lebih daripada tiga bulan. Sumber kewangan yang mencukupi perlu dicari dengan segera bagi membiayai seminar bertaraf kebangsaan itu.

Pengarah dan jawatankuasa kanan kemudia bergegas ke pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan 'restu' dan sokongan padu. Kemudahan kenderaan memang disediakan oleh HEP dengan syarat membuat tempatan awal. Memang banyak kisah lucu dan sukar dilupakan.

Perjumpaan dengan Menteri Besar, ketika itu Tan Sri Ramli Ngah Talib, turut dihadiri penasihat Permadari, Profesor Datuk Dr. Wan Hashim bin Wan Teh berlangsung kira-kira setengah jam dengan hasil yang positif. Perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wahi (Allahyarham) yang diperuntukkan hanya sepuluh minit akhirnya berlarutan hampir satu jam. Beliau seronok untuk berkongsi pengalaman dan sudi menyampaikan nasihat, termasuk kata beliau "menolong orang membawa bahagia, mengharap orang membawa derita".

Bab mencari duit juga tidak kurang dengan pelbagai peristiwa yang memerlukan jawatankuasa tahan telinga dan tebal muka. Pejabat Menteri Besar hanya memberikan sokongan penganjuran seminar, tetapi tidak mempunyai peruntukan kewangan. Akhirnya, jawatankuasa seminar memajukan permohonan kepada pejabat Sultan Perak, dengan keseluruhan isi surat disediakan oleh pejabat perhubungan awam UKM.

Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat, pejabat Sultan Perak mengirim khabar gembira, iaitu persetujuan menyalurkan RM3,000 menerusi Pejabat Kemajuan Negeri. Pihak urus setia turut menerima sumbangan individu (seperti Tan Sri Azizul Abdul Rahman) dan syarikat yang berpangkalan di Perak yang membawa jumlah mendekati RM10,000. Selain itu, tajaan jamuan makan tengah hari dan malam juga berjaya diperoleh daripada menteri dan timbalan menteri yang berasal dari Perak sebanyak RM700 setiap orang, walaupun HEP menasihatkan urus setia memohon hanya RM500.

Hebahan publisiti menerusi media massa pada ketika itu agak sukar, tetapi urus setia telah menyediakan transkrip kenyataan media yang dihantar kepada semua akhbar arus perdana, serta stesen televisyen RTM dan TV3 yang ada. Tidak diketahui dengan tepat sama ada maklumat yang disampaikan itu tersiar di mana-mana, tetapi maklum balas yang diterima daipada orang awam boleh tahan juga. PB selaku pengarah seminar turut ditemu bual oleh sebuah stesen radio, tetapi yang lucunya untuk siaran Suara Malaysia yang hanya dapat diikuti di luar negara dengan bilangan pendengar yang tidak diketahui jumlahnya.

Menteri Besar Perak telah mewakilkan Tuan Haji Mior Aris (Allahyarham), exco kanan kerajaan negari dalam segala urusan seminar hingga ke majlis perasmian dan post-mortem. Memang banyak pengalaman yang berguna untuk mahasiswa apabila berurusan dengan orang politik. Antara peristiwa lucu yang berlaku ialah apabila beberapa orang jawatankuasa seminar berebut kamar kecil dengan sabihus-samahah mufti setelah tiga jam menerima taklimat menteri besar dalam bilik berhawa dingin yang sangat sejuk.

Seminar yang dirancang berbulan-bulan lamanya itu akhirnya menjadi kenyataan. Antara pembentang kertas kerja ialah Ahmad Husni bin Mohd Hanadzlah, pengurus besar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Negeri Perak. Tidak sangka pula beliau kini bergelar Dato' Seri dan menyandang kedudukan sebagai Menteri Kewangan Kedua Malaysia, serta akan berkunjung ke SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pada pagi 5 Ogos ini selaku bekas pelajar selama 11 tahun...

Monday, July 23, 2012

CAKAP-CAKAP NEGATIF JEJAS KECEMERLANGAN (THE OLD SCHOOL AND STATUS QUO TRAP)

Seseorang yang memiliki pendirian yang teguh atau sentiasa berpegang kepada prinsip sering dikaitkan dengan konsep jati diri. Sebaliknya, seseorang yang mudah goyah dan tidak tetap pendirian pula sering diumpamakan sebagai lalang yang melintuk-liuk ke kanan dan ke kiri mengikut puputan bayu atau rempuhan angin kencang. Perspektif psikologi membahagikan pembentukan tingkah laku kepada pengaruh baka (genetik) dan juga pengaruh persekitaran.

Proses pendidikan memberi kesempatan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi dan fakulti dalam diri masing-masing ke tahap optimum. Pelbagai bentuk campur tangan (intervensi) dilakukan dalam aktiviti bilik darjah dan luar bilik darjah bagi memastikan bahawa akses semua murid ke arah pendidikan yang bermutu akan tercapai sepenuhnya. Reka bentuk pembelajaran yang terbaik sentiasa diambil kira dalam penyampaian guru supaya murid dapat menikmati hanya sejumlah pengalaman yang baik, benar dan berguna.

Sekuat manapun usaha yang dibuat, jurang pencapaian tetap muncul juga. Bahkan, komponen pentaksiran, sama ada orientasi peperiksaan, mahupun berasaskan sekolah, proses pemisahan pencapaian murid masih tetap berlaku. Pencapaian yang diukur bagi setiap satu domain kognitif, afektif dan psikomotor pada asasnya bukanlah bertujuan untuk meminggirkan murid kurang beruntung atau bermasalah pembelajaran, tetapi untuk menyalurkan bakat tersembunyi yang mungkin boleh digilap menerusi proses tapisan yang autentik. 

Guru-guru perlu sentiasa peka akan kekuatan status quo dan momentum perubahan, justeru pembelajaran ialah aktiviti perubahan yang akan berhadapan dengan daya pacu dan daya rintang. Kumpulan yang memihak kepada perubahan cenderung terhadap pencapaian kecemerlangan, manakala kumpulan status quo lebih mementingkan tema emosi dan sentimental. Malangnya, kumpulan status quo lazimnya meraih sokongan besar hingga menenggelamkan kumpulan properubahan yang sepatutnya dijulang sebagai kelompok rujukan normatif.

Hujah status quo bagi menentang perubahan ialah contoh kegagalan secara terpencil, tetapi sengaja dibesar-besarkan. Sesuatu pengalaman buruk dijadikan alasan untuk kekal dalam keadaan yang sedia ada dan tidak bergerak ke mana-mana. Punca pengalaman buruk itu ditutup rapat-rapat supaya rahsia kegagalan yang diputar belit itu tidak terbongkar.

Kata-kata negatif tidak ubah macam hasutan syaitan yang sentiasa menghembuskan keraguan, syak wasangka dan ketakutan untuk berjuang ke arah kebaikan dan kebaktian. Syaitan tidak suka manusia menderma misalnya, lalu membisikkan ancaman kemiskinan, kelaparan dan kesempitan hidup. Ringkasnya, kata-kata negatif menjerumuskan seseorang ke kancah kegagalan yang parah.


