SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, September 30, 2009

TATABAHASA SPM: MUDAH DAN BERSAHAJA (GRAMMATICAL PART OF BAHASA MELAYU SPM: FLEXIBILITY AND RIGIDITY)

Pelajar yang telah menguasai tatabahasa sejak sekolah rendah tidak menghadapai banyak masalah dalam menulis jawapan Bahagian C, atau soalan 3 yang memperuntukkan 30 markah.  Berdasarkan jawapan pelajar SMI, didapati bahawa pecahan (e), iaitu peribahasa mendatangkan masalah. Hampir tiada calon mencatat 6 markah penuh, kebanyakannya meraih 2 markah sahaja.


2.   Biasanya pecahan (c) dan pecahan (d) boleh dijawab dengan cepat, justeru arahannya ialah kenal pasti kesalahan bahasa (ejaan, imbuhan, istilah, tatabahasa), catat perkataan dan tulis pembetulannya. Tiada keperluan menyalin semula keseluruhan ayat atau petikan yang diuji.


3.   Pecahan (a) ialah membina ayat daripada perkataan atau frasa yang diberi. Cuba kita lihat contoh di bawah, dengan perkataan yang diuji ialah siang:

       -   Siang ialah nama kawan baik saya.

       -   Siang perigi hingga bersih, kata emak kepada adik saya.

       -   Terbitnya mentari menandakan siang menjengah kita.


       Manakah ayat yang menepati syarat sintaksis, semantik dan tugasan soalan?


4.    Ayat pertama ditolak justeru perkataan yang diuji digunakan sebagai nama khas. Tugasan soalan menghendaki ayat yang dibina dapat menepati maksud dan penggunaan perkataan yang diuji. Ayat seringkas "Hari siang sesuai untuk bekerja."


5.   Ayat kedua tiada masalah. Siang bermakna membersihkan!. Namun, ayat cakap ajuk (ayat perintah, ayat tanya dan ayat seruan) memerlukan tanda baca pengikat kata (").


6.   Ayat ketiga juga boleh diterima, cuma bau puitisnya agak ketara. Sebagai ayat penyata, tanda baca yang digunakan adalah tepat.


7.   Sebarang penambahan imbuhan (atau pengguguran imbuhan, jika ada) terhadap perkataan yang diuji melanggar tugasan soalan. Hanya penggunaan partikel (lah, tah) dan kata ganti nama "nya" boleh diterima, tetapi tidak digalakkan. Jalan paling selamat ialah mengekalkan perkataan yang diuji seadanya.


8.   Selain perkataan, tugasan membina ayat berdasarkan frasa yang diuji juga membawa prinsip yang sama.Ayat yang dibina akan menjadi mantap andainya frasa yang diuji tidaklah dengan mudahnya ditukarkan dengan frasa lain tanpa perlu mengubah bahagian lain.


9.   Contoh:

      -   Konsep jati diri sesuai diterapkan di sekolah.

      -   Pemupukan jati diri mengukuhkan semangat cintakan negara.


10.   Ayat pertama tidak mantap justeru frasa yang diuji dengan mudah boleh ditukar dengan frasa lain tanpa mengusik perkataan-perkataan lain dalam ayat yang dibina. Anda cubalah sendiri.


11.   Ayat kedua lebih mantap kerana frasa yang diuji dikaitkan dengan implikasinya.


12.   Pecahan (b) biasanya menguji aspek sintaksis (binaan ayat) secara khusus. Bidang sintaksis ini cukup luas, namun tumpuan boleh diberi kepada klasifikasi frasa dan ayat, bentuk ayat (tunggal, majmuk), jenis ayat (aktif, pasif), susunan ayat (biasa, songsang), dan cakap ajuk cakap pindah.


13.   Pecahan 3 (e) iaitu soalan peribahasa didapati paling sukar bagi pelajar. Namun, tidak salah untuk mencuba daripada membiarkannya tanpa jawapan. Menjelang SPM, anda boleh membuat permainan peribahasa supaya pembelajarannya lebih ringan dan santai. Sesekali lagukan sahaja. Selamat mencuba!


14.    Pendek kata, dalam bahagian tatabahasa perkara yang perlu dipentingkan ialah mematuhi tugasan soalan. Bab-bab bahasa canggih jadikan perkara kedua.

Sekian, selamat maju jaya...



 

BAHAGIAN PEMAHAMAN; MENGENAL PASTI FOKUS TUGASAN SOALAN (QUESTION 2: IDENTIFY THE MOST POWERFUL WORD)

Berdasarkan penulisan jawapan percubaan SPM negeri Perak pelajar SMK St Michael, Ipoh, didapati bahawa langkah yang sewajarnya dalam merancang isi dan huraian jawapan (jika perlu) tidak begitu diambil berat. Kebanyakan jawapan didapati lebih cenderung kepada "cuba nasib" atau menulis dengan panjang lebar dengan harapan supaya ada antara jawapan yang ditulis akan mengena! Walaupun keadaan demikian lebih baik daripada tidak menjawab langsung, namun teknik cuba jaya (trial and error) biasanya terdedah kepada ketidakpastian.


2.  Semua soalan pemahaman merujuk kepada petikan yang diuji:

      a)  petikan umum  (petikan rumusan)

      b)  petikan prosa moden  (cerpen / drama)

      c)  petikan prosa klasik

      d)  petikan puisi  (moden / tradisional)


3.  Debaran menjelang SPM menyebabkan segelintir calon sibuk meneka-neka petikan yang diramalkan bakal keluar sebagai soalan SPM. Sebenarnya bukanlah terlalu penting petikan mana yang keluar, tetapi cara pelajar mempersembahkan jawapan. Semua urusan mempunyai disiplin, pendekatan dan tatacara yang tersendiri, tidak terkecuali pemahaman BM2.


4.   Apakah perkataan yang paling penting sebagai fokus tugasan soalan untuk contoh ini:

      Mengapakah perkhidmatan bomoh masih diterima pada zaman moden ini?"


5.   Adakah anda mengatakan:

      -   bomoh?

      -   zaman moden?

      -   perkhidmatan?


6.   Jika anda memilih bomoh, jawapan anda mungkin sekali berkaitan dengan sikap dan penampilan batang tubuh bomoh itu sendiri.  Jika anda memilih zaman moden, anda mungkin menulis dengan sikap masyarakat zaman moden. Sebaliknya, jika anda memilih perkhidmatan, anda akan menulis tentang ciri perkhidmatan yang menyebabkannya masih diterima.


7.   Hanya satu daripada pilihan di atas membawa jawapan yang betul, manakala dua yang lain mengakibatkan jawapan yang menyeleweng.  Pilihan yang tepat ialah... pilihan ketiga.


8.   Maka, apabila membaca soalan, langkah di bawah disarankan kepada pelajar

      -   tentukan aras soalan: petikan, kbkk, komsas

      -   kenal pasti fokus tugasan soalan: perkataan paling penting dalam ayat soalan

      -   tanda kata tugas soalan.


9.   Merujuk soalan percubaan Perak, aras soalan petikan termasuk:

      2a (ii), 2b (i), 2c (ii)

     
.

Tuesday, September 29, 2009

MENJELANG SPM: PERSEDIAAN BM2 BAHAGIAN NOVEL (BAHASA MELAYU SPM: THE WRITING OF NOVEL ANSWER)

Lembu pedati dari seberang
Masuk gelanggang hendak berlaga
Buah hati kekasih orang
Hajat hati menumpang manja


Demikian antara lirik lagu klasik asli "Siti Payung". Budaya Melayu dahulu kala memang penuh dengan kiasan, sindiran dan unsur kecindan. Selain bahagian rumusan dan petikan umum, kebanyakan soalan kertas 2 sangat berkaitan dengan budaya berkenaan.

2. Soalan 4 kertas 2 menghendaki calon menjawab dua pecahan soalan tentang novel berdasarkan zon masing-masing. Calon negeri Perak Darul Ridzuan ditetapkan dengan novel "Perlumbaan Kedua" dan "Julia."

3. Soalan Percubaan 2009 berbunyi:

(a) Kebijaksanaan menyelesaikan masalah merupakan salah satu persoalan yang
sering dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel.

Jelaskan dua persoalan kebijaksanaan dalam sebuah novel yang anda
pelajari. [7 markah]

(b) Huraikan dua latar masa bagi dua buah novel yang telah anda kaji.
[8 markah]


4. Pecahan (a) ialah aras soalan KBKK, manakala (b) aras soalan komsas.


5. Berdasarkan skrip jawapan pelajar, didapati penguasaan terhadap cara
mengorganisasikan idea masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki.


6. Pelajar cenderung untuk mencampuradukkan isi dengan huraian. Maksudnya,
pelajar belum memiliki kemahiran generalisasi idea. Dalam kata lain, kaedah
deduktif mungkin sekali asing kepada pelajar.


7. Ambil contoh pecahan (a). Pelajar perlu menyatakan terlebih dahulu isi atau
idea umum sebelum diiringi dengan huraian peristiwa daripada novel. Isi yang
dikemukakan mestilah dibataskan kepada tugasan soalan, iaitu "kebijaksanaan..."
yang cuba dipaparkan oleh pengarang.

8. Isi untuk "Perlumbaan Kedua" sebagai contoh:

- Kebijaksanaan menyelesaikan masalah kekurangan fizikal

- Kebijaksanaan mengelirukan musuh


9. Isi untuk "Julia", anatara lain:

- Kebijaksanaan menyelesaikan masalah keluarga

- Kebijaksanaan menyelesaikan masalah perniagaan

- Kebijaksanaan menyelesaikan masalah percintaan


10 Isi biarkan umum sahaja tanpa watak, tempat atau peristiwa yang khusus.
Sebaik-baiknya penyataan isi dibuat dalam ayat yang tersendiri.


10. Huraian isi hendaklah ditulis secara ringkas dengan memasukkan watak yang
berkenaan, perlakuan dalam peristiwa yang menyokong isi yang dikemukakan.


11. Contoh: Novel yang saya pelajari ialah Julia. Persoalan kebijaksanaan
menyelesaikan masalah perniagaan dikemukakan oleh pengarang. Julia telah
berjaya menghadapi muslihat Encik Baharom yang berniat menjual BMPRO Transport
kepada Dato' Khor. Soalan-solan Julia menyebabkan Encik Baharom terkedu.



12. Tidak mengapa untuk menulis tiga isi + huraian untuk pecahan (a).


13. Sama seperti pecahan (a), jawapan bagi pecahan (b) juga menggunakan kaedah yang
serupa. Nyatakan isi tentang latar masa secara umum dahulu. Kemudian, baharulah
diiringi dengan huraian contoh daripada peristiwa dalam novel.


14. Contoh isi "Perlumbaan Kedua"

- pagi

- malam

- 198 yang lalu


15. Contoh isi "Julia":

- zaman kegawatan ekonomi

- musim jerebu

- selepas solat Subuh


16. Contoh: Novel "Perlumbaan Kedua" memaparkan latar masa pagi. Buktinya, ketika
Sang Arnab Putih sedang melompat-lompat dan menghambur ke sana sini pada pagi
yang indah, tiba-tiba muncul Sang Kancil yang mengungkit kisah kekalahan moyang
kaum arnab kepada keturunan kura-kura. Pagi yang dingin menjadi "panas" di hati
Sang Arnab Putih.


17. Pelajar bolehlah mengemukakan tiga atau empat isi, berserta huraian yang
ringkas. Tidak perlu meleret-leret atau berpanjang lebar. Disarankan setiap isi
ditulis dalam perenggan yang berasingan.


18. Bincangkan dengan guru bahasa anda tentang cara menjawab soalan perbandingan:
persamaan dan perbezaan.


19. Buatlah koleksi empat hingga lima peristiwa bagi setiap novel. Jumlah itu
dikira memadai untuk dipadankan dengan mana-mana isi dan mana-mana tugasan
soalan.

20. Akhir sekali, perlu diingat bahawa penulisan jawapan novel hendaklah dalam ayat
lengkap, ejaan penuh dan menunjukkan kesinambungan idea. Jauhi bentuk poin atau jadual.
Tidaklah perlu sama sekali menghitung dan mencatat jumlah perkataan!



Sekian, selamat maju jaya...

Monday, September 28, 2009

MENJELANG SPM: MENJAWAB RUMUSAN BM2 (SPM BAHASA MELAYU 2: PLAN YOUR WORK, WORK YOUR PLAN)

1.  Kertas 2 Bahasa Melayu SPM memperuntukkan 110 markah, berbanding dengan kertas 1 yang memperuntukkan 130 markah, dan ujian lisan 40 markah.


2.  Soalan 1 ialah soalan rumusan yang memperuntukkan 30 markah. Perkara yang paling penting ialah kefahaman calon tentang konsep dan prinsip rumusan untuk tujuan pembelajaran menengah atas. Calon juga harus akur akan segala dasar yang ditetapkan, serta mematuhi segala tugasan soalan.


3.  Empat komponen rumusan ialah pengenalan (P), isi tersurat (S), isi tersirat (T) dan kesimpulan (K). Bagi memudahkan penulisan, calon digalakkan menulis setiap satu komponen dalam perenggan yang berasingan. Sudah tentu komponen pengenalan dan kesimpulan hanya mengandungi satu ayat, manakala S dan T bergantung kepada keperluan.


4.  Bentuk soalan yang mantap bagi rumusan ialah berasaskan satu petikan rencana. Kebiasaannya rencana yang diuji ialah sepanjang 320 - 350 patah perkataan. Maka, seluruh kandungan rencana bolehlah dianggap sebagai tersurat. Namun, pemilihan S hendaklah berdasarkan keperluan tugasan soalan.


5.   Mari rujuk contoh kertas percubaan negeri Perak Darul Ridzuan. Tugasan soalan rumusan seperti di bawah:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pendermaan organ di negara kita dan halangan untuk menderma organ. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


6.  Tugasan soalan bermula daripada perkataan yang dicetak berhuruf tebal selepas tentang hingga noktah. Bahagian tugasan soalan sebelum dan ialah S, manakala selepas dan ialah T.


7.  Ayat pengenalan bertujuan memperkenalkan petikan yang diuji. Sesuai dengan konsep petikan sebagai tersurat, komponen pengenalan hanya mengambil kira bahagian tugasan soalan sebelum dan. Maka, paling minimum calon harus menukar kata tugas dalam tugasan S dengan perkataan yang setara.


8.  Kata tugas S, iaitu kepentingan bolehlah diubah kepada kebaikan, kelebihan, faedah dan manfaat sebagai contoh. Perkataan negara kita juga boleh diubah kepada Malaysia. Dengan demikian, ayat pengenalan boleh ditulis sebagai: Petikan membincangkan kebaikan pendermaan organ di Malaysia.


9.  Bagi mengawal jumlah perkataan, calon boleh terus mengiranya ayat demi ayat. Misalnya, ayat pengenalan di atas mengandungi sejumlah 6 patah perkataan. Calon boleh membuat catatan dengan pensel pada ruang luar garisan sebelah kiri.


10.  Seelok-eloknya pisahkan perenggan ayat pengenalan tadi dengan perenggan S selang sebaris. Bagi memulai ayat perenggan S bolehlah diambil semula kata tugas dalam tugasan soalan. Bunyinya akan lebih kurang: Antara kepentingan pendermaan organ di negara kita ialah ... (atau lebih ringkas: Antara kepentingannya ialah...) +  isi pertama S.


11.  Calon mesti selalu ingat bahawa S ialah seperti yang tercetak. Maka, tidak perlulah dibuat sebarang pengubahsuaian terhadap ayat atau sebahagian ayat daripada petikan. Calon cuma perlu mengambil isi pokok, dan menggugurkan huraian isi berkenaan.


12.  Isi pokok bermakna bahagian subjek dan predikat dalam sesuatu ayat sahaja. Segala kata dan frasa penerangan ialah huraian belaka. Bincangkan perkara ini dengan guru bahasa anda.


13.  Maksimum jumlah S ialah 6, namun calon boleh menulis lebih banyak asalkan kawalan jumlah perkataan terus dibuat. Katalah ayat pertama perenggan S ialah: Antara kepentingannya ialah dapat menghilangkan penderitaan yang ditanggung pesakit.  Jumlah perkataannya = 9. Maka, catatkan dengan pensel di margin kiri +9 = 15 (iaitu 6 + 9, sambung jumlah perkataan ayat pengenalan), dan buat catatan ini berterusan ayat demi ayat.