Hendak masuk universiti dikatakan akan menganggur berhujahkan data negara China dan India tanpa melihat kumpulan lebih besar yang berjaya. Kata-kata negatif umpama melihat gelas separuh kosong, bukan separuh penuh. Orang yang dipengaruhi kata-kata negatif akan berkongsi ciri yang serupa, iaitu berburuk sangka (pesimistik), malas berusaha dan suka menghalang orang lain daripada berubah atau lebih maju.

Kata-kata negatif bagaikan racun yang membunuh sebarang peluang seseorang untuk mengecapi kejayaan berdasarkan kebolehan kendiri kerana momok jahat yang diulang-ulang oleh golongan status quo. Penghalang perubahan akan muncul silih berganti daripada persekitaran status quo. Maka, seseorang yang ingin berjaya wajib menjauhkan diri daripada kejahatan kata-kata negatif golongan status quo.

Memang benar bahawa bukan semua status quo itu negatif belaka dan semua proses perubahan itu positif belaka. Status quo dari segi prinsip tidak mengapa, asalkan dari segi mutu atau makam kecemerlangannya sentiasa bertambah baik, iaitu mengalami perubahan dari masa ke masa. Dalam bahasa yang mudah, tiada sesuatu pun yang bersifat tetap (status quo) melainkan perubahan.

Pendedahan tentang kepentingan proses perubahan ialah titik tolak tingkah laku pembelajaran yang positif dan berdaya maju. Pemikiran pelajar dilatih untuk menerima hanya anjuran yang bersifat membina, bukan kata-kata negatif yang membinasa. Langkah berpisah daripada golongan status quo sedemikian bukanlah satu pilihan, tetapi sine qua non...

Saturday, July 21, 2012

TEORI FAEDAH BERBANDING (COMPARATIVE ADVANTAGE IN THE INTERNATIONAL TRADE THEORY)

Pengenalan

Faedah berbanding dinikmati oleh sesebuah negara apabila negara tersebut sanggup mengeluarkan sesuatu barang dengan kos lepas yang relatif (berbanding) lebih rendah. Teori Ricardo ini berdasarkan andaian jika sesebuah negara memiliki faedah mutlak dalam pengeluaran kedua-dua barang. Andaian lain, iaitu hanya dua negara, dua buruh, dua barang, tiada sekatan (perdagangan bebas), kos pengangkutan sifar, mobiliti faktor sempurna (faktor sama cekap, walaupun berpindah ke sektor lain) masih dikekalkan.

Selain itu, teknologi juga diandaikan tetap. Apabila keadaan berkenaan berlaku, pengeluaran akan berada  di atas keluk kemungkinan pengeluaran (KKP), tetapi penggunaan berada di luar KKP. Penjelasan teori boleh dibuat sama ada secara jadual, mahupun gambar rajah.

Pendekatan jadual

Andaikan Malaysia dan Jepun masing-masing mengeluarkan makanan dan pakaian. Sebelum pengkhususan dilakukan, semua pengeluaran digunakan di dalam negara masing-masing. Maka, keluaran dunia adalah seperti di bawah:

                                      makanan          pakaian

          Malaysia                    10                      30

          Jepun                         25                      35

          __________________________________

          Keluaran dunia           35                      65

Berdasarkan data hipotetikal di atas, Jepun menikmati faedah mutlak dalam kedua-dua pengeluaran makanan dan kain. Bagi menentukan sama ada perdagangan antarabangsa (PAB) boleh dilaksanakan, hitungan kos lepas relatif dan laba (keuntungan) PAB perlu dihitung terlebih dahulu. Adakah keluaran dunia akan meningkat dan adakah penggunaan barang bagi kedua-dua negara juga meningkat?

                                                    Kos lepas

                                       makanan          pakaian

          Malaysia                30/10 = 3          10/30 =  0.3
          Jepun                   35 / 25 = 1.4       23/35 =  0.7


Didapati Malaysia memiliki kos lepas relatif yang lebih rendah dalam pengeluaran pakaian, manakala Jepun memiliki kos lepas relatif lebih rendah dalam pengeluaran makanan. Buruh di sektor makanan di Malaysia berpindah ke sektor pakaian, manakala buruh di sektor pakaian di Jepun pindah ke sektor makanan. 

                                       makanan             pakaian

          Malaysia                0 X 10 = 0          2 X 30 = 60

          Jepun                     2 X 25  = 50       0 X 35 =  0

          ______________________________________

          Keluaran dunia              50                     60

          _______________________________________

Keluaran dunia bagi makanan telah meningkat sebanyak 15 unit (50 - 35), manakala keluaran dunia bagi pakaian telah turun sebanyak 5 unit (60 -65). Namun, keluaran dunia secara keseluruhan telah meningkat sebanyak 10 unit, iaitu + 15 unit makanan dan - 5 unit pakaian. Maknanya pengkhususan telah meningkatkan keluaran dunia, atau dalam kata lain PAB mungkin boleh dijalankan.

Bagi menjalankan PAB, satu kadar pertukaran eksport dan import mesti dipersetujui oleh Malaysia dan Jepun. Kadar pertukaran hendaklah terletak antara harga relatif makanan dengan pakaian. Harga relatif di Malaysia ialah 30 / 10 = 3, manakala di Jepun 35 / 25 = 1.4. Andaikan kadar pertukaran yang disetujui ialah 1 : 2, iaitu satu unit makanan dengan 2 unit pakaian (harga relatif antara 1.4 dengan 3 tadi).

Andaikan juga selepas pengkhususan, Malaysia menggunakan 30 unit pakaian, iaitu sama seperti sebelum pengkhususan. Semua baki 30 unit pakaian dieksport ke Jepun dengan memperoleh 15 unit makanan. Jepun pula akan menggunakan baki 35 unit makanan untuk kegunaan dalam negara.


                                      makanan          pakaian

          Malaysia                    15                      30

          Jepun                         35                      30

          __________________________________

          Keluaran dunia           50                      60

          ___________________________________

Laba (untung) PAB bagi Malaysia dan Jepun ditunjukkan seperti jadual di bawah:


                                       makanan               pakaian

          Malaysia                15 - 10 = 5            30 - 30 = 0

          Jepun                     35 - 25 = 10          30 - 35 = - 5

          ________________________________________
         
          Keluaran dunia           +   15                       - 5
          ________________________________________

Kedua-dua Malaysia dan Jepun menikmati pertambahan penggunaan dalam negara sebanyak 5 unit, iaitu:

          Malaysia:   5 unit makanan +  0 unit pakaian = 5

           Jepun:       10 unit pakaian +  (-) 5 unit pakaian =  5

Kesimpulannya, PAB boleh dijalankan.

Kaedah gambar rajah

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...        