14. Jika calon berniat untuk menulis tambahan S kemudian, tinggalkan sebaris dua lagi sebelum memulakan perenggan T. Perenggan T boleh dimula dengan kata tugas selepas dan dalam ayat tugasan soalan. Contohnya: Halangan untuk menderma organ termasuklah...



15.  T ialah isi luar petikan. Namun, calon perlu mempunyai kemahiran generalisasi, atau kelompok idea. Biasanya calon boleh membahagikan kelompok idea T berdasarkan pihak yang mungkin menghalang.





16.  Sebagai contoh, pihaknya mungkin: calon penderma, keluarga calon penderma, masyarakat dan kerajaan. Calon penderma mungkin berasa takut dengan prosedur pembedahan, keluarga mungkin tidak memberi keizinan, dan masyarakat mungkin mempunyai kepercayaan negatif yang tertentu tentang derma organ. Jika calon berasa yakin dengan jumlah 6S, maka minimum calon mesti menulis 2T, lebih elok lebihkan satu.


17.  Ayat kesimpulan perlu ditulis dengan jelas dan mudah. Tidak payahlah calon hendak berbunga-bunga bahasa secara berlebihan. Cukuplah jika calon memulai ayat kesimpulan dengan: Kesimpulannya, ...


18.   Ayat kesimpulannya biasanya mengandungi dua elemen, iaitu cadangan dan kesan / harapan daripada cadangan itu. Sebaik-baiknya kesimpulan hendaklah dikaitkan semula dengan tugsan soalan. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak mesti menyokong pendermaan organ supaya pesakit akan terus mempunyai harapan hidup.


19.  Perkataan supaya menandakan pemisah elemen cadangan dengan harapan. Barang diingat bahawa kesimpulan tidak boleh diambil daripada mana-mana bahgian petikan atau S. Begitu juga jika telah ditulis dalam T, carilah idea yang lain!




20.  Akhir sekali catatlah jumlah perkataan rumusan yang telah dikira secara kawalan ayat demi ayat seperti yang disyorkan sebelum ini. Selamat merancang jawapan rumusan dan selamat maju jaya!





Friday, September 25, 2009

KEUNGGULAN PERIBADI DALAM MENJANA MODAL INSAN (TAPPING SOFT SKILLS IN THE HUMAN CAPITAL FORMATION)





Tugas utama pendidikan ialah supaya murid sekolah dapat mengembangkan potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka ke tahap optimum. Dalam kata lain, bakat yang nyata dan tersembunyi digilap dengan sebaik mungkin agar generasi muda menikmati kehidupan yang lebih baik, lebih sejahtera dan lebih berjaya. Maka, elemen pengetahuan, kemahiran dan sikap mesti diberi perhatian yang sewajarnya.












Suatu ketika dahulu budak pandai umpama pusat sumber bergerak atau buku yang hidup. Kepandaian seseorang murid dikaitkan dengan kebolehannya mengingati sejumlah fakta yang sedia untuk diluahkan semula secara spontan. Murid berkenaan juga mungkin sekali bergelar “ulat buku” dan selalunya dapat mempertahankan kedudukan yang terbaik dalam setiap kali peperiksaan di sekolah.








Demikian juga keadaannya di alam pekerjaan. Kepintaran individu begitu diutamakan. Bagi jawatan tertentu ujian saringan IQ diwajibkan kepada pemohon.

Kemajuan teknologi telah merombak skrip kehidupan manusia secara besar-besaran, drastik dan penuh dengan kejutan. Kepintaran individu tidak lagi menjadi batu loncatan utama pencapaian seseorang. Sebaliknya, kepintaran individu hanya akan berguna jika dapat membantu seseorang itu menyesuaikan dirinya dengan persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan.

Salah satu ciri penting era nano dan komunikasi maya ialah pengekalan daya saing menerusi kepintaran kumpulan. Goleman, dalam bukunya Emotional Intelligence menganggarkan bahawa kepentingan genius individu hanya tinggal 15 peratus berbanding dengan 80 peratus sepuluh tahun yang lalu. Hal ini bukan bermakna bahawa kepintaran individu sudah tidak perlu, tetapi memandangkan hakikat bahawa hayat sesuatu fakta semakin pendek, suatu gabungan kepintaran yang lebih besar mesti digembleng.



bersambung

Thursday, September 24, 2009

KEPIMPINAN PENGETUA SEKOLAH YANG BERKESAN (SCHOOL LEADERSHIP MAKE SENSE)



Orangnya bijak laksana. Berpenampilan kemas dan segak. Percakapannya sederhana, mesejnya jelas dan disulami unsur kecindan. Tidak lokek berkongsi pengalaman profesional. Berpegang kepada prinsip bertenang dalam segala tindakan.


Tuan Haji Nojumuddin bin Abdul Samad merupakan antara siswazah terawal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ketika itu beroperasi di kampus sementara bersebelahan Universiti Malaya (UM), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Beliau mendapat pelbagai tawaran jawatan justeru pencapaian cemerlang (2nd class upper) dalam bidang Psikologi. Antara rakan seangkatan beliau ialah Tan Sri Dr Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Haji Alimuddin Md Dom juga siswazah dalam bidang dan dari universiti yang sama pada suku ketiga 1970-an.

Berasal dari Selangor tetapi bertapak kukuh dalam kerjaya keguruan di Johor. Kini, Tuan Haji Nojumuddin ialah pengetua di Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor, Kluang. Beliau berstatus Jusa C, iaitu gred perjawatan tertinggi yang boleh disandang di peringkat sekolah. Bilangannya di seluruh Negara masih boleh dikira dengan jari sahaja!



Sebagai pengetua cemerlang, Tuan Haji Nojumuddin telah mendapat pendedahan langsung tentang kepimpinan pengetua di dalam dan di luar negara. Kewibawaan beliau terserlah apabila berjaya mengemudi SMS Johor berada pada kedudukan ketiga sekolah berasrama penuh (SBP) peringkat kebangsaan secara berturut-turut tahun. Warga SMS Johor ditanamkan sikap menghormati SBP yang lebih ternama seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Tunku Kursiah, Sekolah Tun Fatimah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Alam Shah, namun dalam masa yang sama sedia bersaing dengan mereka.




Dengan kepakaran psikologi, Tuan Haji Nojumuddin tidak perlu banyak bercakap bagi memotivasikan warga SMS Johor, sama ada guru, kakitangan mahupun murid. Beliau mengaplikasikan konsep dorongan kendiri dalam kalangan warga SMS Johor demi kemajuan sekolah. Beliau tidak perlu meninggikan suara ketika mengendalikan kes disiplin murid dan hal-ehwal kerja, sebaliknya menolong klien dan subordinat beliau menerokai hujung pangkal kes mereka sendiri sehingga akur akan jalan keluarnya.






Tuan Haji Nojumuddin memandu BMW dan Mercedes, di samping kereta rasmi penyandang Jusa C, iaitu Perdana V6. Beliau bukan hendak bermegah, tetapi memandangkan jarak kediaman di Muar dengan SMS Johor kira-kira 150 kilometer, beliau harus bergerak seawal pukul 4.00 pagi dan tiba di sekolah selewat-lewatnya 6.30 pagi. Beliau sanggup berulang-alik begitu jauh sebagai suatu pengorbanan untuk keluarga yang tersayang.

Tuan Haji Nojumuddin juga akan memastikan segala urusan yang berkaitan pentadbiran sekolah dan asrama dibereskan tanpa tergesa-gesa untuk bergegas pulang.Tugas rasmi dan mesyuarat di luar Johor juga memerlukan kenderaan yang baik, selesa dan tidak mudah meragam. Jadi jika ada mana-mana warga SMS Johor cuba memberi alasan lewat tiba di sekolah, mereka perlu berfikir dua tiga kali!

Sumbangan Tuan Haji Nojumuddin di peringkat negeri dan kebangsaan terlalu panjang senarainya. Di Johor, beliau antara teraju utama projek BOS (Blue Ocean Strategy). Projek BOS memperincikan langkah inovatif dan kreatif bagi menjamin kecemerlangan pembelajaran yang berterusan di sekolah merangkumi kepimpinan sekolah, guru, kakitangan, murid dan ibu bapa. Semua sekolah diberikan pengkhususan strategi berdasarkan kumpulan Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing.

Tuan Haji Nojumuddin yang bakal bersara pada penghujung 2010 berazam untuk terus menabur bakti selagi berdaya. Pesanan beliau kepada guru-guru muda tidak pernah lekang daripada menyebut contoh Junjungan Baginda Salallahu Alaihi Wasallam yang mendambakan keseluruhan hidup untuk risalah tawhid dan kelangsungan ummah. Bidang pendidikan menyediakan peluang terbaik untuk membina sebuah masyarakat idaman, masyarakat budiman dan masyarakat penyayang.

Sepanjang mengenali Tuan Haji Nojumuddin, penulis blog berpendapat bahawa pengalaman beliau sebagai pendidik dan pemimpin sekolah bagaikan manikam yang amat tinggi mutunya. Usaha menulis memoir pemimpin pendidikan seperti Tuan Haji Nojumuddin akan menjadi naskhah dan khazanah rujukan kepimpinan sekolah yang amat berharga. Selamat meneruskan perjuangan Tuan Haji Nojumuddin bin Abdul Samad…

Tuesday, September 22, 2009

RUMAH TERBUKA MENGERATKAN SILATURRAHMI (OPEN HOUSE AND THE CARING SOCIETY)

Konsep rumah terbuka sempena sesuatu perayaan telah diterima baik di seluruh dunia. Walaupun disebut “terbuka”, hakikatnya hanya tetamu terpilih dijemput hadir atas sebab keselamatan, kewangan dan lojistik. Penulis blog berkesempatan memenuhi undangan majlis rumah terbuka Eidul Fitri keluarga seorang pemilik dan CEO Vivid Sdn. Bhd. yang terbabit dengan industri gas dan petroleum.





Tuan rumah berkenaan ialah seorang usahawan wanita yang berjaya dan disegani. Bermula sebagai seorang pekerja biasa, beliau berhasil mendaki tangga kejayaan setelah menempuh pelbagai onak duri dunia perniagaan yang menjadi dominasi kaum lelaki. Beliau telah menjelajah ke serata pelosok dunia menyertai rombongan pelaburan kerajaan dan swasta.




 





Tetamu jemputan terdiri daripada kaum keluarga, sahabat handai, rakan niaga, jiran dan kakitangan syarikat. Majlis rumah terbuka keluarga itu turut diserikan dengan persembahan sepasang penghibur OKU. Pelbagai genre lagu didendangkan termasuk irama asli, pop, dang dut, Hindustan, Arab dan nasyid. Muzik latarnya ialah iringan keyboard dan MP3.





Aneka juadah disediakan. Hadirin boleh memilih nasi dagang, nasi minyak, nasi beriyani, laksa, mi, mihun, cucur udang, ketupat, lemang dan kuih-muih. Maka, layanlah diri sendiri asal jangan tumbang!



Sepuluh minit menjelang azan Asar, persembahan nyanyian direhatkan. Rumah berkenaan bersebelahan masjid. Walaupun  dalam suasana gembira dan dengan pakaian berwarna-warni, kewajipan ibadat solat sama sekali tidak boleh diabaikan.





Rumah Terbuka Yang Tertutup?

Di kampung, pintu rumah memang sentiasa terbuka untuk menerima tetamu berkunjung sempena hari raya. Tiada hari dan tiada majlis khusus yang ditetapkan sebagai hari terbuka. Namun, di bandar keadaan sedemikian hampir bertaraf mustahil.

Faktor keselamatan anggota keluarga dan harta benda tuan rumah tidak boleh dipertaruhkan. Sedangkan rumah tertutup pun dimasuki! Maka, kawalan dan pengehadan jumlah tetamu rumah terbuka di bandar ialah langkah meminimumkan risiko pencerobohan dan rompakan. Penjenayah memang licik mengabui mata tuan rumah dan jemputan dengan taktik penyamaran yang sangat mengelirukan.

Satu senarai pendek jemputan rumah terbuka mesti disediakan supaya kawalan jumlah perbelanjaan dapat dilakukan. Hal itu bukanlah bermakna tuan rumah bandar terlalu berkira, bakhil dan kedekut tidak bertempat. Majlis rumah terbuka bukan bertujuan untuk bermegah-megah, membazir dan terbeban dengan hutang piutang. Juadah ala kadar sepatutnya sudah memadai.

Biasanya jemputan akan dibuat secara blok masa yang berasingan. Misalnya rakan si ayah dijemput untuk jam yang pertama, rakan si ibu jam yang kedua, rakan anak lelaki jam ketiga dan rakan anak perempuan jam keempat. Jadual itu boleh diubah suai bagi mengelakkan diskriminasi dan rasa tidak puas hati. Jika tetamu tiba secara serentak, masalah lojistik sukar dielakkan. Selain itu, dikhuatiri ada hadirin yang berkecil hati justeru tuan rumah yang tidak menang tangan gagal memberi perhatian.

Tetamu dan hadirin yang beretika memahami kesibukan dan kepenatan tuan rumah. Mereka patut berinteraksi dengan tetamu yang lain tanpa menyusahkan tuan rumah. Tetamu berdoa untuk keberkatan rezeki tuan rumah dan berazam untuk beredar tanpa gosip dan umpatan terhadap sebarang kekurangan majlis yang dihadiri.

Tuan rumah yang berkemampuan akan mengupah pengusaha katering melakukan segala persediaan majlis dan pengurusan tetamu. Tuan rumah bolehlah berpangku tangan sambil berbual-bual dengan sekalian yang hadir. Sambil-sambil itu, kemungkinan peluang perniagaan bolehlah diselitkan.

Budaya menjemput tetamu yang berada dan kaya, serta golongan selebriti bukan tidak boleh dilakukan. Tetapi, alangkah afdalnya jika sesuatu majlis rumah terbuka yang dianjurkan turut meraikan golongan kurang beruntung seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, OKU dan warga tua yang sebatang kara. Dengan demikian, baharulah majlis rumah terbuka benar-benar menjurus kepada konsep masyarakat penyayang…




Monday, September 21, 2009

JANJI DIIKAT SUDAH, CABARAN ALAM PERTUNANGAN BERMULA (THE TESTS OF PREWEDDING PERIOD)



Pernikahan ialah suatu ikatan suci atas kalimah Ilahi. Mahligai rumah tangga yang dibina ialah suatu kontrak antara sepasang insan dua sejoli untuk menempuh suka duka dan susah senang bersama-sama hingga meniti usia. Namun, institusi perkahwinan juga ibarat proses mencantumkan sejumlah perbezaan, dan diserasikan dengan kompromi, tolak ansur dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Dalam budaya Melayu, sebelum memeterai ikatan perkahwinan, proses merisik dan meminang biasanya dilaksanakan terlebih dahulu. Tujuan merisik ialah bagi mendapatkan kepastian tentang kesudian keluarga sebelah perempuan menerima rombongan meminang dan bahawa bunga yang hendak disunting masih tiada yang empunya.

Pada zaman dahulu, rombongan meminang boleh datang secara mengejut sepertimana yang dipaparkan dalam filem lama. Kini, segala-galanya diatur dengan tertib dan menerusi persetujuan kedua-dua pihak. Majlis meminang sudah menjurus kepada formaliti bagi mendapatkan kata putus rasmi dan jumlah belanja perkahwinan.






Friday, September 18, 2009

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG (HAPPY RAYA DAY TO ALL FRIENDS AND VISITORS OF THIS BLOG)

1 Syawal 1430 / 20 September 2009


Dari jauh terlihat cahaya
Hujung kampung Changkat Tin
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir dan Batin


Petai sayur peria ubi
Karipap beka bihun bertimbun
Andai terlanjur terasa di hati
Maaf dipinta mohon diampun


Mari masak kuah bersantan
Buat penyedap ikan tenggiri
Ucapan dikirim tanda ingatan
Blog sebagai pengganti diri




Wednesday, September 16, 2009

HARI PEMBENTUKAN MALAYSIA: KEMASUKAN SABAH, SARAWAK; PERPISAHAN SINGAPURA (THE FORMATION OF MALAYSIA 1963, SEPTEMBER 16: THE MAGNIFICIENT LAND OF BORNEO)

The territories of Borneo which constitute East Malaysia were once part of Brunei Sultanate. On the other hand, Singapore was once part of Johore Sultanate. In fact, some pieces of land in Singapore are still under the ownership of the majesty.