Friday, July 20, 2012

CATATAN HARIAN BULAN PUASA (RAMADAN DAILY DIARY)

selepas Isyak:  solat sunat tarawih, witr

usai solat witir:   tadarus al-Quran

10.30 malam:  masuk tidur

4.30  pagi:  bangun tidur, solat malam

5.00 pagi:  persediaan bersahur

5.15 pagi:  bersahur

5.40 pagi:  kemas diri

5.50 pagi:  ke surau / masjid

6.15  pagi:  baca al-Ma'thurat

6.40 pagi:  persiapan ke sekolah

6.50 pagi:  bergerak ke sekolah

2.00 petang:  tiba di rumah

3.00 petang:  menyiapkan tugasan sekolah / ulang kaji

4.30:  kemas diri / solat asar berjemaah

5.15 petang:  sambung kerja sekolah

6.00 petang:  kemas rumah, membantu persiapan berbuka puasa

7.00 petang:  zikir, tazkirah

7.30+  berbuka puasa, solat Maghrib

...

...

...

...

...

...

Thursday, July 19, 2012

PNGK 2.8 KE ATAS DIJAMIN TEMPAT DI IPTA (CHASING THE HIGHER ACHIEVEMENT)

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KTPM) mengumumkan bahawa pemohon lepasan Sijil Tinggi persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi yang mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK, CGPA) 2.8 ke atas bakal ditawarkan tempat di universiti awam tempatan dengan syarat tidak menolak bidang pengajian yang ditawarkan kepada mereka. Terdapat sejumlah 1,894 pemohon termasuk dalam kategori berkenaan justeru kursus pilihan pertama mereka mungkin menjadi rebutan banyak pemohon. Bidang pengajian kritikal (perubatan, pergigian, farmasi, undang-undang, perakaunan dan kejuruteraan) menawarkan tempat yang terhad, tetapi bilangan pemohon yang berminat yang layak begitu banyak.

Selain itu, bidang pengajian yang turut mendapat perhatian ialah pendidikan, sastera ikhtisas (ekonomi,  komunikasi, pengurusan perniagaan) dan beberapa kursus teknikal (ukur bahan, seni bina). Sesetengah kursus pula menyediakan tempat yang sangat terhad seperti bidang pengajian sastera tulen (geografi, sejarah dang pengajian bahasa). Maka, peratusan pemohon yang tidak ditawarkan tempat menjadi lebih tinggi.

Rayuan tempat ke IPTA secara atas talian (e-rayuan di alamat URL upu.mohe.gov.my) yang berakhir 22 Julai ini adalah berdasarkan kursus yang dipilih, bukan untuk memohon kursus baharu atau berlainan daripada senarai permohonan asal. Kekosongan tempat memang akan berlaku kerana terdapat sebilangan pemohon yang menolak tawaran kursus yang tidak menjadi pilihan mereka. Dalam sebahagian kes yang lain, kursus baharu di universiti yang masih pula baharu seperti pengajian undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSza), Kuala Terengganu yang masih belum masuk dalam senarai pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyebabkan terdapat pemohon yang tidak menerima tawaran kursus yang bersifat kritikal itu.

Lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tidak semestinya akan mendaftar dalam bidang pengajian Islam di UKM, UM, UIAM dan USIM. Sebahagian mereka berharap untuk menyambung pengajian di timur tengah seperti Arab Saudi (Madinah), Jordan (al-Bayt, Yarmouk) , Maghribi (Rabat), Mesir (al-Azhar) dan Yaman. Mereka bukan tidak yakin akan kesarjanaan profesor pengajian Islam di universiti tempatan, tetapi ingin merasai pengalaman persekitaran masyarakat penutur jati bahasa Arab sebagai teras pengajian Islam. Bahasa baku, bahasa buku dan bahasa persuratan tidak mungkin dengan loghat pertuturan daerah dan kawasan pedalaman masyarakat Arab Badwi.

Pemohon dalam kalangan keluarga berada pula mungkin hanya sekadar 'menguji pasaran' tentang pencapaian akademik masing-masing, walhal sudah pun ditawarkan tempat di universiti luar negara seperti Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Selain permohonan atas talian, di sana sini terdapat ejen dan konsortium yang menguruskan permohonan pelajar asing mengikuti pengajian perubatan di India, Indonesia, Republik Czeck, Rusia, Ukraine dan Australia. Golongan pemohon berkenaan juga tidak akan berdaftar sebagai pelajar IPTA tempatan pada 1 September ini. 

Program berkembar IPTS dengan universiti ternama luar negara juga menarik perhatian segelintir pemohon IPTA dengan PNGK terbaik. Universiti Helps dan Universiti Taylor misalnya menawarkan program ijazah 3 + 1 bagi pengajian undang-undang United Kingdom. Perbelanjaan pengajian yang bakal ditanggung walaupun masih tinggi, tetapi masih boleh diikhtiarkan oleh golongan ibu bapa berpendapatan sederhana yang menabung dalam skim dana insurans atau takaful pendidikan, serta pinjaman mudah pihak bank.

Justeru selain 1,894 orang pemohon yang dijamin tempat ke IPTA awal September nanti, kekosongan tempat akan masih wujud dalam anggaran 10 peratus (lebih kurang 4,000 tempat) jika hitungan konservatif seperti yang disebut adalah tepat. Maka, pemohon dengan PNGK 2.5 hingga 2.79 yang tidak berjaya tempoh hari masih boleh berharap. Sebelum memuktamadkan rayuan, mereka boleh menghubungi pihak universiti yang dipohon bagi mendapat gambaran umum tentang peluang yang dimiliki. 

Bukan mudah untuk mencatat PNGK 2.8 ke atas atau bersamaan gred B dalam semua mata pelajaran yang diambil sama ada semasa STPM atau matrikulasi. Calon-calon STPM dan matrikulasi terpaksa bertungkus-lum dan bersengkang mata untuk menyiapkan segala keperluan kerja kursus, tugasan dan peperiksaan. Dalam keadaan persaingan yang sengit mutakhir ini, pemohon yang mencatat pencapaian PNGK 3.0 ke atas sahaja yang boleh berasa selesa tanpa hanya berharap... Wallahu a'lam.

Wednesday, July 18, 2012

KEBENARAN TELEFON BIMBIT KEPADA MURID SEKOLAH (ARGUMENTS ABOUT GADGET IN SCHOOL)

Ura-ura supaya murid sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun hadapan dengan segera meraih perhatian pihak-pihak yang berkepentingan. Misalnya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) telah mengeluarkan kenyataan media membantah cadangan berkenaan atas alasan tumpuan murid dalam proses pembelajaran bakal terjejas. Pihak yang menyokong pula berhujah tentang keselamatan kanak-kanak sekolah, terutama apabila dalam keadaan tertentu perlu menghubungi ibu bapa masing-masing dengan segera.

Cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah pernah diusulkan beberapa tahun yang lalu, tetapi dibatalkan justeru bantahan meluas yang diterima. Murid sekolah bukan sahaja tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, bahkan gajet lain seperti kamera, komputer, sebarang bentuk peranti mudah alih dan sebagainya, melainkan dengan kebenaran khas oleh pengetua. Kejadian muat naik rakaman peristiwa  sensitif tertentu yang berlaku di sekolah menerusi you tube dan facebook misalnya telah menyusahkan pihak berkuasa pendidikan, selain menimbulkan salah faham masyarakat tentang dunia persekolahan yang sebenar.

Dalam keadaan larangan pun, segelintir murid generasi Y berjaya "menyeludup" masuk telefon bimbit ke dalam kawasan sekolah, lalu membuat rakaman audio dan video secara sembunyi, kemudian dikongsi menerusi laman sosial internet. Perbuatan negatif murid seumpama itu merupakan ancaman terhadap keharmonian sekolah, malah mungkin menjatuhkan maruah warga sekolah, terutama murid dan guru. Kreativiti pengeluar telefon bimbit mengakibatkan pihak sekolah sukar untuk membezakan antara alat tulis biasa dengan telefon bimbit kerana kedua-duanya benar-benar persis.

Langkah yang mungkin munasabah jika kebenaran membawa telefon bimbit diteruskan ialah dengan syarat yang ketat seperti bon jaminan ibu bapa, telefon bimbit disimpan di pejabat sepanjang sesi pembelajaran dan sistem kawalan penggunaan telefon bimbit yang jelas. Peningkatan kos tempat penyimpanan telefon bimbit, serta tugas pihak sekolah yang bertambah berat perlu diambil kira. Tidak mustahil jika murid sekolah dan kawasan sekolah akan masuk dalam sasaran jenayah ragut dan pencuri kecil-kecilan.

Kepesatan perkembangan teknologi dan kemajuan pembaharuan mungkin boleh disekat buat sementara waktu sahaja, atau dalam jangka masa pendek. Penggunaan buku elektronik (e-book) seperti di sekolah-sekolah rendah seluruh negeri Terengganu misalnya telah menyebabkan larangan membawa peranti mudah alih elektronik seumpamanya telah dilonggarkan. Natijahnya, Terengganu telah berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan pencapaian peperiksaan awam buat beberapa tahun berturut-turut.

Pengenalan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) secara berperingkat-peringkat, serta peperiksaan secara atas talian mungkin lebih mudah dengan kebenaran membawa peranti mudah alih elektronik, termasuk telefon bimbit pintar dengan segala aplikasi terkini. Sekolah-sekolah awam mungkin akan tertinggal jauh di belakang sekolah swasta dan sekolah antarabangsa jika masih berpegang kepada kongkongan peraturan lama yang sudah tidak sesuai lagi. Persekitaran pendidikan yang begitu pesat berubah bukan sahaja menuntut semakan kurikulum yang lebih kerap, bahkan terhadap segala aktiviti dan penggunaan teknologi supaya mampu menjanakan modal insan minda kelas pertama yang berdaya saing di peringkat dunia, tetapi masih dalam lingkungan acuan jati diri Malaysia.

Sesuatu dasar atau keputusan besar seperti kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah perlu melepasi proses penggubalan dasar yang piawai termasuk pengumpulan data hujah bertentangan (dialektik), penyelidikan dan projek rintis. Dengan itu, segala bentuk ralat dan kesilapan akan dapat dianggarkan secara lebih tepat. Keputusan yang dibuat dengan bijaksana dan berhemat umpama menarik rambut daripada dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung pula tidak berserakan!

Tuesday, July 17, 2012

PEMBAZIRAN MAKANAN PADA BULAN PUASA (RAMADHAN ALERT)

Insya-Allah panjang umur murah rezeki, kita diberi kesempatan oleh-Nya untuk melewati bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, keampunan dan kemenangan. Pada asasnya, sistem anatomi dan fisiologi manusia yang berpuasa boleh mendapat rehat dan "cuti" yang mencukupi daripada tugas memproses segala makanan dan minuman yang masuk ke dalam tubuh badan. Dalam sebuah hadith (mafhumnya) disebutkan bahawa bekas yang paling buruk untuk dipenuhkan oleh manusia ialah perutnya.

Sebuah akhbar versi atas talian  dengan alamat URL http://www.gulf-daily-news.com/Print.aspx?storyid=237534 melaporkan bahawa di Bahrain, kadar pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadhan dianggarkan sebanyak 40 peratus, sama ada oleh isi rumah, mahupun hotel. Keadaan itu berlaku ekoran peningkatan tahap sosioekonomi, kuasa beli dan gaya hidup masyarakat yang lebih mewah. Malangnya, pembaziran makanan yang berlaku menunjukkan betapa sebahagian umat Islam sudah tersasar daripada hakikat puasa, iaitu bagi meningkatkan makam taqwa masing-masing.

Puasa orang awam hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, serta perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam tempoh yang ditentukan. Dalam minda mereka hanya ada juadah untuk berbuka puasa dan sahur. Sepertinya, detik berbuka puasa ialah bagi "membalas dendam" kerana tidak makan sepanjang hari.

Bazar Ramadhan yang sudah menjadi fenomena di seluruh dunia menjadi tumpuan seawal empat jam sebelum detik berbuka puasa. Bukanlah menjadi kesalahan untuk membeli juadah atas dasar membantu usahawan segera yang juga saudara seagama, tetapi biarlah berpada-pada. Jika membeli banyak juadah, panjang-panjangkan tangan untuk memberi sedekah kepada insan yang kurang beruntung.

Makan dengan banyak semasa berbuka puasa bukan sahaja boleh mendatangkan mudarat terhadap kesihatan diri, bahkan menyebabkan perasaan malas untuk melakukan amalan-amalan yang dianjurkan. Solat Maghrib pun boleh terlucut gara-gara melayan nafsu serakah untuk makan dan minum semahu-mahunya seolah-olah tiada esok lagi. Kelazatan menikmati amalan yang khusus untuk bulan puasa seperti solat tarawih dan tadarus al-Qur'an bertukar kepada rasa mengantuk dan bermalas-malas.

Justeru berlaku dikotomi antara tuntutan puasa dengan kelemahan diri, sikap orang membazir yang disebut sebagai saudara syaitan begitu sukar untuk dikawal. Barangkali semua pihak yang berkepentingan perlu saling menasihati antara satu dengan lain supaya menjauhi pembaziran pada bulan puasa. Papan tanda besar hendaklah dipacak di laluan masuk Bazar Ramadan, iklan menerusi siaran media, stiker percuma dengan cogan kata berkaitan ditampal di cermin kereta dan pelbagai langkah lain yang bijaksana lagi munasabah...