Sejarah telah merakamkan perubahan entiti geopolitik dan sempadan kedaulatan sesebuah negara. Namun, masih banyak pertikaian tentang sempadan antara negara berjiran di Asia Tenggara yang masih berjaya ditangani secara rundingan politik tertinggi atas semangat setia kawan ASEAN. Kuasa luar seperti China turut terlibat dalam perebutan  dan tuntutan bertindih Kepulauan Spartly (Terumbu Layang-layang) berhampiran perairan Sabah, tetapi tiada ketumbukan tentera dikerahkan untuk tujuan yang bersifat agresif.

bersambung...

Tuesday, September 15, 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA PERSATUAN PENGETUA KINTA UTARA (FASTING MONTH: SPECIAL FUNCTION OF NORTHEN KINTA PRINCIPALS ASSOCIATION)

Ipoh, 15 ogos 2009 / 25 Ramadan 1430

Bertempat di SMK Rapat Setia, Ipoh berlangsung majlis yang menghimpunkan sejumlah wakil guru daerah Kinta Utara sebagai memenuhi  jemputan Persatuan Kebangsaan Persidangan Pengetua Malaysia (Cawangan Kinta Utara) yang dipengerusikan oleh SMK Anderson. Penulis blog turut hadir sebagai wakil SMK St Michael, Ipoh. Majlis bermula seawal 6.45 petang. Pengetua dan guru bukan Islam juga hadir sebagai tanda muhibah.
 
Sebaik azan dialunkan, sekalian yang hadir menjamah juadah tamar dan kuih-muih, serta meneguk air teh "O" dan "Ribena". Hadirin seterusnya menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati hidangan berat. Majlis diteruskan dengan solat Isya' dan tarawih.

Usai solat witir, satu tazkirah ringkas diadakan. Penceramah mengajak hadirin mengisi hari-hari terakhir Ramadan yang berbaki 4 hari lagi supaya mempertingkat amal ibadah. Beliau turut menegaskan supaya amalan soleh usah ditangguhkan justeru tiada siapa pun yang tahu  kemungkinan yang bakal berlaku. Tazkirah diakhiri dengan bacaan doa, khusus memohon ke Hadrat Ilahi mudah-mudahan dipanjangkan umur  dan dimurahkan rezeki agar berkesempatan menemui Ramadan 1431 Hijriyyah. Insya-Allah.


Majlis berakhir pukul 10.00 malam. Sekalung tahniah kepada penganjur dan juga warga SMK Rapat Setia yang membuat segala persiapan dan sudi menerima tetamu PKPSM (KInta Utara).  Mudah-mudahan usaha kalian dikira sebagai amalan soleh di sisi-Nya. Insya-Allah.


Surau sekolah kelihatan diurus dengan baik. Namun kepada para dermawan, pihak surau SMK Rapat Setia mengalu-alukan sumbangan untuk projek-projek yang dirancangkan. Terima kasih.

Monday, September 14, 2009

SAMBUTAN AIDIL FITRI: MENGAPA HARUS MELANKOLIK? (FESTIVE CELEBRATION: THE MODE OF JOY)

Cara umat Islam di Malaysia dan Asia Tenggara menyambut hari raya puasa dikatakan agak berbeza daripada yang sepatutnya. Hari yang sepatutnya diraikan sebagai kemenangan justeru lulus madrasah Ramadan digantikan dengan kesayuan dan runtunan perasaan. Kampung halaman dan pusara menjadi tumpuan para perantau dekat dan jauh.

Alunan seperti "Dendang Perantau" , "Nazam Lebaran", "Pulanglah", "Dari Jauh Kupohon Maaf" dan "Satu Hari Di Hari Raya"  kedengaran di sana sini. Kebanyakannya berirama mendayu-dayu. Percubaan mengetengahkan karya baharu tidak segak untuk menandingi lagu-lagu bertaraf malar hijau (evergreen) itu.

Seterusnya gema takbir hari raya di rantau Nusantara termasuk Malaysia disifatkan terlalu melankolik. Pak-pak Arab yang mendengar berasa hairan kerana takbir versi timur tengah tidak demikian nadanya. Takbir raya yang asalnya meraikan kemenangan di medan Badar dengan penuh semangat berkobar-kobar sudah bertukar kepada elemen hiba dan pilu!

Kegembiraan menyambut hari lebaran lebih dirasai oleh kanak-kanak dan remaja. Mereka berpakaian baharu berwarna-warni dan hari raya seolah-olah musim memperoleh duit dalam jumlah yang boleh tahan banyaknya. Makan-makan jadi bab yang kedua.

Fakir miskin, anak yatim, golongan kelainan upaya (OKU), ibu tunggal  dan warga tua yang sebatang kara tidak dilupakan. Agihan zakat fitrah, hadiah dan sedekah mengubat hati nan lara, walaupun berkemungkinan besar untuk tempoh yang singkat sahaja. Usai musim raya, mereka kembali ke garis asal:  sepi dan tidak diumpamakan lagi.

Keadaan masih belum banyak berubah. Ramadan dan Syawal sekadar rutin tahunan. Cuti dan penuh dengan jadual rumah terbuka. Tawaran pakej katering dan majlis di hotel serta restauran besar tidak terkecuali. Segala-galanya sudah diberi sentuhan perniagaan.

Biarlah... melankolik, mendayu, sayu atau berniaga. Perkara yang lebih utama ialah perubahan kualiti hidup kita. Adakah kita sudah menjadi insan yang lebih baik sesudah lulus ujian Ramadan dan Syawal? Insan yang bersyukur, berihsan dan istiqamah.

Adakah masyarakat kita juga mengalami transformasi yang hebat? Institusi keluarga, jalinan persaudaraan dan semangat kejiranan lebih kukuh. Nasib golongan yang kurang beruntung menerima pembelaan yang berterusan.

Sesekali ada baiknya kita merenung kembali falsafah sambutan hari raya puasa supaya termasuk dalam amal ibadah yang diredhai-Nya jua. Sesibuk mana pun kita, hendaknya hari raya kali ini menjadikan kita insan yang lebih baik dan berguna.  Hendaknya... Insya-Allah.

Friday, September 11, 2009

TARIAN PENDET: TOLAK ANSUR SESAMA TETANGGA (PENDET DANCE: NEVER SPOIL THE RELATIONSHIPS)

Isu tarian pendet yang bermula daripada siaran Discovery Channel tentang pelancongan di Malaysia masih belum reda. Walaupun kesilapan itu dilakukan oleh stesen televisyen berkenaan dan permohonan maaf telah dibuat, namun isu itu telah pun bertukar kepada bentuk ancaman balas dendam terhadap saudara serumpun dan saudara se-Islam pada bulan Ramadan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Nampaknya jarum-jarum halus yang berbisa telah berjaya meracun emosi segelintir insan yang tergamak melampiaskan amarah terhadap keselamatan dan nyawa orang lain yang tiada kena-mengena.

Tindakan membuat sekatan jalan, membawa buluh runcing dan sebarang bentuk provokasi yang lain bukan sahaja suatu percubaan meletakkan undang-undang di tangan sendiri, bahkan menjadi gambaran betapa tipisnya semangat berbaik sangka yang menjadi kebanggaan Nusantara. Dalam jangka panjang, sikap seumpama itu boleh menjejaskan persefahaman politik, ekonomi dan sosial yang telah lama terjalin. Perkara yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa akan ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh!

Walaupun sesekali berlaku perbezaan pendapat dan konflik, Malaysia dan Indonesia tetap memerlukan antara satu dengan lain. Perkongsian bahasa, budaya, adat resam dan nilai tidak bisa diputuskan begitu sahaja. Apatah lagi dari segi ekonomi dan perniagaan.