Monday, July 16, 2012

PELAJAR TINGKATAN 6 TIDAK BOLEH SENTIMENTAL (DEPENDING ON LUCK IS JUST ANOTHER GENEROUS ODD)

Keputusan permohonan ke IPTA bagi lulusan STPM telah pun diketahui pada hari Jumaat, 16.7.2012 yang lalu. Saban tahun, kesimpulannya tetap sama, iaitu pertaruhan utama bagi merebut tempat ke menara gading ialah pencapaian yang terbaik, bukan sekadar bersandar kepada angan-angan dan nasib baik. Pendek kata, jika hanya berharap sahaja, alamat seseorang pemohon bakal berputih mata dan mula mencari justifikasi dan kesalahan pihak ketiga atas perasaan kecewa yang tidak berkesudahan itu. Sebaliknya, pemohon yang berjaya melamar bidang pengajian yang setara dengan pencapaian akademik masing-masing sudah mula menguntum senyuman bahagia demi membayangkan masa hadapan yang gilang-gemilang.

Cerita suka duka perebutan tempat ke universiti sering disampaikan semula kepada pelajar prauniversiti tingkatan 6 yang masih berstatus calon STPM. Guru-guru sering memberi peringatan supaya mereka mengambil iktibar, lantas mengambil daya usaha dengan segera bagi memastikan mereka tidak tersekat di mana-mana tahap hanya kerana sikap tidak kisah sepertimana dalam dialog "ada aku kisah?". Pemohon berpencapaian tinggi macam orang banyak modal, boleh memilih bermacam-macam kegiatan pelaburan, berbanding dengan pemohon berpencapaian cukup makan (ciput) macam berada dalam sebuah perahu yang dipukul gelora di lautan, tiada daya dan upaya.

Letak sasaran yang tinggi

Kata bijak pandai: gantungkan cita-cita kamu setinggi bintang, tetapi janganlah sesekali rumput di bumi. Dari segi falsafah keusahawanan pula: kepala di langit, kaki di bumi (seperti yang pernah diungkap oleh Tan Sri Azman Hashim, pemilik Ambank). Memang manusia tidak mampu menongkah langit, tetapi mampu melakukan upaya bagi menuju kesempurnaan sebagai insan kamil.

Dengarkan kata positif, bukan anjuran negatif yang sangat bisa

Belajar tinggi pun buat apa, akhirnya akan menganggur juga. Ujaran seumpama itu ibarat racun pembunuh yang sangat kejam, amatur dan hanya layak keluar daripada mulut puak yang tidak sekolah. Ya, memang berlaku pengangguran, tetapi mengapa tidak dilihat pula kepada mereka yang berjaya dalam usia yang cukup muda?

Mesti sanggup korbankan kepentingan / keseronokan yang bersifat jangka pendek

Kerja melayan "muka buku" (facebook), twitter, weblog, you tube, siaran televisyen dan majalah bertaraf picisan memang seronok tanpa menyedari masa terbuang sia-sia apabila melebihi peruntukan waktu yang dianggap masih sihat dan wajar. Mungkin ada kalangan yang berhujah bahawa belajar sambil melayan pelbagai gajet komunikasi lebih berkesan, namun perkara berkenaan mungkin hanya sebuah pengecualian. Maka, bagi pelajar normal, mereka harus bersedia berpisah dengan hiburan dan ketagihan gajet jika mahu momentum pembelajaran menuju tahap optimum.

Tidak membubuh terlalu banyak syarat dalam pembelajaran

Kalau sudah terkena penyakit sentimental atau "jiwang", pelajar akan dikawal sepenuhnya oleh emosi, bukan lagi dibimbing oleh kebijaksanaan atau kecerdasan emosi. Matlamat pembelajaran yang sepatutnya untuk manfaat diri sendiri mula dialihkan untuk memuaskan hati orang lain seperti, kawan, guru dan ibu bapa semata-mata. Kemudian, dengan sesuka hati pelajar "jiwang" akan melabel guru atau pensyarah mengikut penarafan tepi jalan seperti menarik, membosankan dan entah apa-apa lagi.

Menghargai setiap mata pelajaran dan semua guru

Pelajar harus menyedari bahawa suka atau tidak suka, mereka perlu mencatat pencapaian tertinggi dalam semua mata pelajaran yang diambil. Jika main pilih-pilih, nescaya nilai markat purata nilai gred kumulatif (PNGK) bakal terjejas. Nanti sewaktu memohon masuk ke universiti idaman, baharulah sedar betapa langit tinggi rendah!

Sentiasa menguji pencapaian secara kendiri, atau ujian lisan berpasangan / ujian masa

Memandangkan proses pembelajaran aras tinggi sarat dengan konsep, model dan prinsip, maka cara membaca buku teks dan tugasan sudah jauh berbeza dengan peringkat menengah atas semasa tingkatan 5. Pembacaan tanpa menulis semula pemboleh ubah yang terbabit dalam bentuk simbol atau singkatan ejaan akan menyebabkan pelajar tingkatan 6 tidak ubah seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengajuk percakapan yang didengar. Dengan itu, pelajar perlu melazimkan diri dengan ujian kendiri menerusi semakan rakaman, ujian lisan di hadapan rakan, serta membuat peruntukan masa yang tertentu untuk menjelaskan segala konsep, prinsip dan teori.

Memantapkan jati diri dan tawakkal

Cara pembelajaran yang paling baik ialah dengan mengajar orang lain, atau disebut sebagai pengajaran sebaya. Kawalan kendiri yang perlu dilakukan ialah memberi tumpuan terhadap objektif ujian secara tekal, serta tidak mudah menyeleweng atas apa-apa sebab yang remeh-temeh. Setelah segala usaha dilakukan, catat kemajuan dalam sebuah buku log atau jurnal pembelajaran sebelum pasrah akan pertolongan Allah.

Ciri pelajar yang tertib


Jalan singkat untuk menuju puncak jaya ialah dengan memerhati gaya penyampaian guru, terutama ketika penjelasan konsep, model, persamaan kuantitatif, gambar rajah dan komponen tugasan soalan. Ada guru yang memberitahu kemahiran generik pembelajaran sesuatu mata pelajaran secara berterus terang, tetapi sebahagian guru berbuat demikian secara tidak langsung. Pelajar yang pintar akan sentiasa dapat mengesan hikmah dan kebijaksanaan yang digunakan oleh guru sebelum digunakan semula dalam proses pembelajaran kendiri dan berkumpulan.

Wallahu a'lam...

Sunday, July 15, 2012

KERETA BAHARU DAN REBAN AYAM (MOVABLE PROPERTY OWNERSHIP)

Seseorang yang menggunakan kenderaan yang sama sejak lebih sepuluh tahun mungkin dilabel sebagai kedekut, berfikiran kuno, suka barang buruk, tidak ada gaya dan paling teruk apabila terpacul perkataan kufur nikmat. Gurauan dan usikan mungkin bertukar menjadi serius apabila menyentuh secara langsung tentang pendirian, prinsip dan pandangan hidup yang bersifat peribadi. Rambut sama hitam (mungkin sama putih, atau rambut jarang), tetapi hati lain-lain.