Kita patut cemburu dengan Eropah yang sanggup melonggarkan peraturan imigresen supaya pergerakan antara rakyat negara yang berlainan begitu mudah. Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menyedari bahawa jika mereka tidak bersatu, tiap-tiap sebuah negara hanyalah berupa sebuah entiti geopolitik dan wilayah yang bersaiz kecil. Sedangkan negara-negara Asia seperti China, India, Indonesia dan Filipina ibarat gergasi ekonomi yang masih belum bangun daripada tidur yang panjang!

Sebenarnya sebuah Asia yang bersepakat akan mencemaskan dunia Barat, khususnya Eropah yang berharap penguasaan ekonomi mereka boleh dipertahankan. Kira-kira separuh penduduk dunia mendiami Asia. Maka, apabila kuasa beli penduduk Asia dapat dilonjakkan, pasaran dalaman Asia akan menjadi lebih kukuh. Kuasa tawar-menawar Asia dengan Eropah dan Amerika Utara menjadi lebih kuat.

Berbalik kepada hubungan Malaysia - Indonesia. Pergerakan sumber antara dua negara tetangga ini saling menguntungkan. Jumlah penduduk Malaysia ialah 27 juta jiwa, sedangkan Indonesia melebihi 200 juta jiwa. Hasil bumi kedua-dua buah negara juga masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

Sebahagian rakyat Malaysia cenderung untuk memilih Medan, Jakarta, Puncak Bandung dan Bali sebagai destinasi percutian. Kadar pertukaran rupiah yang masih rendah menjadi tarikan utama. Selain itu, cita rasa terhadap makanan dan fesyen juga tidak begitu jauh berbeza.

Dengan saiz penduduk yang besar, khususnya di pulau Jawa, tidak hairanlah bahawa bilangan rakyat Indonesia yang merantau ke seantero dunia besar jumlahnya. Di Malaysia sahaja dianggarkan hampir dua juta warga Indonesia datang untuk mencari rezeki, meneroka peluang niaga, dan menyambung pengajian. Malah, bilangan yang berkahwin dengan rakyat tempatan juga tidak kecil jumlahnya.

Kelebihan Indonesia ialah dari segi saiz geografi dan pasaran domestiknya. Selain Jawa, wilayah kepulauan yang lain masih berkepadatan rendah dari segi jumlah penduduk. Wilayah Kalimantan dan Irian Jaya (yang berjiran dengan Australia dan Papua New Guinea) misalnya hanya menunggu masa untuk menjadi kaya raya dengan sumber petroleum dan emas yang kini dikatakan belum cukup matang untuk proses cari gali.

Andainya proses transmigrasi penduduk antara wilayah dan penggemblengan sumber di Indonesia berhasil, negara kepulauan dan perairan raksasa itu  bakal menjadi kuasa ekonomi yang perkasa. Pada ketika itu kuasa beli rakyat Indonesia akan melonjak dan pasaran domestiknya bertambah kukuh. Malaysia ialah antara negara tetangga yang akan mendapat limpahan kekayaan itu.

Hubungan Malaysia - Indonesia sedang diuji buat kesekian kalinya. Marilah kita berdoa agar isu tarian pendet akan segera berakhir. Seribu orang sahabat masih terlalu sedikit, sedangkan seorang musuh sudah terlalu ramai.

Wednesday, September 9, 2009

BAZAR RAMADAN DI DUA TAMAN CEMPAKA (SAME NAME, DIFFERENT LOCATION, DIFFERENT FOOD)

Cempaka ialah sejenis bunga 
Yang harum mewangi. Justeru kemasyhurannya, cempaka menjadi nama pilihan bagi 
banyak taman perumahan di serata Semenanjung Malaysia.

Catatan ringkas ini bakal memaparkan dua "Taman Cempaka" yang ada persamaan, dan ada juga perbezaan.
Taman Cempaka yang pertama terletak di negeri tengah pantai timur. Lebih spesifik, lokasinya di kawasan bandar kedua terbesar di negeri berkenaan. Kebanyakan rumah di taman berkenaan ialah jenis teres setingkat.

Taman Cempaka yang kedua sudah bertaraf sebuah pekan dan pusat perniagaan yang agak sibuk juga. Kedudukan dan namanya lebih popular justeru berjiran dengan sebuah politeknik tertua di Malaysia, sekolah-sekolah berasrama, sebuah stesen radio dan dahulu berjiran juga dengan sebuah maktab perguruan. Pada ketika banyak ruang pejabat dan rumah kedai di taman-taman lain sukar mendapatkan penyewa, di taman ini keadaan sebaliknya berlaku.

Sudah letih hendak meneka dan berteka-teki? Baiklah, Taman Cempaka yang pertama terletak di bandar Dungun, Terengganu. Taman Cempaka yang kedua terletak di bandaraya Ipoh. Persamaan yang hendak ditonjolkan kali ini ialah suasana bazar Ramadan yang menarik bilangan pembeli yang ramai.

Taman Cempaka, Dungun mempunyai profil pembeli lebih berusia berbanding dengan Taman Cempaka, Ipoh yang menjadi tumpuan murid sekolah dan pelajar politeknik.

Selain itu, jenis juadah yang dialek ditawarkan juga berbeza. Bahasa "pasar", dialek dan slanga yang dituturkan turut berbeza.

Dungun terkenal dengan keropok lekor, otak-otak, sata, rojak mi, taming sari, nasi kukus ayam berempah, nasi bukhari, pulut panggang, dan air nira. Di Ipoh, juadah yang mendapat sambutan ialah nasi ayam, cucur udang, ayam percik, kuetiau Ipoh, vade, martabak, mi sup dan cendol pulut.

Nama juadah mungkin sama, tetapi resepi dan cara masaknya berbeza. Mi rebus juga ada di Dungun, tetapi serupa dengan mi sup di Ipoh. Menu pantai timur juga dijual di Ipoh, tetapi kualiti dan kesedapannya jauh berbeza!

Tuesday, September 8, 2009

WAJAH BAHARU TEMPAT LETAK KERETA GURU DI SMK ST MICHAEL, IPOH (THE NEW PARKING LOT DESIGN FOR TEACHERS)

Ipoh, Rabu: 9.9.09 / 19 Ramadan 1430

Elemen keselamatan dan penyenggaraan ialah dua perkara yang diutamakan oleh pemilik kenderaan persendirian. Kalau boleh, kereta yang dimiliki dapat mengekalkan cat metaliknya selama mungkin, selain bebas daripada sebarang garis dan calar. Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), kereta guru diletakkan di sebuah kawasan yang agak luas dan diteduhi pohon-pohon merendang.

Guru SMI dikira bertuah justeru mendapat kemudahan meletak kenderaan yang memenuhi ciri keselamatan dan penyenggaraan yang baik. Masih terdapat sekolah yang hanya menyediakan petak meletak kereta di tengah-tengah terik matahari atas dasar "siapa cepat dia dapat".

MENULIS CADANGAN PENYELIDIKAN UNTUK PELAJAR TINGKATAN 6 (THE WRITING OF RESEARCH PROPOSAL FOR SIXTH FORM STUDENT)

Ipoh, Rabu: 9.9.09 / 19 Ramadan 1430



1. Memandangkan dunia penyelidikan masih baharu kepada pelajar tingkatan 6, pendedahan tentang perkara-perkara asas penyelidikan masih perlu diberi tumpuan. Pengetahuan sedia ada pelajar semasa menyediakan pelbagai jenis folio dan kajian tempatan ketika di peringkat menengah rendah dan menengah rendah mungkin boleh membantu. Maka, tugas selanjutnya ialah bagi menggilap dan mengembangkan kebolehan pelajar tingkatan 6 untuk ke arah terhasilnya penyelidikan yang lebih tinggi mutunya dan lebih bermakna.

2. Setakat ini belum ada garis panduan secara khusus tentang format dan bidang penyelidikan untuk pelajar tingkatan 6. Maka, prinsip umum yang boleh digunakan sebagai penanda aras penyelidikan pelajar tingkatan 6 ialah penyelidikan yang dilaksanakan dapat mengembangkan potensi pelajar dalam proses pembelajaran. Ringkasnya, penyelidikan pelajar tingkatan 6 dilaksanakan berasaskan mata pelajaran (subject-based research).

3. Cadangan penyelidikan pelajar tingkatan 6 seharusnya mengandungi perkara-perkara berikut:

a. Tajuk Penyelidikan

b. Pendahuluan
- Latar belakang penyelidikan secara am
- Format penulisan dan tumpuan penyelidikan

c. Objektif penyelidikan
(maksimum 3)

d. Kaedah penyelidikan
- Instrumen
- Responden
- Pentadbiran (rintis, pra, pos)
- Analisis Data

e. Kepentingan penyelidikan
- kepada pelajar
- kepada sekolah

f. Penutup
- Batasan kajian
- Harapan penyelidik

g. Senarai rujukan.

==========================================================================
CONTOH CADANGAN PENYELIDIKAN EKONOMI

1. Tajuk: Melukis Keluk Kemungkinan Pengeluaran Cembung dengan lengkap.

2. Pendahuluan:

Pelajar ekonomi sering berhadapan dengan masalah untuk menyediakan keluk yang lengkap sebagai menyokong hujah tentang sesuatu konsep atau teori ekonomi. Walau sebaik mana pun penerangan yang terdapat di dalam sesebuah buku atau menerusi penerangan guru, pelajar ekonomi memerlukan suatu kaedah yang boleh membantu mereka dalam menyediakan keluk yang lengkap. Maka, penyelidikan yang dicadangkan akan memberi tumpuan terhadap langkah melukis Keluk Kemungkinan Pengeluaran berbentuk cembung dengan lengkap.

Format penyelidikan akan menggunakan kaedah perbandingan sebelum dan sesudah intervensi. Dalam ujian pra, responden akan diminta melukis keluk tanpa sebarang proses rawatan. Seterusnya dalam ujian pos, instrumen yang sama akan diulang uji. Perbandingan pencapaian bagi kedua-dua ujian akan menjadi penentu sama ada intervensi yang dilaksanakan signifikan atau sebaliknya.

3. Objektif Penyelidikan:

3.1 Menentukan keberkesanan penggunaan pen pelbagai warna untuk melukis
keluk kemungkinan pengeluaran;

3.2 Menentukan keberkesanan menomborkan langkah melukis keluk
kemungkinan pengeluaran; dan


4. Kaedah Penyelidikan

4.1 Instrumen yang digubakan ialah kertas ujian pra dan ujian pos

4.2 Sampel responden yang dipilih ialah 2 orang pelajar lelaki dan 2
orang pelajar perempuan LA3

4.3 Pentadbiran ujian dibuat secara ulang uji kepada kedua-dua
kumpulan rawatan;

4.4 Analisis data ialah berdasarkan skor yang beri oleh guru.

5. Kepentingan Penyelidikan

5.1 Kepada Pelajar:
- dapat menggunakan kaedah yang terbaik untuk melukis keluk
kemungkinan pengeluaran secara akses kendiri.

5.2 Kepada guru:
- dapat menjimatkan peruntukan masa untuk menyediakan latihan kes
yang lebih mencabar.

6 Penutup:

Batasan penyelidikan ini ialah bilangan responden yang kecil. Namun, usaha ini boleh menjadi titik tolak penyelidikan yang lebih menyeluruh. Penyelidik berharap bahawa syor-syor yang bakal diperakukan menerusi penyelidikan ini akan membantu pelajar ekonomi melukis keluk kemungkinan pengeluaran dengan lebih cekap.


7. Senarai Rujukan:

Azhar Rodzi (2009). Menulis Cadangan Penyelidikan untuk Pelajar
Tingkatan 6. Dalam www.cikguazharrodzi.blogspot.com. Dimuat turun
pada 9.9.09.

Hew Yook Fong, Md Zyadi Md Tahir (2008). Miroekonomi. Kuala Lumpur:
Pearson Publications.

Portal Pendidikan Utusan Malaysia (2009). Dalam www.utusan.net.
Dimuat turun pada 11.9.2008

===========================================================================

Sunday, September 6, 2009

एटिका तेतामु ETIKA BERTANDANG KE RUMAH ORANG (THE ETHICS OF VISITING: DO NOT OVERSTAY THE WELCOME)




 "... the social life of Islam is characterized by cooperation in goodness and piety. It is marked with full recognition of the individual and his sacred rights to life, property and honour. It is also marked with an effective role played by the individual in the domain of social morals and ethics... by way of inviting to the good and combating the evil in any form with all lawful means at his disposal..."






Sekali lagi, dengan izin, petikan Islam in Focus (Hammudah Abdalati, 1980 ulang cetak: 124) dijadikan mukadimah tulisan ini. Walaupun etika ialah satu tajuk besar dalam kuliah universiti dan penyelidikan para sarjana pelbagai disiplin pengajian, catatan ringkas ini memberi tumpuan terhadap adab berkunjung ke rumah orang, sama ada kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat dekat dan jauh, atau sekadar memenuhi jemputan majlis sekecil pot luck.

Walaupun kita mampu menyediakan juadah yang jauh lebih enak dan bervariasi, atau menempah meja makan di hotel lima bintang, jemputan ke sesuatu majlis makan atau keramaian merupakan suatu bentuk penghormatan dan pengiktirafan. Andainya kita tercicir daripada senarai undangan, sedikit sebanyak jauh di sudut hati akan timbul tanda tanya. Selanjutnya, perasaan terkilan, terpinggir dan tersingkir sukar diubati!

Sebaliknya jika berjaya dijemput, kita mula membayangkan persediaan pakaian, percakapan dan pelbagai gaya ketika berinteraksi dengan tetamu lain. Mungkin kita perlu membuat "kerja rumah" supaya tidak kekok atau kelu justeru tiada idea untuk disembang-sembangkan. Kita juga mungkin membuat latihan bagaimana untuk gelak secara sopan, serta tidak nampak keterlaluan dalam menunjukkan apa-apa reaksi spontan.

Dalam surah al-Ahzab, 33: ayat 53 digariskan peringatan tentang adab untuk para sahabat berkunjung ke rumah Junjungan Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasallam. Antara lain inti patinya ialah:
- dilarang masuk ke rumah Nabi kecuali dijemput (untuk menghadiri jamuan);
- dilarang menunggu-nunggu masa sajian;
- setelah makan (jika dijemput) hendaklah segera bersurai
  (tidak duduk bersenang-senang atau berbual-bual).

Ayat berkenaan menegaskan bahawa perbuatan berlama-lamaan sesudah menikmati jamuan mungkin sekali menyakiti dan menyusahkan tuan rumah. Sudah tentu tuan rumah akan berasa malu dan segan untuk berterus terang kepada para tetamu (yang buat-buat tidak faham itu).

Adab yang dianjurkan untuk para sahabat Nabi di atas adalah relevan untuk mana-mana zaman dan tempat. Maka, sebelum kita membuat keputusan untuk berkunjung ke mana-mana rumah orang, terlebih dahulu pertimbangkan keadaan dan kesediaan tuan rumah. Cuba letakkan diri kita dalam situasi tuan rumah.

Dari segi pengurusan, rumah ialah ruang pemisahan fizikal yang membolehkan para penghuninya melakukan aktiviti persendirian. Orang asing tidak seyogia sama sekali cuba mengintip atau mengintai-intai hal-ehwal keluarga tuan rumah. Lebih berat jika situasi rumah berkenaan dijadikan bahan gosip atau umpatan.

Sebaik-baiknya kita bertanya dengan cara yang baik sebelum masuk ke rumah seseorang. Dengan adanya gajet telekomunikasi yang canggih, kita boleh menghantar SMS atau MMS bagi mendapat kepastian sama ada tuan rumah dalam keadaan bersedia atau sebaliknya. Daripada nada jawapan atau lenggok ayat jawapan tuan rumah, walaupun zahirnya "ya", kita mesti boleh membuat penilaian yang adil.

Tetamu memang membawa rahmat kepada tuan rumah. Namun, janganlah sesekali kita mengambil kesempatan atas kebaikan tuan rumah. Berpada-padalah dan jangan sampai menyusahkan sesiapa.