Biasa juga terdengar ada orang yang berkata dia akan menggunakan kenderaan yang sama sampai menjadi reban ayam. Maksudnya, dia tidak terlintas untuk membeli kenderaan yang baharu kerana terlalu sayang akan kenderaan yang sedia ada walaupun buruk pada pandangan mata orang lain. Tambahan pula, kaedah susut nilai garis lurus lima tahun bagi semua jenis kenderaan belum dilaksanakan di negara kita.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun, dasar pelupusan kenderaan yang telah mencapai usia lima tahun ialah bagi memastikan bahawa industri automatif sentiasa mempunyai permintaan untuk kenderaan baharu. Namun, dasar berkenaan boleh berjaya justeru harga kenderaan baharu yang rendah tanpa pelbagai jenis cukai sepertimana yang terdapat di negara-negara sedang membangun, seperti Malaysia. Kenderaan yang hampir mencapai usia "pencen" lima tahun boleh dihantar semula ke kilang untuk diberi sentuhan baharu sebagai kereta reckon untuk tujuan eksport.

Contohnya, harga seunit kereta mewah BMW 3 siri hanyalah RM80k, berbanding di pasaran Malaysia dengan tanda harga yang bermula daripada RM300k+. Jumlah cukai eksais dan cukai jualan yang lain mencecah hingga 300 peratus. Tidak hairanlah apabila seunit Proton Saga dijual serendah USD5,000 (RM18,000) di pasaran Amerika Syarikat.

...

...

...

...

...

...

Saturday, July 14, 2012

RAYUAN IPTA BERAKHIR 22 JULAI (PREMIER UNIVERSITY REDUCING UNDERGRADUATE ENROLMENT)

Kementerian pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) mengumumkan bahawa lima buah universiti perdana negara, iaitu UM, UKM, USM, UPM dan UTM kini memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan dengan dasar pengambilan pelajar pascasiswazah, iaitu program ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah. Maka, sebilangan besar pemohon IPTA ke universiti perdana yang berkenaan dialihkan kepada empat buah universiti awam kategori komprehensif, iaitu UiTM, UIAM, UMS dan Unimas. Baki sebelas universiti awam lain disenaraikan sebagai universiti berfokus, iaitu UUM,  UMT, UMK, UniSZA, UPNM, Unimap, UMP, UPSI, UTeM, USIM dan UTHM juga sedang menuju ke arah status universiti penyelidikan.

Daripada sejumlah 38,549 tempat yang ditawarkan untuk calon ijazah pertama, 5,154 calon atau 13.37 peratus pemohon yang berjaya termasuk dalam kumpulan pengajian kritikal. Saringan untuk kursus kritikal sangat ketat dengan penilaian terhadap pencapaian PNGK tertinggi, serta kelayakan fizikal dan keperibadian yang tertentu. Pecahan terperinci ialah seperti berikut:

        1   perubatan:  875 orang (2.27 peratus)

        2   pergigian:    170   (0.44)

        3   farmasi:       295   (0.76)

        4   undang-undang:  354   (0.92)

        5   perakaunan:   804   (2.09)

        6   kejuruteraan kimia:   666   (1.73)

        7   kejuruteraan mekanikal:   1,071   (2.78)

        8   kejuruteraan elektrik dan elektronik:   919   (2.38)

Universiti komprehensif bererti nisbah pengambilan calon ijazah pertama kepada ijazah tinggi ialah 70:30, manakala universiti penyelidikan dan universiti berfokus ialah 50:50. Tiga buah politeknik premier, iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Politeknik Shah Alam dan Politeknik Johor Bahru juga dijangka memulakan kursus diploma lanjutan yang setaraf dengan kelayakan ijazah pertama dalam tempoh terdekat. Langkah berkenaan sejajar dengan sasaran 40 peratus penduduk memiliki akses pengajian tinggi ke arah taraf negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020.

Penawaran tempat untuk kursus ikhtisas bidang pendidikan juga turun sebanyak 50 peratus memandangkan unjuran keperluan guru pelatih untuk sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah bantuan modal sudah sampai ke tahap yang agak tepu. Belakangan ini, bilangan siswazah pendidikan UPSI yang tidak dapat dilantik sebaik sahaja tamat pengajian didapati meningkat secara mendadak. Siswazah pengajian pendidikan tidak lagi menikmati jaminan automatik dari segi pekerjaan sepertimana sepuluh tahun dahulu.

Walaupun fenomena pengangguran siswazah di seluruh dunia masih berleluasa, persaingan untuk merebut tempat di universiti tidak pernah berkurangan, malah semakin sengit. Perancangan buruh yang cekap dijangka mampu mengatasi masalah pengangguran siswazah dalam jangka panjang. China dan India sebagai contoh telah muncul sebagai kuasa ekonomi baharu dalam kuartet BRIC (Brazil, Russia, India, China) apabila modal insan berkualiti tinggi dalam kalangan siswazah akhirnya melonjakkan negara berkenaan menjayakan konsep ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) sebagai anjakan ekonomi berasaskan pengeluaran (p-economy) yang bergantung kepada kudrat fizikal semata-mata.

Fakta lain yang menarik dalam pengambilan calon prasiswazah kali ini ialah:

1   calon bumiputera yang berjaya:  27,455 orang   (71.22 peratus)

2   calon keturunan Cina:   8,986  (23.31)

3   calon keturunan India:   1,384  (3.59)

4   calon keturunan kaum lain:  724   (1.88)

5   Nisbah calon sains dengan sastera ialah 57:43  (21,959 orang calon sains; 16,590 calon sastera)

6   Nisbah calon perempuan kepada lelaki ialah 66:34  (25,372 orang lawan 13,177 orang)

Nisbah pengambilan calon prasiswazah berasaskan sistem meritokrasi juga dilihat sebagai setara dengan profil demografi kira-kira 30 juta orang penduduk Malaysia. Kategori bumiputera merangkumi orang Melayu, suku kaum pribumi di Sabah dan Sarawak, serta etnik Cina Sabah dan Sarawak. Namun, nisbah pelajar perempuan yang jauh lebih tinggi memerlukan penyelidikan menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar dan natijah arah aliran berkenaan kepada negara dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Tempoh rayuan bagi pemohon yang gagal ialah 10 hari dan berakhir pada 22 Julai (Ahad) secara atas talian menerusi e-rayuan di alamat laman sesawang http://upu.mohe.gov.my. Keputusan rayuan dijangka diketahui sebelum tarikh pendaftaran IPTA pada 1 dan 2 September ini bermula. Pemohon lulusan STPM yang masih gagal dalam rayuan mungkin berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma menerusi pemindahan jam kredit tertentu jika dasar berkenaan diterima pada tahun ini juga di bawah sistem terminal yang lama...

Friday, July 13, 2012

MEMILIH JALAN PULANG (HEAVEN OR HELL?)

Demikian tajuk tazkirah program Halaqah Menyentuh Qalbu TV9 yang diisi oleh penceramah pasukan ESQ yang pernah menghadapi kontroversi dengan mufti Wilayah Persekutuan. Jalan pulang yang dimaksudkan ialah kembali ke syurga, iaitu tempat asal Nabi Adam alahi's-salam sebelum dihantar ke bumi. Umat diingatkan supaya tidak termakan hasutan iblis dan syaitan, lalu terseret ke neraka, na'u zubillah min dhalik.

Jalan pulang menuju syurga sudah tentu bakal menempuh pelbagai rintangan dan ujian, iaitu bukan bersifat percuma. Maknanya, tiada jalan mudah menuju syurga melainkan dengan jiwa raga yang benar-benar ikhlas mengharap redha Ilahi dengan mematuhi segala tuntutan aqidah, syariat dan akhlaq sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Qur'an dan al-Hadith, serta ijmak, qiyas, istihsan, ihtishab, masalih mursalah, uruf dan panduan alim ulama yang muktabar. Sebaliknya, seseorang insan dengan mudah boleh tergelincir ke laluan jalan ke neraka andai kata terpedaya dengan hasutan iblis dan syaitan, serta pesona dunia yang lain.

Insan yang soleh tidak pernah membiarkan dunia masuk ke dalam dirinya, sama ada secara jasmani, emosi, rohani, intelektual dan segala pertimbangan kehidupan. Pendek kata, insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa berupaya mengawal dunia, bukan sebaliknya dunia yang mengawal dirinya. Dunia ialah jambatan menuju jalan pulang ke syurga apabila tiba hari akhirat, bukan dunia sebagai matlamat hidup.

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga tidak melayan perkara sia-sia atau panjang angan-angan. Seluruh kehidupan didambakan semata-mata menuju redha Ilahi, tanpa sekutu dengan makhluk lain atau sebarang bentuk entiti fana yang lain. Diri sentiasa dihiasi dengan sifat terpuji (mahmudah) dan terhindar daripada sifat tercela (mazmummah).

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa berusaha mencari ilmu yang sah, mengukuhkan amalan dan menyebarkan ilmu dengan kaedah penyampaian yang penuh hikmah. Tiada tindakan melulu yang menyerlahkan kejahilan atau bersikap gopoh dalam membuat keputusan. Sifat sabar dan hemah tinggi yang menjadi kunci kehebatan anbiya' sentiasa menjadi pegangan dan pedoman dalam meneruskan risalah kebenaran.

Insan yang menuju jalan pulang ke syurga sentiasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya melebihi diri sendiri, ibu bapa, keluarga, sahabat handai dan seisi bumi. Dalam kata lain, neraca pertimbangan utama ialah perintah Allah dan Rasul, serta akur terhadap segala larangan dan tegahan Allah dan Rasul. Godaan iblis, syaitan dan keduniaan dalam pelbagai bentuk keindahan duniawi seperti kemasyhuran, kekayaan, pangkat, harta benda yang melimpah ruah, serta kuasa tidak sama sekali mengatasi perintah dan larangan yang ada.

... 

Thursday, July 12, 2012

KEPUTUSAN PERMOHONAN MASUK IPTA TENGAH HARI INI (UNIVERSITY ADMISSION LIST TODAY)



Mulai pukul 12.00 tengah hari ini, status permohonan masuk ke IPTA sudah boleh diperoleh menerusi laman sesawang 

upu. home.gov.my atau menerusi mesej pesanan ringkas seperti yang tertera di bawah.

LAMAN WEB RASMI PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA,TEVT & ILKA
Logo Jata NegaraLogo UPU

SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN
KE INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA)
LEPASAN STPM / MATRIKULASI / ASASI / SETARAF
(IJAZAH PERTAMA)
SESI AKADEMIK 2012/2013

(MULAI JAM 12.00 TGH HARI) 

Saluran 1
:
Lembah Klang
Saluran 2
:
Utara
Saluran 3
:
Selatan
Saluran 4
:
Sabah
Saluran 5
:
Sarawak
SMS
:
Taip UPU RESULT [NOKP] hantar ke 15888

Sementara itu, di Putrajaya,  Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata bahawa sejumlah 38,549 calon STPM berjaya mendapat tempat di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2012/2013. Daripada jumlah itu, seramai 21,959 orang bakal mahasiswa adalah daripada aliran sains (57 peratus) dan 16,590 orang lagi  (43 peratus) daripada aliran sastera. Tahniah kepada semua pemohon yang berjaya.

TAHNIAH, TERUSLAH MENGEJAR KECEMERLANGAN!!!

TEKS UCAPAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN KURIKULUM (PERSONAL RENEWAL IN THE ENVIRONMENT OF CHANGES)

Panduan penyediaan teks ucapan

1   Dapatkan senarai protokol: tetamu, jemputan dan profil hadirin

2   Muktamadkan isi ucapan dengan penyampai ucapan

3   Susun draf teks ucapan dengan persetujuan penyampai ucapan

4   Buat semakan bahasa

5   Serahkan draf teks ucapan yang lengkap kepada penyampai ucapan dua hari sebelum majlis

6   Dapatkan maklum balas untuk penambahbaikan

7   Serah semula teks ucapan yang telah siap disemak dan dibaiki

Contoh susunan isi

1   Menghadap majlis:  ucapan salam, lafaz syukur dan sebut tetamu dan hadirin merujuk senarai protokol

2   Mengalu-alukan kehadiran tetamu dan mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah

3   Konsep majlis anugerah kecemerlangan akademik sebagai acara wajib sekolah

4   Takrif kecemerlangan kurikulum dan ukuran pencapaian

5   Pencapaian peperiksaan awam bagi sekolah

6   Transformasi pendidikan:  pentaksiran berasaskan sekolah, kemahiran insaniah, sistem modular

7   Perancangan dan pelaksanaan program kecemerlangan kurikulum

8   Peranan murid, guru dan ibu bapa dalam proses menuju kecemerlangan kurikulum

9   Keperluan kecemerlangan kurikulum dalam konteks perubahan persekitaran pendidikan

10   Ucapan tahniah kepada penerima anugerah: kecemerlangan mesti diteruskan sepanjang hayat

11   Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis:  tetamu, hadirin, jawatankuasa

12   Penutup ucapan:


Contoh teks ucapan yang lengkap

SMK ...
HARI UCAPAN
DAN PENYAMPAIAN HADIAH
DRAF UCAPAN TUAN PENGETUA


Terima kasih saudari pengacara majlis
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat pagi, salam sejahtera
Yang Dihormati ...
Yang Dimuliakan Yang Dipertua dan barisan kepimpinan PIBG
Penolong-penolong Kanan,
Guru Kanan, Guru,
Yang dira’ikan para penerima hadiah
Ibu bapa
Hadirin dan hadirat

Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana pada petang ini kita dapat berkumpul bersama-sama bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang mencapai tahap pencapaian yang cemerlang khusus dalam bidang kurikulum sepanjang tahun ... Sesungguhnya majlis hari ucapan dan penyampaian hadiah ini merupakan kesinambungan tradisi sekolah sejak sekian lama dan memiliki signifikan yang tersendiri kepada seluruh warga SMK ... Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan puan. Saya percaya bahawa  sokongan seumpama ini akan meningkatkan lagi semangat warga sekolah untuk terus mencatat kejayaan yang membanggakan.