Kesimpulannya, walau serapat mana pun hubungan kita dengan tuan rumah, sama ada kaum kerabat atau rakan akrab, seboleh mungkin buatlah penilaian yang terbaik sebelum membuat kunjungan yang sengaja dirancang, lebih-lebih lagi secara mengejut. Anggota keluarga tuan rumah mungkin berasa tidak selesa jika kunjungan kita mengambil masa yang panjang justeru urusan mereka terganggu dan pergerakan mereka menjadi terhad misalnya kerana masalah aurat.

NUZUL AL-QUR'AN: SUATU KESINAMBUNGAN RISALAH TAUHID (THE REVELATION OF THE QUR'AN: THE GREATEST GIFT TO MANKIND)


"

"Briefly stated, the purpose of al-Qur'an is to guard the previous revelations (Zabur, Taurat, Injil) and to:

- restore the eternal truth of God;

- guide mankind to the Straight Path;

- quicken the soul of human;

- awaken the human conscience; and

- enlighten the human mind.



Serious scholars, Muslims and non-Muslims alike, have concluded beyond doubt that the Qur'an we use today is the very same Book which Muhammad (peace be upon him) recieved, taught, lived by, and bequeathed to humanity almost fourteen centuries ago.

It is incumbent upon every Muslim, man and woman, to recite a portion of al-Qur'an every day in prayer and during the night vigilance. Recitation of the Qur'an is to the Muslims a high form of worship and a daily practice.

The Qur'an today as it first came down, and as it always will be. There has never been any addition, no ommision, and no corruption. Its history is as clear as daylight. The authenticity is unquestionable. Its complete preservation is beyond doubt.

When Muhammad (peace be upon him) first launched the Call of God, his only power was the Qur'an. His only wisdom was the Qur'anic wisdom. The penetrating dynamism is tremendous and irresistible.

The distinctive approaches of the Qur'an are aimed at the general welfare of human and are based on the possibilities within his or her reach. The Qur'an does not brand human as helpless, or hopeless creature, or drowned in sin from womb to tomb. Instead, it portray human as a noble, honorable and dignified being.

The Qur'an embraces all walks of life and covers the principles of human affairs from the most personal matters to the complex international relations. It deals with human activities and transactions in such a way as to give them a Divine flavour and a moral touch. It makes the presence of God felt in every single activity and transaction.

Human is merely a trustee in the vast domain of God. The sole purpose of human creation is to worship God. So the Qur'an is to free the mind from doubt, liberate the soul from sin and emancipate the conscience from subjugation.

The practicability of the Qur'anic teachings is established by the examples of Muhammad (peace be upon him) and fellow Muslims throughout the ages. Everything is carefully placed where it belongs in the total scheme of creation
.."

Demikian petikan buku Islam in Focus karya Hammudah Abdalati (1980: 193 - 195, ulang cetak) dengan beberapa pengubahsuaian, khususnya dari segi format dan susunan isi oleh penulis blog. Hammudah berkelulusan Ph.D dalam bidang sosiologi (University of Princeton, USA), MA in Islamic Studies, (University of McGill, Canada) dan sarjana muda (Universiti al-Azhar, Mesir). Beliau meninggal dunia pada September 1976.

Sempena Nuzul Qur'an (17 Ramadan setiap tahun: 2009 = 7 September), negeri Perak Darul Ridzuan mewartakan cuti umum. Maksudnya, akan ada program yang diatur untuk mengajak ummah menghayati peristiwa bersejarah penurunan al-Qur'an sejak ayat pertama Iqra' yang diterima oleh Junjungan baginda Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam. Begitulah yang seharusnya walaupun sebahagian daripada kita akan mengambil kesempatan untuk berehat dan berkumpul seisi keluarga sempena cuti tiga hari yang bersambung daripada cuti dua hari Sabtu dan Ahad.

Sepanjang Ramadan al-Mubarak ini, teristimewa separuh kedua berpuasa, marilah kita banyakkan membaca al-Qur'an justeru setiap huruf akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Marilah juga berdoa moga kita bakal ditemukan dengan Lailatul Qadr, iaitu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Berdasarkan kisah, saranan dan arahan al-Qur'an, kita aturkan tatacara pelaksanaannya dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Mari kita jadikan sirah Nabi dan amalan para sahabat baginda, tabi'in, salaf as-saleh dan ulama muktabar sebagai inspirasi kecemerlangan hidup. Insya-Allah...

Friday, September 4, 2009

PESAN LUQMAN KEPADA ANAKNYA: PRASYARAT KECEMERLANGAN HIDUP INSAN (THE WILL OF LUQMAN: A LIST OF THE EXCELLENCE-DRIVING FORCES IN OUR LIFE)

Kecemerlangan ialah ukuran kualiti yang unggul dan paling tinggi yang hendak dicapai. Kecemerlangan bukanlah piawaian biasa yang boleh diagak-agak atau dispekulasikan secara spontan. Kecemerlangan mestilah berteraskan ilmu yang sah.

Kecemerlangan menjadi tema penulisan, penyelidikan dan wacana yang amat digemari dalam kalangan masyarakat Barat. Contohnya, In Search of Excellence, Thriving on Chaos, The 8th Habit dan lain-lain lagi yang menjuruskan perincian kecemerlangan. Masyarakat Barat memang cenderung meneroka dan menulis hingga dikatakan bahawa tajuk seperti How to Draw a Straight Line pun dijadikan judul sebuah buku yang tebal!

Sebenarnya tradisi menulis juga telah lama berkembang di dunia Timur. Sejarah mencatatkan bahawa Sungai Furat dan Dajlah (kini dalam wilayah Iraq) menjadi hitam pekat apabila tentera Mogul melemparkan timbunan buku daripada perpustakaan Darul Hikmah untuk dijadikan jambatan menyeberang sungai. Pemindahan ilmu pengetahuan antara tamadun telah lama berlaku, khususnya dalam bidang falsafah, astronomi, kimia, matematik, kejuruteraan, sosiologi, psikologi dan perubatan.

Dunia Islam menjadikan al-Quran dan al-Hadith sebagai sumber inspirasi untuk menggarap piawaian kecemerlangan. Islam menjadikan kebijaksanaan (al-hikmah) dan konsep pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning and relearning) sebagai antara ciri kecemerlangan. Terdapat hadith yang menyatakan bahawa "kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman" (al-hikmah dholatul-mukmin) dan "tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad" (Utlubul ilm minal-mahdi ilal-lahdi, seek ye learning from the cradle to the grave). Au kama qala.

Tulisan ini bertujuan memaparkan semula 10 wasiat Lukman al-Hakim sepertimana yang tersurat dalam al-Quran, surah Luqman, 31: ayat 12 - 18). Luqman telah berpesan kepada anaknya 10 perkara, iaitu:

1. Sentiasalah bersyukur;

2. Jangan sesekali syirik (menyekutukan Allah dengan apa-apa cara sekali pun);

3. Berbuat baik kepada ibu bapa;

4. (Menjaga setiap perbuatan) justeru segala sesuatu yang tersembunyi turut diadili-Nya kelak;

5. Menjaga solat;

6. Menyeru ke arah kebaikan (al-amru bi'l-ma'ruf):

7. Mencegah kemungkaran (an-nahyu an'il-munkar);

8. Bersabar (atas bencana / musibah);

9. Jangan sombong / takbur; dan

10. Sentiasa sederhana (dalam tingkah laku / percakapan).

Perbincangan tentang setiap satu pesan Luqman di atas sesungguhnya boleh ditumpukan kepada kaedah pelaksanaannya di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan ummah keseluruhannya. Generasi yang dibina daripada 10 kualiti yang diwasiatkan oleh Luqman itu layak diungkapkan sebagai "generasi al-Quran yang unik" (al-jil Qur'aniyyun farid), atau "generasi rabbani yang komited" (al-jil rabbaniyyul multazim). Generasi sedemikian bakal menjadikan kecemerlangan sebagai landas untuk memacu kejayaan dalam hubungan dengan al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), hubungan sesama insan, dan hubungan dengan alam sekitar.

Marilah kita menjadikan bulan puasa kali ini sebagai titik tolak untuk meningkatkan kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Biarlah hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini (sebagaimana saran Ali karamallah wajhah). Mudah-mudahan kita digolongkan dalam kalangan orang yang menuju kejayaan (al-falah) dan dijauhi daripada kerugian (al-khusran), insya-Allah...