Tuan puan dan penerima hadiah yang dira’ikan
Dalam konteks pendidikan, fungsi utama sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran. Dengan perubahan persekitaran pendidikan yang penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramalkan dan sentiasa terdedah kepada penambahbaikan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan. Sejajar dengan Misi Nasional dan perakuan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025, salah satu teras utamanya ialah menjana modal insan minda kelas pertama. Maka, SMK ... tidak boleh terkecuali daripada menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan bertaraf dunia supaya pada akhirnya pelajar yang menerima pendidikan di sekolah ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara. Sebagai pengetua, saya akan sentiasa memastikan bahawa hala tuju sekolah ini jelas dan bahawa segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada sentiasa akur dengan keperluan yang disebutkan.

Hadirin dan hadirat
Kemunculan sekolah sebagai pesaing dan juga rakan kecemerlangan pendidikan menuntut kita melipatgandakan usaha untuk terus relevan dan dihormati. Cerita-cerita kejayaan dari generasi demi generasi menjadikan sekolah ini terus menjadi pilihan ibu bapa. Buktinya, enrolmen murid yang terkini ialah sebanyak ________ orang pelajar. Begitu juga dengan norma perjawatan guru yang mencukupi. Terdapat seramai ______ orang guru yang terlatih dalam pelbagai bidang opsyen. Guru-guru juga diberi pendedahan yang berterusan untuk melaksanakan perubahan dan pendekatan baru dalam sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran untuk menggembleng bakat dan potensi pelajar secara optimum. Saya memberi jaminan bahawa guru sekolah ini sentiasa komited terhadap usaha membantu dan membimbing pelajar ke arah kesejahteraan hidup masa kini dan masa akan datang. Semua pelajar di sekolah ini berhak mendapat peluang pembelajaran yang terbaik dan kami akan mencari jalan supaya perkara ini tercapai sepenuhnya.

Def kehormat,  ibu bapa, guru dan pelajar sekalian
Dari segi kemudahan dan prasarana fizikal, sekolah ini telah mencapai penarafan lima bintang. Sebagai contoh, kemudahan kantin yang berimej medan selera moden, bilik darjah yang selesa untuk proses pembelajaran dan sistem sanitari yang menepati piawaian kesihatan. Pihak sekolah juga ingin merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak PIBG dan Persatuan Bekas Pelajar yang banyak membantu sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan pembelajaran dan segala kegiatan sekolah yang lain. Begitu juga saya menghargai sokongan material dan moral para ibu bapa, masyarakat dan media. Pada hakikatnya apa-apa jua projek naik taraf kemudahan fizikal sekolah akan dipulangkan kepada para pelajar supaya dapat menikmati peluang pembelajaran yang terbaik. Justeru saya merayu tuan puan tidak akan berasa jemu untuk menghulurkan sokongan seumpama itu tanpa berbelah bahagi secara berterusan dan konsisten.

Tuan-tuan dan puan-puan
Pada tahun ini, SMK St Michael memilih slogan Kecemerlangan Yang Sentiasa Diperbaharui, iaitu warga sekolah prihatin terhadap pencapaian tertinggi dalam konteks kepesatan perubahan persekitaran pendidikan. Insan bijak pandai, insan yang gigih dan insan yang berdaya usaha sebagai hasil sistem pendidikan kita hanya akan bermakna apabila dapat menyumbang terhadap kecemerlangan yang berterusan. Dengan cara menguar-uarkan slogan ini, pihak sekolah mengharapkan bahawa dalam jangka masa panjang, generasi pelajar yang menjalani pengajian di sini akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk membaharui pencapaian kecemerlangan tanpa terikat kepada status quo secara taksub. Untuk tempoh yang terdekat ini, pihak sekolah giat merangkakan program yang menggambarkan keazaman memindahkan slogan itu dalam bentuk pelaksanaan program, tingkah laku dan kebiasaan. Saya sentiasa optimis bahawa warga sekolah dapat berganding bahu dalam memastikan apa-apa jua kemajuan yang dikecapi hendaklah berteraskan konsep kecemerlangan yang holistik dan seimbang. Kesedaran tentang pencapaian kecemerlangan hendaknya bersemi dalam sanubari warga sekolah buat selama-lamanya. Doakan semoga impian besar ini menjadi kenyataan.


Saudari pengacara, tetamu, guru dan murid yang diraikan

Seperti yang saya sebut pada awal ucapan saya bahawa pengiktirafan yang diberi kepada pelajar berpencapaian cemerlang tidak dibataskan kepada bidang kurikulum semata-mata. Domain kognitif atau minds-on memang masih unggul. Namun kebolehan psikomotor atau hands-on, ciri afektif seperti kepimpinan dan sahsiah mesti berjalan seiringan. Kini, definisi kepandaian atau kepintaran telah diberi dimensi yang baru. Akses kepada maklumat dan kemahiran tidak lagi bergantung kepada individu yang dianggap genius, tetapi lebih kepada kekuatan pasukan dan data dalam talian. Aspek kecerdasan emosi (EQ), serta kecerdasan spiritual dan sosial (SQ) akan menjadi lebih dominan. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa ketaksuban atau fokus yang berlebihan terhadap pencapaian peperiksaan akan segera berakhir. Kini sistem pentaksiran berasaskan sekolah telah diperluaskan. Pada masa depan, sebagai contoh, pusat tuisyen tidak lagi dapat menyaingi peranan sekolah dalam menyediakan pakej pendidikan yang lengkap. Di SMK ..., kami telah bersedia ke arah itu.

Kepada penerima hadiah, sekalung tahniah untuk anda. Teruskan kecemerlangan anda. Nilai kebendaan hadiah dan sijil bukanlah menjadi ukuran. Yang penting, kalian telah diberi pengiktirafan yang begitu bermakna dalam hidup kalian. Di samping mencongak kejayaan, usah lupakan rakan-rakan yang tidak menerima hadiah seperti kalian. Bantu mereka, beri dorongan dan inspirasi. Kelak kalian akan dikenang sebagai insan yang budiman dan berperibadi mulia. Bagi pihak sekolah, saya mendoakan agar kalian akan terus melakar kejayaan yang bakal membanggakan diri sendiri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa dan negara.

Kepada ahli jawatankuasa majlis hari ucapan dan penyampaian hadiah SMK ... kali ini, terima kasih daun keladi. Kepada tetamu dan hadirin, sokongan tuan puan akan dikenang sampai bila-bila.
       
          Ikan sembilang, sepat dan kelah
          Guna bubu biasa di hujung
          Pencapaian cemerlang dapat hadiah
          Petanda ilmu sentiasa dijunjung

Sekian sahaja ucapan saya. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabaraktuh.